TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda timur Taiwan sejurus sebelum pukul 9 pagi Rabu, 3 April 2024.
Gempa bumi kuat telah menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan untuk pulau-pulau di selatan Jepun, kata Agensi Meteorologi Jepun.
Pusat Kajian Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu mempunyai magnitud 7.4 dengan pusat gempa adalah 18 kilometer ke selatan Bandar Hualien di Taiwan pada kedalaman 34.8 kilometer.
Ombak tsunami setinggi tiga meter dijangka tercetus serta-merta di pulau-pulau terpencil Jepun berhampiran Taiwan, termasuk Pulau Miyakojima, tambah agensi itu.
“Sila berpindah!” kata siaran dikeluarkan penyiar kebangsaan, NHK.
“Tsunami akan tiba. Sila berpindah dengan segera.
“Jangan berhenti. Jangan berpatah balik,” kata seorang penyampai NHK.
Filipina turut memberi amaran “gelombang tsunami tinggi” dan menggesa pemindahan kawasan pantai di seluruh negara.
“Orang ramai di kawasan pantai di wilayah berkaitan adalah amat dinasihatkan supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke pedalaman,” kata Institut Seismologi Filipina.
Gempa bumi yang melanda timur Taiwan pada pagi Rabu adalah “terkuat dalam 25 tahun”, kata pengarah Pusat Seismologi Taipei.
“Gempa bumi hampir dengan daratan dan ia cetek. Ia dirasai di seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar pesisir… ia adalah yang paling kuat dalam 25 tahun sejak gempa bumi (1999),” kata Wu Chien-fu kepada pemberita, merujuk kepada gempa bumi pada September 1999 dengan magnitud 7.6 yang mengorbankan 2,400 orang.