Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah setakat ini telah berjaya memadamkan lebih 97 peratus kawasan yang terbakar di tapak pelupusan sampah Kayu Madang, Kota Kinabalu.
Kebakaran yang memasuki hari kelima itu setakat ini berjaya dikawal, namun pasukan bomba masih berusaha untuk memastikan api dipadam sepenuhnya.
Pengarah JBPM Sabah, Abdul Razak Muda berkata, secara keseluruhan 97.25 peratus daripada 45.7 hektar kawasan yang terbakar meliputi tempat pembuangan tayar terpakai sudah dipadamkan.
“Daripada empat sektor yang dibahagikan, sektor D telah dipadamkan sepenuhnya, sektor A dan C sebanyak 95 peratus api dipadamkan dan sektor B tinggal satu peratus lagi belum dipadamkan.
“Secara keseluruhan terdapat seluas 10,287 meter persegi lagi yang masih belum dipadamkan,” katanya pada 28 Mac.
Tambah Abdul Razak, operasi memadam kebakaran masih menggunakan kaedah buih dan sumber air terbuka susulan kawasan kebakaran yang berskala besar.
“Sebanyak 14 tong buih digunakan dalam operasi ini selain penggunaan peralatan khas untuk kerja-kerja pemadaman api.
“Operasi itu dikendalikan oleh 41 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Tuaran, Kota Kinabalu, Lintas, Penampang dan Ibu Pejabat JBPM Sabah,” katanya.
Abdul Razak berkata, usaha pemadaman giat dilakukan dan sebarang perkembangan akan dimaklumkan dari masa ke masa.
Sementara itu, dalam perkongsian Facebook rasmi JBPM Sabah memaklumkan, pasukan bomba masih berjuang untuk memadamkan kebakaran di tapak pelupusan sampah tersebut.
“Kami masih berjuang di sini,” tulis hantaran tersebut yang turut meraih simpati daripada warganet.