Hujan lebat pada sebelah petang dan awal malam di Lembah Klang pada 28 Mac telah mengakibatkan beberapa kawasan mengalami banjir kilat.
Dalam insiden banjir kilat yang berlaku berhampiran Tol Rawang di Selangor, rakaman video tular memaparkan sebuah motosikal telah hanyut akibat dibawa arus deras banjir.
Video yang dirakam orang awam di lokasi berkenaan menunjukkan beberapa penunggang motosikal cuba meredah air banjir menyebabkan salah seorang daripadanya kehilangan motosikal setelah dihanyutkan arus deras.
Banjir kilat selama kira-kira dua jam itu telah mengakibatkan kesesakan jalan raya yang teruk di Tol Rawang dan semua jalan menuju ke kawasan berkenaan yang ditenggelami air.
Jabatan Meteorologi Malaysia (METMalaysia) memaklumkan fasa peralihan monsun dijangka bermula 29 Mac dan berterusan sehingga bulan Mei.
Fasa itu menyaksikan negara bakal menerima tiupan angin lemah dari pelbagai arah yang kondusif untuk kejadian ribut petir yang lazim membawa hujan lebat berserta angin kencang dalam jangka masa yang singkat.
Kejadian ini akan berlaku terutama pada waktu petang dan awal malam di kebanyakan kawasan di barat dan pedalaman Semenanjung, barat Sabah serta selatan dan tengah Sarawak.
Keadaan cuaca ini akan berpotensi menyebabkan banjir kilat, pokok tumbang serta kerosakan pada struktur yang tidak kukuh.
METMalaysia menasihatkan orang ramai untuk lebih berwaspada ketika tempoh ini serta sentiasa peka dengan ramalan dan amaran cuaca yang dikeluarkan melalui laman web rasmi METMalaysia, aplikasi myCuaca dan media sosial rasmi jabatan.
Video di bawah: