26.9 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 13, 2025
Utama Blog Laman 372

Kucing-kucing yang suka bermain dengan kekotoran ini benar-benar boleh membuatkan pemiliknya pening kepala!

0

Kucing, seperti hidupan lain juga, mempunyai ‘perangai’ masing-masing yang kadang-kala boleh memeningkan kepala pemilik mereka juga.

Bagi para pemilik kucing, mereka lazimnya sentiasa mahukan kucing mereka dalam keadaan yang bersih, supaya kucing-kucing mereka kelihatan cantik dan comel. Tetapi, tahukah anda memang wujud kucing yang memang sukakan kekotoran dan sanggup mengotorkan diri sendiri dengan kerelaannya?

Memang aneh, tetapi benar!

Dikongsikan oleh salah seorang pengguna internet, kucing yang dipeliharanya ini dikatakan tidak mempunyai hobi lain selain dari menggali arang.

Akibat dari hobi yang tidak berfaedah ini, wajah kucing yang putih bersih ini akan bertukar menjadi hitam, dengan bahagian tangan dan dagunya yang menerima kesan yang lebih jelas kelihatan.

Selain dari itu, seorang lagi pengguna internet berkongsi bahawa ketika dia pertama kali menemui kucing peliharaannya di jalanan, dia menyangkakan bahawa kucing tersebut adalah dari baka British Shorthair kerana warna kelabu pada bulu kucing itu.

Nampak cantik sekali, bukan?

Bagaimanapun, selepas beberapa ketika memelihara kucing tersebut, dia mendapati bahawa kucing itu sebenarnya berwarna putih. Kucing itu sebelum ini berwarna kelabu kerana kucing itu tidak suka menjaga kebersihan dirinya sendiri sehinggakan warna bulunya bertukar dari warna putih ke warna kelabu!

Lucu betul!

Pelbagai ragam kucing dapat kita temui di internet. Dan, antara yang memang menghiburkan adalah bagaimana transformasi wajah kucing berwarna oren ini boleh berubah selepas kucing ini memutuskan untuk tidur di atas dapur arang…

Aduhai, pening juga dibuatnya jika kita memelihara kucing dengan pelbagai ragam sebegini ya!

Video yang menunjukkan bagaimana seorang pengawal keselamatan bank boleh tidur nyenyak ketika penggera keselamatan sedang membingit tarik perhatian ramai

0

Ramai yang sedia maklum tentang skop tugas seorang pengawal keselamatan, iaitu untuk sentiasa mengawal keselamatan premis dan orang awam yang datang.

Walau bagaimanapun, kisah seorang pengawal keselamatan yang tertidur ketika bunyi penggera keselamatan sedang bergema dengan kuat di sebuah premis bank di Seri Kembangan ini benar-benar telah menarik perhatian ramai.

Justin Lee/Facebook

Dikongsikan semula di laman Facebook Justin Lee pada 8 Mac 2019, video yang berdurasi 0:09 saat itu menunjukkan rakaman dari perspektif seorang pelanggan bank yang terperangkap dalam kawasan bank dengan pintu kaca yang terkunci, dan bunyi penggera keselamatan yang membingit dengan begitu kuat.

Tetapi, yang menariknya, di bahagian luar kawasan bank itu terdapat seorang pengawal keselamatan yang duduk di sebuah kerusi, yang sepatutnya pantas mengambil tindakan sekiranya perkara sebegini berlaku.

Walau bagaimanapun, malangnya, pengawal keselamatan itu nampaknya sedang tidur dengan nyenyak dan langsung tidak terjaga dek bunyi penggera keselamatan itu.

Justin Lee/Facebook

Menerusi video, dapat dilihat bagaimana pelanggan yang terperangkap itu berusaha untuk mengejutkan pengawal keselamatan itu dengan mengetuk-ngetuk pintu kaca, sambil menjerit memanggil pengawal keselamatan itu. Syukurlah, seorang orang awam yang berada berdekatan telah terlihat kejadian itu dan terus membantu untuk mengejutkan pengawal keselamatan itu.

Pun begitu, masalah yang terjadi masih lagi belum dapat diselesaikan. Menurut perkongsian laman New Straits Times, pengawal keselamatan itu bagaimanapun tidak tahu cara untuk membuka pintu kaca yang memerangkap pelanggan di dalam premis itu.

Akhirnya, pelanggan yang terperangkap itu terpaksa menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan sekaligus melepaskan dirinya dari terperangkap di dalam premis berkenaan.

Kasihan betul nasib pelanggan yang terperangkap itu. Dan, kami pasti, kejadian ini semestinya akan memberi pengajaran kepada pengawal keselamatan itu untuk sentiasa ‘berjaga-jaga’ ketika sedang menjalankan tugasnya.

Mengadu panas ketika di kelas, ibu bapa murid terus hantar kipas ke sekolah

0

Rasanya hampir setiap hari cuaca terik dan panas melanda negara dan hal ini membuatkan ramai yang tidak selesa terutama jika berada di tempat tanpa kipas atau pendingin hawa.

Murid sekolah antara mereka yang turut terjejas dan gara-gara hal itulah seorang bapa sanggup membawa sebuah kipas ke sekolah. Semuanya bermula apabila anak perempuan bongsunya mengadu kerana kepanasan ketika berada di kelas.

Sebuah video yang menunjukkan seorang lelaki membawa kipas ke sekolah telah dimuat naik oleh seorang wanita yang merupakan ibu kepada muris tersebut.

“Pagi tadi, my princess mengadu panas bila dalam kelas, daddy terus bawakan kipas hantar ke kelas dia. Alhamdulillah, terima kasih atas segalanya,” tulis wanita tersebut di aplikasi TikTok miliknya yang kemudiannya menjadi tular.

Wanita berkenaan, Ros Ramlan berkata, rakaman dibuat ketika menghantar anak perempuannya berusia sembilan tahun ke sekolah di Sentul, Kuala Lumpur, pada tengah hari Khamis lalu.

Ibu berusia 43 tahun itu memberitahu, pada sebelah pagi, anaknya itu mengadu panas ketika belajar disebabkan kipas di kelasnya mengalami kerosakan.

“Anak saya tanya ada kipas lebih tak, sebab nak minta untuk bawa ke sekolah. Saya maklumkan mana boleh buat macam tu, nanti pihak sekolah marah.

“Saya pun hubungi guru di sekolah bagi mendapatkan kepastian dan memang betul kipas di kelasnya rosak. Jadi, saya minta izin untuk bawa kipas ke sekolah, kebetulan memang ada kipas lebih yang tidak digunakan di rumah,” tambahnya lagi.

Ros berkata, kipas berdiri tersebut dibawa menggunakan kereta dan dihantar oleh suaminya ke pintu pagar sekolah bagi mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan.

“Dari pintu pagar sekolah, guru tolong bawa masuk kipas ke kelas. Kipas tu dipasang bukan untuk fokus anak saya seorang, sebab ia memberi keselesaan untuk seisi kelas.

Menurutnya lagi, anaknya memang tidak tahan panas kerana badannya mudah naik ruam. Sebelum ini anaknya tidak pernah mengadu tentang cuaca panas di kelas jadi selepas dia memberitahu hal itu bermakna keadaan di kelas memang benar-benar panas baginya.

Sehubungan itu, Ros juga berkata bahawa kipas tersebut kini disumbangkan kepada pihak sekolah untuk kegunaan murid-murid.

Tonton video di sini.

Anak memerang comel merengek minta dibelai dan diusap. Geramnya tengok!

0

Memerang merupakan haiwan yang tinggal berdekatan air dan mempunyai fizikal yang sangat comel. Namun tahukah anda bahawa memerang turut memiliki suara yang sangat comel dan lucu?

Menerusi Facebook Go Animals, telah tular sebuah video ringkas berdurasi 32 saat yang memaparkan gelagat anak memerang sedang merengek ketika dibelai. Meskipun memerang bukanlah kategori haiwan peliharaan, namun video ini membuktikan bahawa haiwan ini juga sukakan kasih sayang dan usapan daripada tangan manusia.

Anak memerang yang comel ini kelihatan sangat menikmati belaian yang diberikan sambil mengeluarkan bunyi rengekan yang comel umpama bunyi tangisan anak kucing!

Tidak cukup dengan belaian di kakinya, anak memerang ini turut memasukkan kepalanya di bawah tangan seolah-olah untuk memberi isyarat bahawa memerang ini mahukan belaian di kepala.

Lihatlah bagaimana anak memerang ini begitu selesa ketika berada dengan manusia. Manja betul! Malah, anak memerang ini juga tidak mahu melepaskan pegangan tangan tuannya.

Comel sungguh! Geram pula tengok anak memerang ini. Nak pelihara seekor yang comel macam ini juga lah!

Sehingga artikel ini ditulis, video tersebut berjaya menarik 15K komen dengan 42K perkongsian oleh pengguna Facebook.

Insiden burung albatross gagal mendarat sebelum terjatuh di hadapan burung betina lain buat warganet ketawa tanpa henti

0

Dalam kehidupan ini, pasti semua orang pernah mengalami situasi memalukan misalnya terjatuh di hadapan seseorang yang kita suka atau di khalayak ramai. Lebih memalukan lagi sekiranya insiden itu dirakamkan, pasti ia akan ditonton secara berulang oleh lebih ramai individu.

Namun, bukan hanya manusia yang mengalami kejadian memalukan seperti ini, burung pun pernah dan ianya berjaya dirakamkan dan ditonton secara langsung!

Sumber : Medium

Pada tanggal 6 Mac lalu, University Cornell telah mengadakan siaran secara langsung aktiviti pemerhatian burung. Sewaktu rakaman memfokuskan kepada seekor burung yang sedang berehat, secara tiba-tiba datang seekor burung albatross yang terjatuh sekali gus mendarat secara terbalik!

Insiden memalukan ini telah ditonton sekitar 220,000 warganet yang menggambarkan peristiwa itu sebagai ‘comel dan melucukan’.

Mungkin kerana terlalu laju dan tidak dapat mengagak jarak tanah, burung ini ‘terbabas’ lantas terjatuh sambil disaksikan oleh burung lain. Kalau insiden ini terjadi kepada kita, pasti kita akan mempersoalkan dalam banyak-banyak tempat, kenapa mesti terjatuh di kawasan yang ada orang?!

Burung ini kelihatan bergelut untuk bangun memandangkan burung ini berada dalam posis di mana kedua-dua kakinya berada di atas. Setelah berjaya bangun, burung ini kelihatan seperti membebel dan berlalu pergi dalam keadaan perlahan.

Rakaman ini telah dikongsikan di Twitter dan majoriti penggunanya sempat memberikan komen masing-masing mengenai insiden melucukan itu…

“Burung ini kekal tenang dan berlalu pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku”.

“Tidak mengapa, hanya burung betina itu sahaja yang melihat”.

“Tak apa ke kalau saya gelakkannya? Saya harap burung itu baik-baik sahaja”.

Pada masa yang sama, Rory Crawford yang merupakan Ketua Persatuan Pemuliharaan Burung Albatross menjelaskan bahawa burung ini memiliki struktur tubuh yang direka untuk penerbangan laut. Dalam erti kata lain, burung ini mampu terbang di atas laut selama beberapa jam namun kemahiran pendaratannya tidak begitu menakjubkan.

Menurut Crawford lagi, terdapat 15 spesies albatross yang diancam kepupusan disebabkan oleh ditangkap oleh para nelayan. Malah, kadar reproduksi burung ini di samping perubahan iklim turut menyumbang kepada faktor kepupusan. Dianggarkan hanya sebanyak dua ekor anak burung albatross berjaya dilahirkan setiap tahun.

Anjing jalanan ini masuk klinik haiwan dan tunjuk kakinya yang sakit untuk mendapatkan rawatan. Pintarnya!

0

Apabila kita merasa sakit, kita akan segera mendapatkan rawatan sama ada di rumah dengan mengambil ubat atau pergi ke hospital untuk rawatan lanjut. Begitu juga dengan haiwan yang dipelihara di rumah. Tetapi bagaimana pula dengan nasib haiwan yang hidup di jalanan?

Haiwan jalanan yang bernasib baik akan dibawa mendapatkan rawatan oleh individu yang baik hati. Namun persoalannya, adakah setiap manusia sanggup mengeluarkan duit untuk memastikan kesihatan haiwan terbiar ini?

Tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, seekor anjing jalanan bertindak mendapatkan bantuan doktor haiwan dengan pergi ke klinik haiwan sendirian tanpa ditemani mana-mana manusia! Ya, anjing yang bijak ini telah mendapatkan bantuan untuk merawat kesakitan yang dialami dengan pergi ke klinik haiwan.

Kejadian yang berlaku di Brazil ini telah dirakamkan oleh kamera pengawasan keselamatan klinik haiwan berkenaan. Menerusi video berdurasi 1 minit 39 saat itu, anda dapat lihat seekor anjing jalanan berwarna hitam telah masuk ke dalam klinik berkenaan dan menunggu sambil bersandar pada dinding.

Anjing yang pintar ini turut menggoyangkan ekornya dan menghulurkan kaki hadapan seolah-olah untuk memberitahu kepada kakitangan klinik bahawa anjing ini sedang dalam kesakitan dan memerlukan rawatan. Ketika kejadian, doktor haiwan yang dikenali sebagai Ferreira sedang berbual dengan jururawat di kaunter apabila anjing tersebut secara tiba-tiba masuk ke dalam kliniknya.

”Apabila anjing ini datang, anjing ini menunjukkan kaki hadapannya seolah-olah untuk memberitahu tentang kesakitan yang dialami. Kami sangat terkejut kerana anjing ini tahu ke mana harus dituju untuk mendapatkan rawatan”.

Sebaik sahaja melihat keadaan anjing itu, Ferreira terus menghampiri anjing berkenaan dan memeriksa keadaannya. Beberapa detik kemudian, Ferreira bingkas bangun dan menunjukkan arah kepada anjing itu. Seolah-olah memahami maksud Ferreira, anjing ini turut bangun dan bergerak menuju ke arah bilik rawatan yang ditunjukkan oleh Ferreira.

Selepas melakukan pemeriksaan lanjut, Ferreira mendapati kecederaan yang dialami oleh anjing ini tidak begitu serius namun anjing ini mempunyai kutu. Justeru, mereka mengambil keputusan untuk memandikan anjing ini dan memberikan rawatan lanjut serta menempatkan anjing yang bijak itu di kliniknya buat sementara waktu.

Tidak lama selepas itu, peristiwa mengenai anjing hitam ini mendapatkan rawatan di klinik berkenaan mula tular sekali gus membuatkan pihak klinik mengambil keputusan untuk menerima permohonan pemeliharaan daripada orang ramai.

Nampaknya, disebabkan oleh kepintaran anjing hitam ini, ramai yang menyayanginya dan mahu menjadikannya sebagai haiwan peliharaan. Nasib anjing hitam ini bakal berubah dan pasti akan ada individu yang boleh menjaganya dengan baik selepas ini.

Lelaki ini kongsi tips duduk rumah 2 tingkat dan 6 alat penghawa dingin dengan bil kurang RM70 sebulan

0

Selaras dengan perintah kerajaan untuk menangani penularan virus Parti Komunis China atau COVID-19, semua pekerja sektor awam mahupun swasta diarahkan untuk bekerja dari rumah. Arahan ini masih kekal dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan kepadatan ruang kerja di pejabat dan sehingga kini, belum ada perubahan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).

Namun kita semua mengetahui bekerja dari rumah bukanlah semudah yang disangkakan. Meskipun konsep ini nampak mudah, tetapi hakikatnya terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi ditambah pula dengan kemudahan terhad di rumah tidak seperti di pejabat.

Salah satu isu yang menjadi topik utama perbualan ramai individu yang bekerja dari rumah adalah kenaikan bil elektrik. Selain perlu menggunakan komputer selama berjam-jam, cuaca yang panas juga membuatkan ramai menggunakan alat penghawa dingin dan ini tentunya akan menyebabkan bil elektrik melambung tinggi!

Namun begitu, seorang warganet telah berkongsi pengalaman peribadinya di mana bil elektrik bulanannya mencecah RM40 hingga RM70 meskipun individu ini tinggal di rumah dua tingkat dengan kemudahan enam buah alat penghawa dingin!

Sumber : Fawwaz Johari / Facebook

Menurut perkongsian dari Fawwaz Johari di Facebook pada tahun 2019, dia telah berkongsi beberapa tips mudah yang sehingga ke hari ini masih boleh dipraktikkan untuk penggunaan optimum. Pada awalnya, Fawwaz telah menjelaskan sedikit sebanyak mengenai saiz rumahnya yang terdiri daripada empat buah bilik dan ruang tamu.

Sumber : Fawwaz Johari / Facebook

Setiap bilik dilengkapi dengan alat penghawa dingin manakala di bahagian ruang tamu pula mempunyai dua buah alat penghawa dingin menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam buah. Rumah ini turut dipasang dengan ‘Meter Pintar TNB’ pada Februari tahun sama.

Hebatnya! Macam mana cara lelaki ini berjimat? Jom kita lihat 8 tips penjimatan elektrik daripada Fawwaz Johari.

#1 Guna teknologi inventer

Sumber : Truong

Jelas Fawwaz, alat penghawa dingin yang mempunyai teknologi inventer ini membolehkan anda untuk menyelaraskan kelajuan kompresor bagi mengawal kadar aliran suhu sekali gus menyebabkan ia tidak menggunakan tenaga dan kuasa yang tinggi.

Meskipun harga alat dengan teknologi ini agak tinggi namun anda akan menerima manfaat yang lebih dan menikmati kadar penjimatan tenaga elektrik buat masa yang panjang.

#2 Kurangkan penggunaan kelengkapan pemanasan elektrik

Sumber : Fawwaz Johari / Facebook

Fawwaz turut menasihati orang ramai yang ingin menjimatkan tenaga elektrik supaya tidak menggunakan kelengkapan yang memerlukan tenaga elektrik untuk memasak. Misalnya air fryer, ketuhar gelombang mikro, alat pembakar roti, alat pemanas air dan sebagainya. Sebaiknya, gunakan dapur gas untuk memasak. Di rumah Fawwaz, satu-satunya kelengkapan pemanasan elektrik yang digunakan adalah seterika dan juga alat pemanas air mandi.

#3 Gunakan kelengkapan elektrik bertaraf 5 bintang

Sumber : Impiana

Satu lagi tips menarik adalah gunakan alat atau kelengkapan elektrik yang bertaraf lima bintang. Setiap peralatan elektrik mempunyai taraf status masing-masing yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Oleh itu, semua perlatan bertaraf lima bintang mempunyai kelebihan dalam menjimatkan tenaga elektrik di rumah anda.

#4 Cabut plag dari soket setiap kali tidak digunakan

Sumber : Fawwaz Johari / Facebook

Sudah menjadi kebiasaan buat kita semua untuk membiarkan kepala plag pada soket elektrik. Ramai yang beranggapan tindakan ini tidak menyebabkan peningkatan bil elektrik namun menurut Fawwaz, kadar elektrik boleh dikurangkan antara RM15 hingga RM50 sekiranya anda mencabut plag anda setiap kali tidak digunakan.

#5 Gunakan lampu LED

Sumber : Gadget ARQ

Penggunaan lampu LED dikatakan dapat mengurangkan sebanyak 75% penggunaan elektrik berbanding lampu jenis biasa. Hal ini kerana lampu LED menggunakan tenaga yang kurang memandangkan cahaya diod adalah lebih efisien berbanding cahaya filamen.

#6 Gunakan turbin kipas di bumbung rumah

Sumber : Blog

Salah satu kaedah dalam memastikan suhu sentiasa sejuk selain menggunakan alat penghawa dingin adalah dengan memasang turbin kipas pada bumbung rumah. Penggunaan turbin kipas ini bertujuan untuk membenarkan pengaliran keluar udara panas di dalam rumah sekali gus meningkatkan kualiti udara.

#7 Tanam pokok di dalam dan di luar rumah

Sumber : Fawwaz Johari / Facebook

Kita semua tahu tanaman hijau berfungsi dalam merendahkan suhu sesuatu kawasan. Disebabkan itulah setiap kali kita lalu di kawasan yang penuh pokok, kita akan serta-merta terasa sejuk dan nyaman.

“Pokok ini membolehkan udara di rumah saya sentiasa pada suhu rendah. Kami jarang membuka alat penghawa dingin pada waktu tengahari kecuali ketika cuaca panas terik atau apabila ada tetamu di rumah”.

#8 Jimatkan tenaga elektrik ketika menggunakan alat penghawa dingin

Sumber : Fawwaz Johari / Facebook

Tips yang terakhir adalah gunakan alat penghawa dingin ketika suhu sekeliling tidak terlalu tinggi. Hal ini demikian kerana ketika suhu sekeliling rendah, alat penghawa dingin tidak memerlukan tenaga elektrik yang banyak untuk memastikan suhu tersebut mencapai suhu yang anda kehendaki.

Justeru, pemasangan turbin kipas dan penanaman pokok dapat membantu merendahkan suhu sekeliling sekali gus menjimatkan tenaga.

*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.

Tiada kes baru dicatatkan di 16 daerah di Sabah dan hanya ada 71 kes seluruh negeri yang dicatatkan semalam

0

KOTA KINABALU: 16 buah daerah di Sabah menyaksikan angka kes COVID-19 yang dicatatkan adalah sifar dalam masa 24 jam semalam, manakala angka keseluruhan kes yang dicatatkan bagi negeri itu adalah sebanyak 71 buah kes.

Menurut Datuk Masidi Manjun daerah Keningau mencatatkan 25 lagi buah kes semalam berbanding hanya 10 jika dibandingkan dengan hari sebelumnya. Pertambahan kes tersebut menjadikan kes keseluruhan negeri Sabah adalah 71 pada hari semalam.

Walau bagaimanapun beliau tetap menyeru orang ramai untuk terus mengikuti SOP yang ditetapkan.

Kompaun RM 10,000 tertakluk kepada semua kategori PKP- Ismail Sabri

0

KUALA LUMPUR (13 Mac): Kompaun RM10,000 di bawah Ordinan Darurat (Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit) (Pindaan) 2021 terpakai untuk semua kategori Perintah Kawalan Pergerakan (PKP), kata Menteri Kanan (Kluster Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.

Ini bermakna bahawa kawasan di PKP, PKP Bersyarat dan PKP Pemulihan boleh dikeluarkan kompaun sebanyak RM10,000 kepada yang melanggar prosedur operasi standard (SOP).

“Tetapi (orang awam) harus memahami, tindakan polis (mengeluarkan kompaun) adalah berdasarkan Ordinan Darurat dan ini adalah untuk keselamatan orang ramai,” katanya kepada wartawan pada majlis pecah tanah projek One House One House (SASaR) di Satria Residensi, Sungai Besi.

Tambahnya lagi, polis tidak mempunyai kuasa untuk mengurangkan jumlah kompaun yang dikenakan dan mereka yang menerima notis kompaun boleh membuat rayuan di Pejabat Kesihatan Daerah.

Denda tidak lebih RM100,000, penjara kepada mana-mana individu yang menyebarkan berita palsu berkenaan COVID-19 atau proklamasi darurat

0

PUTRAJAYA – Mana-mana individu yang mencipta, menerbit atau menyebarkan berita tidak benar berhubung COVID-19 atau proklamasi darurat boleh berdepan hukuman denda maksimum RM100,000 atau penjara tidak melebihi tiga tahun atau kedua-dua sekali jika sabit kesalahan, berkuat kuasa 12 Mac 2021.

Bagi kesalahan yang berterusan, denda yang dikenakan tidak melebihi RM1,000 bagi setiap hari selama kesalahan itu berterusan selepas sabitan.

Kerajaan telah mewartakan Ordinan Darurat (Kuasa-Kuasa Perlu) (No.2) 2021, yang berkuat kuasa pada 12 Mac 2021, menurut Warta Kerajaan Persekutuan yang disiarkan oleh Jabatan Peguam Negara pada 11 Mac 2021.

Sekadar Gambar Hiasan / Pixabay

Ordinan tersebut dimasyhurkan oleh Yang di-Pertuan Agong menurut Fasal (2B) Perkara 150 Perlembagaan Persekutuan.

Menerusi laporan Bernama, menurut tafsiran Ordinan, ‘berita tidak benar’ termasuklah apa-apa berita, maklumat, data dan laporan keseluruhan atau sebahagiannya palsu yang berhubungan dengan COVID-19 atau proklamasi darurat sama ada dalam bentuk rencana, visual atau rakaman audio atau dalam apa-apa bentuk lain yang boleh menggambarkan perkataan atau idea.

Ordinan itu menetapkan ‘mana-mana orang melalui apa-apa cara, dengan niat’ untuk menyebabkan atau berkemungkinan menyebabkan ketakutan atau kebimbangan kepada orang awam dengan mengadakan, menawar, menerbitkan, mencetak, mengedar, mengelilingkan atau menyebarkan apa-apa berita tidak benar atau penerbitan tidak benar boleh diambil tindakan.

Selain itu, ‘mana-mana orang yang secara langsung atau tidak langsung’, menyediakan atau menjadikan tersedia bantuan kewangan dengan niat supaya bantuan kewangan itu digunakan atau mengetahui atau mempunyai alasan yang munasabah untuk mempercayai bahawa bantuan kewangan itu digunakan bagi maksud melakukan atau memudahkan pelakuan kesalahan di bawah seksyen tersebut, adalah melakukan suatu kesalahan.

Jika sabit kesalahan, individu terbabit berdepan denda tidak melebihi RM500,000 atau dipenjarakan maksimum enam tahun atau kedua-dua sekali.

Mahkamah juga boleh memerintahkan individu yang disabitkan kesalahan di bawah subseksyen itu untuk membuat permohonan maaf kepada orang yang terjejas dan jika tidak mematuhi perintah, boleh disabitkan denda tidak melebihi RM50,000 atau dipenjara tidak melebihi setahun atau kedua-duanya.

Kegagalan berbuat demikian boleh dikenakan denda tidak melebihi  RM100,000 dan didenda selanjutnya tidak melebihi RM3,000 bagi tiap-tiap hari selama kesalahan berterusan selepas sabitan.

Mana-mana orang yang terjejas oleh arahan penghapusan penerbitan oleh pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh memohon kepada Mahkamah Tinggi untuk menyemak arahan itu.

Di bawah penguatkuasaan, tiap-tiap kesalahan di bawah Ordinan ini adalah ‘kesalahan boleh tangkap’ dan seseorang pegawai polis atau pegawai diberi kuasa boleh menangkap mana-mana orang yang dipercayai dengan munasabah melakukan atau cuba melakukan kesalahan di bawah ordinan.

Polis atau pegawai juga diberi kuasa menjalankan geledahan, juga diberikan capaian kepada data berkomputer sama ada disimpan dalam satu komputer atau selainnya.

Capaian itu termasuklah kata laluan, kod penyahsulitan, perisian atau perkakasan yang perlu.

“Mana-mana orang yang tidak mematuhi permintaan pegawai polis atau pegawai diberi kuasa, adalah melakukan suatu kesalahan dan boleh, apabila disabitkan, didenda tidak melebihi RM100,000 atau dipenjarakan selama tempoh tidak melebihi satu tahun atau kedua-duanya,” menurut Seksyen 19 Ordinan itu.

Seksyen 27 menyatakan “tiada tindakan, guaman, pendakwaan atau apa-apa prosiding lain boleh diambil atau dibawa, dimulakan atau dikekalkan dalam mana-mana mahkamah terhadap kerajaan Malaysia atau mana-mana pegawai polis atau pegawai diberi kuasa berkenaan apa-apa perbuatan, pengabaian atau keingkaran yang dibuat atau ditinggalkan dengan suci hati dalam melaksanakan peruntukan ordinan ini.”