Dalam kehidupan ini, pasti semua orang pernah mengalami situasi memalukan misalnya terjatuh di hadapan seseorang yang kita suka atau di khalayak ramai. Lebih memalukan lagi sekiranya insiden itu dirakamkan, pasti ia akan ditonton secara berulang oleh lebih ramai individu.
Namun, bukan hanya manusia yang mengalami kejadian memalukan seperti ini, burung pun pernah dan ianya berjaya dirakamkan dan ditonton secara langsung!
Pada tanggal 6 Mac lalu, University Cornell telah mengadakan siaran secara langsung aktiviti pemerhatian burung. Sewaktu rakaman memfokuskan kepada seekor burung yang sedang berehat, secara tiba-tiba datang seekor burung albatross yang terjatuh sekali gus mendarat secara terbalik!
Insiden memalukan ini telah ditonton sekitar 220,000 warganet yang menggambarkan peristiwa itu sebagai ‘comel dan melucukan’.
Mungkin kerana terlalu laju dan tidak dapat mengagak jarak tanah, burung ini ‘terbabas’ lantas terjatuh sambil disaksikan oleh burung lain. Kalau insiden ini terjadi kepada kita, pasti kita akan mempersoalkan dalam banyak-banyak tempat, kenapa mesti terjatuh di kawasan yang ada orang?!
Burung ini kelihatan bergelut untuk bangun memandangkan burung ini berada dalam posis di mana kedua-dua kakinya berada di atas. Setelah berjaya bangun, burung ini kelihatan seperti membebel dan berlalu pergi dalam keadaan perlahan.
Rakaman ini telah dikongsikan di Twitter dan majoriti penggunanya sempat memberikan komen masing-masing mengenai insiden melucukan itu…
“Burung ini kekal tenang dan berlalu pergi seolah-olah tiada apa yang berlaku”.
“Tidak mengapa, hanya burung betina itu sahaja yang melihat”.
“Tak apa ke kalau saya gelakkannya? Saya harap burung itu baik-baik sahaja”.
Pada masa yang sama, Rory Crawford yang merupakan Ketua Persatuan Pemuliharaan Burung Albatross menjelaskan bahawa burung ini memiliki struktur tubuh yang direka untuk penerbangan laut. Dalam erti kata lain, burung ini mampu terbang di atas laut selama beberapa jam namun kemahiran pendaratannya tidak begitu menakjubkan.
Menurut Crawford lagi, terdapat 15 spesies albatross yang diancam kepupusan disebabkan oleh ditangkap oleh para nelayan. Malah, kadar reproduksi burung ini di samping perubahan iklim turut menyumbang kepada faktor kepupusan. Dianggarkan hanya sebanyak dua ekor anak burung albatross berjaya dilahirkan setiap tahun.