Tidak semua jenis burung bersifat jinak dan berani mendekati manusia. Ada antaranya begitu takutkan manusia dan akan terbang dengan secepat mungkin walaupun jarak manusia dengannya masih lagi agak jauh.
Seorang pengguna internet dari Taipei sebelum ini ada berkongsi rakaman video seekor burung merpati yang berkelakuan pelik ketika dia sedang bersiar-siar di Taman Xianyan.
Menerusi rakaman pendek berdurasi 15 saat itu, dapat dilihat burung merpati yang berdiri di atas batu pejalan kaki itu sedang menggeleng-gelengkan kepalanya dengan kerap sehingga membuatkan gadis yang merakam video itu berasa hairan.
Keadaan burung merpati itu kelihatan sangat membimbangkan. Kelakuannya jelas sangat tidak normal. Dalam masa 15 saat rakaman, burung itu hampir melakukan sehingga 100 kali gelengan kepala!
Selepas video yang dimuatnaik mendapat perhatian ramai, beberapa warganet meninggalkan komen kerana rasa bimbang mereka terhadap burung merpati itu, “adakah burung ini sakit atau tercedera?” “mungkinkah burung itu terhantuk kepalanya ketika sedang terbang,” “adakah perlakuan ini disebabkan oleh parasit?”
Tidak lama selepas video dimuatnaik, pemilik video berkenaan telah mengesahkan bahawa seseorang telah datang membantu burung merpati itu. Dikatakan, burung itu berkemungkinan sedang sakit dan akan diberi perhatian sebaiknya.
Syukurlah, akhirnya burung merpati ini diselamatkan oleh insan yang berhati mulia.