Apabila kita merasa sakit, kita akan segera mendapatkan rawatan sama ada di rumah dengan mengambil ubat atau pergi ke hospital untuk rawatan lanjut. Begitu juga dengan haiwan yang dipelihara di rumah. Tetapi bagaimana pula dengan nasib haiwan yang hidup di jalanan?
Haiwan jalanan yang bernasib baik akan dibawa mendapatkan rawatan oleh individu yang baik hati. Namun persoalannya, adakah setiap manusia sanggup mengeluarkan duit untuk memastikan kesihatan haiwan terbiar ini?
Tidak tahan dengan kesakitan yang dialami, seekor anjing jalanan bertindak mendapatkan bantuan doktor haiwan dengan pergi ke klinik haiwan sendirian tanpa ditemani mana-mana manusia! Ya, anjing yang bijak ini telah mendapatkan bantuan untuk merawat kesakitan yang dialami dengan pergi ke klinik haiwan.
Kejadian yang berlaku di Brazil ini telah dirakamkan oleh kamera pengawasan keselamatan klinik haiwan berkenaan. Menerusi video berdurasi 1 minit 39 saat itu, anda dapat lihat seekor anjing jalanan berwarna hitam telah masuk ke dalam klinik berkenaan dan menunggu sambil bersandar pada dinding.
Anjing yang pintar ini turut menggoyangkan ekornya dan menghulurkan kaki hadapan seolah-olah untuk memberitahu kepada kakitangan klinik bahawa anjing ini sedang dalam kesakitan dan memerlukan rawatan. Ketika kejadian, doktor haiwan yang dikenali sebagai Ferreira sedang berbual dengan jururawat di kaunter apabila anjing tersebut secara tiba-tiba masuk ke dalam kliniknya.
”Apabila anjing ini datang, anjing ini menunjukkan kaki hadapannya seolah-olah untuk memberitahu tentang kesakitan yang dialami. Kami sangat terkejut kerana anjing ini tahu ke mana harus dituju untuk mendapatkan rawatan”.
Sebaik sahaja melihat keadaan anjing itu, Ferreira terus menghampiri anjing berkenaan dan memeriksa keadaannya. Beberapa detik kemudian, Ferreira bingkas bangun dan menunjukkan arah kepada anjing itu. Seolah-olah memahami maksud Ferreira, anjing ini turut bangun dan bergerak menuju ke arah bilik rawatan yang ditunjukkan oleh Ferreira.
Selepas melakukan pemeriksaan lanjut, Ferreira mendapati kecederaan yang dialami oleh anjing ini tidak begitu serius namun anjing ini mempunyai kutu. Justeru, mereka mengambil keputusan untuk memandikan anjing ini dan memberikan rawatan lanjut serta menempatkan anjing yang bijak itu di kliniknya buat sementara waktu.
Tidak lama selepas itu, peristiwa mengenai anjing hitam ini mendapatkan rawatan di klinik berkenaan mula tular sekali gus membuatkan pihak klinik mengambil keputusan untuk menerima permohonan pemeliharaan daripada orang ramai.
Nampaknya, disebabkan oleh kepintaran anjing hitam ini, ramai yang menyayanginya dan mahu menjadikannya sebagai haiwan peliharaan. Nasib anjing hitam ini bakal berubah dan pasti akan ada individu yang boleh menjaganya dengan baik selepas ini.