Ramai yang sedia maklum tentang skop tugas seorang pengawal keselamatan, iaitu untuk sentiasa mengawal keselamatan premis dan orang awam yang datang.
Walau bagaimanapun, kisah seorang pengawal keselamatan yang tertidur ketika bunyi penggera keselamatan sedang bergema dengan kuat di sebuah premis bank di Seri Kembangan ini benar-benar telah menarik perhatian ramai.
Dikongsikan semula di laman Facebook Justin Lee pada 8 Mac 2019, video yang berdurasi 0:09 saat itu menunjukkan rakaman dari perspektif seorang pelanggan bank yang terperangkap dalam kawasan bank dengan pintu kaca yang terkunci, dan bunyi penggera keselamatan yang membingit dengan begitu kuat.
Tetapi, yang menariknya, di bahagian luar kawasan bank itu terdapat seorang pengawal keselamatan yang duduk di sebuah kerusi, yang sepatutnya pantas mengambil tindakan sekiranya perkara sebegini berlaku.
Walau bagaimanapun, malangnya, pengawal keselamatan itu nampaknya sedang tidur dengan nyenyak dan langsung tidak terjaga dek bunyi penggera keselamatan itu.
Menerusi video, dapat dilihat bagaimana pelanggan yang terperangkap itu berusaha untuk mengejutkan pengawal keselamatan itu dengan mengetuk-ngetuk pintu kaca, sambil menjerit memanggil pengawal keselamatan itu. Syukurlah, seorang orang awam yang berada berdekatan telah terlihat kejadian itu dan terus membantu untuk mengejutkan pengawal keselamatan itu.
Pun begitu, masalah yang terjadi masih lagi belum dapat diselesaikan. Menurut perkongsian laman New Straits Times, pengawal keselamatan itu bagaimanapun tidak tahu cara untuk membuka pintu kaca yang memerangkap pelanggan di dalam premis itu.
Akhirnya, pelanggan yang terperangkap itu terpaksa menghubungi talian 999 untuk mendapatkan bantuan sekaligus melepaskan dirinya dari terperangkap di dalam premis berkenaan.
Kasihan betul nasib pelanggan yang terperangkap itu. Dan, kami pasti, kejadian ini semestinya akan memberi pengajaran kepada pengawal keselamatan itu untuk sentiasa ‘berjaga-jaga’ ketika sedang menjalankan tugasnya.