Selaras dengan perintah kerajaan untuk menangani penularan virus Parti Komunis China atau COVID-19, semua pekerja sektor awam mahupun swasta diarahkan untuk bekerja dari rumah. Arahan ini masih kekal dilaksanakan bertujuan untuk mengurangkan kepadatan ruang kerja di pejabat dan sehingga kini, belum ada perubahan dasar Bekerja Dari Rumah (BDR).
Namun kita semua mengetahui bekerja dari rumah bukanlah semudah yang disangkakan. Meskipun konsep ini nampak mudah, tetapi hakikatnya terdapat pelbagai cabaran dan dugaan yang terpaksa ditempuhi ditambah pula dengan kemudahan terhad di rumah tidak seperti di pejabat.
Salah satu isu yang menjadi topik utama perbualan ramai individu yang bekerja dari rumah adalah kenaikan bil elektrik. Selain perlu menggunakan komputer selama berjam-jam, cuaca yang panas juga membuatkan ramai menggunakan alat penghawa dingin dan ini tentunya akan menyebabkan bil elektrik melambung tinggi!
Namun begitu, seorang warganet telah berkongsi pengalaman peribadinya di mana bil elektrik bulanannya mencecah RM40 hingga RM70 meskipun individu ini tinggal di rumah dua tingkat dengan kemudahan enam buah alat penghawa dingin!
Menurut perkongsian dari Fawwaz Johari di Facebook pada tahun 2019, dia telah berkongsi beberapa tips mudah yang sehingga ke hari ini masih boleh dipraktikkan untuk penggunaan optimum. Pada awalnya, Fawwaz telah menjelaskan sedikit sebanyak mengenai saiz rumahnya yang terdiri daripada empat buah bilik dan ruang tamu.
Setiap bilik dilengkapi dengan alat penghawa dingin manakala di bahagian ruang tamu pula mempunyai dua buah alat penghawa dingin menjadikan jumlah keseluruhan sebanyak enam buah. Rumah ini turut dipasang dengan ‘Meter Pintar TNB’ pada Februari tahun sama.
Hebatnya! Macam mana cara lelaki ini berjimat? Jom kita lihat 8 tips penjimatan elektrik daripada Fawwaz Johari.
#1 Guna teknologi inventer
Jelas Fawwaz, alat penghawa dingin yang mempunyai teknologi inventer ini membolehkan anda untuk menyelaraskan kelajuan kompresor bagi mengawal kadar aliran suhu sekali gus menyebabkan ia tidak menggunakan tenaga dan kuasa yang tinggi.
Meskipun harga alat dengan teknologi ini agak tinggi namun anda akan menerima manfaat yang lebih dan menikmati kadar penjimatan tenaga elektrik buat masa yang panjang.
#2 Kurangkan penggunaan kelengkapan pemanasan elektrik
Fawwaz turut menasihati orang ramai yang ingin menjimatkan tenaga elektrik supaya tidak menggunakan kelengkapan yang memerlukan tenaga elektrik untuk memasak. Misalnya air fryer, ketuhar gelombang mikro, alat pembakar roti, alat pemanas air dan sebagainya. Sebaiknya, gunakan dapur gas untuk memasak. Di rumah Fawwaz, satu-satunya kelengkapan pemanasan elektrik yang digunakan adalah seterika dan juga alat pemanas air mandi.
#3 Gunakan kelengkapan elektrik bertaraf 5 bintang
Satu lagi tips menarik adalah gunakan alat atau kelengkapan elektrik yang bertaraf lima bintang. Setiap peralatan elektrik mempunyai taraf status masing-masing yang diberikan oleh Suruhanjaya Tenaga Malaysia. Oleh itu, semua perlatan bertaraf lima bintang mempunyai kelebihan dalam menjimatkan tenaga elektrik di rumah anda.
#4 Cabut plag dari soket setiap kali tidak digunakan
Sudah menjadi kebiasaan buat kita semua untuk membiarkan kepala plag pada soket elektrik. Ramai yang beranggapan tindakan ini tidak menyebabkan peningkatan bil elektrik namun menurut Fawwaz, kadar elektrik boleh dikurangkan antara RM15 hingga RM50 sekiranya anda mencabut plag anda setiap kali tidak digunakan.
#5 Gunakan lampu LED
Penggunaan lampu LED dikatakan dapat mengurangkan sebanyak 75% penggunaan elektrik berbanding lampu jenis biasa. Hal ini kerana lampu LED menggunakan tenaga yang kurang memandangkan cahaya diod adalah lebih efisien berbanding cahaya filamen.
#6 Gunakan turbin kipas di bumbung rumah
Salah satu kaedah dalam memastikan suhu sentiasa sejuk selain menggunakan alat penghawa dingin adalah dengan memasang turbin kipas pada bumbung rumah. Penggunaan turbin kipas ini bertujuan untuk membenarkan pengaliran keluar udara panas di dalam rumah sekali gus meningkatkan kualiti udara.
#7 Tanam pokok di dalam dan di luar rumah
Kita semua tahu tanaman hijau berfungsi dalam merendahkan suhu sesuatu kawasan. Disebabkan itulah setiap kali kita lalu di kawasan yang penuh pokok, kita akan serta-merta terasa sejuk dan nyaman.
“Pokok ini membolehkan udara di rumah saya sentiasa pada suhu rendah. Kami jarang membuka alat penghawa dingin pada waktu tengahari kecuali ketika cuaca panas terik atau apabila ada tetamu di rumah”.
#8 Jimatkan tenaga elektrik ketika menggunakan alat penghawa dingin
Tips yang terakhir adalah gunakan alat penghawa dingin ketika suhu sekeliling tidak terlalu tinggi. Hal ini demikian kerana ketika suhu sekeliling rendah, alat penghawa dingin tidak memerlukan tenaga elektrik yang banyak untuk memastikan suhu tersebut mencapai suhu yang anda kehendaki.
Justeru, pemasangan turbin kipas dan penanaman pokok dapat membantu merendahkan suhu sekeliling sekali gus menjimatkan tenaga.
*Pihak Epoch Times menggunakan istilah ‘Virus PKC’ terhadap COVID-19 ekoran penyembunyian dan salah urus oleh Parti Komunis China yang ‘membenarkan’ virus itu tersebar di seluruh China sehingga mencetuskan pandemik global.