23.7 C
Kuala Lumpur
Thursday, August 21, 2025
Utama Blog Laman 37

Bapa beli kurita sebagai haiwan peliharaan untuk anak lelaki, beberapa minggu kemudian menjadi sotong 1+50

0

Seorang budak lelaki dari Oklahoma, Amerika Syarikat merayu kepada bapanya untuk mendapatkan seekor sotong kurita sebagai haiwan peliharaan sejak dia berumur 3 tahun, akhirnya impian menjadi kenyataan pada hari lahirnya yang ke-9. 

Namun, menjadi kejutan apabila keluarganya mula pening apabila mereka membeli sotong kurita betina yang bertelur.

Gambar Facebook Cameron Clifford

Menurut USA Today, Cameron Clifford, seorang doktor gigi berusia 36 tahun yang menetap di Oklahoma City berkata, anak lelakinya, Cal terlalu kepingin memelihara sotong kurita sejak dia berusia 3 tahun.

“Setiap hari lahir, setiap Krismas, setiap cuti, dia mesti berkata ‘Saya hanya mahu sotong kurita’,” kata Cameron.

Pada bulan Oktober tahun lalu, untuk memenuhi hasrat Cal, Cameron mencari hampir semua akuarium di seluruh negeri sebelum akhirnya menemui satu kedai yang memelihara sotong dan membeli sotong kurita spesies ‘California dua titik’ atau ‘bimac’ dan menamakannya Terrance.

Terrance, sotong kurita yang dipelihara oleh keluarga Clifford tanpa disangka telah bertelur dan berjaya menetaskan 50 ekor anak kurita. (Tangkap Skrin TikTok)

Apabila Cal mendapat tahu keinginannya bakal menjadi kenyataan, dia dan bapanya dengan gembira bersedia untuk menyambut haiwan peliharaan itu dengan membeli tangki ikan air masin yang besar dengan sistem peredaran air, serta makanan dan lain-lain keperluan untuk Terrance. 

Apabila Terrance tiba di rumah, kedua-duanya tidak menjangka sotong itu lebih besar daripada yang dijangkakan, tetapi ‘kejutan’ sebenar masih belum muncul. Dua bulan kemudian, Terrance didapati seekor kurita betina yang sedang bertelur. 

Tangkap Skrin TikTok

Cameron segera berjumpa pakar, yang memberitahunya telur itu mungkin tidak disenyawakan dan tidak akan menghasilkan anak-anak sotong.

Namun, pada suatu malam di bulan Februari, Cameron mengambil salah satu daripada telur itu dan secara tidak sengaja memecahkannya.

Kemudian setitik cecair terpancut keluar dan tersebar di depan matanya dan terdapat beberapa sesungut kecil berenang di dalamnya dan ia bergerak.

Tangkap Skrin TikTok

Barulah Cameron sedar 50 biji telur Terrance bukanlah telur yang tidak disenyawakan sama sekali, tetapi telur yang boleh menetas menjadi sotong. Telur sotong yang akan bertukar menjadi 50 ekor anak sotong kurita.

Cameron kemudian mengasingkan mereka satu demi satu dan menyediakan semua jenis makanan untuk mereka, termasuk siput, ketam kecil, dan kerang.

Tangkap Skrin TikTok

Dia juga terpaksa berhadapan dengan permaidani yang dicemari oleh tumpahan air masin serta kebakaran kecil alatan elektrik berkaitan akuarium sotong-sotong itu.

Dua bulan kemudian, kira-kira separuh daripada anak sotong kurita berjaya menetas dan hidup dengan selamat. Anak-anak sotong kurita itu diberi nama oleh Cal seperti Rocket Larry, Squid Cudi, Swim Shady, Jay-Sea dan Sea-Yoncé.

Tangkap Skrin TikTok

Pada masa ini, 24 ekor anak sotong kurita yang masih hidup diserahkan kepada seorang rakan yang juga merupakan saintis yang tinggal berhampiran dengan kediaman Clifford.

Pakar marin berkata sotong betina akan menamatkan hayat mereka selepas bertelur, tetapi ajaibnya Terrance masih hidup dan sihat selama empat bulan kemudiannya.

Cameron sedikit kesal, “Dia perlu hidup bersendirian di dalam tangki ikan sepanjang hayatnya. Dia mungkin akan mati dalam masa beberapa minggu, walaupun andaian saya mengenainya mungkin adalah salah.”

Tangkap Skrin TikTok

Cameron Clifford berkongsi pengalaman menternak sotong kurita di TikTok, dan tidak menyangka akaunnya menjadi popular dengan ratusan ribu pengikut, dengan dia mendapat gelaran “Octopus Daddy.” 

Beberapa warga TikTok berkata, gelaran diberi bukan berkenaan sotong kurita itu, tetapi kasih sayang seorang bapa terhadap anaknya yang berusaha memberi galakan terhadap minat dan hobi mereka.

Keluarga Clifford memperolehi banyak pengalaman setelah memelihara Terrance dan anak-anaknya.

Cal Clifford bersungguh memelihara Terrance dan anak-anak sotongnya. (Tangkap Skrin TikTok)

“Selain keperluan fizikal, kewangan dan emosi untuk memiliki spesies seperti bimac, anda akan belajar banyak tentang diri anda dalam proses itu,” kata Cameron.

“Selalu ada beberapa injap atau penutup akuarium yang tidak tertutup sepenuhnya, dan permaidani tahan ribut anda tidak dinilai untuk menahan bergelen air laut, dan anda akan belajar air masin dan elektrik tidak selalunya serasi.

“Anda akan belajar perkara baharu serta bertemu orang yang luar biasa dan mendapati bahawa hidupan liar adalah hebat. Tetapi yang paling penting, anda akan belajar untuk mencintai sotong yang tidak begitu kecil seperti Terrance,” kata Cameron menerusi video TikTok popularnya.

Tiada masa takut, jururawat segera berpaut melindungi bayi baru lahir semasa gempa bumi Taiwan

0

Apabila gempa bumi melanda pantai timur Taiwan pada pagi 3 April, sekumpulan jururawat berkata mereka “tidak mempunyai masa untuk takut.”

Rakaman video memaparkan ketika gempa bumi berukuran 7.5 magnitud melanda sejurus sebelum pukul 8 pagi, empat jururawat berlari masuk ke dalam sebuah bilik di Pusat Jagaan Selepas Bersalin Ma Chérie di Taipei untuk melindungi lebih sedozen bayi baru lahir yang ditempatkan.

Facebook

Berbanding bertindak melindungi diri sendiri, mereka tergesa-gesa bekerja keras untuk memindahkan semua inkubator ke tengah-tengah ruang supaya berada jauh dari dinding.

Mereka menahan dengan erat bersama-sama demi melindungi kesemua bayi itu ketika bilik bergegar dengan kuat akibat gempa.

“Apabila gempa bumi melanda, kami tidak mempunyai masa untuk takut, keutamaan kami adalah untuk memastikan keselamatan bayi,” kata jururawat Aly kepada CNA.

Facebook

Ketua jururawat Elaine juga mengimbau detik menakutkan apabila semua jururawat yang bertugas bertindak segera, dan berkata ia adalah sebahagian daripada naluri mereka untuk melindungi bayi yang baru lahir.

“Mereka yang bekerja dalam penjagaan kesihatan boleh berhubung,” katanya. “Semoga tindakan kami memberi inspirasi kepada orang lain untuk bertindak demi kebaikan.”

Rakaman CCTV yang tular itu merakam tindakan pantas jururawat ketika mereka memegang inkubator bayi yang baru lahir demi memastikan keselamatan si kecil di tengah-tengah gegaran.

Facebook

Video itu menunjukkan adegan dramatik di unit bersalin ketika bangunan hospital mula bergegar dengan jururawat terbabit beraksi pantas bagai wira. 

Keutamaan mereka adalah jelas, iaitu melindungi bayi baru lahir yang terdedah kepada bahaya.

Kelihatan mata mereka meliar ke arah tingkap berdekatan, sumber berpotensi serpihan terbang yang boleh membahayakan bayi.

Tembakan di KLIA: Suspek punya 3 rekod jenayah lampau

0

KUALA LUMPUR: Suspek yang melepaskan tembakan ke arah isterinya dan mencederakan seorang pengawal peribadi di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) pada awal pagi 14 April mempunyai tiga rekod jenayah lampau.

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman, Mohd Shuhaily Mohd Zain berkata, suspek ditahan Februari lalu kerana melakukan ugutan jenayah terhadap isterinya, yang membuat dua laporan terhadapnya di bawah Seksyen 506 Kanun Keseksaan pada 2016 dan 2023.

Katanya, suspek turut mempunyai satu lagi rekod jenayah di bawah Seksyen 380/170 Kanun Keseksaan kerana mencuri dan menyamar sebagai penjawat awam.

“Laporan berkaitan Seksyen 506 terbaharu adalah pada Disember lepas. Hasil laporan itu, suspek ditahan polis. Kami hantar kertas siasatan namun ada beberapa arahan lain perlu dilaksanakan. Mengambil iktibar insiden terakhir, isteri suspek telah menggaji pengawal peribadi” kata Shuhaily.

Beliau berkata, suspek mendapatkan pistol itu secara haram kerana tidak memiliki permit senjata api.

“Apa yang berlaku pagi tadi telah berlaku,” katanya dalam sidang media di KLIA, Sepang.

“Saya sarankan suspek supaya datang ke mana-mana balai dan serah diri secara aman. Jangan ikutkan amarah kita, ia akan memburukkan lagi keadaan.”

@bernamadotcom/X

Terdahulu, Ketua Polis Selangor, Hussein Omar Khan dilaporkan berkata, seorang pengawal peribadi cedera parah selepas terkena satu daripada dua das tembakan dilepaskan suspek di Balai Ketibaan KLIA kira-kira 1.30 pagi 14 April.

Katanya, siasatan lanjut mendapati suspek sebenarnya mahu melepaskan tembakan ke arah isterinya yang dipercayai sedang menunggu kepulangan jemaah umrah.

Suspek yang dikenal pasti Hafizul Harawi, 38 tahun dipercayai sudah melarikan diri ke utara dan sedang diburu polis.

Shuhaily berkata, siasatan awal menunjukkan motif kejadian akibat masalah peribadi antara pasangan itu yang memiliki sebuah agensi pelancongan serta dikatakan dalam proses bercerai, dengan mangsa dipercayai di peringkat awal kehamilan.

@UmarShukri05/X

Dalam kejadian awal pagi itu, suspek pada mulanya melempar mercun hingga mencederakan dua orang awam, sebelum menghampiri mangsa yang diiringi dua pengawal peribadi dan melepaskan dua tembakan pada jarak 3 hingga 4 meter.

Menurutnya, pengawal peribadi yang terkena tembakan di perut kini dalam keadaan kritikal.

Kes disiasat di bawah Seksyen 307 Kanun Keseksaan dan Seksyen 8 Akta Senjata 1960.

Tapir sempat larikan diri dari Zoo Johor selama 40 minit sebelum diselamatkan

0

Seekor tapir mencuri tumpuan pada waktu awal pagi apabila haiwan itu terlepas kawalan dan bertindak melarikan diri dari Zoo Johor menuju ke pusat bandaraya Johor Bahru.

Video TikTok yang tular berdurasi 21 saat sempat dirakam pada minggu lalu apabila memaparkan anggota PERHILITAN dan APM dilihat mengejar seekor tapir bagi menyelamatkannya.

TikTok

Tapir berkenaan terlepas dari Zoo Johor sebelum ditemui berkeliaran di Jalan Gertak Merah menuju Johor Bahru dalam kejadian pada 6 April.

Dalam kejadian kira-kira jam 3.15 pagi, sepasukan anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) sedang membuat rondaan Ops Prihatin bagi mengesan gelandangan, sebelum terserempak dengan tapir yang sedang berlari ke pusat bandar.

TikTok

Anggota APM yang berkenaan kemudian menghubungi PERHILITAN bagi melakukan operasi penyelamatan bersama.

Insiden berkenaan berlaku sebelum sahur ketika anggota APM sedang membuat rondaan mengesan gelandangan untuk Ops Prihatin melalui laluan berkenaan.

TikTok

Apabila ternampak kelibat seekor tapir yang sedang berlari menuju pusat bandar, anggota APM segera menghubungi PERHILITAN bagi tujuan penyelamatan selain mengelakkan kejadian tidak diingini.

“Tapir berkenaan terlepas dari Zoo Johor yang terletak tidak jauh daripada lokasi ditemui.

TikTok

“Anggota PERHILITAN dan APM akhirnya berjaya menangkap tapir berkenaan sebelum memindahkan semula ke Zoo Johor kira-kira jam 4 pagi, selepas kira-kira 40 minit dia melarikan diri,” kata jurucakap APM.

Kereta baru dibeli 2 bulan alami kegagalan brek di lebuh raya, nyawa pemilik hampir diragut

0

Siapa yang tidak kecewa apabila kereta yang baru dibeli dua bulan mengalami kegagalan brek berkali-kali dan situasi itu benar-benar membahayakan nyawa pemiliknya.

Pemilik kereta Chery Omoda 5 dikenali Jc Jess kecewa dalam keluhan menyatakan kebimbangannya apabila kereta baru yang dibelinya sejak 2 bulan lalu mengalami kegagalan brek berkali-kali yang mengundang bahaya kepada nyawanya. 

“Bilakah saya akan dapat memandu dalam keadaan tenang?” keluhnya.

Facebook

Jc Jess menyiarkan video tular di Facebook mengenai insiden itu dengan mendedahkan dia memandu kereta barunya selama dua bulan, tetapi telah mengalami kegagalan brek selama beberapa kali dengan perjalanan kenderaan baru mencecah lebih 3,000 kilometer, yang membuatnya berasa sangat kecewa.

Dalam videonya, Jc Jess ternyata amat tertekan sambil menunjukkan semasa kereta sedang dipandu, dia menekan brek dan keretanya tidak berhenti, membuktikan ada sesuatu yang tidak kena dengan kereta itu.

Jc Jess telah beberapa kali membangkitkan masalah brek itu kepada Pusat Servis Chery Malaysia dan sebaik sahaja mengambil keretanya dan memandu di atas jalan raya, masalah brek berkenaan masih gagal diperbaiki menyebabkan dia berasa ketakutan dan kecewa.

Facebook

Katanya, dalam tempoh 2 bulan, kereta baharu itu telah dihantar ke pusat servis untuk dibaiki sebanyak 7 kali.

“Saya hampir kehilangan nyawa! Ini adalah masalah yang sangat serius. Berapa banyak perjalanan yang perlu saya tempuhi sebelum masalah kegagalan brek benar-benar dapat diselesaikan?

Adakah anda tahu betapa bahayanya memandu kereta dengan brek yang tidak berfungsi? Ini telah mengancam nyawa saya dengan serius,” katanya.

Facebook

Hantarannya telah menarik perhatian warganet yang berkata mereka juga menemui masalah dengan kereta baharu mereka.

“Baru-baru ini, kereta baharu pelbagai jenama nampaknya menghadapi masalah..” 

“Saya fikir hanya kereta keluaran dalam negara yang akan menghadapi masalah, tetapi sekarang kereta keluaran luar negara pun penuh dengan masalah.”

Isu serius Omoda 5 berkenaan telah menerima maklum balas Chery Malaysia selepas Naib Presiden Chery Malaysia Lee Wen Hsiang mengeluarkan satu kenyataan berhubung satu video tular dimuat naik Jc Jess yang mendakwa isu brek keretanya tidak ditangani secara berkesan dan ‘hampir meragut nyawanya’.

Chery Malaysia / Facebook

Pihak Chery Malaysia dalam kenyataan di Facebook berkata mereka mengambil perkara ini dengan sangat serius dan keselamatan para pelanggan adalah satu keutamaan.

Kata mereka, Chery Malaysia telah berhubung dengan pelanggan terlibat sejak 6 April untuk menangani masalah tersebut dan telah menawarkan sebuah kereta bagi kegunaan sementara kepadanya.

Mereka turut menekankan untuk komited dalam menyediakan penyelesaian pengangkutan yang selamat dan diyakini, serta berazam untuk memastikan bahawa semua kenderaannya memenuhi standard keselamatan tertinggi.

Gempa bumi Taiwan: Lebih 400 gegaran susulan, usaha menyelamat ratusan mangsa terkandas dipergiat

0

HUALIEN: Helikopter penyelamat Taiwan melakukan beberapa siri penerbangan bagi menyelamatkan ratusan pelancong yang terkandas selama beberapa hari di kawasan pergunungan akibat gempa bumi besar yang menyebabkan jalan terputus dan terowong tersekat.

Sekurang-kurangnya 12 orang terbunuh dan lebih 1,100 cedera akibat gempa bumi gempa bumi berukuran 7.5 pada skala Richter yang melanda pulau itu pada Rabu, 3 April dengan kod bangunan ketat dan tahap kesiapsiagaan bencana meluas sebagai langkah mengelakkan malapetaka lebih besar.

Gambar AFP

Gempa bumi itu mengakibatkan runtuhan tanah besar yang menghalang terowong dan jalan berliku yang merentasi pulau dari timur ke barat dan juga lebuh raya pantai dari utara ke selatan yang terdiri daripada tebing curam.

Hualien, pusat gempa sekitar 100 kilometer di selatan ibu kota Taipei digegarkan lebih 400 gegaran susulan, termasuk satu gempa berukuran 5.2 pada skala Ritcher pada pagi 6 April.

Bagaimanapun helikopter dari Kor Perkhidmatan Lintas Udara Kebangsaan terbang ke kawasan terputus berhampiran Taman Negara Taroko untuk membawa keluar pelancong yang terkandas ke tempat selamat.

Gambar AFP

Dalam pada itu, kakitangan AFP menyaksikan penerbangan pertama membawa 12 orang dan penerbangan lain dengan 16 orang yang dipindahkan ke tempat selamat.

“Keutamaan diberikan kepada individu berusia, tidak berdaya, wanita, kanak-kanak, dan orang yang mempunyai penyakit kronik.

“Walaupun semua orang keletihan selepas turun gunung, mereka masih mengukir senyuman,” menurut kenyataan yang disiarkan ET Today.

Gambar AFP

Terdapat pesawat lain membawa orang ramai dari hotel mewah Silks Place, di mana lebih 400 pelancong dan kakitangan terkandas.

“Gegaran susulan berlaku dalam skala besar dan serius,” kata seorang paderi yang hanya dikenali sebagai Zhou kepada media tempatan.

Gambar AFP

Pasukan penyelamat turut menurunkan kotak makanan dan bekalan kepada sekumpulan pelajar, guru dan penduduk di sebuah sekolah rendah yang tidak dapat diakses.

Di tempat lain, jurutera bertungkus lumus sepanjang masa untuk mengalihkan bongkah batu besar dari jalan dan pintu masuk terowong.

Gambar AFP

“Pasukan penyelamat tidak menunjukkan mereka lelah,” kata Naib Presiden Taiwan yang dipilih, Hsiao Bi-khim menggambarkan mereka sebagai ‘wira sebenar Taiwan yang berdaya tahan’.

Gempa hari yang berlaku pada 3 April adalah paling serius di Taiwan sejak gegaran berukuran 7.6 pada skala Richter melanda pulau itu pada 1999.

Angka kematian ketika itu jauh lebih tinggi dengan 2,400 orang terbunuh dalam bencana alam paling maut dalam sejarah pulau itu.

Gambar AFP

Peraturan yang lebih ketat termasuk keperluan seismik yang dipertingkatkan dalam kod bangunannya dan kesiapsiagaan bencana awam yang meluas berjaya menghalang malapetaka lebih serius kali ini.

Laporan awal oleh Pusat Penyelidikan Kejuruteraan Gempa Kebangsaan yang dikeluarkan pada 5 April memaklumkan, 84 bangunan ‘rosak teruk’ akibat gempa itu dengan kebanyakannya terletak di daerah Hualien.

Isu stoking kalimah ‘Allah’: Pengasas KK Mart mengadap Agong mohon ampun dan maaf

0

Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim Sultan Iskandar berkenan mengadap pengasas dan pengerusi KK Supermart & Superstore Sdn Bhd Datuk Seri Chai Kee Kan di Istana Negara pada 3 April susulan isu penjualan stoking kalimah ‘Allah’.

Chai memohon ampun dan maaf kepada Yang di-Pertuan Agong serta umat Islam keseluruhan atas kegagalannya membiarkan penjualan stoking tertera kalimah ‘Allah’ di kedai serbaneka KK Super Mart.

Sultan Ibrahim Sultan Iskandar / Facebook

Kecuaian pengurusan KK Super Mart telah mengakibatkan beberapa tangkapan dan menyebabkan tiga kedai KK Mart menjadi sasaran serangan ‘molotov cocktail’.

Dalam hantaran di Facebook, Yang di-Pertuan Agong menegaskan semua pihak termasuk KK Super Mart supaya lebih berhati-hati dengan produk yang dijual terutama barangan import bagi mengelak isu serupa tidak lagi berulang.

“Semua pihak mesti lebih bertanggungjawab, jangan pisang berbuah dua kali, dan saya harap ini kali terakhir saya perlu tegaskan perkara ini,” titah baginda sambil menambah tiada siapa yang harus mengambil kesempatan daripada isu itu atau menghasut rakyat.

Titah Yang di-Pertuan Agong muncul di tengah-tengah kontroversi berikutan kegagalan itu, termasuk boikot yang bertujuan untuk menghukum rangkaian kedai serbaneka berkenaan.

Gambar ihsan Firdaus Wong / Facebook

Ini termasuk hasutan berterusan Ketua Pemuda UMNO Dr Muhamad Akmal Saleh yang menuntut KK Super Mart mempamerkan kain rentang permohonan maaf di semua 881 cawangannya di seluruh negara.

“Kami akan memberi pengajaran kepada mereka,” katanya dalam hantaran di Facebook pada bulan lalu.

Di tengah-tengah ketegangan yang semakin meningkat, majlis tertinggi UMNO pada 3 April, mengarahkan Akmal berhenti memainkan isu itu, lapor Berita Harian.

Gambar The Star

Pada 13 Mac lalu, tular satu gambar dimuat naik pengguna yang menunjukkan kalimah Allah tertera pada stoking yang dijual di KK Mart Bandar Sunway, yang membangkitkan kemarahan umat Islam kerana ia membabitkan kesucian agama Islam.

Yang di-Pertuan Agong turut murka serta menzahirkan perasaan dukacita berhubung isu penjualan stoking yang tertera kalimah Allah di rangkaian kedai serbaneka itu.

Asid Bongkrekik dipercayai menjadi punca keracunan makanan

0

TAIPEI: Kejadian keracunan makanan di rangkaian restoran Malaysia, Polam Kopitiam di Taipei dipercayai berpunca daripada Asid Bongkrekik.

Beberapa pelanggan dilaporkan mengalami keracunan makanan setelah makan kuetiau goreng Penang dan bihun.

Pakar perubatan mengesyaki asid bongkrekik iaitu sejenis toksin menjadi punca keracunan makanan tersebut.

Penyimpanan tidak betul produk beras dan perendaman berpanjangan kulat hitam yang tidak diselia dengan betul dikatakan menyebabkan asid bongkrekik terbentuk.

Pusat Keselamatan Makanan Hong Kong sebelum ini menekankan kes keracunan makananan yang berpunca daripada asid bongkrekik berlaku pada tahun 2019 di Tanah Besar China dan Indonesia.

Berdasarkan laporan, makanan yang tercemar termasuklah cendawan telinga awan, kelapa dan jagung yang diperam.

Biro Hal Ehwal Bandaraya di Macau turut berkongsi artikel pendidikan yang menekankan bahawa asid bongkrekik boleh ditemui dalam produk bijirin yang rosak, kulat hitam, dan produk berasaskan kanji.

Difahamkan bahawa kemungkinan pembentukan asid bongkrekik terjadi ketika merendam kulat hitam secara singkat dalam persekitaran bersih. Namun jika direndam melebihi tempoh yang sepatutnya dibimbangi akan menyebabkan pembentukan bakteria patogen.

Terdahulu, berita tempatan melaporkan pemilik Polam Kopitiam memohon maaf atas insiden yang mencetuskan panik dalam kalangan pelanggan serta dua individu maut akibat keracunan makanan.

Focus Taiwan

Walau bagaimanapun, pemilik kopitiam terbabit tidak bercakap selepas disoal oleh pendakwa pada Jumaat dan hanya dua kali tunduk sebagai tanda memohon maaf.

Pihak peguam mengatakan bahawa kliennya telah memberikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan berhubung insiden berkenaan.

Menurut peguam, pemilik kopitiam telah meminta tukang masak untuk menyediakan hidangan bihun yang dipercayai menjadi punya keracunan makanan.

Hidangan tersebut seterusnya dihidangkan di hadapan pegawai kesihatan Bandar Taipei ketika mereka menjalankan pemeriksaan di restoran cawangan Daerah Xinyi pada 24 Mac lalu.

Ibu bapa pemilik kopitiam berkenaan makan hidangan yang sama di restoran yang sama antara 19 hingga 24 Mac yang pada waktu itu terdapat beberapa pelanggan yang jatuh sakit selepas makan di restoran terbabit.

Pemilik perniagaan, pengurus rangkaian restoran dan tukang masak dilarang meninggalkan negara selepas disoal siasat oleh polis dan pendakwa dan memberi keterangan pada Rabu.

Focus Taiwan

Menurut Kementerian Kesihatan tempatan, sejumlah 21 orang pelanggan mengalami keracunan makanan termasuk dua orang maut selepas makan hidangan yang sama.

Dua orang lelaki yang maut serta enam orang lain masih dirawat di hospital berikutan kecederaan teruk yang dipercayai berpunca daripada asid bongkrekik.

Selain itu, tiga orang pelanggan mengalami cirit-birit atau loya tidak mendapatkan rawatan, sementara 10 orang yang lain kembali ke rumah masing-masing selepas dirawat.

Pihak pendakwa berkata kes disiasat atas tuduhan melanggar Akta Pengurusan Keselamatan dan Kebersihanan Makanan, dengan kematian disebabkan oleh kecuaian.

Gempa bumi 7.5 magnitud landa Taiwan, amaran tsunami dikeluarkan

0

TOKYO: Gempa bumi kuat berukuran 7.5 magnitud melanda timur Taiwan sejurus sebelum pukul 9 pagi Rabu, 3 April 2024. 

Gempa bumi kuat telah menyebabkan amaran tsunami dikeluarkan untuk pulau-pulau di selatan Jepun, kata Agensi Meteorologi Jepun.

Pusat Kajian Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gempa itu mempunyai magnitud 7.4 dengan pusat gempa adalah 18 kilometer ke selatan Bandar Hualien di Taiwan pada kedalaman 34.8 kilometer.

Los Angeles Times

Ombak tsunami setinggi tiga meter dijangka tercetus serta-merta di pulau-pulau terpencil Jepun berhampiran Taiwan, termasuk Pulau Miyakojima, tambah agensi itu.

“Sila berpindah!” kata siaran dikeluarkan penyiar kebangsaan, NHK.

“Tsunami akan tiba. Sila berpindah dengan segera.

“Jangan berhenti. Jangan berpatah balik,” kata seorang penyampai NHK.

@DD_Geopolitics / X

Filipina turut memberi amaran “gelombang tsunami tinggi” dan menggesa pemindahan kawasan pantai di seluruh negara.

“Orang ramai di kawasan pantai di wilayah berkaitan adalah amat dinasihatkan supaya segera berpindah ke kawasan yang lebih tinggi atau bergerak lebih jauh ke pedalaman,” kata Institut Seismologi Filipina. 

@DD_Geopolitics / X

Gempa bumi yang melanda timur Taiwan pada pagi Rabu adalah “terkuat dalam 25 tahun”, kata pengarah Pusat Seismologi Taipei.

“Gempa bumi hampir dengan daratan dan ia cetek. Ia dirasai di seluruh Taiwan dan pulau-pulau luar pesisir… ia adalah yang paling kuat dalam 25 tahun sejak gempa bumi (1999),” kata Wu Chien-fu kepada pemberita, merujuk kepada gempa bumi pada September 1999 dengan magnitud 7.6 yang mengorbankan 2,400 orang.

Kanak-kanak perempuan maut makan kek hari jadi yang dibeli dalam talian

0

NEW DELHI: Seorang kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun di Punjab, India dilaporkan maut selepas memakan kek yang dibeli dalam talian untuk sambutan hari lahirnya.

Datuk mangsa, Harban Lal berkata, cucunya, Manvi dan adiknya serta seluruh keluarganya telah jatuh sakit selepas memakan kek itu yang ditempah dalam talian dari sebuah kedai kek terletak di Patiala.

Gambar X

Beberapa jam sebelum kematian tragis itu, terdapat rakaman memotong kek oleh Manvi sempena hari lahirnya yang ke-10 tahun telah tersebar di media sosial.

Lal berkata, keluarga itu menempah kek pada jam 6 petang (waktu tempatan) dan Manvi memotong kek itu pada jam 7 malam, 24 Mac lalu.

Menjelang jam 10 malam, seluruh keluarga itu jatuh sakit dan muntah, manakala Manvi mengadu mulutnya kering dan kerap meminta air sebelum tidur.

Keesokan paginya keadaan Manvi semakin teruk dan keluarganya membawa kanak-kanak itu ke hospital.

Beberapa jam selepas itu doktor mengesahkan Manvi meninggal dunia pada hari yang sama.

Gambar Agensi

Keluarga Manvi mendakwa kek coklat ditempah dari kedai itu mungkin tercemar atau beracun.

Justeru, mereka membuat laporan polis terhadap kedai tersebut dan pihak berkuasa mengesahkan bahawa mereka sedang melakukan siasatan lanjut.

“Bedah siasat telah dijalankan dan sampel kek itu telah dihantar untuk diuji. Kami sedang menunggu laporan tersebut,” kata polis.