Sekali lagi insiden melibatkan projek Lebuhraya Bertingkat Sungai Besi-Ulu Kelang (SUKE) berlaku apabila struktur kren tumbang di Puncak Banyan, Persiaran Alam Damai, Kuala Lumpur.
Insiden ini turut disahkan oleh pihak pemaju SUKE.
Kemenangan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam kejohanan badminton All England pada 21 Mac disifatkan sebagai wira negara oleh Perdana Menteri.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, kejayaan Zii Jia yang berusia 23 tahun itu menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen yang juga pemain nombor dua dunia ternyata memberi makna besar.
Apatah lagi Zii Jia pernah dikalahkan oleh pemain yang sama semasa kejohanan ini tahun lalu. Malah, Axelsen juga merupakan juara bertahan bagi kejohanan ini.
“Kepada Zii Jia, jadikanlah kejayaan ini sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan”, tulis Muhyuddin di laman Facebooknya.
“Perjalanan karier anda masih jauh. Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara”.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan kejurulatihan yang terlibat.
Zii Jia melakar sejarah apabila muncul sebagai juara kejohanan All England selepas mengalahkan Axelsen pada aksi final yang berlangsung di Birmingham.
Penampilan bertenaga ditonjolkan oleh anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut apabila melakar kemenangan 30-29, 20-22 dan 21-9 dalam masa lebih sejam perlawanan.
Kejayaan Zii Jia ini ternyata mengakhiri penantian Malaysia selama tiga tahun untuk melihat pemain kebangsaan menjuarai piala berkenaan.
Ini kerana, kali terakhir pemain Malaysia memenanginya adalah menerusi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada tahun 2017.
KUALA NERUS: Pergerakan yang melibatkan rentas negeri masih tidak dibenarkan meskipun antara kawasan hijau, kata Menteri Kanan (Keselamatan) Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Beliau berkata setakat ini, kebenaran merentas negeri hanya diberikan secara bersyarat iaitu perjalanan bagi tujuan pelancongan melalui agensi pelancongan dan bukan perjalanan secara individu.
Ini kerana katanya Kementerian Kesihatan (KKM) masih lagi ‘sensitif’ berhubung kebenaran rentas negeri kerana aktiviti itu pada Disember lalu pernah merekodkan 32 kluster baharu COVID-19.
“Sekarang ini hanya perjalanan melalui agensi pelancongan sahaja yang dibenarkan sebab kita akan tahu perincian perjalanan. Kalau pergi dengan syarikat pelancongan, perjalanan mereka akan dimaklumkan kepada polis, polis akan tahu kawasan mana mereka pergi dan jadual perjalanan mereka pun sudah ada.
“Tetapi kalau kita benarkan pergi sendiri, contohnya Perak kawasan hijau, Kedah kawasan hijau, Langkawi pun (kawasan) hijau. Katakan orang Perak hendak ke Langkawi, dia terpaksa melalui Pulau Pinang. Bagaimana kita hendak tahu dia betul-betul ke Langkawi? Siapa tahu sekiranya dia bercuti ke Pulau Pinang,” katanya.
Ismail Sabri berkata demikian kepada pemberita selepas mengadakan lawatan kerja ke Batalion ke-18 Rejimen Askar Melayu Diraja (RAMD) (Para) di Kem Sri Pantai Seberang Takir, semalam, 20 Mac 2021.
Ismail Sabri sekali lagi menegaskan tiada sesiapa pun termasuk golongan berstatus VIP akan terkecuali daripada tindakan undang-undang sekiranya didapati melanggar peraturan atau prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan bagi pencegahan dan kawalan pandemik COVID-19.
Beliau berkata sebelum ini pun, tindakan undang-undang telah dikenakan terhadap beberapa golongan VIP seperti menteri dan timbalan menteri yang melanggar SOP.
Sementara itu, menurutnya lagi, setakat ini terdapat sejumlah 21,791 anggota tentera telah menerima vaksin COVID-19 pada fasa pertama, yang melibatkan anggota yang bekerja di barisan hadapan, seperti mereka yang melakukan sekatan jalan raya, dan mereka yang berkhidmat di luar negara seperti di Lebanon dan Filipina.
Dalam perkembangan lain, Ismail Sabri berkata, Kem Pantai Seberang Takir, yang menempatkan Batalion RMR ke-18, telah menerima peruntukan kira-kira RM30 juta untuk pembangunan dan peningkatan projek.
Katanya, ini merangkumi pembinaan poliklinik yang melibatkan peruntukan RM25 juta yang bukan hanya akan memberi manfaat kepada kira-kira 800 kakitangan di kem, tetapi juga komuniti berdekatan, sementara masjid baru yang melibatkan peruntukan RM5 juta dengan kapasiti untuk mengadakan jemaah 1,000 juga terbuka kepada orang lain.
“Kerja-kerja pembinaan poliklinik kesihatan bermula pada Januari tahun ini dan diharapkan akan selesai pada Januari 2023. Masjid baru ini juga mula dibina pada Januari tahun ini dan dijangka siap menjelang November tahun depan,” tambahnya lagi.
PETALING JAYA – Rangkaian pasar raya AEON dikhabarkan telah menarik balik telur yang dicemari dengan bakteria Salmonella Enteritidis (SE). Bakteria tersebut dikatakan boleh menyebabkan seseorang yang dijangkiti akan mengalami demam, kekejangan perut dan cirit-birit.
Telur yang terjejas dikatakan berasal dari syarikat Linggi Agriculture Sdn Bhd yang mempunyai cop “CEM014”.
Baru-baru ini, Agensi Makanan Singapura berkata pihaknya mengarahkan empat pengimport supaya menarik kembali produk tersebut. Hal ini terpaksa dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga.
Oleh hal yang demikian pihak AEON telah mengeluarkan satu kenyataan rasmi di Facebook mereka berkenaan penarikan semula telur tersebut.
“AEON ingin memberitahu bahawa kami menarik semula sekumpulan telur serupa yang dapat dikenali dengan cop ‘CEM014’ dari rak pasar raya kami.
“Pelanggan yang telah membeli produk diminta mengembalikannya ke tempat pembelian di kaunter khidmat pelanggan untuk mendapatkan pengembalian wang berdasarkan resit,” ujar kenyataan tersebut.
Selain itu, pelanggan yang mempunyai sebarang pertanyaan boleh menghubungi nombor 1300-80-2366 atau boleh juga menghantar e-mel kepada [email protected].
KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak di sebuah restoran yang terletak di Jalan Bukit Bintang.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, pihaknya meneruskan siasatan ke atas Najib selepas penularan sebuah video berdurasi 39 saat di media sosial memaparkan tindakan Najib melanggar SOP PKPB dengan tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera ketika memasuki premis berkenaan.
Najib Razak didapati tidak mematuhi SOP PKPB dengan tidak melakukan imbasan suhu dan mendaftar di aplikasi MySejahtera (Paparan skrin/YouTube)
“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021”.
Jelas Zainal lagi, “Semua individu dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat”.
Pada masa sama, Zainal turut mengingatkan orang ramai agar kekal mematuhi SOP PKPB bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.
Beliau dipercayai melakukan kesalahan tersebut di restoran Nasi Ayam Chee Meng, Bukit Bintang (Paparan skrin/YouTube)
Sementara itu, Najib turut memuat naik kenyataan berkenaan insiden itu di akaun Facebook miliknya dan mengakui kesilapan kerana tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.
Najib Razak turut mengeluarkan kenyataan mengakui kesalahannya dan akan membayar saman secara sukarela (Paparan skrin/YouTube)
“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian. Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman atas kesilapan tidak sengaja ini. Saya bayar sebelum tempoh 7 hari untuk dapat early bird diskaun 50% iaitu denda RM750. Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada double standards dalam istilah saya”.
KUALA LUMPUR – Kerajaan Malaysia telah mengeluarkan arahan kepada semua kakitangan diplomatik Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur untuk meninggalkan Malaysa dalam tempoh 48 jam mulai hari ini bersamaan 20 Mac 2021.
Memetik kenyataan Wisma Putra, arahan tersebut telah dikeluarkan selepas Korea Utara mengumumkan penamatan hubungan diplomatik dengan Malaysia susulan insiden seorang rakyatnya yang menetap di Malaysia iaitu Mun Chol Myong yang telah diekstradisi ke Amerika Syarikat bagi pertuduhan penggubahan wang haram.
Dalam kenyataan itu juga, Malaysia memiliki hak untuk melindungi kedaulatannya sebagai tindak balas terhadap keputusan kerajaan Korea Utara memutuskan hubungan diplomatik antara dua negara.
Pada masa sama, Malaysia turut kecewa dengan keputusan tersebut dan menyifatkan tindakan itu sebagai tidak konstruktif dan tidak menghormati semangat setia kawan sebagai anggota komuniti antarabangsa.
Bendera Korea Utara di Kedutaan Korea Utara di Kuala Lumpur, Malaysia 9 Mac 2017. (Edgar Su/Reuters)
“Malaysia sudah menganggap Korea Utara sebagai rakan rapat sejak menjalinkan hubungan diplomatik pada 1973. Malaysia antara negara terawal yang berbuat demikian dan sentiasa menyokong republik itu ketika mereka berdepan saat sukar walaupun selepas kejadian pembunuhan Kim Jong Nam pada 2017”.
Tambah kenyataan itu lagi, “Dalam hal ini, keputusan sebelah pihak Korea Utara tanpa alasan kukuh sudah tentu mengganggu keamanan, kestabilan dan kemakmuran di wilayah ini. Pada masa sama, keputusan Korea Utara itu juga memaksa kerajaan menutup Kedutaan Besar Malaysia di Pyongyang yang operasinya ditangguhkan sejak tahun 2017”.
Chol Myung yang tinggal di Malaysia selama lebih sedekad bersama keluarganya telah ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pada 14 Mei 2019 susulan waran tangkap mengikut Seksyen 13(1)(b) Akta Ekstradisi 1992 selepas didakwa terlibat dalam konspirasi penggubahan wang haram di samping melanggar sekatan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).
Pada 13 Disember 2019, Chol Myung telah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Kuala Lumpur dan permohonan writ habeas corpus di Mahkamah Tinggi pada 29 Disember tahun sama serta rayuan di Mahkamah Persekutuan pada 8 Oktober 2020 telah gagal. Hal ini berikutan kerana pihak mahkamah mendapati permohonan dan rayuannya adalah tidak berasas di bawah Akta Ekstradisi.
“Proses ekstradisi dibuat selepas semua proses undang-undang diikuti. Hak Chol Myung ketika dalam tahanan di Malaysia turut dijamin dan dipenuhi termasuk akses kepada peguam serta lawatan oleh ahli keluarganya”.
Chol Myung yang berusia dalam lingkungan 50-an menghadapi empat pertuduhan penggubahan wang haram dua dua pertuduhan konspirasi perbuatan itu yang mempunyai perkaitan dengan kerjanya di Singapura.
Bagi seseorang yang sudah memelihara haiwan kesayangan buat sekian lama, kehilangan haiwan tersebut pasti akan mengundang kesedihan melampau. Masakan tidak, sudah menjadi kebiasaan bagi kita untuk melayan haiwan seperti keluarga sendiri dengan memberi makanan dan tempat tinggal yang selesa.
Bagi kes haiwan peliharaan yang hilang tanpa dikesan, setiap pemilik pastinya mengharapkan yang terbaik kepada haiwan tersebut di samping berusaha sehabis mungkin dalam melakukan misi pencarian haiwan yang hilang. Kebiasaannya, haiwan yang tinggal di jalanan terpaksa bergelut dalam mencari makanan sendiri selain hidup di kawasan yang tidak selesa seperti di rumah tanpa belaian kasih sayang manusia.
Justeru, kebanyakan haiwan jalanan cenderung untuk memiliki fizikal yang kurus kering, kotor, berpenyakit dan sebagainya. Tetapi tidak bagi kucing ini yang telah berjauhan selama hampir setengah tahun dengan tuannya.
Setelah berbulan-bulan berpisah, lelaki ini berjaya menemui semula kucing kesayangannya. Namun, penampilan terkini kucingnya itu membuatkan lelaki ini benar-benar terkejut dan tidak mempercayai apa yang telah berlaku kepadanya sepanjang kucing ini tinggal di jalanan.
Menurut pusat kebajikan haiwan, kucing ini telah ditemui tinggal di belakang sebuah restoran. Setelah itu, pihak berkenaan mengambil keputusan untuk memuat naik gambar kucing ini di media sosial dengan harapan agar dapat menemukan kucing ini dengan tuannya.
Tidak lama kemudian, seorang lelaki datang ke pusat kebajikan haiwan tersebut untuk mencari kucingnya yang hilang sejak beberapa bulan yang lalu. Alangkah terkejutnya dia apabila melihat keadaan kucing tersebut dan lelaki ini terus terpaku buat seketika.
Menurutnya, kucing tersebut memiliki ciri-ciri dan corak seperti kucing miliknya namun perbezaannya adalah kucing tersebut kelihatan jauh lebih besar saiznya. Lelaki ini kemudian bertindak memanggil nama kucing peliharaannya iaitu Sunai dan dengan serta-merta, kucing yang gempal itu terus mendongak dan melihat tepat ke mata pemiliknya.
Lelaki ini akhirnya yakin bahawa kucing tersebut adalah kucing peliharaannya yang hilang. Namun, dia sangat terkejut melihat perubahan saiz kucing tersebut yang dikatakan meningkat sebanyak sekitar 4kg!
Jelas lelaki itu juga, kucingnya didapati menghilangkan diri ketika proses pengubahsuaian rumah dijalankan. Pada ketika itu, seluruh ahli keluarga berusaha mencari si comel ini ke merata tempat namun gagal. Tanpa disangka-sangka, kucing ini telah menjadikan lorong belakang sebuah restoran sebagai rumah sementaranya setelah kucing ini tersesat jauh.
Pada awalnya, tukang masak di restoran itu membenarkan kucing ini tinggal di dapurnya bagi tujuan untuk menghapuskan tikus di kawasan tersebut. Namun, kucing ini bertindak mencuri makanan laut dari dapur dan hal ini membuatkan tukang masak itu mengambil keputusan untuk menghantarnya ke pusat kebajikan haiwan berkenaan.
GEORGETOWN – Seorang pesara guru mengaku tidak bersalah atas tuduhan menyebabkan kecederaan kekal kepada seekor kucing betina pada November tahun lalu.
Cosmos Chong Say Hun mengaku tidak bersalah atas pertuduhan mendatangkan kecederaan kepada seekor kucing betina sehingga lumpuh / Harian Metro
Tertuduh yang dikenali sebagai Cosmos Chong Say Hun, 79 tahun dihadapkan ke mahkamah selepas bertindak membaling sebatang besi tajam sepanjang 1.06 meter (3.5 kaki) ke arah seekor kucing betina berwarna putih tompoh hitam sehingga mengakibatkan kucing itu menderita lumpuh. Tindakan yang tidak munasabah ini dilakukan atas alasan kucing tersebut didapati mengotorkan halaman rumahnya.
Kucing comel yang diberi nama Baby itu turut dihadapkan ke mahkamah pada Khamis pagi lalu sebagai bukti. Menurt pegawai veterinar yang mengendalikan kes Baby, beliau memaklumkan bahawa Baby mengalami kesulitan untuk mengeluarkan air kencing disebabkan oleh kerosakan saraf pada bahagian pundi kencing.
Baby dibawa ke mahkamah sebagai bukti kekejaman tindakan tertuduh yang menganiaya binatang / kosmo_online (Instagram)
“Masa awal-awal dulu, Baby tak boleh kencing secara normal. Hari-hari kena tekan pundi kencing sebab ada kesan pada saraf. Tapi sekarang selepas rawatan, dah boleh kencing normal dan juga diletakkan kerusi roda untuk menggantikan kaki belakang,” jelas pegawai veterinar yang turut mengesahkan Baby kini dipelihara oleh seseorang yang sangat baik dan menyayanginya.
Suspek dipercayai melakukan perbuatan kejam itu di halaman rumah bernombor 16, Lengkok Tembaga, Island Park di Georgetown sekitar jam 6.40 petang pada 15 November tahun lalu. Lantaran itu, suspek telah didakwa melakukan kesalahan berkenaan di bawa Seksyen 29(1)(e) Akta Kebajikan Haiwan 2015 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 29(1) akta yang sama.
Baby mengalami kesukaran untuk buang air kencing selain terpaksa menggunakan kerusi roda untuk menggantikan kaki belakangnya / BH Online
Sekiranya disabitkan bersalah, tertuduh bakal berhadapan dengan hukuman denda tidak kurang daripada RM20,000 dan tidak melebihi RM100,000 atau penjara selama tempoh kurang tiga tahun atau kedua-duanya sekali. Tertuduh kini dibebaskan tanpa wang jaminan dan pihak mahkamah menetapkan tarikh 19 April ini bagi sebutan semula kes.
Seorang wanita dari bandar Changzhou, wilayah Jiangsu, China berhadapan dengan detik ngeri apabila merasai terdapat bunyi aneh di dalam telinganya.
Dia berasa bahawa terdapat sesuatu yang bergerak di dalam telinganya itu. Oleh kerana bimbang, dia kemudian pergi berjumpa dengan doktor.
Setelah diperiksa, doktor mendapati bahawa seekor lipas halus telah memasuki lubang telinganya. Ia berkemungkinan berpunca daripada tabiat memakan snek di atas katil.
Wanita yang dikenali sebagai Xu itu dilaporkan telah mendapatkan rawatan di Jabatan Otorhinolaringologi, Hospital Changzhou pada jam 4 pagi kerana berasa tidak selesa.
Semasa diperiksa, lipas tersebut dilihat masih lagi aktif bergerak di dalam telinganya dan bagi mengelakkan ia bergerak lebih jauh ke dalam, doktor telah menggunakan anestetik pada telinganya.
Ia dilakukan agar lipas tersebut mati dan boleh dikeluarkan dengan selamat menggunakan peranti sedutan.
“Ia amat menakutkan saya. Akhirnya lipas itu berjaya dikeluarkan”, ujarnya. Xu turut mengakui bahawa insiden itu mungkin berpunca daripada anak-anaknya yang suka memakan snek di katil.
“Dan mungkin saya tidak begitu peka terhadap aspek kebersihan dan tidak kerap menukar cadar membuatkan serangga itu tertarik ke katil”.
Namun menurut pakar, lipas juga sebenarnya tertarik dengan bau asid lemak daripada tahi telinga yang terhasil. Ianya sama seperti bau keju, roti mahupun bir.
“Bau yang terhasil daripada telinga membuat lipas tertarik”, jelas Coby Schal selaku ahli entomologi di North Carolina State University.
Pernahkah anda ternampak burung hantu pada waktu malam? Pasti anda akan berasa cemas apabila melihat saiz mereka yang besar bak saiz kucing itu bukan? Saiz mata pula boleh tahan besar..
Burung hantu secara keseluruhannya terdiri daripada 200 spesies di seluruh dunia dan kesemuanya hanya aktif pada waktu malam.