Kemenangan pemain badminton perseorangan lelaki negara, Lee Zii Jia dalam kejohanan badminton All England pada 21 Mac disifatkan sebagai wira negara oleh Perdana Menteri.
Menurut Tan Sri Muhyiddin Yassin, kejayaan Zii Jia yang berusia 23 tahun itu menewaskan pemain Denmark, Viktor Axelsen yang juga pemain nombor dua dunia ternyata memberi makna besar.
Apatah lagi Zii Jia pernah dikalahkan oleh pemain yang sama semasa kejohanan ini tahun lalu. Malah, Axelsen juga merupakan juara bertahan bagi kejohanan ini.

“Kepada Zii Jia, jadikanlah kejayaan ini sebagai perangsang untuk bekerja lebih keras dan menjadi lebih cemerlang pada masa hadapan”, tulis Muhyuddin di laman Facebooknya.
“Perjalanan karier anda masih jauh. Syabas Lee Zii Jia! Anda wira kebanggaan negara”.
Dalam pada itu, beliau turut merakamkan ucapan tahniah kepada Persatuan Badminton Malaysia (BAM) dan barisan kejurulatihan yang terlibat.
Zii Jia melakar sejarah apabila muncul sebagai juara kejohanan All England selepas mengalahkan Axelsen pada aksi final yang berlangsung di Birmingham.

Penampilan bertenaga ditonjolkan oleh anak muda kelahiran Alor Setar, Kedah tersebut apabila melakar kemenangan 30-29, 20-22 dan 21-9 dalam masa lebih sejam perlawanan.
Kejayaan Zii Jia ini ternyata mengakhiri penantian Malaysia selama tiga tahun untuk melihat pemain kebangsaan menjuarai piala berkenaan.
Ini kerana, kali terakhir pemain Malaysia memenanginya adalah menerusi legenda negara, Datuk Lee Chong Wei pada tahun 2017.