Seorang wanita dari bandar Changzhou, wilayah Jiangsu, China berhadapan dengan detik ngeri apabila merasai terdapat bunyi aneh di dalam telinganya.
Dia berasa bahawa terdapat sesuatu yang bergerak di dalam telinganya itu. Oleh kerana bimbang, dia kemudian pergi berjumpa dengan doktor.
Setelah diperiksa, doktor mendapati bahawa seekor lipas halus telah memasuki lubang telinganya. Ia berkemungkinan berpunca daripada tabiat memakan snek di atas katil.
Foto hiasan/Pinterest
Wanita yang dikenali sebagai Xu itu dilaporkan telah mendapatkan rawatan di Jabatan Otorhinolaringologi, Hospital Changzhou pada jam 4 pagi kerana berasa tidak selesa.
Semasa diperiksa, lipas tersebut dilihat masih lagi aktif bergerak di dalam telinganya dan bagi mengelakkan ia bergerak lebih jauh ke dalam, doktor telah menggunakan anestetik pada telinganya.
Ia dilakukan agar lipas tersebut mati dan boleh dikeluarkan dengan selamat menggunakan peranti sedutan.
Foto hiasan/Freepik
“Ia amat menakutkan saya. Akhirnya lipas itu berjaya dikeluarkan”, ujarnya. Xu turut mengakui bahawa insiden itu mungkin berpunca daripada anak-anaknya yang suka memakan snek di katil.
“Dan mungkin saya tidak begitu peka terhadap aspek kebersihan dan tidak kerap menukar cadar membuatkan serangga itu tertarik ke katil”.
Namun menurut pakar, lipas juga sebenarnya tertarik dengan bau asid lemak daripada tahi telinga yang terhasil. Ianya sama seperti bau keju, roti mahupun bir.
“Bau yang terhasil daripada telinga membuat lipas tertarik”, jelas Coby Schal selaku ahli entomologi di North Carolina State University.