KUALA LUMPUR – Polis Diraja Malaysia (PDRM) sedang menjalankan siasatan berhubung dakwaan pelanggaran prosedur operasi standard (SOP) Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) oleh bekas Perdana Menteri Malaysia, Datuk Seri Najib Razak di sebuah restoran yang terletak di Jalan Bukit Bintang.
Menurut Ketua Polis Daerah Dang Wangi, Asisten Komisioner Mohamad Zainal Abdullah, pihaknya meneruskan siasatan ke atas Najib selepas penularan sebuah video berdurasi 39 saat di media sosial memaparkan tindakan Najib melanggar SOP PKPB dengan tidak melakukan imbasan suhu dan tidak mendaftar MySejahtera ketika memasuki premis berkenaan.

“Siasatan dilakukan mengikut Seksyen 21A Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 dan Peraturan 18, Peraturan-Peraturan Pencegahan dan Pengawal Penyakit Berjangkit (Kawalan Pergerakan Bersyarat) (No 4) 2021”.
Jelas Zainal lagi, “Semua individu dalam kes ini akan dipanggil ke Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Dang Wangi untuk memberi keterangan dalam masa terdekat”.
Pada masa sama, Zainal turut mengingatkan orang ramai agar kekal mematuhi SOP PKPB bagi mengelakkan dikenakan tindakan undang-undang.

Sementara itu, Najib turut memuat naik kenyataan berkenaan insiden itu di akaun Facebook miliknya dan mengakui kesilapan kerana tidak mendaftar menggunakan aplikasi MySejahtera.

“Saya mengaku kesilapan saya pada kali ini tidak membuat check in sendiri walaupun pegawai-pegawai saya telah berbuat demikian. Saya minta pihak berkuasa keluarkan saman atas kesilapan tidak sengaja ini. Saya bayar sebelum tempoh 7 hari untuk dapat early bird diskaun 50% iaitu denda RM750. Saya akan membayar saman atas kesilapan saya ini secara sukarela. Tidak ada double standards dalam istilah saya”.