25.8 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 19, 2025
Utama Blog Laman 35

Muka berlumuran darah dan retina cedera selepas disimbah air, blogger China alami pengalaman pahit ketika perayaan Songkran di Thailand

0

Perayaan Songkran adalah sambutan Tahun Baharu pada hari yang paling hangat di Thailand, di penghujung musim kemarau yang jatuh pada 1 April setiap tahun. Seperti kebiasaan sejak bertahun-tahun, Songkran diterajui dengan adat menyimbah air, bilamana orang ramai merayau-rayau di jalanan dengan membawa baldi berisi air atau pistol air, atau berdiri di tepi jalan sambil memegang hos lalu mencurahkan air ke arah orang lain. 

Adat menyimbah air asalnya merupakan cara memberi hormat kepada orang lain dengan menangkap air “bertuah” yang sudah dicurahkan untuk membersihkan patung Buddha lalu dicurahkan ke arah orang tua untuk memberi tuah kepada mereka sekeluarga. 

Gambar Hiasan / Pixabay

Bagi golongan muda pula, perayaan ini dijadikan hari berseronok dengan menyimbahkan air ke arah orang lain, sehingga timbulnya gejala seperti berlawan air dan menyimbah air ke arah orang yang memandu kenderaan, yang mungkin boleh mendatangkan bahaya dan mudarat, jika tidak kena caranya.

Seperti yang dialami blogger dari China @TruckQueen pada bulan lalu apabila dia menyiarkan di platform Douyin, bagaimana dirinya mengalami kecederaan semasa bersama-sama warga tempatan meraikan perayaan Songkran di Thailand. 

Gambar @TruckQueen/Douyin

Insiden itu menyebabkan dia menerima kerosakan pada retina mata kanannya, mengakibatkan penglihatannya terjejas.

Disebabkan kecederaan mata itu, dia tidak dibenarkan menaiki penerbangan, dan akhirnya terpaksa menaiki kereta api jarak jauh untuk pulang ke China.

Gambar @TruckQueen/Douyin

Blogger @TruckQueen mengimbas kembali dia sedang menunggang motosikal apabila empat atau lima orang Eropah dan Amerika yang menaiki kenderaan menyimbah sebaldi air ke arah mukanya dan secara tidak sengaja terkena matanya ketika mereka berada di jalan raya dari arah bertentangan.

Memandangkan kedua-dua pihak bergerak sangat pantas pada masa itu, @TruckQueen langsung tidak dapat melihat siapa pelakunya, dengan tanpa sedar tiba-tiba mukanya berlumuran darah. Ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran, doktor memaklumkan retina mata kanannya telah rosak! 

Gambar @TruckQueen/Douyin

Walaupun tiga hari telah berlalu sejak kemalangan itu, matanya masih mempunyai kesan lebam dan bengkak, dan penglihatannya masih belum pulih. Dia benar-benar tidak dapat melihat dengan jelas dan matanya menjadi kabur.

“Saya tidak dapat melihat dengan jelas walaupun pada arah nombor terbesar pada carta mata,” katanya.

Gambar @TruckQueen/Douyin

Kecederaan mata itu lebih mengecewakan @TruckQueen apabila tiba masanya untuk dia kembali ke China, kru penerbangan di lapangan terbang memberitahu dia tidak boleh menaiki pesawat. 

Akhirnya, blogger ini tidak mempunyai pilihan selain mengubah rancangannya dengan menaiki kereta api jarak jauh untuk pulang ke China. 

Gambar @TruckQueen/Douyin

Dalam video terbaru, @TruckQueen mengemas kini kecederaan matanya dan tahap kesihatannya. Selepas beberapa hari melalui perjalanan jauh dan panjang, wanita itu akhirnya tiba ke negara asalnya.

Penglihatan di mata kanannya masih kabur dan dia berkata akan terus berjumpa doktor untuk menerima rawatan di China.

Gambar @TruckQueen/Douyin

Ekoran siaran mengenai insiden itu, warganet memberi kata-kata semangat kepada @TruckQueen di ruangan komen, dengan berdoa agar mata kanannya cepat pulih dan kembali normal seperti biasa.

Insiden ini turut menyedarkan orang ramai tentang kepentingan memakai cermin mata khas atau perisai mata, terutama ketika pesta yang diraikan dengan melibatkan kehadiran air seperti perayaan Songkran. 

Gambar @TruckQueen/Douyin

Berhubung isu tidak dapat menaiki pesawat pulang ke China, warganet percaya kru penerbangan mungkin bimbang matanya akan mengalami kerosakan sekunder di altitud tinggi.

Ada warganet yang turut berkongsi pengalaman sendiri bagaimana tidak dibenarkan menaiki kapal terbang selepas menjalani pembedahan kelopak mata. Surat pengesahan daripada doktor diperlukan sebelum anda boleh dibenarkan menaiki penerbangan.

Gambar @TruckQueen/Douyin

Bangkok Post melaporkan sebanyak 2,044 kemalangan jalan raya berlaku semasa perayaan Songkran di Thailand, mengakibatkan 287 kematian dan 2,060 kecederaan. Menteri berkenaan berkata, jumlah kemalangan jalan raya menurun berbanding tahun lalu, tetapi jumlah kematian meningkat. Kemalangan disebabkan memandu laju, pertukaran lorong mengejut dan pemanduan dalam keadaan mabuk.

Kucing tidak sengaja terkirim ke California selepas dia ‘menumpang gelap’ ke dalam bungkusan Amazon

0

Sebuah keluarga di Utah, Amerika Syarikat bersatu semula dengan kucing peliharaan mereka selepas dia secara tidak sengaja dihantar lebih seribu kilometer ke California dengan ‘pemulangan semula bungkusan’ terpaksa dilakukan.

Kucing bernama Galeana hilang dari rumahnya di Utah pada awal bulan ini yang mendorong pencarian meluas untuk menjejak si bulus dikasihi.

Galeana diselamatkan oleh pekerja Amazon hampir seminggu selepas dia melompat dan menyelinap ke dalam salah satu bungkusan keluarga tanpa dikesan.

Gambar Carrie Clark / Facebook

Kucing itu berada dalam keadaan sihat walaupun tidak mempunyai makanan atau air selama beberapa hari.

“Galeana sukakan kotak, ia hanya sebahagian daripada personalitinya,” kata Carrie Clark, pemilik kucing itu, memberitahu KSL TV di Utah ketika menjelaskan bagaimana haiwan peliharaan keluarganya boleh mengembara begitu jauh dari rumah.

Kucing itu akhirnya diselamatkan dari kotak besar, yang juga mengandungi but-but kerja, oleh seorang pekerja Amazon yang membawanya terlebih dahulu kepada doktor haiwan untuk pemeriksaan.

Di sana, mikrocip kucing itu diimbas dan butiran hubungan Carrie Clark muncul. Doktor haiwan kemudian menelefonnya untuk menjelaskan apa yang telah berlaku.

Gambar KSL TV

Carrie menyifatkan ia sebagai “berita paling menakjubkan dan tergila di dunia”.

“Saya tidak percaya itu doktor haiwan pada mulanya dan menganggap ia adalah gurauan,” tambahnya.

Carrie dan suaminya kemudian terbang lebih 1,600 kilometer ke California untuk mengambil haiwan peliharaan mereka.

“Ia adalah pertemuan semula yang menakjubkan! Galeana serta-merta berhenti gementar dan mula bertenang di dalam pelukan apabila saya mendakapnya semula,” kata Carrie.

Gambar Carrie Clark / Facebook

Nasib baik untuk kucing itu, salah satu balutan kotak telah terbuka membolehkan kemasukan udara untuknya bernafas dan keadaan cuaca adalah baik-baik sahaja, tidak terlalu sejuk atau terlalu panas.

Carrie menyifatkan pengalaman tidak mengetahui apa yang telah berlaku kepada Galeana sebagai amat “menyakitkan”, sambil menyarankan agar semua pemilik haiwan peliharaan untuk membuat mikrocip haiwan kesayangan mereka dan “menyemak tiga kali” kotak Amazon masing-masing ketika mahu mengirim.

Perhimpunan Falun Gong di Malaysia sempena memperingati ulang tahun ke-25 Rayuan Aman 25 April

0

Pada pagi 21 April 2024, beberapa pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan China sempena memperingati ulang tahun ke-25 rayuan aman 10,000 pengamal Falun Gong pada 25 April 1999, dan menggesa PKC menghentikan penganiayaan yang telah berlarutan selama 25 tahun terhadap pengamal Falun Gong di China.

Penganiayaan kejam yang telah menimbulkan kebimbangan ramai warga tempatan.

Pada pagi 21 April 2024, beberapa pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan China bagi memperingati ulang tahun ke-25 Rayuan Aman 25 April 1999. (Gambar oleh The Epoch Times)

Dalam perhimpunan itu, pengamal Falun Gong mengangkat pelbagai sepanduk termasuk, “Ulang Tahun ke-25 Rayuan Aman Falun Gong pada 25 April”, “Falun Dafa baik, Sejati-Baik-Sabar adalah baik”, “Sokongan kepada 429 juta pejuang yang keluar PKC”, “Menolak sekeras-kerasnya ideologi komunis daripada menyusup ke Malaysia”.

Pada pagi 21 April 2024, beberapa pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan China bagi memperingati ulang tahun ke-25 Rayuan Aman 25 April 1999. (Gambar oleh The Epoch Times)

Sepanduk seperti “PKC tidak sama dengan China”, “Tolak dengan tegas propaganda PKC daripada menyusup ke Malaysia” dan “Malaysia menolak budaya parti cuci otak PKC” telah menarik perhatian ramai orang awam yang melalui Jalan Duta.

Pada pagi 21 April 2024, beberapa pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan China bagi memperingati ulang tahun ke-25 Rayuan Aman 25 April 1999. (Gambar oleh The Epoch Times)

Pengamal Falun Gong membaca teks dalam bahasa Cina dan Melayu di perhimpunan itu dengan berkata, “Melalui acara ini, kami berharap kerajaan Malaysia, polis dan rakyat Malaysia yang baik hati dapat memahami bahawa insiden seperti penganiayaan kejam terhadap Falun Gong masih berlaku setiap hari di China. Ini adalah penganiayaan yang serupa seperti mana berlaku kepada minoriti Uyghur di Xinjiang.

Pada pagi 21 April 2024, beberapa pengamal Falun Gong di Malaysia mengadakan perhimpunan aman di hadapan Kedutaan China bagi memperingati ulang tahun ke-25 Rayuan Aman 25 April 1999. (Gambar oleh The Epoch Times)

“Kami berharap Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), dunia, kerajaan Malaysia, pihak berkuasa, pertubuhan bukan kerajaan dan individu yang baik hati daripada semua lapisan masyarakat di Malaysia akan bersama-sama membantah serta mengutuk tindakan tidak berperikemanusiaan Parti Komunis China.”

Wakil pengamal Falun Gong berada di hadapan pintu masuk Kedutaan China di Malaysia ketika menyerahkan surat bantahan. (Gambar oleh The Epoch Times)

“Setiap individu harus menikmati hak kebebasan untuk mempercayai Tuhan dan mengamalkan agama. Pengamal Falun Gong di China tidak seharusnya diseksa sehingga mati oleh PKC semata-mata kerana mereka berpegang kepada amalan dan kepercayaan ‘Sejati, Baik, Sabar’ Falun Gong,” katanya.

Di akhir acara, wakil pengamal Falun Gong menuju ke Kedutaan China di Malaysia untuk menyerahkan surat bantahan, yang menarik perhatian ramai pegawai tempatan.

Wakil pengamal Falun Gong berada di hadapan Kedutaan China di Malaysia bagi menyerahkan surat bantahan, yang menarik perhatian ramai pegawai tempatan. (Gambar oleh The Epoch Times)

Pada perhimpunan tahun ini sempena memperingati “Ulang Tahun ke-25 Rayuan Aman 25 April,” pengamal Falun Gong menyeru orang ramai daripada setiap lapisan masyarakat di Malaysia untuk melihat dengan jelas sifat jahat Parti Komunis China, terutamanya ketika mereka melakukan penganiayaan kejam terhadap Falun Gong, dan untuk bersama-sama menghentikan penganiayaan tanpa berperikemanusiaan ini.

Gunung Ruang meletus lagi, status berjaga-jaga paling tinggi dikeluarkan

0

MANADO: Gunung berapi Ruang di Sulawesi Utara, Indonesia meletus beberapa kali memuntahkan abu dan lahar pada Selasa, 30 April, memaksa ratusan pemindahan dan penutupan lapangan terbang antarabangsa berhampiran dengan status amaran ke tahap tertinggi dikeluarkan.

Pusat Vulkanologi dan Tebatan Bahaya Geologi (PVMBG) negara itu menaikkan tahap amaran kepada paras tertinggi berikutan letusan pada jam 3 pagi, menggesa penduduk supaya tidak mendekati gunung berapi itu, menurut laman webnya.

Gambar AFP

Pulau Ruang di wilayah Sulawesi Utara menempatkan lebih 800 penduduk, kebanyakannya sudah dipindahkan berikutan letusan awal bulan ini. 

Tidak dapat dipastikan berapa ramai lagi yang dipindahkan pada Selasa.

Rakaman di media sosial menunjukkan lava mengalir keluar menuruni gunung berapi, yang terletak kira-kira 100 kilometer dari ibu kota wilayah Manado.

Pihak berkuasa pengangkutan menutup sementara lapangan terbang antarabangsa Sam Ratulangi Manado selepas letusan awal bulan ini.

Manakala batu dan abu yang jatuh telah merosakkan kebanyakan rumah kediaman dan memaksa hospital berdekatan dipindahkan.

Pihak berkuasa menurunkan tahap status ke tahap 3 minggu lalu sebelum menaikkannya semula ke tahap 4 pada Selasa, 30 April.

Menurut Volcanic Ash Advisory Centre (VAAC) Darwin, Australia, berdasarkan pemerhatian satelit meteorologi Sunflower 9, ketinggian asap gunung berapi itu dianggarkan mencecah 19,000 meter. 

Indonesia melintasi Lingkaran Api Pasifik, kawasan aktiviti seismik tinggi di mana beberapa plat tektonik bertemu.

Selain Indonesia, letusan Gunung Ruang pada pertengahan bulan ini turut terkesan mengakibatkan pembatalan dan penggantungan penerbangan di lapangan terbang Kota Kinabalu, Labuan, Tawau dan Sandakan di Sabah dan beberapa lagi di Sarawak.

Keindahan bunga Sakura di Jepun dirosakkan oleh pelancong

0

Baru-baru ini tular video beberapa orang pelancong didapati bertindak merosakkan keindahan bunga Sakura di Jepun.

8days

Aksi beberapa orang pelancong yang menggoncangkan dahan pokok Sakura atau cherry blossom tersebut dirakam sendiri oleh bekas wartawan dan pembaca berita TVB, Akina Fong.

Menerusi video berkenaan, pelancong wanita berbaju biru dan hitam dilihat menggoyangkan dahan pokok Sakura itu dengan kuat sehingga menyebabkan bunga-bunga Sakura berguguran ke tanah.

8days

Dipercayai tindakan mereka adalah demi mendapatkan pemandangan cantik ketika merakam gambar atau video dengan menggunakan telefon pintar mereka.

Difahamkan, Akina dan suaminya sedang makan di sebuah restoran ketika kejadian tersebut berlaku. Dengan pantas, Akina merakam aksi pelancong tersebut dan memuat naik video tersebut di Instagram miliknya. Rata-rata warga siber menunjukkan rasa marah dan kesal setelah melihat tindakan pelancong tersebut.

8days Akina menunjukkan gaya sebenar untuk bergambar dengan pokok Sakura

Sebenarnya, terdapat etika melihat bunga Sakura atau disebut Hanami di Jepun yang perlu dipatuhi oleh semua orang baik penduduk tempatan mahupun pelancong dari luar negara.

  1. Bawa pulang sampah dan pastikan taman bersih.
    • Makan dan minum di bawah pokok bunga Sakura memang menenangkan. Namun keindahan bunga Sakura tidak akan dapat dinikmati seandainya taman dipenuhi sampah. Oleh itu, pengunjung mesti memastikan taman bersih sama ada membuang sampah di bekas yang disediakan atau membawanya pulang.
  2. Jangan membuat bising.
    • Tiada siapa melarang untuk pengunjung bercakap, bertukar-tukar cerita namun tindakan menjerit, memainkan muzik dengan kuat adalah tindakan yang tidak wajar dilakukan di sana.
  3. Tempah ruang yang anda perlukan sahaja.
    • Pastikan anda tahu bilangan sebenar ahli keluarga atau rakan-rakan yang akan bersama-sama dengan anda di taman. Ini penting untuk memastikan anda hanya menempah ruang yang anda perlukan sahaja. Sekiranya anda menempah ruang namun tidak digunakan, ini akan menyebabkan pengunjung lain tidak berpeluang menikmati keindahan Sakura di situ.
  4. Jangan sesekali sentuh pokok Sakura.
    • Terdapat beberapa tempat yang dikawal ketat demi memastikan keindahan pokok Sakura terus terjaga. Pengunjung juga tidak sepatutnya memetik bunga Sakura, mematahkan dahan atau mengukir nama masing-masing pada batang pokok Sakura. Mungkin anda mahukan gambar anda kelihatan estetik dengan bunga-bunga Sakura yang berguguran. Namun tindakan menggoncangkan pokok bukanlah tindakan bijak yang anda boleh lakukan. Ini kerana kesan tindakan tersebut boleh menyebabkan pokok tersebut rosak atau mati. Jika ditangkap, anda boleh dikenakan denda oleh pihak berkuasa tempatan.
MATCHA

Jika anda hendak menikmati keindahan bunga Sakura di Jepun dengan aman dan tenteram, anda perlu menuruti semua etika yang telah ditetapkan oleh mereka.

Leftenan Muda berbangsa Cina berjaya tamatkan latihan komando

0

KUALA LUMPUR: Leftenan Muda Chan Ming Youn yang merupakan penuntut tunggal berbangsa Cina berjaya menamatkan Latihan Kursus Asas Komando.

BH Online

Kejayaan tersebut bukan sahaja wajar dijadikan inspirasi bagi seluruh anak muda Malaysia khasnya bukan Bumiputera. Bahkan ini juga membuktikan bahawa Angkatan Tentera Malaysia (ATM) bukan hanya untuk satu kaum sahaja.

Menurut Ming Young, selepas mengikuti program Askar Wataniah semasa menuntut di Universiti Tunku Abdul Rahman minatnya untuk menyertai latihan komando itu mula dipupuk.

Kata graduan jurusan perakaunan itu lagi, segala-galanya berubah ketika menyertai Askar Wataniah tersebut.

“Saya menyertai Rejimen 515 Askar Wataniah dan sejak itu saya dapat segala ilmu, pengalaman dan pengetahuan mengenai bidang ini termasuk berkaitan komando.”

“Disebabkan mahu mencabar diri, saya sertai latihan asas komando ini dan mahu tunjukkan walaupun saya hanyalah Askar Wataniah, tetapi saya juga mampu menjadi seorang komando,” Katanya selepas Perbarisan Tamat Latihan Kursus Asas Komando Siri AK/1/2024 di Pantai Betutu Laut, Sungai Udang, Melaka.

Seramai sembilan pegawai dengan 60 anggota Lain Lain Pangkat (LLP) menerima Penganugerahan Beret Hijau Gerak Khas serta Pisau Komando dalam majlis itu.

Mereka menerima penganugerahan berkenaan selepas berjaya menamatkan pelbagai peringkat latihan selama 12 minggu.

Leftenan Muda Ming Young yang juga dari Batalion Kedua Rejimen Renjer Diraja (2 RRD) berkata, beliau akan menambah lagi pengetahuan serta kepakaran sekali gus mampu menjadi pegawai yang berkualiti seterusnya membawa nama baik komando.

BH Online

Sementara itu, Panglima 21 Gerup Gerak Khas (21 GGK) merangkap Pengerusi Gerak Khas, Mejar Jeneral Adi Ridzwan Abdullah dalam ucapannya mengingatkan pegawai dan anggtoa komando untuk sentiasa menjaga keagungan Beret Hijau sebagai sebuah imej pengendali pasukan khas yang profesional dan kompeten kerana ia adalah maruah dan kebanggaan Gerak Khas.

“Jagalah maruah Beret Hijau ini daripada dicemari dengan perbuatan yang sia-sia kerana kelak akan merugikan atas segala pengorbanan saudara semua yang bertungkus-lumus untuk mendapatkannya.”

“Adalah amat malang sekali jika Beret Hijau yang dipakai terpaksa dilucutkan secara keji disebabkan salah laku seperti tidak mematuhi arahan atau melakukan perbuatan yang bertentangan dengan peraturan perkhidmatan,” katanya.

Mengikut statistik Kementerian Pertahanan seperti yang dikongsikan oleh bekas Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamad Hasan pada tahun lalu, penyertaan bukan Bumiputera dalam Angkatan Tentera Malaysia (ATM) begitu rendah, iaitu sekadar tiga peratus.

ATM mensasarkan sekurang-kurangnya lebih 10 peratus bukan Bumiputera menyertai pasukan keselamatan negara.

Biarpun pelbagai usaha telah dilakukan untuk menarik lebih ramai lagi bukan Bumiputera menyertai ATM, namun belum menampakkan hasil.

Antara punca bukan Bumiputera enggan menyertai ATM adalah disebabkan faktor gaji rendah atau tidak setara berbanding tawaran yang ditawarkan oleh sektor swasta.

Selain itu, terdapat tanggapan negatif yang wujud seperti ATM hanya mengutamakan Bumiputera dan Melayu dan selain menganggap pasukan itu bertaraf kelas rendah.

Diharapkan dengan kejayaan Leftenan Muda Ming Young ini sedikit sebanyak menyuntik semangat patriotik dalam kalangan bukan Bumiputera khasnya untuk menyertai ATM.

Pelancong China sengaja tendang dan rosakkan papan pameran Falun Gong di Jeju ditahan polis Korea Selatan

0

Beberapa pelancong China baru-baru ini menimbulkan masalah di hadapan Kedai Bebas Cukai Shilla di Pulau Jeju, Korea Selatan, apabila mereka bertindak membalikkan papan pameran yang memaparkan kebenaran mengenai Falun Gong, yang sebelum ini telah dipasang di sana selama bertahun-tahun. 

Pelaku yang cuba merosakkan papan pameran telah ditahan oleh polis Korea Selatan mengikut undang-undang negara berkenaan.

Menurut keterangan saksi, pada jam 9:58 pagi 21 April, pengamal Falun Gong Korea Selatan dikenali Woo sedang meletakkan papan pameran mengenai penjelasan kebenaran Falun Gong seperti kebiasaannya. Kemudian, beberapa pelancong China yang terpengaruh dengan pembohongan dan propaganda disebarkan PKC tiba-tiba melangkah ke hadapan lalu menendang papan pameran berkenaan sambil melemparkan kata-kata kesat. Papan pameran itu rebah di jalanan menyebabkan ia mengalami sedikit kerosakan.

Gambar oleh Li Moer / The Epoch Times

Woo cuba menghalang mereka, tetapi disekat dan diserang secara lisan oleh pelancong China berkenaan, menyebabkan seorang lagi pengamal Falun Gong dikenali Yoon yang melihat kekecohan ditimbulkan oleh beberapa pelancong China terpaksa melaporkan kejadian itu serta-merta kepada pihak berkuasa, selepas usaha untuk menghalangnya gagal.

Polis Korea Selatan bergegas ke tempat kejadian bersama tiga kereta polis dengan sedozen anggota. Bagaimanapun, oleh kerana beberapa pelancong China yang menimbulkan kekecohan itu telah memasuki Kedai Bebas Cukai Shilla, mereka memaklumkan untuk menerima arahan pihak atasan sama ada boleh melakukan tangkapan. 

Selepas mendapat arahan daripada ketua mereka, polis telah memasuki kedai bebas cukai itu untuk membuat pemeriksaan dan menahan salah seorang lelaki yang melakukan kekecohan di pintu masuk.

Gambar oleh Li Moer / The Epoch Times

Lelaki itu menentang penahanan, dengan beberapa pelancong China yang memerhati cuba membantu dengan terus menimbulkan kekecohan, tetapi mereka terpaksa berhenti selepas dileraikan oleh polis Korea Selatan. Lelaki itu telah ditahan dan dibawa ke balai untuk tindakan lanjut menurut prosedur undang-undang.

Pelancong China di tempat kejadian menyaksikan pemandangan berbeza dengan mata kepala mereka sendiri, bilamana polis di Tanah Besar telah diarahkan oleh kerajaan Komunis China untuk menganiaya secara kejam pengamal Falun Gong selama bertahun-tahun kerana mengamalkan kepercayaan mereka, manakala polis Korea Selatan mengambil tindakan terhadap pelancong China yang datang ke negara orang tetapi bertindak biadab cuba merosak dan memusnahkan papan pameran Falun Gong. 

Gambar oleh Li Moer / The Epoch Times

Tindakan ini mengejutkan warga China yang setia membuta tuli kepada PKC dan telah dicuci otak. Ia juga membuatkan mereka faham bahawa Falun Gong tidak bersalah, maka ia dialu-alukan serta dilindungi di Korea Selatan sekali gus di seluruh dunia. Mereka tidak boleh bertindak sesuka hati dengan mengikut parti jahat untuk menganiaya Falun Gong di luar negara.

Menurut maklumat yang diperolehi oleh Woo daripada pihak polis, tiga lagi pelancong China yang turut serta memusnahkan papan pameran Falun Gong telah melarikan diri ke Jepun dengan menaiki kapal persiaran kumpulan pelancong selepas mereka diekori dan diburu polis Korea Selatan.

Tecoma mekar petanda musim panas bakal berakhir

0

Sejak penghujung Mac lalu, pokok Tecoma atau nama saintifiknya ‘tabebuia pentaphylla’ dilihat mula mewarnai jalan-jalan di sekitar Kota Kinabalu, Sabah seperti yang tular sejak kebelakangan ini.

Kosmo

Menurut kenyataan Kosmo, antara warga siber yang berkongsi keindahan pokok Tecoma ini ialah Tan Chong Hong menerusi kumpulan Sabah Info.

Terdapat beberapa warga siber yang mendakwa bahawa fenomena tersebut adalah petanda bahawa musim panas bakal berakhir tidak lama lagi.

Selain Jalan Penampang Lama, terdapat beberapa kawasan lain di Sabah seperti di Sepanggar, Kampung Kopungit dan Bundusan yang juga menikmati keindahan pokok Tecoma ini.

Cuaca panas dan kering pada bulan Februari dan Mac yang lalu telah menyebabkan pokok Tecoma ini berbunga kerana sifatnya yang memerlukan cuaca sedemikian untuk menggalakkan proses pendebungaan.

Di Malaysia sendiri, pokok Tecoma adalah hasil dasar ‘garden nation’ yang dilancarkan negara pada tahun 2010. Tujuan penanaman pokok tersebut adalah untuk menurunkan suhu di bandar-bandar ketika itu.

Dalam satu kenyataan BH Online, usaha penanaman pokok Tecoma oleh pihak berkuasa tempatan (PBT) digalakkan kerana menerima sambutan baik daripada orang ramai.

Menurut Ketua Pengarah Landskap Negara, Rotina Mohd Daik hasrat untuk menjadikan Tecoma sebagai antara produk pelancongan mampu dicapai dengan kerjasama PBT.

“Untuk menjadikan Tecoma sebagai satu produk pelancongan, ia perlu dilaksanakan menerusi satu perancangan khusus membabitkan PBT, antaranya menyediakan sebuah taman khas untuk Tecoma.

“Pihak PBT perlu tahu taman awam yang ada bukan hanya dibangunkan untuk aktiviti riadah semata-mata, sebaliknya boleh diindahkan dengan pelbagai jenis pokok-pokok teduhan, berbunga dan unik,” katanya.

Menurut Rotina lagi, keindahan landskap negara ini juga merupakan ilham daripada kempen menanam pokok yang dilancarkan pada tahun 1997.

Info mengenai Tecoma:

  1. Sejenis pokok teduhan yang berasal dari Amerika Tengah dan Selatan.
  2. Nama Pentaphykka adalah merujuk kepada lima daun di setiap tangkai, iaitu ‘penta’ bermaksud ‘lima’ manakala ‘phylla’ pula bermaksud daun dalam bahasa Latin.
  3. Dipanggil ‘pokok kertas tisu’ kerana kelopak bunganya yang nipis.
  4. Di negara-negara Amerika Selatan, Tecoma digelar ‘Ipe Rosa’.
  5. Selain Tecoma, pokok ini juga dikenali sebagai ‘Cherry Blossom of Penang’ di Malaysia.
  6. Tecoma memerlukan cahaya yang kering untuk berbunga penuh.

Orang awam tangkas gagalkan cubaan dua lelaki meragut seorang wanita

0

Tindakan pantas orang awam telah menggagalkan cubaan dua lelaki meragut seorang wanita di Taman Desa Wira, Batu Kawa, Kuching dengan seorang daripada suspek berjaya ditahan.

Kejadian berlaku kira-kira jam 7.54 pagi ketika mangsa yang berusia lewat 50-an berjalan kaki seorang diri sebelum dihampiri dua lelaki menaiki sebuah motosikal yang cuba meragut beg tangannya.

Facebook

Pemangku Ketua Polis Daerah Padawan, DSP Lim Jaw Shyong berkata, ketika mangsa bergelut untuk mempertahankan begnya daripada dilarikan suspek, sebuah kenderaan dipandu orang awam tiba-tiba berhenti di hadapan motosikal dinaiki dua peragut terbabit.

Facebook

“Salah seorang suspek bersama motosikal berjaya ditahan, manakala seorang lagi melarikan diri,” katanya dalam satu kenyataan pada 22 April.

Jaw Shyong berkata, suspek berusia lingkungan 20-an yang ditahan itu diserahkan kepada pihak polis untuk tindakan lanjut.

Facebook

“Mangsa mengalami sedikit luka dan calar semasa pergelutan. Suspek yang ditahan akan dibawa untuk mendapatkan perintah tahanan reman, manakala usaha mengesan seorang lagi suspek giat dijalankan.

“Kita mengucapkan terima kasih atas tindakan orang awam terbabit dan mengalu-alukan apa juga bentuk maklumat yang dapat membantu pihak polis,” katanya.

Facebook

Kes disiasat di bawah Seksyen 394 Kanun Keseksaan.

Tonton video di sini.

Pantang larang Melayu, pentingkah untuk dipatuhi?

0

Pantang larang Melayu begitu kaya dengan tradisi, adat, dan kepercayaan. Namun sejauh mana pentingnya mematuhi pantang larang tersebut?

Imej janaan Copilot

Pantang larang orang Melayu merangkumi pelbagai aspek kehidupan daripada adat istiadat perkahwinan, makanan, pakaian, hingga kepercayaan dan tradisi keagamaan. Kebanyakannya bertujuan untuk mendidik masyarakat agar mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan.

Jenis-jenis pantang larang Melayu, antaranya adalah:

Pantang larang ibu hamil.

  • Ibu hamil tidak boleh duduk di kepala tangga kerana dikatakan berkemungkinan akan menyebabkan anak yang dilahirkan akan mengikut perangai ibunya yang buruk. Namun hakikat sebenar adalah tindakan tersebut hanya membahayakan ibu dan kandungannya. Ibu hamil perlu memilih tempat duduk yang selesa dan lebih selamat.
  • Ibu hamil dilarang menyusup di bawah ampaian kerana ditakuti anaknya akan terencat akal. Logiknya, penyidai kain biasanya rendah, jadi dikhuatiri ibu hamil akan tersandung dan membahayakan kandungan.
  • Ibu hamil tidak boleh tidur selepas waktu asar atau berada di luar rumah selepas waktu maghrib kerana dikhuatiri akan diganggu makhluk halus. Rasionalnya jika ibu hamil tidur selepas asar mungkin akan terlajak hingga terlepas solat maghrib. Seeloknya ibu hamil duduk di rumah selepas maghrib dan memperbanyak ibadah kepada Allah.
  • Ibu hamil dilarang minum minuman sejuk kerana dibimbangi mengalami kesukaran semasa melahirkan anak. Walhal yang sebenarnya minum minuman sejuk boleh menyebabkan ibu hamil itu selsema.
Imej janaan Copilot

Pantang larang anak dara atau seorang gadis.

  • Anak dara dilarang menjahit di badan kerana dikhuatiri sukar membayar hutang, dilarang memotong kuku dan mencucuk jarum di waktu malam untuk mengelakkan perkara yang tidak elok berlaku. Anak dara juga dilarang bercermin di depan cermin yang retak kerana dibimbangi akan mendapat wajah yang pucat di malam pertama pernikahan. Secara logiknya larangan-larangan tersebut adalah untuk mengelakkan berlakunya kecederaan kepada si pelaku. Tujuan lain adalah untuk menggalakkan anak gadis mengamalkan sikap berhati-hati dalam melakukan sesuatu pekerjaan.
  • Anak dara dilarang menyanyi di dapur kerana dikhuatiri akan bersuamikan lelaki tua. Namun mesej yang hendak disampaikan ialah perbuatan tersebut adalah tidak sopan dan tidak elok dipandang. Dibimbangi tempias air liur anak dara itu akan termasuk ke dalam makanan hingga menjejaskan kebersihan makanan itu. Malah jika dibiarkan tidak mustahil si pelaku terleka sehingga menyebabkan makanan tersebut hangus atau kurang ramuan.
  • Anak dara dilarang makan sambil berbaring kerana dikhuatiri akan mendapat suami pemalas. Logiknya makan sambil berbaring boleh menyebabkan si pelaku tercekik.
Imej janaan Copilot

Pantang larang ketika makan.

  • Makan sambil meletakkan pinggan di atas riba boleh menyebabkan suami diambil orang. Logiknya pinggan tersebut boleh terlungkup dan menyebabkan makanan tertumpah dan mengotorkan pakaian.
  • Makan bertindih pinggan dikatakan menyebabkan seseorang itu beristeri dua. Logiknya, sukar untuk mengasingkan pinggan yang bertindih kerana kotor dan melekat.
  • Makan dalam pinggan yang sumbing dan retak ditakuti anak yang akan dilahirkan menjadi sumbing. Logiknya makan dalam pinggan yang sumbing atau retak boleh menyebabkan kecederaan ketika makan atau mengambil makanan.
  • Makan dalam periuk belanga dipercayai akan menyebabkan seseorang mendapat anak yang bodoh. Nilai larangan ini menunjukkan perbuatan makan dalam periuk belanga adalah kelakuan yang tidak manis dan sopan.
Imej janaan Copilot

Pantang larang bayi dan kanak-kanak.

  • Orang dewasa dilarang duduk di hujung kepala bayi kerana dikhuatiri bayi terkena penyakit sawan. Tiada kajian membuktikan kebenaran larangan ini. Logiknya jika bayi kerap mendongak ke atas dalam tempoh masa yang lama hanya akan menyebabkan bayi berada di posisi tidak selesa dan mungkin akan memudaratkan kesihatannya.
  • Kanak-kanak dilarang duduk di atas bantal kerana dibimbangi akan terkena bisul. Walhal perbuatan tersebut dilihat tidak sopan kerana bantal dijadikan alas kepala semasa baring atau tidur.
  • Kanak-kanak dilarang makan dalam gelap kerana dikatakan makan dengan iblis. Secara logiknya perbuatan tersebut boleh menyebabkan kanak-kanak tercekik tulang dan sebagainya.
Imej janaan Copilot

Setiap jenis pantang larang orang Melayu mempunyai makna yang mendalam. Melanggar pantang larang boleh menimbulkan kesan negatif seperti menyebabkan kecederaan kepada si pelaku, tertangguh kerja dan lain-lain.

Jika anda berminat untuk membaca lebih lanjut mengenai pantang larang orang Melayu, anda boleh cuba dapatkan dua buah buku ini:

  1. Pantang larang orang Melayu tradisional oleh Wan Ramli Wan Muhammad (Utusan Publications & Distributors Sdn. Bhd. 2000).
  2. Adat dan pantang larang orang Melayu oleh A. Aziz Deraman (Penerbit Fajar Bakti Sdn Bhd 1995).
Imej janaan Copilot

Kesimpulannya, pantang larang orang Melayu ini bukanlah semata-mata untuk dipercayai tetapi lebih kepada untuk menghayati maksud atau mesej tersembunyi di sebalik pantang larang tersebut. Kelangsungan meneruskan amalan ini adalah untuk menjaga adab dan budaya Melayu supaya tak lapuk di hujan, tak lekang di panas.