25.1 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 19, 2025
Utama Blog Laman 34

Dua belas maut, 60 cedera selepas papan iklan di Mumbai runtuh

0

Dua belas orang terbunuh dan sekurang-kurangnya 60 cedera selepas papan iklan tumbang semasa ribut kuat di ibu negara kewangan India, Mumbai dalam kejadian pada 13 Mei.

Sebuah jengkaut sedang menggali serpihan ketika penyelamat berlumba-lumba mencari mangsa yang terselamat selepas papan iklan itu runtuh di sebuah stesen minyak di Pantnagar, Ghatkopar Timur, Mumbai telah memerangkap berpuluh-puluh orang di bawahnya.

Gambar Reuters

Gaurav Chauhan, inspektor Pasukan Tindak Balas Bencana Kebangsaan (NDRF) berkata, lapan mayat telah dikeluarkan dari serpihan dengan empat lagi mayat masih tertimbus semasa kerja mencari dan menyelamat dilakukan.

“Kami telah mengesan mereka tetapi kami tidak boleh mengeluarkannya kerana pam petrol ini dan keadaan boleh berbahaya,” katanya.

Gambar Reuters

Terdahulu, kenyataan pihak berkuasa perbandaran berkata 60 orang telah diselamatkan dan dimasukkan ke hospital.

Papan iklan yang runtuh itu berukuran 70 kali 50 meter, menurut hantaran pasukan polis Mumbai di platform media sosial X.

Gambar Reuters

Mumbai dilanda angin kencang disertai hujan dan ribut debu yang menumbangkan pokok dan menyebabkan bekalan elektrik terputus seketika di beberapa bahagian bandar, bersama-sama dengan gangguan pada rangkaian kereta api di bandar itu.

Laporan media India berkata penerbangan digantung sementara di lapangan terbang antarabangsa bandar itu dengan sekurang-kurangnya 15 pesawat dialihkan.

Gambar Reuters

Devendra Fadnavis, timbalan ketua menteri negeri Maharashtra, berkata mangsa yang cedera sedang dirawat di Hospital Rajawadi.

“Siasatan peringkat tinggi telah diarahkan ke atas insiden itu,” kata Fadnavis di laman X.

Pelajar dedikasi belajar lewat malam di bawah sinaran lampu jalan curi tumpuan menyentuh hati ramai

0

Ada kalangan pelajar tidak akan membiarkan apa-apa pun yang dapat menghalang pengajiannya ketika dia sedang gigih mengulang kaji pelajaran.

Pelajar ini benar-benar berazam untuk menuntut ilmu walau apa pun halangan yang sedang hadapi. Tidak kira di mana dia berada atau apa yang berlaku di sekelilingnya, dirinya tetap komited untuk belajar demi kemajuan masa hadapan.

Menjadi sebuah kisah yang menjadi inspirasi dan menyentuh hati baru-baru ini apabila pengguna TikTok @ameirfann berkongsi video seorang pelajar universiti dilihat sedang gigih belajar di bawah sinaran lampu jalan di pekarangan asrama universitinya.

@ameirfann / TikTok

Dalam video berkenaan, seorang pelajar wanita kelihatan sedang belajar bersungguh-sungguh di bawah cahaya lampu jalan yang malap.

Biasanya, pelajar pasti berasa selesa belajar di perpustakaan, bilik tutorial atau dalam bilik asrama sendiri ketika fasiliti itu telah ditutup untuk menyambung ulang kaji pelajaran.

Tetapi bagi pelajar ini, keselesaan tidak sepenting dedikasi. Dia duduk di atas permukaan laluan jalan dengan meja belajar kecil dan sebotol air, sambil memberikan fokus penuh terhadap pelajarannya tanpa menghiraukan orang lain yang memerhatikannya.

“Besarnya lampu study dia,” tulis @ameirirfann pada video tularnya itu.

@ameirfann / TikTok

Pengguna TikTok ini berkata pada mulanya dia tidak berapa nampak apa yang pelajar wanita itu sedang lakukan sehinggalah apabila melihat lebih dekat, rupa-rupanya dia sedang belajar dengan duduk bersila bersama meja kecil lipat di sisinya.

Difahamkan, kejadian pelajar belajar lain daripada yang lain itu berlaku kira-kira jam 11.30 malam di Universiti Tun Hussein Onn (UTHM) Pagoh, Johor.

Video tular dengan lebih 1.4 juta tontonan ini telah meraih perhatian warganet yang rata-rata menyatakan kekaguman dan memberi sokongan terhadap pelajar tersebut.

@ameirfann / TikTok

Mereka memuji kesungguhannya sambil memberikan kata-kata semangat, juga menyatakan tempat belajarnya itu mungkin tidak mengganggu rakan sebiliknya yang mahu tidur.

Ada juga yang mendoakan pelajar ini dan mengakui pengalaman sendiri pernah menghadapi halangan tersendiri ketika pengajian.

@ameirfann / TikTok

Semoga berjaya semua pelajar dalam pengajian masing-masing di luar sana dan dapat memberikan sumbangan kepada kemajuan negara.

Pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail: Seorang maut, dua cedera

0

KUALA LUMPUR: Seorang lelaki berusia 47 tahun meninggal dunia manakala dua lagi mangsa, seorang lelaki lelaki berusia 26 tahun dan wanita warga Sweden cedera dalam insiden pokok besar tumbang di Jalan Sultan Ismail pada petang Selasa, 7 Mei.

Penolong Pengarah Operasi Negeri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Kuala Lumpur M Fatta M Amin berkata, tiga mangsa tersepit dalam kenderaan masing-masing berjaya dikeluarkan anggota bomba.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia / Facebook

“Salah seorang mangsa disahkan meninggal dunia oleh petugas Kementerian Kesihatan (KKM) manakala dua yang cedera terus menerima rawatan di lokasi kejadian,” katanya dalam satu kenyataan.

Beliau memaklumkan insiden itu menyebabkan 17 buah kenderaan rosak dan landasan monorel berhampiran turut terhalang oleh dahan daripada pokok tumbang berkenaan.

Gambar The Star

Kejadian ketika hujan lebat itu juga menyebabkan kerosakan fasiliti awam termasuk perhentian bas di tepi laluan berkenaan.

“Pusat Gerakan Operasi Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan pada jam 14.19 petang, seterusnya menghantar jentera ke tempat kejadian.

“Keluaran pasukan operasi daripada BBP Jalan Hang Tuah bersama tiga balai bantuan, BBP Titiwangsa, BBP Jalan Tun Razak dan BBP Sentul bersama jentera FRT-4 dan EMRS-4, dengan kekuatan 27 orang anggota lain-lain pangkat,” katanya dalam kenyataan tersebut.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia / Facebook

Sebatang pokok besar di Jalan Sultan Ismail tumbang pada petang Selasa susulan hujan lebat dan angin kencang di kawasan berkenaan.

Berdasarkan beberapa gambar dan video tersebar di laman sosial, lokasi kejadian adalah berhampiran sebuah hotel dan kompleks beli-belah.

Video dan gambar tersebut menunjukkan beberapa kereta remuk teruk akibat dihempap pokok besar berkenaan.

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia / Facebook

Sementara itu, Rapid Rail Sdn Bhd berkata laluan monorelnya mengalami gangguan akibat pokok tumbang berhampiran stesen Raja Chulan.

“Tiada perkhidmatan monorel antara stesen KL Sentral dan Medan Tuanku.

“Kami juga menyediakan bas ulang-alik ke dan dari KL Sentral dan Medan Tuanku,” katanya dalam satu kenyataan, sambil menambah kereta api ulang-alik akan beroperasi antara Titiwangsa dan Medan Tuanku (Platform 1).

“Rapid KL bekerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) untuk menyelesaikan isu itu secepat mungkin,” katanya.

Dalam perkembangan terbaru, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Dr Zaliha Mustafa berkata, pokok tumbang itu merupakan pokok lama berusia lebih 50 tahun yang berada di bawah pemantauan pihak swasta.

“Kita juga telah mengenal pasti banyak pokok berusia sekitar 50 sehingga 80 tahun di ibu negara yang mana pokok-pokok ini hanya menunggu masa untuk tumbang lebih-lebih lagi dalam keadaan cuaca yang tidak menentu,” kata Dr Zaliha. 

Insiden ini bukan perkara baharu malah jika dibiarkan tanpa penyelenggaraan, esok atau lusa tidak mustahil kejadian pokok tumbang berpotensi akan berulang, walaupun bukan di kawasan sama tapi mungkin di tempat lain.

Pihak berkenaan perlu mengambil pengajaran dan iktibar daripada kejadian yang berlaku di Jalan Sultan Ismail bagi memastikan orang lain tidak menjadi mangsa, tambahnya.

Tiga lelaki menyamar polis samun dan culik ejen pelaburan Forex

0

Polis telah membuka kertas siasatan berkaitan kejadian samun terhadap seorang ejen dan pengajar pelaburan Forex oleh beberapa individu yang menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran di Jalan Wong Ah Jang, di Kuantan, Pahang pada 2 Mei lalu.

Ketua Polis Daerah Kuantan, Asisten Komisioner Wan Mohd Zahari Wan Busu berkata, mangsa telah membuat laporan polis berhubung kejadian pada jam 10 malam keesokan harinya.

Facebook

“Susulan itu, kertas siasatan dibuka mengikut Seksyen 170 Kanun Keseksaan kerana menyamar sebagai penjawat awam dan Seksyen 395 kanun sama kerana melakukan samun berkawan,” katanya dalam kenyataan pada 9 Mei.

Beliau meminta individu yang melihat dan mempunyai maklumat berkaitan kejadian tampil di mana-mana balai polis bagi membantu siasatan.

“Polis menasihati orang ramai supaya tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh mengganggu siasatan,” katanya.

Facebook

Sementara itu, Ketua Polis Pahang, Datuk Seri Yahaya Othman dalam kenyataan berasingan berkata, kejadian berlaku sekitar jam 5.30 petang apabila mangsa yang berusia 24 tahun bersama teman wanitanya didatangi tiga lelaki tidak dikenali yang memakai pelitup muka dan bertopi.

Beliau berkata, kesemua suspek yang menaiki kereta Perodua Bezza menggunakan nombor pendaftaran palsu telah memperkenalkan diri sebagai polis sebelum menarik mangsa ke dalam kenderaan mereka dan beredar dari kawasan itu.

“Menurut mangsa, kepalanya telah ditutup dan dia dibawa ke sebuah premis yang tidak diketahui. Pada 1.30 pagi keesokannya, mangsa telah dibawa dan ditinggalkan di kawasan perkuburan Cina di kawasan Bukit Ubi, di Kuantan dalam keadaan kepala masih bertutup.

Facebook

“Mangsa kemudian berjaya melepaskan diri dan meminta bantuan rakannya,” katanya.

Susulan kejadian itu, Yahaya berkata mangsa kerugian berjumlah RM18,000 dan pihaknya kini sedang menjalankan siasatan kes berkenaan dari segenap aspek.

Terdahulu, tular video berdurasi 42 saat di media sosial yang memaparkan kejadian samun melibatkan individu menyamar sebagai anggota polis di sebuah restoran.

Melalui video yang dikongsikan oleh orang awam di laman X dan Facebook, mangsa dilihat dalam keadaan bergari dan dipaksa masuk ke dalam kenderaan jenis Perodua Bezza oleh tiga orang lelaki.

Facebook

Mangsa juga dilihat cuba melawan ketiga-tiga lelaki itu namun tidak berjaya lalu mengambil keputusan untuk menjerit meminta pertolongan.

Pada masa sama, kelihatan seorang wanita turut menjerit cuba menghalang lelaki itu daripada ditahan namun dia telah ditolak ke tepi oleh para penjenayah berkenaan.

Video di sini.

Oyen comel bebas bergerak guna eskalator di lapangan terbang Thailand tarik perhatian ramai

0

Seekor kucing oyen berusia 9 bulan tiba-tiba menjadi selebriti mini terkenal di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok, Thailand baru-baru ini.

Selepas video TikTok merakam kucing sedang duduk di atas susur eskalator yang sedang bergerak, oyen bernama “Nurang” itu mula menjadi popular. 

@amuay2525 / TikTok

Beberapa pelancong yang berkunjung ke lapangan terbang itu malah mengambil kesempatan bergambar bersama kucing selebriti itu.

Nurang yang comel mula menjadi tarikan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok selepas beberapa videonya menjadi tular.

Dalam video TikTok @amuay2525, kucing oren itu sering dilihat bertenggek atau berjalan pada susur tangan eskalator yang bergerak ke bawah atau hanya berkeliaran di sekitar lapangan terbang.

@amuay2525 / TikTok

Satu lagi video menunjukkan kucing itu duduk dengan anggun di atas tiang arah hadapan eskalator, seperti seorang penjaga lapangan terbang.

Menurut Thai PBS World, oyen itu dimiliki oleh seorang wanita bernama Kanokporn, yang mana teman lelakinya bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan. 

@amuay2525 / TikTok

Teman lelaki itu dilaporkan akan menjemput para pelancong yang tiba di lapangan terbang dan Kanokporn kadang-kadang menyertainya untuk membantu pasangannya itu dengan beberapa tugasan.

Kanokporn berkata Nurang tidak suka ditinggalkan bersendirian, jadi dia akan membawanya bersama apabila dia datang untuk membantu teman lelakinya di lapangan terbang.

@amuay2525 / TikTok

“Saya pernah meninggalkannya seorang diri di dalam bilik saya dan, apabila saya kembali, bilik saya benar-benar berantakan, dimusnahkan olehnya,” tambah wanita berusia 31 tahun itu.

Nurang tidak pernah menimbulkan masalah di lapangan terbang kerana oyen itu sentiasa berada dalam pemerhatiannya, tambah Kanokporn.

Wanita rugi RM5K bila barangan bersama bagasi ditemui rosak lepas tiga jam pencarian di KLIA

0

Seorang wanita berkongsi pengalaman pahitnya berurusan dengan syarikat penerbangan selepas beliau mendapati peralatan memanah anak perempuannya rosak selepas mereka mendaftar masuk bagasi semasa penerbangannya dari Indonesia pulang ke Malaysia.

Apa yang menghampakan keluarga itu, barangan yang rosak bernilai lebih kurang RM5,000.

Norishah Jaafar / Facebook

Pada awal bulan ini, Norishah Jaafar berkongsi keluhannya menerusi hantaran di Facebook, dengan berkata beliau tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) bersama suami dan empat anaknya dari Indonesia pada jam 12 tengah malam selepas penerbangannya ditangguhkan pada 28 April.

Wanita itu mendaftar masuk lapan barang yang merupakan beg bagasi keluarga tetapi dua “bow case” alatan memanah anak-anaknya dan beg bagasi dilabelkan sebagai ‘bagasi bersaiz besar’ dan ditampal pelekat barangan ‘rapuh mudah pecah’ oleh kakitangan syarikat penerbangan Indonesia sebelum menaiki penerbangan.

Norishah Jaafar / Facebook

Semasa Norishah dan keluarganya mendarat di ketibaan KLIA, beliau hanya menemui enam beg bagasinya dan pembungkus plastik yang digunakan untuk salah satu “bow case” dan sandal anak-anaknya.

Apabila bertanya kepada kakitangan lelaki tentang isu yang dihadapi, wanita itu mendakwa pekerja itu secara kasar memberitahunya “mana tahu sampai macam ini ada selipar sahaja”, dan mengarahkannya untuk memeriksa di bahagian bagasi bersaiz besar di mana wanita itu dan suaminya bergegas berbuat demikian lalu berjaya mendapatkan semula satu “bow case”.

Norishah Jaafar / Facebook

Dengan “bow case” anaknya yang seorang lagi masih hilang, Norishah sekali lagi bergegas ke kaunter tuntutan bagasi untuk mengambil semula plastik pembungkus “bow case” anaknya yang hilang dan segera melaporkan kepada kakitangan syarikat penerbangan, tetapi diberitahu untuk menunggu beberapa hari dengan pulang ke rumah mereka di Perlis dahulu sambil menunggu untuk dihubungi.

Pihak mereka memaklumkan akan memulangkan “bow case” yang hilang itu tetapi Norishah tidak mahu mengalah dengan pencariannya.

Norishah Jaafar / Facebook

“Saya tak nak balik dan merayu kepada mereka untuk bantu mencarikan bow case Qalesya. Salah seorang staf wanita menyuruh saya menunggu selama dua hingga tiga jam sementara mengarahkan kakitangan lain mencarinya di dalam kargo.

“Kami menunggu sehingga jam 2.30 pagi. Sementara itu, saya juga menunjukkan gambar bow case itu kepada staf bahagian tuntutan bagasi yang lain, memohon mereka mencari bow case itu.

Norishah Jaafar / Facebook

“Lima minit kemudian, staf dari bahagian bagasi saiz besar membawa barang-barang itu ke dalam troli dan kami mendapati bow case Qalesya dan dua kerusi kecil yang berbalut sekali sebelumnya, tetapi kini tidak berada dalam keadaan asal,” keluh Norishah yang hampa.

Memburukkan lagi pengalaman itu adalah apabila salah seorang kakitangan tuntutan bagasi menjelaskan kepada Norishah yang alatan memanah itu mungkin tersepit di celah-celah laluan penghantar.

Norishah Jaafar / Facebook

Norishah memaklumkan laporan kerosakan dengan anggaran RM5,000 telah dibuat untuk membolehkannya memfailkan permohonan tuntutan pampasan dengan insurans.

Kakitangan kemudian memberitahunya laporan tidak dapat dibuat pada masa itu kerana kejadian berlaku pada waktu malam lepas waktu pejabat tetapi laporan boleh dibuat secara dalam talian, yang menyebabkan ibu empat anak itu sedikit berang.

Norishah Jaafar / Facebook

Menjelang jam 4 pagi apabila segala ‘urusan’ itu selesai, Norishah terpaksa menyampaikan berita sedih kepada anak perempuannya mengenai busur yang rosak, menyebabkan pemanah cilik berusia 10 tahun itu menangis kerana dia memerlukan alatan memanah itu untuk latihan dan kejohanan memanah yang bakal berlangsung.

Norishah Jaafar / Facebook

“Kami menanggung kerugian wang ringgit, masa, pengurusan kerja dan paling penting sekali emosi anak saya terganggu selepas mendapat tahu peralatan memanahnya rosak sepenuhnya dan tidak boleh digunakan,” tulis Norishah pada akhir hantarannya. 

Norishah Jaafar / Facebook

Namun, syukur beberapa hari selepas laporan tuntutan telah difailkan dan hantaran Facebook Norishah menjadi tular, kakitangan syarikat penerbangan berkenaan telah menghubunginya bagi mempercepatkan proses mendapatkan pampasan peralatan memanah yang rosak sepenuhnya itu.

Michelle Yeoh terima penghormatan tertinggi Amerika Syarikat, Pingat Kebebasan Presiden

0

Aktres Hollywood kelahiran Malaysia, Tan Sri Michelle Yeoh menerima penghormatan tertinggi Amerika Syarikat, Pingat Kebebasan Presiden, daripada Presiden Joe Biden dalam satu majlis rasmi di Rumah Putih di Washington pada 4 Mei.

Pingat Kebebasan Presiden adalah anugerah awam tertinggi Amerika Syarikat.

Facebook

Pingat itu dianugerahkan atas pencapaian bintang berusia 61 tahun itu sebagai warga Asia pertama memenangi Oscar untuk Pelakon Wanita Terbaik untuk peranannya dalam ‘Everything Everywhere All at Once’ pada Anugerah Akademi ke-95 tahun lalu, lapor Reuters.

Semasa majlis penyampaian pingat, Presiden Biden berkata Yeoh berjaya memecahkan dinding stereotaip dan memperkayakan budaya Amerika Syarikat.

Facebook

“Peranan Yeoh melangkaui jantina, budaya dan bahasa. Daripada seni mempertahankan diri kepada komedi romantis, sains fiksyen, semuanya menunjukkan persamaan yang kita semua berkongsi.

“Sebagai warga Asia pertama memenangi Oscar, Yeoh menghubungkan budaya bukan sahaja untuk menghiburkan kita tetapi juga memberi inspirasi serta membuka mata ramai sehingga ke hari ini…Tahniah,” kata Biden.

Tan Sri Michelle Yeoh yang berasal dari Ipoh, Perak menerima pingat itu bersama 18 individu lain yang kini menduduki barisan penerima anugerah sivil tertinggi di Amerika Syarikat.

Facebook

Mereka termasuk perenang Team USA Katie Ledecky, pemimpin hak sivil Medgar Evers dan hos televisyen Phil Donahue.

Pingat Kebebasan Presiden dianugerahkan kepada orang awam dan anggota tentera, yang tidak terhad kepada warga Amerika Syarikat.

Bekas pelajar tambah kemeriahan majlis temu semula, siap jemput cikgu-cikgu dalam bilik darjah lama buat ramai terhibur

0

Majlis pertemuan semula atau ‘reunion’ rakan-rakan lama di sekolah atau IPT kini menjadi salah satu trend dalam masyarakat.

Majlis sebegini terbukti mengeratkan kembali hubungan persahabatan yang telah terputus sekian lama dan pada masa sama, acara ini juga dapat mengimbau kembali kenangan lama dan memori manis ketika di zaman persekolahan, kolej dan universiti.

Majlis pertemuan biasanya akan diadakan di hotel, dewan atau restoran bergantung kepada jumlah alumni yang mengambil bahagian dengan kemampuan masing-masing.

TikTok

Namun begitu, berbeza seperti kebiasaan apabila para bekas pelajar SJKT ini memilih lokasi paling menarik seperti dalam video yang dikongsikan pengguna TikTok @_r_vind_ .

Lokasi pertemuan yang dipilih memang lain daripada yang lain apabila bekas pelajar SJKT Saraswathy, Sungai Buloh mengambil keputusan menjadikan bilik darjah lama mereka sebagai venue majlis ‘reunion’ diadakan.

TikTok

Apa yang lebih menariknya, guru-guru yang pernah mengajar mereka turut dijemput bagi menjadikan pertemuan semula lebih bermakna.

Dengan pelbagai aktiviti yang sinonim dengan zaman persekolahan seperti permainan cop tiang turut diadakan bagi memeriahkan suasana.

TikTok

Menerusi video yang sama juga, dapat dilihat mereka berkumpul dalam kelas dan cuba mencipta semula memori yang pernah dilalui suatu ketika dahulu.

Misalnya, ada guru yang dijemput turut bergurau dan bertindak seolah-olah mahu melakukan pemeriksaan rambut terhadap pelajar-pelajar lelaki.

TikTok

Malahan, guru berkenaan turut sporting bergurau dengan membawa sebatang pembaris panjang berwarna kuning (pembaris legend) ketika melakukan pemeriksaan dan bersiap sedia untuk menghukum pelajar yang melakukan kesalahan.

Sementara itu di TikTok, warganet memuji kesungguhan alumni SJKT Saraswathy yang dapat meluangkan masa berkumpul bersama serta tidak melupakan guru-guru yang telah banyak berjasa mendidik mereka.

TikTok

Video TikTok dengan lebih 3 juta tontonan berkenaan mendapat perhatian dan pujian warganet yang rata-rata berasa terhibur dengan perkongsian pengguna @_r_vind_ .

TikTok

Memang seronok apabila dapat berjumpa semula dengan rakan-rakan sekolah lama, apatah lagi dengan kehadiran cikgu-cikgu yang kita rindu.

Pesawat ringan terhempas di Sungkai: Cuaca berkabus antara punca nahas

0

Faktor cuaca menjadi antara punca berlakunya nahas pesawat ringan terhempas yang mengakibatkan dua individu cedera di sebuah ladang dalam kawasan Hutan Simpan Gunung Besout, Sungkai pada Sabtu, 4 Mei.

Ketua Polis Daerah Muallim, Superintenden Mohd Hasni Mohd Nasir berkata, semasa kejadian, pihaknya difahamkan kawasan hutan tersebut dilitupi kabus.

“Kita tidak menolak kemungkinan perkara itu kerana maklumat awal diperolehi daripada juruterbang, nahas disebabkan cuaca berkabus.

Facebook

“Bagaimanapun punca sebenar kejadian akan diketahui sebaik siasatan selesai dijalankan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU),” katanya kepada Sinar Harian pada Ahad, 5 Mei.

Nahas pesawat CESSNA 172 Skyhawk dengan pendaftaran 9M-ADA berlaku pada jam 9.35 pagi, telah mengakibatkan juruterbang, Kapten Shahrul Imran Surea, 26, mengalami patah kaki kanan manakala pelatih juruterbang, Le Ho Jia, 20, cedera di muka.

Facebook

Kejadian berlaku ketika kedua-dua mangsa sedang menjalani latihan penerbangan dari Lapangan Terbang Sultan Azlan Shah (LTSAS) Ipoh ke Tanjung Karang, Selangor dan berpatah balik ke Ipoh.

Mohd Hasni berkata, bangkai pesawat masih belum dibawa keluar dari lokasi nahas bagi memberi ruang siasatan terperinci dijalankan.

“Siasatan kes ini akan dilakukan BSKU bersama Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) dan syarikat pengendali pesawat tersebut,” katanya.

Facebook

Beliau turut memberitahu, tiada individu atau saksi yang dipanggil untuk dirakam percakapan berhubung nahas terbabit setakat ini.

Katanya, juruterbang dan pelatih wanita yang cedera telah dipindahkan ke hospital lain bagi rawatan lanjut.

“Mereka mendapatkan rawatan awal di Hospital Slim River dan telah dipindahkan ke hospital swasta di Kuala Lumpur dan Ipoh untuk pemeriksaan susulan,” katanya.

Buat baik berkali-kali, pempengaruh bantu ‘Aunty’ ubah suai rumah lama nampak baru sambil belanja barangan dapur

0

Pempengaruh Aisar Khaledd dan pasukannya tidak pernah jemu membantu golongan memerlukan walaupun sebelum ini pernah menerima kritikan.

Baru-baru ini, Aisar mendapat perhatian lagi apabila membantu seorang warga emas berbangsa Cina mengubah suai rumah lamanya yang sudah berusia 30 tahun dan tindakannya mendapat pujian warganet.

Facebook

Siapa yang tidak kenal dengan Aisar Khaledd, pempengaruh yang mempunyai 7.8 juta pengikut di TikTok dengan hampir semua videonya mempunyai lebih sejuta tontonan!

Aisar Khaledd membawa pasukannya ke kawasan luar bandar di Kampung Labu, Batu 10, Negeri Sembilan, dan secara kebetulan dia menemui rumah warga emas yang dipanggilnya ‘Aunty’ lalu meminta keizinannya untuk membersih dan mengecat rumahnya secara percuma. 

Facebook

Selepas Aunty bersetuju, mereka mula membersihkan dan mengubah suai rumah lamanya.

Aunty sangat berpuas hati dengan rumahnya kini nampak baru dan kemas!

Facebook

Kemudian Aisar Khaledd membawa Aunty ke pasaraya untuk membelanjanya barangan keperluan dapur.

Facebook

Aunty punyalah suka sampai melompat kegembiraan!

Facebook

Pada mulanya Aisar turut mahu memberikan barangan peralatan elektrik untuk rumah Aunty, namun warga emas itu telah menolaknya kerana berkata dia sudah memilikinya di rumah dan jarang menggunakannya kerana dia tinggal bersendirian.  

Facebook

Pada penghujung video tersebut, Aisar Khaledd turut menyebut tidak kira apa bangsa sekalipun, golongan yang memerlukan bantuan dialu-alukan untuk meninggalkan mesej.

Aunty pegang payung dalam hujan sambai melambai Aisar dan rakan-rakan berangkat pulang!

Facebook

Hati yang baik berada di mana-mana. Jika semua orang boleh melayan orang lain dengan rasa kasih sayang dan penuh keikhlasan, dunia akan menjadi lebih baik dan nampak sempurna.

Tonton video di sini.