Perayaan Songkran adalah sambutan Tahun Baharu pada hari yang paling hangat di Thailand, di penghujung musim kemarau yang jatuh pada 1 April setiap tahun. Seperti kebiasaan sejak bertahun-tahun, Songkran diterajui dengan adat menyimbah air, bilamana orang ramai merayau-rayau di jalanan dengan membawa baldi berisi air atau pistol air, atau berdiri di tepi jalan sambil memegang hos lalu mencurahkan air ke arah orang lain.
Adat menyimbah air asalnya merupakan cara memberi hormat kepada orang lain dengan menangkap air “bertuah” yang sudah dicurahkan untuk membersihkan patung Buddha lalu dicurahkan ke arah orang tua untuk memberi tuah kepada mereka sekeluarga.

Bagi golongan muda pula, perayaan ini dijadikan hari berseronok dengan menyimbahkan air ke arah orang lain, sehingga timbulnya gejala seperti berlawan air dan menyimbah air ke arah orang yang memandu kenderaan, yang mungkin boleh mendatangkan bahaya dan mudarat, jika tidak kena caranya.
Seperti yang dialami blogger dari China @TruckQueen pada bulan lalu apabila dia menyiarkan di platform Douyin, bagaimana dirinya mengalami kecederaan semasa bersama-sama warga tempatan meraikan perayaan Songkran di Thailand.

Insiden itu menyebabkan dia menerima kerosakan pada retina mata kanannya, mengakibatkan penglihatannya terjejas.
Disebabkan kecederaan mata itu, dia tidak dibenarkan menaiki penerbangan, dan akhirnya terpaksa menaiki kereta api jarak jauh untuk pulang ke China.

Blogger @TruckQueen mengimbas kembali dia sedang menunggang motosikal apabila empat atau lima orang Eropah dan Amerika yang menaiki kenderaan menyimbah sebaldi air ke arah mukanya dan secara tidak sengaja terkena matanya ketika mereka berada di jalan raya dari arah bertentangan.
Memandangkan kedua-dua pihak bergerak sangat pantas pada masa itu, @TruckQueen langsung tidak dapat melihat siapa pelakunya, dengan tanpa sedar tiba-tiba mukanya berlumuran darah. Ketika mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran, doktor memaklumkan retina mata kanannya telah rosak!

Walaupun tiga hari telah berlalu sejak kemalangan itu, matanya masih mempunyai kesan lebam dan bengkak, dan penglihatannya masih belum pulih. Dia benar-benar tidak dapat melihat dengan jelas dan matanya menjadi kabur.
“Saya tidak dapat melihat dengan jelas walaupun pada arah nombor terbesar pada carta mata,” katanya.

Kecederaan mata itu lebih mengecewakan @TruckQueen apabila tiba masanya untuk dia kembali ke China, kru penerbangan di lapangan terbang memberitahu dia tidak boleh menaiki pesawat.
Akhirnya, blogger ini tidak mempunyai pilihan selain mengubah rancangannya dengan menaiki kereta api jarak jauh untuk pulang ke China.

Dalam video terbaru, @TruckQueen mengemas kini kecederaan matanya dan tahap kesihatannya. Selepas beberapa hari melalui perjalanan jauh dan panjang, wanita itu akhirnya tiba ke negara asalnya.
Penglihatan di mata kanannya masih kabur dan dia berkata akan terus berjumpa doktor untuk menerima rawatan di China.

Ekoran siaran mengenai insiden itu, warganet memberi kata-kata semangat kepada @TruckQueen di ruangan komen, dengan berdoa agar mata kanannya cepat pulih dan kembali normal seperti biasa.
Insiden ini turut menyedarkan orang ramai tentang kepentingan memakai cermin mata khas atau perisai mata, terutama ketika pesta yang diraikan dengan melibatkan kehadiran air seperti perayaan Songkran.

Berhubung isu tidak dapat menaiki pesawat pulang ke China, warganet percaya kru penerbangan mungkin bimbang matanya akan mengalami kerosakan sekunder di altitud tinggi.
Ada warganet yang turut berkongsi pengalaman sendiri bagaimana tidak dibenarkan menaiki kapal terbang selepas menjalani pembedahan kelopak mata. Surat pengesahan daripada doktor diperlukan sebelum anda boleh dibenarkan menaiki penerbangan.

Bangkok Post melaporkan sebanyak 2,044 kemalangan jalan raya berlaku semasa perayaan Songkran di Thailand, mengakibatkan 287 kematian dan 2,060 kecederaan. Menteri berkenaan berkata, jumlah kemalangan jalan raya menurun berbanding tahun lalu, tetapi jumlah kematian meningkat. Kemalangan disebabkan memandu laju, pertukaran lorong mengejut dan pemanduan dalam keadaan mabuk.