Sebuah keluarga di Utah, Amerika Syarikat bersatu semula dengan kucing peliharaan mereka selepas dia secara tidak sengaja dihantar lebih seribu kilometer ke California dengan ‘pemulangan semula bungkusan’ terpaksa dilakukan.
Kucing bernama Galeana hilang dari rumahnya di Utah pada awal bulan ini yang mendorong pencarian meluas untuk menjejak si bulus dikasihi.
Galeana diselamatkan oleh pekerja Amazon hampir seminggu selepas dia melompat dan menyelinap ke dalam salah satu bungkusan keluarga tanpa dikesan.
Kucing itu berada dalam keadaan sihat walaupun tidak mempunyai makanan atau air selama beberapa hari.
“Galeana sukakan kotak, ia hanya sebahagian daripada personalitinya,” kata Carrie Clark, pemilik kucing itu, memberitahu KSL TV di Utah ketika menjelaskan bagaimana haiwan peliharaan keluarganya boleh mengembara begitu jauh dari rumah.
Kucing itu akhirnya diselamatkan dari kotak besar, yang juga mengandungi but-but kerja, oleh seorang pekerja Amazon yang membawanya terlebih dahulu kepada doktor haiwan untuk pemeriksaan.
Di sana, mikrocip kucing itu diimbas dan butiran hubungan Carrie Clark muncul. Doktor haiwan kemudian menelefonnya untuk menjelaskan apa yang telah berlaku.
Carrie menyifatkan ia sebagai “berita paling menakjubkan dan tergila di dunia”.
“Saya tidak percaya itu doktor haiwan pada mulanya dan menganggap ia adalah gurauan,” tambahnya.
Carrie dan suaminya kemudian terbang lebih 1,600 kilometer ke California untuk mengambil haiwan peliharaan mereka.
“Ia adalah pertemuan semula yang menakjubkan! Galeana serta-merta berhenti gementar dan mula bertenang di dalam pelukan apabila saya mendakapnya semula,” kata Carrie.
Nasib baik untuk kucing itu, salah satu balutan kotak telah terbuka membolehkan kemasukan udara untuknya bernafas dan keadaan cuaca adalah baik-baik sahaja, tidak terlalu sejuk atau terlalu panas.
Carrie menyifatkan pengalaman tidak mengetahui apa yang telah berlaku kepada Galeana sebagai amat “menyakitkan”, sambil menyarankan agar semua pemilik haiwan peliharaan untuk membuat mikrocip haiwan kesayangan mereka dan “menyemak tiga kali” kotak Amazon masing-masing ketika mahu mengirim.