Majlis pertemuan semula atau ‘reunion’ rakan-rakan lama di sekolah atau IPT kini menjadi salah satu trend dalam masyarakat.
Majlis sebegini terbukti mengeratkan kembali hubungan persahabatan yang telah terputus sekian lama dan pada masa sama, acara ini juga dapat mengimbau kembali kenangan lama dan memori manis ketika di zaman persekolahan, kolej dan universiti.
Majlis pertemuan biasanya akan diadakan di hotel, dewan atau restoran bergantung kepada jumlah alumni yang mengambil bahagian dengan kemampuan masing-masing.
Namun begitu, berbeza seperti kebiasaan apabila para bekas pelajar SJKT ini memilih lokasi paling menarik seperti dalam video yang dikongsikan pengguna TikTok @_r_vind_ .
Lokasi pertemuan yang dipilih memang lain daripada yang lain apabila bekas pelajar SJKT Saraswathy, Sungai Buloh mengambil keputusan menjadikan bilik darjah lama mereka sebagai venue majlis ‘reunion’ diadakan.
Apa yang lebih menariknya, guru-guru yang pernah mengajar mereka turut dijemput bagi menjadikan pertemuan semula lebih bermakna.
Dengan pelbagai aktiviti yang sinonim dengan zaman persekolahan seperti permainan cop tiang turut diadakan bagi memeriahkan suasana.
Menerusi video yang sama juga, dapat dilihat mereka berkumpul dalam kelas dan cuba mencipta semula memori yang pernah dilalui suatu ketika dahulu.
Misalnya, ada guru yang dijemput turut bergurau dan bertindak seolah-olah mahu melakukan pemeriksaan rambut terhadap pelajar-pelajar lelaki.
Malahan, guru berkenaan turut sporting bergurau dengan membawa sebatang pembaris panjang berwarna kuning (pembaris legend) ketika melakukan pemeriksaan dan bersiap sedia untuk menghukum pelajar yang melakukan kesalahan.
Sementara itu di TikTok, warganet memuji kesungguhan alumni SJKT Saraswathy yang dapat meluangkan masa berkumpul bersama serta tidak melupakan guru-guru yang telah banyak berjasa mendidik mereka.
Video TikTok dengan lebih 3 juta tontonan berkenaan mendapat perhatian dan pujian warganet yang rata-rata berasa terhibur dengan perkongsian pengguna @_r_vind_ .
Memang seronok apabila dapat berjumpa semula dengan rakan-rakan sekolah lama, apatah lagi dengan kehadiran cikgu-cikgu yang kita rindu.