Seekor kucing oyen berusia 9 bulan tiba-tiba menjadi selebriti mini terkenal di Lapangan Terbang Antarabangsa Suvarnabhumi Bangkok, Thailand baru-baru ini.
Selepas video TikTok merakam kucing sedang duduk di atas susur eskalator yang sedang bergerak, oyen bernama “Nurang” itu mula menjadi popular.
Beberapa pelancong yang berkunjung ke lapangan terbang itu malah mengambil kesempatan bergambar bersama kucing selebriti itu.
Nurang yang comel mula menjadi tarikan di Lapangan Terbang Suvarnabhumi Bangkok selepas beberapa videonya menjadi tular.
Dalam video TikTok @amuay2525, kucing oren itu sering dilihat bertenggek atau berjalan pada susur tangan eskalator yang bergerak ke bawah atau hanya berkeliaran di sekitar lapangan terbang.
Satu lagi video menunjukkan kucing itu duduk dengan anggun di atas tiang arah hadapan eskalator, seperti seorang penjaga lapangan terbang.
Menurut Thai PBS World, oyen itu dimiliki oleh seorang wanita bernama Kanokporn, yang mana teman lelakinya bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan.
Teman lelaki itu dilaporkan akan menjemput para pelancong yang tiba di lapangan terbang dan Kanokporn kadang-kadang menyertainya untuk membantu pasangannya itu dengan beberapa tugasan.
Kanokporn berkata Nurang tidak suka ditinggalkan bersendirian, jadi dia akan membawanya bersama apabila dia datang untuk membantu teman lelakinya di lapangan terbang.
“Saya pernah meninggalkannya seorang diri di dalam bilik saya dan, apabila saya kembali, bilik saya benar-benar berantakan, dimusnahkan olehnya,” tambah wanita berusia 31 tahun itu.
Nurang tidak pernah menimbulkan masalah di lapangan terbang kerana oyen itu sentiasa berada dalam pemerhatiannya, tambah Kanokporn.