26.3 C
Kuala Lumpur
Saturday, July 19, 2025
Utama Blog Laman 33

COVID-19: Varian KP.2 bermutasi, sedang merebak di China dan seluruh dunia

0

Pihak berkuasa kesihatan Parti Komunis China (PKC) baru-baru ini melaporkan strain COVID-19 KP.2 yang dominan telah bermutasi di China dan kini merebak ke seluruh dunia.

Sementara itu, orang awam di China mendedahkan kepada The Epoch Times edisi bahasa Cina bahawa wabak COVID-19 tempatan lebih teruk daripada yang dikeluarkan oleh pihak berkuasa, kerana pegawai tempatan terus menyembunyikan maklumat tentang jumlah sebenar kematian COVID-19.

Pada 14 Mei, Pusat Kawalan dan Pencegahan Penyakit rejim China mengeluarkan notis menyatakan varian KP.2 dikesan buat pertama kali dalam kes tempatan di Wilayah Guangdong pada 11 Mac. Menurut kenyataan yang dikeluarkan, setakat 12 Mei, sejumlah 25 jujukan KP.2 telah dilaporkan di seluruh China.

Gambar oleh Lintao Zhang /Getty Images

Walau bagaimanapun, pihak berkuasa kesihatan PKC mendakwa bahagian KP.2 berada pada tahap yang sangat rendah dan pada masa ini, tiga strain mutan teratas di China ialah JN.1, JN.1.16 dan JN.1.4.

Sejak Januari, KP.2 telah menyumbang kepada peningkatan peratusan kes di seluruh dunia. Pada 3 Mei, Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) menyenaraikan varian COVID-19 KP.2 sebagai Varian Dalam Pemantauan (VUM).

Pada 13 Mei, Zhao Wei, pengarah Pusat Penyelidikan Bio-Keselamatan di Universiti Perubatan Selatan China, memberitahu media negara China bahawa kemunculan strain mutan baharu COVID-19 menunjukkan bahawa virus itu belum lenyap di China.

PKC menangguhkan semua ujian COVID-19 di hospital apabila China tiba-tiba meninggalkan dasar dan langkah kawalan “COVID sifar” pada Disember 2022, yang diikuti oleh gelombang jangkitan besar-besaran dan kematian yang tidak terkira di seluruh negara.

Rejim China PKC telah mengaitkan gelombang jangkitan pernafasan yang menyerupai simptom COVID-19 di China dengan pelbagai patogen dan punca lain, seperti mycoplasma pneumonia, influenza A dan influenza B, sambil dengan sengaja mengelak sebarang sebutan COVID-19.

KP.2 (juga dikenali sebagai FLiRT) adalah varian terbitan Omicron JN.1 yang telah mengembangkan tiga mutasi tambahan secara bebas dalam spike protein yang pakar kesihatan katakan boleh meningkatkan kebolehjangkitan virus dan keupayaan untuk mengelak antibodi sedia ada daripada jangkitan atau vaksin sebelumnya. Ia pertama kali dilaporkan di India pada 2 Januari.

Orang awam di China memberi respons di media sosial terhadap pengumuman CDC mengenai varian baharu itu.

“Strain mutan ini atau strain mutan itu, doktor mengatakan mereka semua dirawat sebagai selesema.” kata satu hantaran. “Tidak kira betapa seriusnya wabak itu, mereka tidak pernah menguji sama ada ia COVID-19.”

Laporan orang awam tentang wabak berterusan di China

Warga China di seluruh negara memberitahu The Epoch Times bahawa COVID-19 tidak pernah hilang dari China dan pihak berkuasa terus menyembunyikan kebenaran mengenainya, yang membawa kepada lonjakan insiden kes teruk dan kematian mengejut.

Pada 13 Mei, Yan, seorang penduduk kampung di Daerah Fangzheng di Bandar Harbin yang terletak di timur laut China, berkata wabak COVID-19 tempatan adalah serius dan ramai orang di sekelilingnya telah mengalami demam dan selesema berulang, dengan simptom yang serupa COVID-19. Kematian mengejut atas sebab yang tidak diketahui kerap berlaku, katanya.

“Saya juga mengalami demam dan selesema dua hari lalu. Hospital tidak menguji dan merawatnya sebagai selesema, tetapi ia tidak dapat diubati. Pada masa kini, ramai pesakit telah mendapat penyakit paru-paru putih. Ramai yang telah meninggal dunia dalam dua tahun ini. Kami berada di kawasan pergunungan, dan kebanyakannya adalah pengebumian tanah. Terdapat kubur baru di mana-mana,” katanya kepada The Epoch Times.

Yang, seorang penduduk Wilayah Guizhou di barat daya China, mendedahkan sejak musim sejuk, ramai orang di sekelilingnya telah berulang kali dijangkiti. Apabila dia sakit, hospital tempatan tidak menjalankan ujian COVID-19. Tetapi dia diuji positif COVID-19 ketika menggunakan kit ujian pantas di rumah. Dia berkata doktor masih merawatnya seperti yang mereka lakukan untuk selesema.

“Ini telah membawa kepada kematian ramai warga emas, dan terdapat banyak kematian mengejut individu yang berusia 60-an dan 70-an,” katanya kepada The Epoch Times.

Chen, seorang penduduk Sanmenxia di Wilayah Henan, berkata kini terdapat kurang sedikit orang yang mengalami simptom demam dan selesema berbanding pada bulan Mac, tetapi terdapat ramai pesakit tenat masih mengalami “paru-paru putih” selepas jangkitan mereka.

Gambar CFOTO/Future Publishing/Getty Images

Sun, warga Bandar Baoding di Wilayah Hebei di utara China, memberitahu The Epoch Times bahawa sepanjang tahun lalu, ramai orang yang dikenalinya mengalami batuk yang berterusan.

“Ramai orang mati, tetapi punca kematian mereka tidak jelas. Pihak hospital hanya memberitahu keluarga mereka meninggal dunia akibat penyakit asas,” katanya.

Wang, seorang warga Wilayah Jiangxi di tenggara China berkata: “Dalam beberapa tahun kebelakangan ini, ramai orang di sekeliling saya mengalami selesema dan batuk berulang kali. Ramai rakan sekelas dan rakan zaman kanak-kanak saya telah mengalami nodul pulmonari. … Mereka berkata tahap kesihatan mereka tidak lagi baik.

“Ramai orang telah meninggal dunia dalam beberapa tahun kebelakangan ini, dan rumah pengebumian tidak boleh membakar mereka semua. Rumah pengebumian tempatan tidak dapat menampung begitu banyak mayat, jadi rumah yang baru telah dibuka tahun lalu.”

7 cara mudah singkirkan lebihan barang dari rumah anda

0

Tahukah anda lebihan barang dalam rumah hanya merumitkan kehidupan harian? Inilah 7 cara mudah singkirkan lebihan barang dari rumah anda.

Imej janaan Copilot.

Namun sebelum itu, mari lihat apakah akibat membiarkan lebihan barang yang disimpan di dalam rumah:

  • Semakin banyak barang yang disimpan, semakin sukar untuk mencari barang yang anda perlukan. Selain banyak masa terbuang, berkemungkinan anda akan membeli barang yang baharu kerana tidak dapat menemui barang yang lama.
  • Barang yang terbesar dan pelbagai di dalam rumah seperti almari boleh memberikan kesan visual yang tidak menyenangkan dan membuatkan rumah anda terlihat bersepah.
  • Kemalangan di dalam rumah seperti tergelincir atau tersandung boleh berlaku akibat barang-barang yang tidak disusun dengan rapi.
  • Ruang untuk melakukan aktiviti lain seperti bersantai bersama keluarga semakin sedikit disebabkan banyaknya barang yang disimpan.
  • Tekanan mental serta kegelisahan boleh berlaku akibat keadaan rumah yang bersepah.
Imej janaan ChatGPT4o

Ramai sebenarnya yang terperangkap dengan rasa bersalah, takut atau menyesal jika membuang barang yang dikatakan mengandungi ‘sentimental value’.

Selain itu, perasaan seperti “kalau saya memerlukannya satu hari nanti macam mana?” atau “barang ini masih boleh digunakan, jadi lebih baik saya simpan daripada beli yang baru” merupakan antara punca barang semakin banyak disimpan di dalam rumah.

Contohnya pakaian lama yang anda pakai semasa zaman remaja, barang hiasan yang diberikan oleh seseorang yang anda sayangi atau pinggan mangkuk hasil cabutan bertuah suatu ketika dahulu.

Harus diingatkan bahawa semua itu hanyalah objek kerana yang lebih penting ialah kenangan yang tersimpan dalam ingatan anda.

Imej janaan ChatGPT4o

Oleh yang demikian, anda memang perlu singkirkan lebihan barang dari rumah dan inilah 7 cara mudah melakukannya tanpa rasa bersalah:

  • Kenal pasti barang yang mempunyai nilai sentimental. Fikirkan tentang apa yang membuatkan anda berasa terikat kepada barang tersebut dan nilai sendiri sama ada barang itu masih relevan dalam kehidupan anda atau tidak.
  • Tetapkan had untuk setiap jenis barang. Sebagai contoh, tetapkan had untuk jumlah pakaian, perkakasan dapur, atau barang hiasan yang anda masih ingin simpan.
  • Asingkan barang mengikut kategori seperti “keperluan harian”, “nilai sentimental”, “barang simpanan”, dan “barang untuk dibuang”.
Imej janaan ChatGPT4o
  • Amalkan kaedah “satu masuk, satu keluar”. Caranya ialah setiap kali anda hendak membawa masuk satu barang baharu ke dalam rumah, anda mesti mengeluarkan satu barang lama dari rumah. Terpulang kepada anda sama ada untuk membuang atau mendermakannya.
  • Buang terus barang yang rosak atau tidak berfungsi. Percayalah dengan segera membuang barang yang rosak atau tidak berfungsi selepas anda cuba membaikinya akan memudahkan urusan anda pada masa hadapan.
Imej janaan ChatGPT4o
  • Libatkan keluarga dalam proses pengemasan dan pembuangan. Tidak salah untuk mendapatkan pandangan ahli keluarga ketika anda sedang melalui proses pengemasan dan pembuangan barang-barang. Proses ini dapat membantu mengurangkan rasa bersalah atau kekecewaan.
  • Cekalkan diri untuk buang barang yang tidak diperlukan. Jika anda berasa tergoda untuk menyimpan sesuatu, ingatkan diri anda tentang matlamat anda untuk menjaga rumah supaya kemas dan teratur.
Imej janaan ChatGPT4o

Dengan mengamalkan langkah-langkah tersebut secara berterusan, anda akan dapat mengatasi kekangan sifat sentimental. Malah rumah anda akan bersih sepanjang masa. Selamat mencuba!

Seorang penumpang insiden Singapore Airlines meninggal dunia

0

SINGAPURA: Seorang penumpang British berusia 73 tahun meninggal dunia disyaki akibat serangan jantung manakala sekurang-kurangnya 30 orang cedera dalam insiden Singapore Airlines.

Reuters

Penerbangan yang dijadualkan dari London ke Singapura menerusi pesawat Boeing 777-300ER dilencongkan ke Bangkok selepas pesawat berkenaan dilanda turbulens.

Sementara itu, lebih 140 orang penumpang dan kru penerbangan Singapore Airlines selamat tiba di Singapura pada pagi Rabu selepas pendaratan cemas di Bangkok.

Dzafran Azmir, pelajar berusia 28 tahun yang menaiki penerbangan tersebut berkata kepada Reuters, “Saya melihat orang dari seberang lorong melayang ke kedudukan mendatar sepenuhnya, terhantuk ke siling dan jatuh kembali dalam posisi yang sangat janggal. Mereka mengalami luka besar di kepala, konkusi.”

Foto dari dalam pesawat menunjukkan kerosakan pada panel atas kabin, topeng oksigen dan panel tergantung dari siling serta bagasi bertaburan.

Reuters

Seorang penumpang berkata beberapa orang terhantuk kepala pada lampu di atas tempat duduk dan menyebabkan panel berlubang.

Singapore Airlines yang membawa 131 orang penumpang dan 12 orang kru menerusi penerbangan bantuan dari Bangkok tiba di Singapura sebelum pukul 5 pagi.

Terdapat 211 orang penumpang asal yang terdiri daripada rakyat Australia, British dan Singapura serta 18 orang kru, penumpang yang cedera serta keluarga mereka masih berada di Bangkok.

“Saya mewakili Singapore Airlines, mengucapkan takziah kepada keluarga dan orang tersayang bagi mangsa yang meninggal dunia,” kata Ketua Pegawai Eksekutif Singapore Airlines, Goh Choon Phong.

Insiden itu sedang disiasat oleh Biro Penyiasatan Keselamatan Pengangkutan Singapura (TSIB) serta dibantu oleh wakil daripada Lembaga Keselamatan Pengangkutan Nasional AS. Boeing juga dikatakan akan turut serta memberi sokongan kepada Singapore Airlines.

Dilaporkan penerbangan tersebut mengalami turbulens udara yang teruk secara tiba-tiba dan juruterbang mengisytiharkan perubatan kecemasan dan penerbangan dilencongkan ke Bangkok.

Menurut penyedia penjejakan pesawat FlightRadar 24, data penjejakan penerbangan menunjukkan sekitar pukul 7.49 pagi GMT pesawat mengalami “perubahan mendadak dalam kadar menegak, konsisten dengan turbulens tiba-tiba”.

Reuters

Reuters terdahulu melaporkan Pengurus besar lapangan terbang Bangkok Suvarnabhumi, Kittipong Kittikachorn berkata kebanyakan penumpang yang ditemu bual memakai tali pinggan keledar ketika kejadian berlaku.

Singapore Airlines yang terkenal sebagai salah satu peneraju utama penerbangan dunia tidak mengalami insiden besar beberapa tahun lalu.

Insiden terbesar terakhir yang berlaku adalah pada 31 Oktober 2000 di mana seramai 83 daripada 179 orang penumpang maut ketika dalam perjalanan dari Singapura ke Los Angeles melalui Taipei.

Mengikut rekod dari Rangkaian Keselamatan Penerbangan, Singapore Airlines telah mengalami tujuh kemalangan secara keseluruhan.

Peningkatan kes COVID-19 di Singapura, KKM bersiap sedia

0

KUALA LUMPUR: Susulan peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 di Singapura, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) siap siaga hadapi situasi sama di negara ini.

Berita Harian

Sebanyak 1,230 kes COVID-19 dilaporkan pada 12 Mei hingga 18 Mei lalu yang menunjukkan peningkatan sebanyak 14.8 peratus berbanding minggu sebelumnya.

Walau bagaimanapun, tiada kes kematian akibat COVID-19 dilaporkan sejak 25 April.

Menurut kementerian dalam satu kenyataan, biarpun jumlah kemasukan pesakit COVID-19 ke fasiliti kesihatan pada minggu ke-20 menunjukkan peningkatan namun ia tidak membebankan kapasiti hospital.

Sehingga kini varian yang sedang menular di Malaysia masih lagi varian Omicron dan subvariannya.

“Terdapat satu kes K.P.2.1 dan satu kes K.P.1.1 dilaporkan sejak Mac 2024. Kedua-dua varian K.P.2.1 dan K.P.1.1 adalah sebahagian daripada keluarga Omicron. Secara khususnya, mereka adalah sublineage daripada JN.1.11.1.”

Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) telah menyenaraikan KP.2 sebagai Currently Circulating Variant Under Monitoring (VUM) pada 3 Mei 2024.

“Namun, kemasukan varian ini tidak menyebabkan jangkitan yang teruk kepada individu yang dijangkiti,” katanya.

Terdahulu, dalam satu kenyataan, Menteri Kesihatan, Datuk sSeri Dr Dzulkefly Ahmad berkata peningkatan kes COVID-19 secara mendadak di negara jiran itu membabitkan dua sub varian baharu Omicron.

Berita Harian

“KKM sedang memantau trajektori gelombang baharu peningkatan dua kali ganda kes COVID-19 yang dilaporkan di Singapura.”

“Setakat ini, dilaporkan ia membabitkan kes gabungan sub varian KP.1 dan KP.2 yang menyumbang lebih dua pertiga daripada kes COVID-19 di Singapura,” Katanya.

KKM menjelaskan virus COVID-19 akan terus berada dalam komuniti dan rakyat perlu berwaspada menghadapinya.

“Orang ramai dinasihatkan untuk memperkasakan diri bagi menjaga kesihatan masing-masing serta mencegah daripada mendapat jangkitan atau menularkan kepada orang lain susulan perjumpaan dengan orang ramai di tempat tertutup dan sesak,” katanya.

“Wap minyak boleh bergerak 10 meter jauhnya,” Pak Cik Shell jelas mengapa masak mi segera di stesen minyak undang bahaya

0

Mengapa anda tidak boleh menyalakan api untuk memasak walaupun nampak macam anda berada jauh dari stesen minyak? Stesen minyak memang sudah biasa menjadi kawasan persinggahan sementara buat anda meletakkan kenderaan, namun lokasi ini berisiko tinggi untuk berlakunya kebakaran.

Baru-baru ini, tular video yang memaparkan sekumpulan peminat kereta Honda Jazz berkumpul di hadapan stesen minyak di Genting untuk memasak mi segera dan tindakan mereka telah mencetuskan rasa tidak puas hati kalangan netizen.

Gambar @localrkyt/X

Rata-rata berpendapat perbuatan memasak di stesen minyak adalah berbahaya kerana mereka berada di kawasan yang mudah berlaku kebakaran walaupun tempat meletakkan kenderaan berada agak jauh dari pam petrol.

Sebagai maklum balas, seorang lelaki yang dikenali Pak Cik Shell tampil menerusi video di Instagramnya bagi menjelaskan mengapa orang ramai dilarang memasak berhampiran stesen minyak.

Gambar pakcikshell/Instagram

Beliau menegaskan walaupun sesetengah orang berpendapat mereka berada cukup jauh dari pam petrol maka tidak apa, tetapi tindakan ini tetap salah, “kerana wap minyak boleh merebak sejauh 10 meter dari punca seperti pam, tempat turun minyak dan vent pipe.”

Dalam video pendek yang dikongsinya itu, jelas kelihatan jarak 10 meter itu sebenarnya sangat dekat. Walaupun wap minyak tidak kelihatan, namun ia boleh bergerak untuk menyalakan api dalam sekelip mata dan menimbulkan bahaya yang besar.

Gambar pakcikshell/Instagram

Pak Cik Shell atau nama sebenarnya Shairan Huzani merupakan Pengarah Urusan Shell Malaysia Trading Sdn Bhd dan Shell Timur Sdn Bhd yang banyak berkongsi mengenai perihal minyak dan gas serta stesen minyak di Malaysia.

Beliau menasihatkan orang ramai untuk sentiasa berhati-hati dan mengambil berat akan perkara ini serta menjaga keselamatan satu sama lain ketika berada di stesen minyak.

Gambar @localrkyt/X

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Bentong Superintenden Zaiham Mohd Kahar berkata pihaknya sedang mencari individu-individu yang terlibat dalam video tular memasak mi segera di stesen minyak berkenaan.

Tambahnya, kertas siasatan juga sudah dibuka mengikut Seksyen 268 Kanun Keseksaan (menyebabkan kegusaran awam) dan Seksyen 336 Kanun Keseksaan (perbuatan yang membahayakan nyawa atau keselamatan diri).

Lagi kemalangan menyebabkan kematian Harimau Malaya yang semakin pupus 

0

Di manakah silapnya apabila terdapat banyak kemalangan melibatkan kematian spesies terancam kepupusan Harimau Malaya yang dilindungi undang-undang?

Pada pertengahan bulan ini, satu lagi kemalangan melibatkan Harimau Malaya (harimau belang) apabila haiwan yang dilindungi itu ditemukan mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Lebuhraya Karak di Kilometer 50.8 Kuala Lumpur-Karak dari arah Kuala Lumpur berhampiran Lentang di Bentong, Pahang. 

Persatuan Haiwan Malaysia / Facebook

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.28 pagi, 16 Mei 2024.

Kemalangan dengan kenderaan yang tidak dapat mengelak ketika haiwan itu sedang melintas jalan telah mengakibatkan harimau belang jantan dengan anggaran berat 130 kilogram itu mati di tempat kejadian.

INFO BERITA SEMASA / Facebook

“Harimau belang dewasa itu dianggarkan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh, jangkaan awal kita ialah haiwan terbabit datang dari Hutan Simpan Bukit Tinggi,” kata Rozidan.

Persatuan Haiwan Malaysia dalam hantaran di Facebook melaporkan dalam tempoh 6 bulan bermula November 2023 sehingga Mei 2024, negara telah kehilangan sia-sia tiga ekor Harimau Malaya akibat kemalangan maut:

Pada 21 Mac 2024, seekor harimau ditemui mati dilanggar dengan anggaran kematian telah dua hari berdasarkan keadaan bangkai yang ditemui. Harimau Malaya tersebut dianggarkan berusia antara 5 hingga 10 tahun ditemukan maut dipercayai ketika melintas Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Trong – Beruas, Perak.

Dan pada 9 November 2023, seekor Harimau Malaya turut jadi mangsa dilanggar sebuah lori treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sebelah Gua Tempurung.

Persatuan Haiwan Malaysia / Facebook

Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.

Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan bermula 2016 sehingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.

Pixabay

Walaupun Harimau Malaya dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sebagai haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya, tiada tindakan bersungguh-sungguh dijalankan oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah penurunan populasi harimau di Malaysia.

Konflik dengan manusia yang mengganggu habitat harimau dan sumber makanannya sentiasa menjadi punca Harimau Malaya berada dalam senarai spesies terancam.

Tonton video di sini.

Serangan di Balai Polis Ulu Tiram, tujuh individu direman

0

JOHOR BAHRU: Susulan insiden serangan di Balai Polis Ulu Tiram, tujuh individu ditahan kerana dipercayai mempunyai kaitan dengan kejadian tersebut.

BERNAMA

Ketujuh-tujuh individu akan dibawa ke Mahkamah Majistret Johor Bahru bagi mendapatkan perintah reman.

Lima daripada mereka terdiri daripada anggota keluarga suspek berumur antara 19 hingga 62 tahun ditahan dalam serbuan di kediaman keluarga suspek. Manakala dua orang lagi merupakan pelajar institut pengajian tinggi (IPT).

Sementara itu, Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah hari ini berkenan untuk berangkat bagi menziarahi jenazah dua orang anggota polis yang terkorban dalam serangan tersebut.

BERNAMA

Seri Paduka Baginda turut meluangkan masa menyantuni ahli keluarga anggota Allahyarham Konstabel Ahmad Azza Fahmi Azhar, 22 dan Konstabel Muhamad Syafiq Ahmad Said, 24 selepas solat jenazah.

Solat jenazah dilaksanakan di Masjid Tunku Laksamana Abdul Jalil Ibu Pejababt Polis Kontinejen (IPK) Johor dengan adat Istiadat Kepolisan, dihadiri ratusan anggota serta pegawai polis.

Turut serta menunaikan solat jenazah tersebut ialah Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail dan Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Terdahulu, jenazah kedua-dua anggota polis tersebut tiba dari Hospital Sultan Ismail (HSI) selepas proses bedah siasat.

Selepas selesai solat jenazah, dua keranda yang ditutupi Jalur Gemilanag itu dibawa masuk ke van jenazah dengan penuh penghormatan.

Jenazah Ahmad Azza Fahmi akan dikebumikan di Kampung Poh Bidor, Perak manakala jenazah Muhamad Syafiq pula akan disemadikan di Kuantan, Pahang.

Sementara itu, Koperal Mohd Hasif Roslan yang cedera ditembak suspek dilaporkan berada dalam keadaan stabil dan kini masih dirawat di HSI.

Saifuddin menziarahi dan meluangkan masa kira-kira 10 minit menyantuni anggota polis berkenaan dan ahli keluarganya sebelum turut serta melaksanakan solat jenazah bagi anggota polis yang terkorban.

FACEBOOK

Terdahulu, Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar mengesahkan dua anggota maut dan seorang lagi cedera dalam insiden yang berlaku pada pukul 2.45 pagi Jumaat lalu.

Suspek lelaki berumur 21 tahun bertopeng serta bersenjatakan pistol dan parang dilaporkan mati ditembak di lokasi kejadian. Polis turut merampas sepucuk pistol Walther P99 dan Selaras HK MP5 daripada suspek.

Dalam satu kenyataan yang dilaporkan Bernama, Saifuddin yang sebelum itu turut melawat lokasi serangan berkata suspek bertindak sendirian.

BERNAMA

“Kita dapati buat peringkat awalan ini bahawa penyerang bertindak bersendirian, kita panggil lone wolf, dia didorong motivasi tertentu yang dia faham sebab dia tidak bercampur orang.”

“Oleh itu, kita boleh buat kesimpulan awal daripada temu bual kita dengan individu yang kita panggil bahawa tindakan (serangan) itu berupa tindakan sendirian yang terpisah daripada satu misi besar ataupun satu kumpulan terancang…itu tiada,” Katanya.

Menurut Saifuddin lagi, lima ahli keluarga suspek yang ditahan akan disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan bagi mengenal pasti sumber yang mendorong suspek melakukan serangan itu.

Saifuddin berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Johor di sini, hari ini yang turut dihadiri Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain.

Dalam masa yang sama, Saifuddin menggesa masyarakat supaya tidak menyebarkan sebarang spekulasi manakala media disarankan melaporkan kejadian terbabit berdasarkan fakta yang diberikan polis.

Kereta meletup di stesen minyak, lelaki nyaris maut

0

KANGAR: Sebuah kereta tiba-tiba meletup dan terbakar di sebuah stesen minyak di Repoh. Dalam kejadian itu seorang lelaki nyaris maut.

BULETINTV3

Kejadian berlaku sekitar pukul 4.10 petang ketika mangsa yang berusia dalam lingkungan 40an itu sedang mengisi minyak petrol di situ.

Menurut Ketua Polis Daerah Kangar, Asisten Komisioner Yusharifuddin Mohd Yusop, siasatan awal mendapati kejadian berlaku ketika mangsa sedang mengisi petrol pada keretanya jenis Proton Iswara Aeroback.

“Tatkala pengisian petrol sedang dilakukan, dengan tiba-tiba bahagian tangki kereta itu meletup sehingga mengakibatkan kereta mangsa dijilat api pada keseluruhan kereta.”

“Mangsa mengalami kecederaan ringan di bahagian tangan akibat percikan serpihan kaca keretanya yang meletup dalam kejadian itu,” Katanya ketika dihubungi.

Kata Yusharifuddin lagi, kebakaran berjaya dipadamkan sepenuhnya oleh kakitangan stesen minyak berkenaan sekitar pukul 4.25 petang selepas 15 minit kerja pemadaman dilakukan.

BULETINTV3

“Berdasarkan maklumat siasatan awal forensik Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) Negeri Perlis pula, mereka mendapati bahawa punca kebakaran atau cetusan api itu bermula di bahagian kiri tempat duduk hadapan penumpang.”

“Malah, pihak bomba turut mengesyaki bahawa cetusan api ini adalah daripada tindak balas sampel yang diambil iaitu sebuah telefon bimbit dengan wap petrol yang berada di dalam kereta itu sehingga tercetusnya ‘spark’ percikan api awal yang berada di tempat duduk penumpang hadapan kiri tersebut.”

“Selain itu, pihak bomba juga mengambil sampel pengecas telefon bimbit dan rokok di tempat yang dijumpai di bahagian kiri tempat duduk penumpang hadapan itu,” Katanya.

Yusharifuddin berkata, setakat ini kebakaran adalah disebabkan kemalangan semata-mata dan tiada unsur jenayah ditemui.

Mangsa kemudiannya dihantar ke Hopsital Tuanku Fauziah, Kangar untuk dirawat.

Sementara itu, jurucakap JBPM Negeri Perlis berkta, seramai 10 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat Kangar dikerah ke tempat kejadian sejurus menerima panggilan kecemasan daripada orang ramai berhubung kejadian itu.

Akibat kebakaran itu juga, bahagian bumbung stesen minyak berkenaan rosak.

Ribut solar hasilkan aurora menarik di seluruh dunia, tiada gangguan ketara kepada sistem ruang udara

0

Ribut solar yang kuat menghasilkan aurora atau limpahan cahaya langit yang menakjubkan melanda bumi baru-baru ini, nampaknya hanya menyebabkan kerosakan kecil kepada grid kuasa, komunikasi dan kedudukan satelit.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan Amerika Syarikat (NOAA) berkata keadaan ribut geomagnetik melampau berterusan pada Sabtu, 11 Mei dengan laporan awal tentang anomali dalam grid kuasa dan kemerosotan komunikasi frekuensi tinggi dan sistem kedudukan global.

@itsjackcohen/X

Namun Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan AS berkata tiada kawasan yang melaporkan sebarang kesan ketara daripada ribut solar setakat ini. Jabatan Tenaga Amerika Syarikat berkata tidak jelas sama ada ribut itu memberi kesan kepada pelanggan tenaga dan kuasa.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan menjangkakan suar solar yang kuat berterusan sekurang-kurangnya sehingga Ahad, dan seorang jurucakap berkata Pusat Ramalan Cuaca Angkasa agensi bersedia menghadapi ribut itu.

Perkhidmatan rangkaian satelit Starlink SpaceX berkata di laman webnya pada pagi Sabtu bahawa perkhidmatan itu mengalami kemerosotan dan pasukan mereka sedang menyiasat, kata CEO Elon Musk di laman X.

@IzzraifHarz/X

Aurora Borealis atau biasa disebut Northern Light atau Cahaya Utara selalu boleh dilihat di Iceland, Scandinavia, Alaska dan bahagian utara Kanada dilaporkan dapat dilihat di seluruh dunia termasuk Jerman, Switzerland, China, Australia, New Zealand, United Kingdom, Belanda dan Sepanyol selepas ribut solar melanda.

Ribut solar telah menolak cahaya utara lebih jauh ke selatan di Amerika Syarikat. Pejabat Perkhidmatan Cuaca Kebangsaan Miami mengesahkan penampakan Cahaya Utara di kawasan Fort Lauderdale dan Fort Myers di Florida. Pakar Meteorologi Nick Carr berkata seorang lagi peramal cuaca angkasa yang tinggal berhampiran Fort Lauderdale telah merakam fenomena aurora berkenaan.

Penduduk di California, Kansas, Nebraska, Iowa, Michigan dan Minnesota juga dapat menyaksikan cahaya utara di langit negeri Amerika Syarikat itu.

@itsjackcohen/X

Ribut solar akan berterusan sehingga hujung minggu, memberi peluang pengalaman sekali seumur hidup kepada orang ramai untuk melihat fenomena alam menakjubkan Cahaya Utara dengan mata mereka sendiri.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan mengeluarkan amaran yang jarang berlaku mengenai ribut geomagnetik melampau apabila letusan solar tiba ke Bumi pada petang Jumaat, beberapa jam lebih awal daripada jadual.

Agensi itu memberi amaran kepada loji janakuasa dan kapal angkasa di orbit, serta Agensi Pengurusan Kecemasan Persekutuan, untuk mengambil langkah berjaga-jaga.

“Bagi kebanyakan orang di Bumi, mereka tidak perlu melakukan apa-apa,” kata Rob Steenburgh, saintis di Pusat Ramalan Cuaca Angkasa NOAA.

Rob berkata, aurora sememangnya anugerah dari cuaca angkasa.

Mike Bettwy, pengarah operasi di pusat ramalan cuaca angkasa, berkata mengambil gambar di langit “sememangnya terdapat sedikit kejutan untuk anda.”

@itsjackcohen/X

Sementara itu, Brent Gordon dari NOAA menggalakkan orang ramai untuk cuba merakam langit malam dengan kamera telefon walaupun mereka tidak dapat melihat aurora dengan mata kasar.

“Anda hanya perlu berada di luar dan ambil gambar dengan telefon bimbit dan anda akan kagum dengan apa yang dapat dilihat dalam gambar itu berbanding apa yang anda lihat dengan mata kasar,” katanya.

Ribut solar terkuat yang direkodkan dalam sejarah adalah pada tahun 1859, apabila aurora muncul di Amerika Tengah dan Hawaii.

Shawn Dahl, peramal cuaca angkasa di Pusat Ramalan Cuaca Angkasa Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan, memberitahu media bahawa ribut itu mendatangkan bahaya kepada talian penghantaran voltan tinggi grid kuasa, tetapi tidak kepada talian kuasa biasa. Satelit juga mungkin terjejas serta perkhidmatan navigasi dan komunikasi di Bumi mungkin terjejas akibatnya.

Ribut geomagnetik melampau pada tahun 2003 telah menyebabkan gangguan bekalan elektrik di Sweden dan merosakkan pencawang kuasa di Afrika Selatan selain memberi kesan kepada komunikasi radio frekuensi tinggi, GPS dan satelit.

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan berkata walaupun selepas ribut berakhir, isyarat antara satelit dan stesen penerima darat mungkin terganggu atau hilang. 

Pentadbiran Lautan dan Atmosfera Kebangsaan (NOAA) berkata, lonjakan jisim korona (CME) yang pertama, iaitu pengusiran plasma dan medan magnet dari matahari, berlaku awal petang 10 Mei.

Ribut geomagnetik yang ketara dijangka berterusan sehingga hujung minggu dan berlaku ketika matahari menghampiri kemuncak kitaran 11 tahun yang membawa kepada aktiviti lebih tinggi.

@IzzraifHarz/X

Tidak seperti suar solar, yang bergerak pada kelajuan cahaya dan sampai ke bumi dalam masa sekitar lapan minit, CME bergerak pada kadar yang lebih tenang, iaitu purata semasa pada 800 kilometer (km) sesaat.

Pada satu tahap, terdapat sehingga tujuh CME dalam transit terpancar daripada gugusan tompok matahari yang 16 kali lebih lebar berbanding bumi, tetapi tidak jelas bagaimana ia bergabung bersama sepanjang perjalanan.

Seorang profesor fizik angkasa lepas Universiti Reading, Mathew Owens berkata, kesan ribut akan dirasai di lintang utara dan selatan planet, bergantung kepada kekuatannya.

Orang utan selamba selongkar peti sejuk dan teguk sekotak minuman penghilang dahaga

0

Cuaca panas pada ketika ini membuatkan kebanyakan orang melakukan pelbagai cara untuk menyejukkan tubuh badan.

Ini termasuk orang utan yang terkesan dengan cuaca panas lalu bertindak melakukan pelbagai cara juga.

Arthur Chung / Facebook

Tular satu hantaran di laman Facebook hasil perkongsian pengguna Arthur Chung yang memuat naik video lucu dengan situasi luar jangkaan, apabila seekor orang utan dilihat dengan selamba memasuki sebuah kafe untuk mendapatkan minuman penghilang dahaga.

Kelihatan orang utan yang dikenali sebagai “Boogie” memasuki premis makanan Keruing Cafe yang terletak di Rainforest Discovery Centre (RDC) Sepilok, Sandakan, Sabah.

Arthur Chung / Facebook

Orang utan bijak ini dengan gaya selambanya terus membuka peti sejuk dan memilih minuman kegemarannya.

Selepas minum sekotak air manis, Boogie duduk bersila sebentar di kafe tersebut dan berlalu pergi dengan membawa sekotak minuman yang lain.

Arthur Chung / Facebook

“Disebabkan cuaca yang sangat panas hari ini, seorang tetamu yang tidak dijangka singgah di Kafe Keruing di RDC Sepilok, dan membantu dirinya secara selektif dengan apa sahaja yang terdapat di dalam peti sejuk dan pergi tanpa membayar!” kapsyen video lucu yang dirakam oleh kakitangan RDC Sepilok, Welfred Yudot berbunyi. 

Arthur berkata aksi bersahaja orang utan itu adalah berikutan cuaca panas yang melanda Sepilok dan beberapa kawasan lain di Sabah.

Arthur Chung / Facebook

Tambahnya lagi, ini bukan gelagat pertama kali orang utan itu datang ke kafe dan membuka peti sejuk untuk mengambil minuman bagi menghilangkan rasa dahaganya.

Tonton video di sini.