Di manakah silapnya apabila terdapat banyak kemalangan melibatkan kematian spesies terancam kepupusan Harimau Malaya yang dilindungi undang-undang?
Pada pertengahan bulan ini, satu lagi kemalangan melibatkan Harimau Malaya (harimau belang) apabila haiwan yang dilindungi itu ditemukan mati dipercayai akibat dilanggar kenderaan di Lebuhraya Karak di Kilometer 50.8 Kuala Lumpur-Karak dari arah Kuala Lumpur berhampiran Lentang di Bentong, Pahang.

Pengarah Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) Pahang, Rozidan Md Yasin berkata, kejadian itu berlaku pada jam 1.28 pagi, 16 Mei 2024.
Kemalangan dengan kenderaan yang tidak dapat mengelak ketika haiwan itu sedang melintas jalan telah mengakibatkan harimau belang jantan dengan anggaran berat 130 kilogram itu mati di tempat kejadian.

“Harimau belang dewasa itu dianggarkan berusia empat tahun berdasarkan saiz tubuh, jangkaan awal kita ialah haiwan terbabit datang dari Hutan Simpan Bukit Tinggi,” kata Rozidan.
Persatuan Haiwan Malaysia dalam hantaran di Facebook melaporkan dalam tempoh 6 bulan bermula November 2023 sehingga Mei 2024, negara telah kehilangan sia-sia tiga ekor Harimau Malaya akibat kemalangan maut:
Pada 21 Mac 2024, seekor harimau ditemui mati dilanggar dengan anggaran kematian telah dua hari berdasarkan keadaan bangkai yang ditemui. Harimau Malaya tersebut dianggarkan berusia antara 5 hingga 10 tahun ditemukan maut dipercayai ketika melintas Lebuhraya Pesisiran Pantai Barat (WCE) Trong – Beruas, Perak.
Dan pada 9 November 2023, seekor Harimau Malaya turut jadi mangsa dilanggar sebuah lori treler di Lebuhraya Utara Selatan (PLUS) Sebelah Gua Tempurung.

Harimau Malaya sememangnya diancam kepupusan kerana data menunjukkan populasinya berada pada tahap yang sangat membimbangkan.
Berdasarkan dapatan Survei Harimau Pertama yang dilaksanakan bermula 2016 sehingga 2020, anggaran populasi Harimau Malaya terkini adalah kurang daripada 200 ekor.

Walaupun Harimau Malaya dilindungi di bawah Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010 sebagai haiwan liar yang dilindungi sepenuhnya, tiada tindakan bersungguh-sungguh dijalankan oleh pihak berwajib bagi mengatasi masalah penurunan populasi harimau di Malaysia.
Konflik dengan manusia yang mengganggu habitat harimau dan sumber makanannya sentiasa menjadi punca Harimau Malaya berada dalam senarai spesies terancam.
Tonton video di sini.