Pada 26 Mei 2021, fenomena gerhana bulan yang jarang berlaku yang bukan sahaja gerhana bulan penuh, tetapi juga merangkumi momen bulan perlahan bertukar warna putih mutiara kepada warna kemerahan dikenali Gerhana Bulan Penuh ‘Super Flower Blood Moon’ akan dapat disaksikan penduduk dunia.
Masyarakat di Malaysia berpeluang menyaksikan fenomena indah jarang berlaku ini bermula jam 4.47 petang, 26 Mei.
Gerhana bulan penuh ini dapat dilihat di Asia timur, Lautan Hindi timur, Oceania, Kepulauan Pasifik, Amerika Utara barat, Amerika Selatan barat dan Antartika.
Menurut kenyataan Agensi Angkasa Malaysia (MYSA), gerhana bulan penuh ‘Super Flower Blood Moon’ akan mula dapat disaksikan di Malaysia pada jam 4.47 petang dan berakhir pada jam 9.50 malam, 26 Mei.
Masyarakat di Sabah dan Sarawak akan dapat menyaksikan fenomena gerhana bulan ketika fasa gerhana separa, sementara di Semenanjung dapat menyaksikan fasa gerhana bulan maksimum.
Menurut MYSA menerusi laman Facebook rasmi, fenomena gerhana bulan ‘Super Flower Blood Moon’ akan berlaku selepas bulan berada pada kedudukan yang paling hampir dengan bumi (perigee) dengan jarak 357,309 kilometer. Fenomena ini akan dapat dilihat secara keseluruhan di timur Australia, New Zealand dan Kepulauan Pasifik.
Gerhana Bulan Penuh ‘Super Flower Blood Moon’ boleh disaksikan secara penstriman langsung menerusi akaun media sosial Facebook dan YouTube Planetarium Negara pada hari Rabu, 26 Mei 2021. Kemudahan teleskop tidak akan dibuka kepada orang awam di Planetarium Negara kerana pelaksanaan PKP.
Ketika negara bergelut dengan masalah ekonomi, rakyat juga terpaksa berhempas pulas bekerja untuk mendapatkan rezeki setiap hari. Tanpa mengira pekerjaan, kini semuanya sanggup dilakukan asalkan ianya tidak melanggar undang-undang.
Menurut sumber netizen di Facebook yang memuat naik status mengenai pemuda ini, Kopi Ping, mualaf cina yang rajin bernama Firdaus Ng itu menjalankan perniagaan yang bertempat di sebelah Maybank Karamunsing, Kota Kinabalu.
Rupa-rupanya pemuda ini menjual makanan untuk membantu isterinya yang sarat mengandung ketika ini. Ramai netizen yang pernah merasai makanan yang dijualnya dan ramai yang bersetuju bahawa kek dan nasi kuning yang dijual adalah sangat sedap.
Jadi, kepada anda yang tinggal atau bekerja berdekatan dengan kawasannya berniaga boleh lah menyokong perniagaannya dengan membeli makanan yang dijual. Semoga pemuda ini terus berjaya dengan perniagaannya!
Ketika zaman pandemik semua orang diduga dengan kesusahan. Yang hidup senang semakin berasa kekurangan, dan yang hidup susah semakin berasa lebih susah. Tidak kira siapa, semua orang akan mengadu hidup semakin susah.
Akibat kehilangan punca rezeki sama ada dibuang kerja atau perniagaan terpaksa ditutup sementara atau tidak mampu diteruskan lagi, semua orang terpaksa juga meneruskan kelangsungan hidup tidak kira apa pun, asalkan dengan terus berusaha.
Antaranya ada yang terpaksa meneruskan kehidupan dengan menjadi pekerja penghantar makanan atau pemandu Grab dan teksi demi menyara keluarga.
Seorang aktivis sosial dan pengasas ‘Dana Kita’ yang dikenali ramai, Cikgu Fadhli Salleh baru-baru ini dalam hantaran di laman Facebook menceritakan bagaimana seorang pemandu Grab berbangsa Singh telah datang ke kedai gajet miliknya untuk membeli telefon pintar yang baru kerana telefon pintar lamanya telah rosak. Telefon itu tidak lagi boleh digunakan untuk kerja sehariannya yang amat penting.
“Cikgu, ada lelaki bangsa Singh datang hendak beli telefon. Tapi dia cuma ada RM24 sahaja. Saya dah cakap, kedai kita tak boleh hutang. Tapi dia merayu juga. Macam mana ni cikgu?” pekerjanya bertanyakan Cikgu Fadhli.
Cikgu Fadhli kemudian keluar bertanyakan lelaki ini dengan berkongsi kisah terdesaknya pada hari itu yang menyedihkan.
Kata lelaki ini, dia cuma bekerja sebagai pemandu Grab yang tinggal bersama ibu yang berusia 72 tahun. Punya seorang anak berusia 4 tahun hasil perkahwinan dengan bekas isterinya.
Setiap hari dia akan menghantar anaknya ke rumah pengasuh dan layan anaknya dengan baik tanpa pernah memutuskan hubungan dengan anak tunggal yang amat disayanginya.
Kemudian lelaki ini mengeluarkan dompet dengan isi kandungannya bernilai RM24 itu sambil berkata, “Cikgu, ini sahaja duit saya. Telefon saya rosak. Macam mana saya hendak bawa Grab? Boleh tidak kalau saya bayar ansur-ansur?”
“Kedai kami tidak buat ansuran uncle,” jelas Cikgu Fadhli.
Lantas dia membalas, “Kalau macam itu, saya terpaksa cari along dan pinjam duit hendak beli telefon. Telefon penting untuk saya buat kerja.”
Mendengar perkara itu, Cikgu Fadhli menahannya dan bertanya, “Uncle, tunggu! Uncle hendak telefon yang macam mana?”
Dia berhenti dan memandang mata Cikgu Fadhli sambil berkata, “Saya tak ada duit.”
Cikgu Fadhli bertanya sekali lagi, “Uncle hendak yang mana? Ini yang paling murah tapi dah okey dah.”
Sambil mengarahkan pekerjanya menghulurkan telefon yang dicadangkan kepada pemandu Grab ini.
Kemudian dia berkata, “Saya tak ada duit cikgu…”
Sambil tersenyum Cikgu Fadhli berkata, “Kedai saya memang tidak boleh memberi ansuran. Boleh bankrap kalau semua orang hutang. Tapi kita sama-sama manusia. Uncle terdesak dan perlu bantuan. Saya mampu tolong, mesti tolong uncle punya. Cuma janji jangan tipu sama saya sahaja. Ada berapa lebih bayar sikit-sikit.”
Nampak air mata lelaki ini mahu bergenang keluar. Matanya mula merah dan dia keluarkan kad pengenalan dari dompetnya sambil berkata, “Cikgu pegang IC saya, tak akan tipu cikgu!”
Cikgu Fadhli tersenyum sahaja lalu menyuruh pemandu Grab ini untuk menyimpan sahaja kad pengenalannya dan mengambil telefon pintar barunya.
Sebelum dia beredar, Cikgu Fadhli menyuruhnya menunggu sebentar dan kemudian menyerahkan satu kotak ‘Dana Kita’ berisi beras, minyak masak, sardin, gula, susu dan lain-lain barang keperluan.
“Saya urus NGO juga bantu orang susah. Bawa balik boleh masak dengan mak,” kata Cikgu Fadhli kepada pemandu Grab ini.
Tulisnya dalam hantaran itu, “Masa ini dia tidak dapat berkata apa sudah. Terus mengalir air mata dia. Tidak dapat ditahan lagi sebak di dada.”
“Syukurlah. Hari ini ada insan yang mendapat bantuan lagi. Tidak kisah bangsa apa, agama apa, asal mereka layak dan benar-benar memerlukan, pasti akan membantu semampu yang boleh,” tulis Cikgu Fadhli Salleh.
Semoga anda dan kumpulan sentiasa murah rezeki untuk terus membantu orang lain.
Pada 16 Mei, kecoh di media sosial apabila seorang netizen memuat naik beberapa gambar yang menunjukkan timbunan stok biskut raya yang telah luput tarikh dilupuskan secara haram di tepi jalan.
Hantaran oleh pengguna Facebook Ahmad Fahmi yang berbunyi, “Macam mana stok biskut raya korang tahun ni? Banyak habis ke belum? Kalau tidak habis janganlah membazir… Sedekah dekat jiran-jiran cepat, jangan tunggu sampai luput tarikh. Lepas tu buang dalam hutan… Ini contoh orang buang biskut raya, jumpa masa berbasikal semalam.”
Lambakan biskut raya yang dibuang secara tidak bertanggungjawab itu ditemui ketika beliau sedang menunggang basikal secara kebetulan di tepi jalan di laluan Kampung Baharu Dengkil, yang telah menimbulkan salah faham sehingga menarik perhatian para netizen lain.
Lantas para netizen yang tidak mengetahui hal sebenar mula mengecam perbuatan tersebut yang dianggap satu pembaziran dan mencemarkan alam sekitar.
Akibatnya pihak yang terlibat yang tertera dalam logo di penutup biskut raya terbabit iaitu Hotel Tenera, Yayasan Pendidikan Malaysia dan Pertubuhan Orked Penyayang telah tampil dalam satu kenyataan media dan membuat laporan polis, dengan menegaskan serta menafikan mereka terlibat dalam isu pelupusan bekas biskut raya secara haram itu.
Pihak berkaitan menjelaskan bahawa urusan pengedaran biskut raya tersebut telah pun berakhir pada bulan September tahun lalu.
Pengurusan Hotel Tenera dalam kenyataan media bertarikh 17 Mei berkata, “Pengurusan Hotel Tenera dengan tegas menafikan sebarang kaitan dengan isu tular pelupusan pengedaran secara haram bekas biskut raya di laluan Kampung Baharu Dengkil.”
“Merujuk kepada gambar-gambar, jelas bekas-bekas kuih adalah keluaran tahun 2020 dan pengedaran serta serahan sepenuhnya telah selesai dilakukan kepada pihak-pihak yang terlibat pada September 2020.”
“Pengurusan Hotel Tenera menegaskan bahawa tiada stok lebihan yang masih ada dalam simpanan untuk keluaran 2020,” jelas mereka.
Sementara itu Yayasan Pendidikan Malaysia (YPM) telah membuat laporan polis pada 18 Mei berhubung isu pembuangan biskut raya luput tarikh berkenaan bagi tujuan membersihkan nama baik dan imej mereka.
“Pihak YPM menyeru orang ramai supaya berhenti daripada membuat sebarang spekulasi dan andaian yang boleh menimbulkan fitnah serta mencemar nama YPM dan Pertubuhan Orked Penyayang kerana kes ini masih dalam siasatan pihak berwajib,” kata wakil mereka.
Dalam perkembangan terbaru, dilaporkan tempat kejadian telah pun dibersihkan dan ada pihak yang sudah mengambil semua sisa buangan lambakan biskut raya yang bertarikh luput 18 Disember 2020 berkenaan.
Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka berganda jika berada di tempat awam yang berisiko tinggi.
Ia hanya digalakkan dan tidak diwajibkan, namun pemakaian pelitup muka masih lagi wajib untuk semua termasuklah mereka yang berniqab dan memakai pelindung muka.
Double mask is encouraged in high risk areas and it gives additional protection. https://t.co/7ivmN70aQC
Tambah beliau, kajian dilakukan oleh Pusat Pengendalian & Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mendapati pemakaian pelitup muka berganda 95% berkesan untuk mencegah jangkitan.
Namun kaedahnya haruslah betul dan tepat. Menurut CDC, pemakaian itu walau bagaimanapun tidak menggabungkan dua jenis pelitup muka jenis pakai buang.
Pastikan pelitup muka surgikal 3 lapis dikemaskan pada bahagian tepi (ikat gelung telinga dan selitkan lipatan sisi pelitup muka) bagi mengurangkan jurang dengan muka.
Kemudian, pakai pelitup muka jenis fabrik di atasnya. Gabungan kedua jenis pelitup muka ini menurut CDC tidak akan mengurangkan pembekalan oksigen pada pemakai.
“Jadi kalau kita berada di tempat sesak dan berisiko tinggi, adalah amat digalakkan untuk memakai double face mask dan face shield”, kata Dr Noor Hisham.
Keberkesanan pemakaian pelitup muka berganda mengikut jenis
Ini berikutan terdapat satu laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa virus COVID-19 boleh merebak melalui udara (airborne) dan bukan hanya melalui titisan (droplets).
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai untuk tidak memakai pelitup muka jenis fabrik jika berada di kawasan berisiko tinggi seperti di hospital.
Aktivis sosial, Uncle Kentang ataupun nama sebenarnya Kuan Chee Heng bakal menerima anugerah ‘Point of Light’ dari Ratu Elizabeth II atas sumbangannya terhadap masyarakat.
Difahamkan bahawa Uncle Kentang merupakan individu keempat dari Malaysia yang menerima penghormatan sedemikian sejak penubuhan anugerah itu pada tahun 2018.
Point of Light dianugerahkan oleh Ratu Elizabeth II ke atas sukarelawan yang banyak memberikan inspirasi dan perubahan di dalam komuniti di 54 buah negara Komanwel.
Dalam pada itu, Uncle Kentang berkata bahawa beliau mendedikasikan anugerah itu kepada rakyat Malaysia yang prihatin dan membantu menghulurkan sumbangan pada misi bantuannya.
“Saya dengan rendah diri memaklumkan penghargaan itu bukan untuk saya sendiri tetapi ia adalah hak anda semua dan hak rakyat Malaysia”.
“Maka itu, saya hanyalah wakil yang hadir untuk menerima anugerah tersebut di Pejabat Pesuruhjaya Tinggi British di Kuala Lumpur sempena hari lahir baginda pada 12 Jun ini”, tulis beliau.
Ujar bekas anggota polis itu, beliau menubuhkan Community Policing Malaysia – sebuah NGO pada tahun 2007, yang mana bertujuan untuk langkah pencegahan jenayah.
Namun Uncle Kentang kemudiannya mula menyedari bahawa pendorong utama jenayah untuk berlaku adalah faktor kemiskinan di banyak kawasan komuniti setempat.
Sejak itu, beliau memulakan usaha dan inisiatif bantuan bagi golongan memerlukan menggunakan nama Uncle Kentang – panggilan yang tercipta semasa kempen pengedaran makanan.
Tambah beliau, anugerah itu diharapkan dapat menjadi penguat semangat kepada masyarakat untuk membina sebuah negara majmuk yang bersolidariti, saling bantu-membantu tanpa mengira kaum, agama, politik dan darjat.
Jika anda mahu membantu usaha murni Uncle Kentang, anda boleh menghubungi beliau dan juga pasukannya di laman web Uncle Kentang, laman Facebook atau di talian 018-2683999.
Pernahkah anda terfikir bahawa tiada seorang pun manusia di muka bumi ini mahukan kehidupan yang susah dan miskin?
Bukankah mereka juga berhak untuk hidup serba serbi mencukupi seperti orang lain? Jadi, adalah menjadi tanggungjawab kita untuk membantu mereka yang kesusahan.
Apa yang kita perlukan adalah sifat pemurah dan belas kasihan sesama insan, sama seperti apa yang ditunjukkan oleh seorang wanita bernama Suzaliza Mahmod ini.
Suzaliza menceritakan pengalamannya didatangi seorang lelaki yang menghampiri keretanya. Lelaki tersebut menurutnya meminta makanan.
“Maaf, saya tiada pekerjaan. Tiada duit nak beli makanan”, kata lelaki tersebut. Berasa kasihan, Suzaliza kemudian meminta lelaki itu tunggu di situ sementara dia pergi membeli makanan.
Walaupun masih tidak percaya sepenuhnya, Suzaliza tekad untuk cuba juga membantunya. “Mungkin dia betul-betul perlukan makanan”, tulisnya.
Setibanya ke lokasi tadi, lelaki itu masih ada dan kelihatan menunggunya kembali. Suzaliza yang ditemani anaknya kemudian menghulurkan sebungkus nasi berlauk, air teh o ais, pelitup muka dan sedikit wang.
Jelas Suzaliza, dia memberikan sedikit wang kerana berfikir bahawa lelaki itu tiada wang untuk membeli makanan di waktu petang. “Pada mulanya dia tak nak terima duit saya bagi. Bila hulur duit, riak wajahnya sedih”.
Lelaki tersebut berkali-kali mengucapkan terima kasih padanya. Tambah Suzaliza, dia tidak kisah jika netizen mengkritik dirinya sibuk membantu bangsa lain, bukannya bangsa sendiri.
“Tidak kisahlah orang mahu cakap apa. Tapi disebabkan keperimanusiaan itu ada, tidak kisah mahu tolong siapa-siapa”, katanya.
Suzaliza juga menjelaskan bahawa dia sendiri sedang mencari kerja. “Bila abang tu datang, ada orang lebih susah daripada aku. At least, aku tiada kerja masih boleh bantu dia”.
“InsyaAllah rezeki ada di mana-mana. Tak sikit, tak banyak itulah rezeki. Ada rezeki yang boleh dikongsi dengan orang lain walaupun sedikit”, akhirnya.
Betapa murninya hati seorang insan bernama Suzaliza. Diharapkan perkongsian ini membuka mata kita semua untuk mencontohi perbuatan terpuji ini.
Warga Indonesia digemparkan dengan video penampakan objek ‘misteri’ yang dilihat jatuh menjunam secara menegak ke dalam laut di perairan Situbondo, Jawa Timur, Indonesia.
Ketua Lembaga Penerbangan dan Angkasa (LAPAN), Thomas Djamaludin dalam kenyataannya kepada media berkata objek misteri itu berkemungkinan merupakan belon udara.
Dalam rakaman video yang tular di media sosial Indonesia, kelihatan satu objek panjang berwarna hitam yang mengeluarkan asap jatuh perlahan-lahan secara menegak sebelum hilang daripada pandangan ke dalam laut.
Baru-baru ini, tular di media sosial akan beberapa foto sebuah treler yang membawa kayu balak di lokasi di kawasan rehat Lebuhraya Pantai Timur di Temerloh, Pahang.
Berdasarkan foto itu, kelihatan kayu balak itu dipotong separuh dan diikat pada treler dan dipasangkan dengan beberapa rantai logam.
Ahli alam sekitar, Khaidir Ahmad berkata ia dipercayai daripada spesies Chengal yang telah disenaraikan terancam oleh Senarai Merah Kesatuan Antarabangsa untuk Pemuliharaan Alam (IUCN).
Sebarang kegiatan mengeksport kayu balak jenis ini adalah dilarang dan spesies ini sering dijumpai di kawasan yang dilindungi di Malaysia.
Kata Khaidir, usia kayu terbabit berkemungkinan melebihi 500 tahun. Ia tidak sepatutnya ditebang, sebaliknya dilindungi sebagai warisan kebangsaan untuk generasi akan datang”.
Foto yang dikongsi itu turut mendapat perhatian Jabatan Perhutanan Negeri Pahang (JPNP). JPNP turut menjelaskan bahawa balak itu bukanlah daripada kawasan hutan di Pahang.
“Maklumat mengenai lori dan kayu itu sesuai dengan apa yang dinyatakan dalam permit pengangkutan yang dikeluarkan oleh Jabatan Perhutanan Terengganu”, kata JPNP.
“Difahamkan, kayu akan dihantar ke Kilang Kayu Evergrowth di Selangor”. JPNP dalam pada itu menghargai aduan berhubung perkara itu dan berharap ia disalurkan terus ke jabatan atau agensi kerajaan.
Khadir turut mempersoalkan kerajaan Terengganu membenarkan pihak menebang pokok terbabit hanya untuk mengutip cukai bernilai RM2,242.80.
“Mengapa Jabatan Perhutanan Terengganu membiarkan harta semula jadi yang tidak ternilai itu ditebang? Mengapa kerajaan Terengganu meluluskan lesen pembalakan di kawasan yang berkenaan?”, soal Khaidir.
Setiap kucing memiliki sifat masing-masing yang tersendiri. Ada yang garang, ada yang terlebih manja dan ada juga yang sangat aktif sehingga membuatkan tuan sendiri pening kepala untuk melayannya.
Tetapi walau apa pun perangai dan gelagat kucing anda, anda pasti sangat menyayangi mereka bagai menatang minyak yang penuh.
Tidak mendengar kata, membuat sepah, memecahkan barangan kaca, mencakar sofa… Semua itu akan dilupakan sebaik sahaja melihat kecomelan kucing kesayangan anda.
Misalnya di Facebook, tular sebuah video berdurasi 3 minit memaparkan gelagat seekor anak kucing yang ingin mengganggu tuannya mengulang kaji pelajaran. Pada awalnya, anak kucing yang kelihatan mengantuk ini hanya memerhatikan tuannya.
Tidak lama kemudian, anak kucing yang comel ini menghampiri tuannya dan terus rebah di atas kertas sekali gus membantutkan fokus tuannya pada ketika itu. Enggan membiarkan fokusnya terganggu, lelaki ini kemudian mengalihkan anak kucing itu ke tepi dan meneruskan pembelajarannya.
Akan tetapi, anak kucing ini bangkit lalu kembali terbaring di atas kertas tersebut. Lihat pada reaksi kucing yang comel itu pasti akan membuatkan sesiapa sahaja rasa bersalah untuk mengejutkannya dari tidur. Nampak begitu nyenyak!
Lelaki ini sekali lagi mengangkat anak kucing itu secara perlahan-lahan sebelum meletakkannya di tepi. Sebaik sahaja menyedari dirinya dialihkan, anak kucing yang sedang mamai ini mengambil sedikit masa untuk memproses apa yang sedang berlaku sebelum kembali mengganggu tuannya buat kali ketiga.
Kali ini, lelaki itu menyerah kalah dan terus menghentikan sesi pembelajaran dan berbaring bersama anak kucing yang comel itu. Nampaknya misi kucing itu untuk mengganggu fokus tuannya berjaya!
Lihatlah perangai si comel ini, suka betul ganggu tuannya :