Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah baru-baru ini menggalakkan orang ramai untuk memakai pelitup muka berganda jika berada di tempat awam yang berisiko tinggi.
Ia hanya digalakkan dan tidak diwajibkan, namun pemakaian pelitup muka masih lagi wajib untuk semua termasuklah mereka yang berniqab dan memakai pelindung muka.
@DGHisham/Twitter
Tambah beliau, kajian dilakukan oleh Pusat Pengendalian & Pencegahan Penyakit Amerika Syarikat (CDC) mendapati pemakaian pelitup muka berganda 95% berkesan untuk mencegah jangkitan.
Namun kaedahnya haruslah betul dan tepat. Menurut CDC, pemakaian itu walau bagaimanapun tidak menggabungkan dua jenis pelitup muka jenis pakai buang.
Pastikan pelitup muka surgikal 3 lapis dikemaskan pada bahagian tepi (ikat gelung telinga dan selitkan lipatan sisi pelitup muka) bagi mengurangkan jurang dengan muka.
Kemudian, pakai pelitup muka jenis fabrik di atasnya. Gabungan kedua jenis pelitup muka ini menurut CDC tidak akan mengurangkan pembekalan oksigen pada pemakai.
“Jadi kalau kita berada di tempat sesak dan berisiko tinggi, adalah amat digalakkan untuk memakai double face mask dan face shield”, kata Dr Noor Hisham.
Keberkesanan pemakaian pelitup muka berganda mengikut jenis
Ini berikutan terdapat satu laporan baru-baru ini mendedahkan bahawa virus COVID-19 boleh merebak melalui udara (airborne) dan bukan hanya melalui titisan (droplets).
Dalam pada itu, beliau turut menyarankan orang ramai untuk tidak memakai pelitup muka jenis fabrik jika berada di kawasan berisiko tinggi seperti di hospital.