27.7 C
Kuala Lumpur
Tuesday, September 9, 2025
Utama Blog Laman 324

Anak lelaki Michael Jackson teruja ceritakan pengalaman membesar bersama bapa

0

Siapa tidak kenal dengan penghibur antarabangsa mendiang Michael Jackson yang sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri. Namun begitu, dunia dikejutkan dengan kematiannya pada tahun 2009.

Twitter

Buat ramai yang tidak tahu Michael Jackson memiliki tiga orang anak melalui dua perkahwinan. Ramai mungkin mengenali Paris, anak sulungnya yang kini memulakan kerjayanya sebagai model tetapi ramai yang tidak mengenali anak lelakinya yang jarang ditemu ramah iaitu Prince Jackson yang kini sudah menginjak usia 24 tahun.

princejackson/Instagram

Beberapa bulan kebelakangan ini, Prince ada tampil dalam sebuah wawancara bersama FOX Soul dan bercerita mengenai pengalaman hidupnya bersama bapanya. Katanya dia pernah ke Timur Tengah bersama bapanya ketika dia masih kecil.

princejackson/Instagram

Ketika itu dia masih tidak faham yang bapanya merupakan seorang selebriti. Ketika dia berkunjung ke Timur Tengah dia menyaksikan ramai orang yang datang untuk berjumpa dengan mereka.

Ketika dia berumur 10 atau 11 tahun dia menyaksikan persembahan pentas bapanya dalam sebuah ‘tour’ muzik. Pada masa itu terdapat ‘lautan’ ramai penonton yang menyaksikan persembahan tersebut sehingga ada yang pengsan.

princejackson/Instagram

Prince kemudian bertanya kepada bapanya, “mengapa mereka (penonton) pengsan? Saya melihat ayah setiap hari tetapi saya tidak pengsan.” Ketika itulah baru dia faham bahawa bapanya disayangi oleh ramai orang.

Apabila ditanya mengenai genre muzik yang didengari ketika membesar Prince memberitahu bahawa dia mendengar pelbagai jenis muzik, termasuk lagu-lagu yang terkenal serta lagu-lagu klasik. Antara lagu klasik yang didengari ialah lagu-lagu Mozart dan Beethoven. Sebagai seorang artis, bapanya sendiri juga meminati pelbagai genre muzik.

princejackson/Instagram

“Dan ayah saya juga akan mengatakan sesuatu seperti, ‘Saat kamu berhenti belajar adalah saat kamu akan mula mati.’ “

Prince mendapat kelulusan Ijazah Perniagaan dengan kepujian (cum laude) dari Universiti Loyola Marymount University pada tahun 2019.

Kecil lagi sudah mahir memasak persis tukang masak profesional. Lihatlah cara dia siang ikan, bukan semua orang boleh buat!

0

Masihkah anda ingat zaman kanak-kanak anda yang riang gembira? Setiap petang anda pasti akan keluar bermain dengan rakan-rakan dan menghabiskan kebanyakan masa dengan berseronok da pada usia berapa anda mula membantu ibu bapa melakukan kerja rumah?

Kebiasaannya kita cuma akan melakukan kerja rumah apabila disuruh dan itu pun setakat menjadi pembantu sahaja. Tetapi melihat bakat dan kehebatan kanak-kanak lelaki ini di dapur pasti membuatkan anda turut terkesima!

Sebuah akaun Facebook yang dikenali sebagai Be With You telah memuat naik video berdurasi 3 minit 19 saat memaparkan kehandalan seorang kanak-kanak lelaki dalam menyediakan juadah. Bukan sekadar membantu, kanak-kanak ini turut mengambil alih sepenuhnya tugas memasak di dapur.

Lihatlah caranya menyiang ikan, sungguh mahir dan kelihatan seperti seorang tukang masak profesional! Sedangkan ibu-ibu kita yang sekian lama berada di dapur pun belum tentu tahu menyiang ikan seperti itu!

Selain mahir menggunakan pisau, kanak-kanak ini juga tidak kekok apabila berada di dapur yang panas. Lihatlah gayanya ketika memegang kuali itu, gelagat macam orang dewasa. Memang berani!

Sehingga artikel ini ditulis, perkongsian video itu berjaya menarik sehingga 144K tanda suka dan 19 juta tontonan. Kebanyakan pengguna Facebook lain memuji bakat yang dimiliki oleh kanak-kanak ini selain yakin akan masa depannya.

“Dia akan jadi teman lelaki, suami, bapa dan tukang masak yang bagus. Sudah jelas dia sangat berbakat”.

“Budak yang berbakat. Pasti keluarganya sangat berbangga dengan budak lelaki ini”.

‘Segelintir kanak-kanak hanya tahu bermain telefon pintar. Kanak-kanak ini dibesarkan dengan baik”.

Lee, 20 tahun guna kuasa media sosial dengan harapan dapat bertemu ibu bapa kandung

0

Dalam hidup ini, tidak semua orang dilahirkan dengan nasib yang baik. Ada segelintir individu dilahirkan dengan kecacatan fizikal, menghidap penyakit kronik dan ada juga yang lahir tanpa berpeluang mengenal ibu bapa kandung sendiri.

Baru-baru ini, seorang pengguna Facebook yang dikenali sebagai Rain Lee Lin Jun dengan nekadnya telah berkongsi kisah hidup di media sosial dengan harapan yang satu iaitu untuk bertemu dengan ibu bapa kandung. Menurut Lee, dia telah diberikan kepada keluarga angkat sebaik sahaja dilahirkan dan tidak lagi mendengar sebarang perkhabaran mengenai kedua orang tuanya.

“Saya mengumpul keberanian dan semangat untuk berkongsi kisah ini. Saya menghabiskan masa bertahun-bertahun memikirkan tentang keluarga kandung dan sama ada saya memiliki adik-beradik mahupun sepupu”.

Sumber : Facebook

Tambah Lee lagi, “Saya cuma berharap agar dapat mengenali anda. Seumur hidup saya tertanya-tanya”.

Dilahirkan pada 5 Oktober 2001 di Pusat Perubatan Bangsar, Lee menjelaskan bahawa keluarga angkatnya memberikan hadiah istimewa kepada ibu kandung sebagai tanda penghargaan. Namun begitu, mereka tidak pernah bersemuka sebaliknya menyerahkan hadiah tersebut kepada doktor untuk diberikan kepada ibunya.

Dalam usaha untuk mencari identiti ibu kandungnya, Lee pernah berjumpa dengan doktor yang bertanggungjawab dalam menyambut kelahirannya namun ia tidak membawa kepada sebarang hasil memandangkan doktor tersebut tidak lagi berkhidmat di klinik berkenaan selain tidak menyimpan sebarang rekod. Lee turut menjalani ujian DNA dan mendapati dua pupunya memiliki nama keluarga yang bermula daripada Lim, Wong, Tan atau Chen dan Sim atau Shen.

“Kepada keluarga angkat saya, jangan berkecil hati. Dengan apa yang sedang berlaku di dunia sekarang, saya putuskan bahawa saya tidak boleh menunggu lagi. Setiap hari saya memikirkan sekiranya sesuatu terjadi kepada ibu bapa kandung saya dan saya tidak akan berpeluang untuk menemui mereka”.

Sumber : Facebook

Perkongsian yang dimuat naik pada 27 Mei itu sehingga kini telah menarik sehingga 1.1K perkongsian di mana rata-rata warganet memberikan kata-kata semangat kepada Lee selain mendoakan anak muda itu dapat bertemu semula dengan keluarga tercinta.

“Saya berharap awak dapat berjumpa mereka semua dalam keadaan selamat”.

“Semoga berjaya. Tidak ramai individu yang bernama Sim di luar sana”.

“Saya harap awak dapat disatukan semula dengan ibu bapa awak dengan kuasa media sosial”.

Azhar Abdul Hamid kembali semula ke MRT Corp sebagai pengerusi

0

KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi berkuat kuasa 11 Mei lalu.

Lantikan tersebut dikatakan telah membawa semula Azhar ke syarikat yang pernah diterajuinya sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama bermula pada tahun 2011 hingga 2014.

Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dalam satu kenyataan berkata, Azhar akan membawa bersama pengalaman luasnya di dalam industri yang akan membantu memajukan MRT Corp pada masa hadapan.

“Sebagai CEO MRT Corp yang pertama, pengalaman dan pengetahuan Datuk Wira Azhar adalah sangat bernilai dalam pembangunan Projek Rapid Transit System di antara Johor Bahru-Singapura serta Projek MRT3 Laluan Lingkaran, dan pada waktu yang sama, dalam menyiapkan MRT Laluan Putrajaya,” katanya.

Selepas meninggalkan MRT Corp, Azhar telah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sd Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation, Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Berhad.

Azhar sebelum ini merupakan bekas pengerusi FGV Holdings Sdn Bhd dari tahun 2017 hingga April 2021 lalu. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pernas International Holdings Berhad dari tahun 2001 hingga 2002.

Pusat vaksinasi mega pertama negara bakal dibuka Isnin ini

0

PETALING JAYA: Keutamaan akan diberikan kepada sekitar 2,600 orang warga emas untuk diberi vaksin apabila pusat vaksinasi mega pertama negara yang bertempat di Pusat Dangangan dan Pameran Antarabangsa Malaysia (MITEC) bakal dibuka pada Isnin ini.

MITEC yang memiliki ruang seluas 51,000 meter persegi dijangka mampu untuk menampung seramai lebih dari 5,000 orang penerima vaksin setiap hari. Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif MITEC, Mala Dorasamy mengatakan bahawa jumlah harian ini boleh meningkat sehingga 8,000 kes.

“MITEC juga dapat memberi bantuan kepada individu yang mengalami masalah fizikal.

“Kakitangan perubatan dan pengurusan acara akan menguruskan pusat bagi memastikan pelaksanaan proses vaksinasi dijalankan dengan betul,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Menurutnya lagi, mereka akan memastikan bahawa pematuhan terhadap prosedur operasi standard (SOP) dan keselamatan yang ketat akan dilaksanakan. Mereka yang tidak mempunyai temujanji juga tidak akan dibenarkan untuk masuk.

Pada hari Selasa lalu, Menteri Penyelaras Program Imunisasi COVID-19, Khairy Jamaluddin mengatakan bahawa terdapat empat buah pusat pemberian vaksin (PPV) di Kuala Lumpur akan berpindah ke tempat yang lebih besar bagi mengurangkan kesesakan.

Katanya lagi, mereka yang mempunyai temujanji bermula dari 31 Mei hingga 6 Jun di Stadium Titiwangsa dan PPV Dewan Komuniti Bandar Manjalara akan dimaklumkan mengenai perubahan lokasi tersebut.

Selain itu, Kompleks Komuniti Muhibbah dan Kompleks Sukan Desa Tasik PPV akan berpindah ke Arena Axiata di Bukit Jalil dan akan dibuka mulai 7 Jun ini.

Sewa apartment untuk sambut Aidilfitri, 30 individu dikompaun RM45,000

0

Kompaun sejumlah RM45,000 telah dikenakan kepada seramai 30 individu selepas mereka gagal mematuhi prosedur operasi standard (SOP) Aidilfitri.

Ia berikutan kesemua mereka dilaporkan telah berkumpul semasa perayaan tersebut di 3 buah unit apartment yang disewa di Johor.

Ketua Polis Daerah Johor Bahru Selatan, Asisten Komisioner Mohd Padzli Mohd Zain berkata, dua serbuan dilakukan di pangsapuri di Jalan Tanjung Puteri dan satu di Persiaran Jaya Putra, Taman Jaya Putra.

Katanya, semua individu itu telah menyewa kediaman itu selama beberapa hari bagi menyambut hari raya.

“Hasil serbuan itu, polis berjaya menahan seramai 30 orang yang terdiri daripada 19 lelaki dan 11 wanita berusia antara 16 dan 29 tahun”, tambahnya lagi.

Menurutnya, semua individu yang terlibat didapati berkumpul di ruang tamu tanpa memakai pelitup muka serta tidak menjaga jarak fizikal semasa serbuan dilakukan.

Kesemua mereka dikompaun mengikut Perkara 16 Peraturan Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit (Langkah-langkah di Kawasan Jangkitan Jangkitan) (Kawalan Pergerakan) (No. 2) 2021.

“Saya mohon maaf atas gurauan tidak cerdik”. Ryzal Duriankimchi akui tak berniat hina pakaian tradisi Iban

0

Aspek kebudayaan bukanlah satu isu yang boleh dijadikan gurauan, apatah lagi di dalam negara berbilang kaum seperti di Malaysia ini. Ia merupakan satu isu yang sensitif.

Sebagai rakyat Malaysia, kita seharusnya menghormati dan menghargai adat, budaya dan tradisi masyarakat lain bukan?

ryzalibrhm/Instagram

Bercakap mengenai itu, selebriti Instagram Ryzal Ibrahim yang popular dengan nama Duriankimchi bersama isterinya, Maryam baru-baru ini menjadi bualan hangat wargamaya.

Ia disebabkan oleh gurauan Ryzal yang dikatakan menghina pakaian tradisi Iban, Ngepan semasa pakaian itu dipakai oleh isterinya, Maryam.

“Saya minta maaf atas gurauan tadi berkenaan pakaian tradisional Iban yang dipakai Maryam. Saya akui ianya gurauan, bukan niat menghina tetapi saya faham ia isu sensitif kaum”, tulisnya di Instagram.

ryzalibrhm/Instagram

“Kepada orang Sarawak khususnya kaum Iban, saya dahulukan permohonan maaf kerana gurauan yang tidak berasas dengan Pakaian Tradisional Iban”.

Sementara itu, Maryam pada masa yang sama turut mengeluarkan satu video dan meminta maaf di atas apa yang dikatakan oleh suaminya.

@sabrinafazira

Kesian maryam dah laa tengah pregnant 🥺 semoga dipermudahkan 🤲🏻🤲🏻

♬ To the Bone full cover on Youtube Hana Wilianto – Hana Wilianto

Malah Maryam yang kini sedang mengandung itu juga dilihat menangis atas ketelanjuran kata suaminya.

Semoga kejadian ini menjadi pengajaran buat mereka dan kita semua untuk tidak menjadikan adat tradisi nenek moyang kita sebagai satu gurauan.

Gelagat kucing leka tengok akuarium buat ramai terhibur. Siap ada yang lunjur kaki..

0

Kucing sebenarnya boleh mengalami kebosanan jika tidak diberikan rangsangan yang mencukupi, terutamanya jika mereka dibela di dalam rumah.

Oleh yang demikian, mereka akan cuba sedaya upaya untuk fokus terhadap sesuatu, misalnya pemandangan visual seperti kaca televisyen, mahupun akuarium ikan.

Foto hiasan/Pinterest

Ini kerana setiap pergerakan yang dipaparkan sama ada pada televisyen mahupun pada akuarium berjaya menarik perhatian mereka.

Contohnya foto-foto di bawah ini. Anda lihatkan sendiri betapa lekanya mereka menikmati pemandangan di dalam akuarium :

#1 Lagi seronok tengok akuarium sebenarnya

Cut Pet 55

#2 “Menyorok di balik rumput pula ikan ni..”

Cut Pet 55

#3 Lenguhlah duduk. Melunjur lagi selesa!

Cut Pet 55

#4 Haih, macam ini pun ada juga?!

Cut Pet 55

#5 “Kamu janganlah malu-malu bila saya tengok”

Cut Pet 55

#6 Nak tangkap ke tu?

Cut Pet 55

#7 “Masuk sekali boleh tak bos?”

Cut Pet 55

#8 “Seronoknya kamu semua berenang-renang”

Pinterest

Comel betul mereka semua ini. Setakat tengok sahaja, bolehlah. Bila tiba waktu mandi, tahu pula takut air ya?

Anda ada juga foto kucing leka melihat akuarium atau ikan? Jangan lupa kongsikan di ruangan komen.

Terperangkap dalam lif rosak, remaja perempuan di China maut

0

Di China, seorang remaja perempuan dilaporkan maut setelah terperangkap di dalam lif rosak di sebuah pangsapuri.

Lif berkenaan difahamkan terhenti di tingkat satu pangsapuri tersebut, kemudian secara tiba-tiba bergerak laju ke atas dan terhempas di tingkat paling atas, iaitu tingkat 30.

Pihak polis mengesahkan mangsa meninggal dunia sebaik sahaja tiba di sebuah hospital berhampiran.

Kejadian tersebut dilaporkan berlaku di Zhanjiang pada 23 Mei lalu, lebih kurang pada jam 7:40 malam.

Polis walau bagaimanapun enggan mendedahkan identiti ataupun umur mangsa, sebaliknya mendedahkan bahawa mangsa bakal menduduki peperiksaan awam minggu depan.

Difahamkan bahawa sebuah pasukan khas telah ditubuhkan bagi mengenap pasti punca kejadian yang dikatakan berkait dengan sistem brek lif tersebut.

Menurut penduduk tempatan, kerap kali berlaku kerosakan pada lif pangsapuri terbabit, seperti terhenti secara tiba-tiba namun ianya tidak serius.

Ujian pernafasan COVID-19 dapat kelulusan sementara di Singapura, jalani ujian percubaan di pusat pemeriksaan Tuas

0

SINGAPURA – Alat ujian pernafasan COVID-19 yang dibangunkan oleh Universiti Nasional Singapura (NUS) mampu menghasilkan keputusan kepekaan sehingga 93 peratus dalam mengesan virus COVID-19 dalam masa 60 saat dan ia telah mendapat kelulusan sementara dari Lembaga Sains Kesihatan Singapura (HSA).

Sistem ujian pernafasan BreFence Go COVID-19 dibangunkan oleh Breathonix, sebuah syarikat spin-off dari Universiti Nasional Singapura (NUS), merupakan sistem analisis pernafasan pertama yang mendapat kelulusan seumpamanya di Singapura.

“Breathonix kini bekerjasama dengan Kementerian Kesihatan Singapura (MOH) untuk menjalankan ujian percubaan dan rintis awal penggunaan teknologi ini di salah satu pusat pemeriksaan darat Singapura di mana pelancong keluar masuk, yang akan menjalani pemeriksaan dengan sistem ujian pernafasan BreFence Go COVID-19,” kata NUS dan Breathonix dalam satu kenyataan pada 24 Mei.

Gambar Reuters / NUS

“Analisis pernafasan ini akan dijalankan bersama dengan ujian saringan Kit Ujian Rapid Antigen (ART) COVID-19 yang wajib,” jelas mereka.

Sistem ujian pernafasan Breathonix menjalani ujian klinikal rintis awal di tiga lokasi antara Jun 2020 dan April tahun ini yang membabitkan 180 individu.

Percubaan dilakukan di Singapura iaitu di Pusat Nasional Penyakit Berjangkit (NCID) dan Lapangan Terbang Antarabangsa Changi, serta di Dubai, dengan bekerjasama Lembaga Kesihatan Dubai dan Universiti Perubatan dan Sains Kesihatan Universiti Mohammed Bin Rashid.

Sistem ujian pernafasan BreFence Go COVID-19 berfungsi dengan mengesan sebatian organik yang mudah menguap (VOC) dalam nafas yang dihembuskan seseorang yang dihasilkan oleh reaksi biokimia pada sel manusia.

Tanda VOC dalam nafas individu sihat adalah berbeza berbanding individu yang menghidap penyakit, bermaksud perubahan dalam VOC dapat diukur sebagai penanda aras sesuatu penyakit seperti COVID-19, jelas NUS dan Breathonix.

Gambar Reuters / NUS

Sistem ini telah dibangunkan daripada teknologi pengesanan barah Breathonix.

“Ujian pernafasan ini mudah yang dilakukan oleh kakitangan terlatih tetapi tidak memerlukan kakitangan terlatih secara perubatan atau pemprosesan makmal,” kata NUS dan Breathonix.

Seseorang hanya perlu menghembus nafas ke dalam injap sehala penutup mulut sekali pakai yang dihubungkan dengan alat pernafasan berketepatan tinggi.

Nafas yang dihembus dikumpulkan dan dimasukkan ke dalam spektrometer canggih untuk pengukuran.

“Algoritma perisian proprietari menganalisis biomarker VOC dan menghasilkan keputusan dalam masa kurang satu minit,” jelas NUS dan Breathonix.

Individu yang disaring positif oleh ujian pernafasan wajib menjalani ujian calitan Real-Time Reverse Transcription-Polymerase Chain Reaction (RT-PCR) COVID-19.

Breathonix diasaskan oleh tiga graduan NUS, Dr Jia Zhunan, Du Fang dan Wayne Wee Shi Jie, bersama dengan penasihat PhD Dr Jia, Profesor T Venky Venkatesan.

NUS

Ia disokong oleh Program Inovasi Penyelidikan Siswazah (GRIP) universiti berkenaan, yang ‘menggalakkan siswazah NUS yang berbakat dan kakitangan penyelidikan untuk menubuh dan menjalankan syarikat start-up berpotensi tinggi berdasarkan teknologi dalam’.

“Uji nafas kami tidak invasif,” kata Dr Jia yang merupakan CEO Breathonix.

“Pengguna hanya perlu menarik nafas biasa ke dalam penutup mulut pakai buang yang disediakan, jadi tidak akan ada rasa kurang selesa,” kata Dr Jia.

“Pencemaran silang tidak mungkin berlaku kerana penutup mulut sekali pakai mempunyai injap sehala dan perangkap air liur untuk mengelakkan penyedutan atau air liur memasuki mesin,” tambahnya.

Timbalan presiden inovasi dan perniagaan NUS Profesor Freddy Boey berkata peranti ujian nafas ini adalah kunci untuk pemulihan global dari pandemik COVID-19.

NUS

“Pandemik ini akan terus berlanjutan selama beberapa tahun. Ujian besar-besaran dan berulang perlu dijalankan secara meluas sebagai strategi kesihatan awam utama untuk menyokong pembukaan semula ekonomi yang selamat, dan teknologi buatan tempatan Breathonix mencapai tujuannya yang tepat,” kata Profesor Boey yang juga memimpin pasukan GRIP.

“Saya yakin bahawa teknologi terbaharu mereka akan memberi sumbangan penting dalam melindungi keselamatan dan kesihatan rakyat Singapura juga masyarakat global,” katanya.

NUS dan Breathonix berkata ‘terdapat minat komersial yang kukuh dalam sistem ujian pernafasan BreFence Go COVID-19’, di mana syarikat itu dalam rundingan dengan beberapa organisasi tempatan dan luar negara untuk menggunakan sistem tersebut.