Siapa tidak kenal dengan penghibur antarabangsa mendiang Michael Jackson yang sememangnya mempunyai auranya yang tersendiri. Namun begitu, dunia dikejutkan dengan kematiannya pada tahun 2009.
Buat ramai yang tidak tahu Michael Jackson memiliki tiga orang anak melalui dua perkahwinan. Ramai mungkin mengenali Paris, anak sulungnya yang kini memulakan kerjayanya sebagai model tetapi ramai yang tidak mengenali anak lelakinya yang jarang ditemu ramah iaitu Prince Jackson yang kini sudah menginjak usia 24 tahun.
Beberapa bulan kebelakangan ini, Prince ada tampil dalam sebuah wawancara bersama FOX Soul dan bercerita mengenai pengalaman hidupnya bersama bapanya. Katanya dia pernah ke Timur Tengah bersama bapanya ketika dia masih kecil.
Ketika itu dia masih tidak faham yang bapanya merupakan seorang selebriti. Ketika dia berkunjung ke Timur Tengah dia menyaksikan ramai orang yang datang untuk berjumpa dengan mereka.
Ketika dia berumur 10 atau 11 tahun dia menyaksikan persembahan pentas bapanya dalam sebuah ‘tour’ muzik. Pada masa itu terdapat ‘lautan’ ramai penonton yang menyaksikan persembahan tersebut sehingga ada yang pengsan.
Prince kemudian bertanya kepada bapanya, “mengapa mereka (penonton) pengsan? Saya melihat ayah setiap hari tetapi saya tidak pengsan.” Ketika itulah baru dia faham bahawa bapanya disayangi oleh ramai orang.
Apabila ditanya mengenai genre muzik yang didengari ketika membesar Prince memberitahu bahawa dia mendengar pelbagai jenis muzik, termasuk lagu-lagu yang terkenal serta lagu-lagu klasik. Antara lagu klasik yang didengari ialah lagu-lagu Mozart dan Beethoven. Sebagai seorang artis, bapanya sendiri juga meminati pelbagai genre muzik.
“Dan ayah saya juga akan mengatakan sesuatu seperti, ‘Saat kamu berhenti belajar adalah saat kamu akan mula mati.’ “
Prince mendapat kelulusan Ijazah Perniagaan dengan kepujian (cum laude) dari Universiti Loyola Marymount University pada tahun 2019.