KUALA LUMPUR: Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) mengumumkan pelantikan Datuk Wira Azhar Abdul Hamid sebagai pengerusi berkuat kuasa 11 Mei lalu.
Lantikan tersebut dikatakan telah membawa semula Azhar ke syarikat yang pernah diterajuinya sebelum ini sebagai Ketua Pegawai Eksekutif yang pertama bermula pada tahun 2011 hingga 2014.
Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp, Datuk Mohd Zarif Hashim dalam satu kenyataan berkata, Azhar akan membawa bersama pengalaman luasnya di dalam industri yang akan membantu memajukan MRT Corp pada masa hadapan.
“Sebagai CEO MRT Corp yang pertama, pengalaman dan pengetahuan Datuk Wira Azhar adalah sangat bernilai dalam pembangunan Projek Rapid Transit System di antara Johor Bahru-Singapura serta Projek MRT3 Laluan Lingkaran, dan pada waktu yang sama, dalam menyiapkan MRT Laluan Putrajaya,” katanya.
Selepas meninggalkan MRT Corp, Azhar telah memegang beberapa jawatan penting termasuk Pengerusi MSM Malaysia Holdings Sd Bhd, Pengarah Urusan Kumpulan Malakoff Corporation, Presiden/Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengerusi Tradewinds Corporation Berhad.
Azhar sebelum ini merupakan bekas pengerusi FGV Holdings Sdn Bhd dari tahun 2017 hingga April 2021 lalu. Selain itu, beliau juga pernah dilantik sebagai Ketua Pegawai Eksekutif Pernas International Holdings Berhad dari tahun 2001 hingga 2002.