32.6 C
Kuala Lumpur
Wednesday, September 10, 2025
Utama Blog Laman 302

“Kehidupan istana sungguh memenatkan, berjalan ke bilik lain umpama maraton,” Gadis aristokrat jadi selebriti selepas ‘Dedah Kehidupan Bangsawan’

0

Tidak boleh tipu semua orang pernah terfikir macam mana rasanya menjalani kehidupan golongan mewah atau mereka yang digelar aristokrat atau bangsawan yang tinggal dalam istana?

Macam bahagia sahaja tinggal dalam istana yang mewah dan dilayan sempurna kerana mereka itu digelar putera dan puteri, raja dan permaisuri.

Baru-baru ini, seorang anak perempuan bangsawan dari Itali memutuskan untuk mendedahkan keadaan kehidupan sebenar dalam istana dengan memberitahu ceritanya yang sebenar. Untuk pengetahuan semua, ia tidaklah sehebat yang dibayang atau disangka.

@thecastlediary/TikTok

Ludovica Sannazzaro kini tinggal bersama keluarganya di istana warisan Castello Sannazzaro di wilayah Piedmont di barat laut Itali. Istana ini diturunkan oleh ibu saudara Ludovica, kepada bapa Ludovica yang memegang status sebagai Earl.

@thecastlediary/TikTok

Ludovica, ibu bapa, dan keluarganya berpindah ke Istana Sannazzaro pada tahun 2006. Istana ini telah diturunkan kepada 28 generasi. Ia meliputi kawasan seluas 10,000 meter persegi dan mempunyai taman seluas 24,000 meter persegi. Terdapat 45 taman besar dan kecil di pekarangan istana. Juga bilik tidur kecil dan 15 bilik tidur utama.

Selepas pandemik tercetus, Ludovica menghentikan pengajiannya di Amerika Syarikat dan kembali ke istana untuk tinggal bersama keluarganya di Itali.

@thecastlediary/TikTok

Pada masa yang sama, Ludovica turut berkongsi video dokumentari kehidupan harian dalam istana menerusi aplikasi TikTok. 

@thecastlediary/TikTok

Ludovica mendedahkan melalui video itu yang semua orang fikir bahagia dan senangnya hati tinggal dalam istana besar, tetapi sebenarnya, dia dan keluarganya sering kepenatan untuk membersihkan kesemuanya yang berada di dalam istana ini.

@thecastlediary/TikTok

Ludovica mendedahkan setiap kali ketika dia ingin mendapatkan makanan atau buah-buahan dari dapur ke bilik tidur utamanya, dia berasa letih untuk melangkah keluar sebaik membuka pintu, kerana setiap kamar dalam istana, bersambung dengan beberapa jenis ruang, dan semuanya cukup jauh. 

@thecastlediary/TikTok

“Sekiranya anda ingin mendapatkan sesuatu, ia seperti melakukan maraton,” jelas Ludovica.

Ludovica juga mengeluh jaringan WIFI yang selalu lemah atau tidak tersedia dalam istana dan dia terpaksa berjalan-jalan jauh dalam istana untuk mendapatkan isyarat internet. 

@thecastlediary/TikTok

Ketika musim sejuk semua orang mula panik. Ibu bapa Ludovica terpaksa berbelanja besar untuk membaiki bahagian dan ruang dalam istana yang sudah terlalu lama berusia ratusan tahun. Juga peralatan dan perabot lama yang memakan kos baik pulih yang tinggi.

Please Subscribe to Truth News : English Epoch Times

Pilihan Editor:

Anak anjing 8 bulan jadi wira selamatkan 5 sekeluarga ketika kebakaran kediaman mereka di Teluk Intan

0

Seekor anak anjing bernama Anandavelli menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan lima sekeluarga dalam satu kebakaran sebuah rumah di Perak, apabila dengan segera bertindak membangkitkan mereka pada awal pagi ketika kejadian yang berlaku 23 Jun lalu.

Bernama melaporkan anak anjing berusia lapan bulan itu menarik rambut pemiliknya yang bernama Vimala dalam usaha membangunkannya pada kira-kira jam 5 pagi ketika api mula marak di rumah teres dua tingkat keluarga itu di Taman Timur, Teluk Intan.

Ketika merasakan cubaannya terus gagal, anak anjing ini terus menggigit wajah dan telinga pemiliknya itu sebelum menarik baju tidurnya.

Paparan Skrin / Terence Naidu

“Saya memberitahunya untuk mendapatkan sendiri air di dapur tetapi ketika dia terus menarik pakaian saya, jadi saya bangun untuk melihat bahagian tengah rumah, yang menempatkan altar sembahyang yang sudah terbakar,” kata ibu kepada tiga anak itu kepada Malay Mail.

“Saya segera menjerit kepada anak-anak saya, Raaghi, Prakash dan Vimalan untuk menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah,” kata Vimala kepada Bernama.

Setelah keluar dari rumah, Vimala menyedari yang suaminya, Marimuthu Naidu, 58 tahun yang lumpuh sebahagian masih berada di dalam sebuah bilik yang berada di belakang rumah.

“Saya segera berteriak kepada anak bongsu saya, Vimalan untuk menyelamatkan ayahnya. Dia mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak dan berjaya membawa ayahnya keluar dari rumah tepat pada masa,” tambah Vimala.

Keluarga itu kini tinggal sementara di rumah ibu Vimala di Jalan Laksamana.

Paparan Skrin / Terence Naidu

Vimala berkata dia terhutang budi dan berterima kasih kepada haiwan kesayangannya itu kerana telah menyelamatkan seluruh ahli keluarganya.

Sambil menambah Anandavelli hampir maut ketika dilahirkan dan berkata, “Saya merawatnya sehingga dia sihat. Saya turut menyusukannya dengan susu botol ketika itu.”

Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar Terence Naidu berkata sepasukan bomba dengan 12 anggota bersama dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berjaya memadamkan kebakaran pada kira-kira jam 6.30 pagi, 23 Jun.

Menurutnya, kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM50,000.

Adun itu memaklumkan akan membantu Vimala dan keluarganya dengan menyediakan bantuan makanan dan wang melalui peruntukan dana bencana dari pejabat daerah.

“Kami juga akan berusaha mendapatkan satu unit rumah dari Projek Perumahan Rakyat untuk keluarga ini,” katanya.

Paparan Skrin / Terence Naidu

Terence memuji tindakan pantas anak anjing ini kerana haiwan peliharaan itu telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan keluarga yang disayanginya ketika Adun ini melakukan lawatan ke rumah Vimala dan keluarganya.

Terence menyeru orang ramai supaya bersikap baik kepada haiwan sambil berkata anjing itu memang sahabat baik manusia setelah menyaksikan sendiri tindakan murni dan berani Anandavelli yang wajar dijadikan contoh.

“Siapa tahu, seekor anjing boleh menyelamatkan nyawa anda suatu hari nanti selepas anda berbudi kepadanya,” tambahnya.

Rakyat Hong Kong banjiri lapangan terbang, ingin lepaskan diri ke Britain

0

HONG KONG – Ribuan rakyat Hong Kong dilihat membanjiri lapangan terbang dalam usaha untuk ‘melepaskan diri’ ke Britain.

Hal ini berlaku selepas tindakan keras yang diambil oleh kerajaan Parti Komunis China terhadap mana-mana pihak sama ada individu mahupun persatuan yang berani menyatakan perbezaan pendapat di negara berkenaan.

Rakyat Hong Kong mula beratur di lapangan terbang dalam usaha untuk melepaskan diri ke Britain. Sumber: Epoch Times

Difahamkan, selepas akhbar Apple Daily dipaksa untuk memberhentikan penerbitan, bekas ketua penulis akhbar berkenaan iaitu Lu Feng didapati telah ditahan oleh pihak berkuasa ketika berada di lapangan terbang pada 27 Jun lalu. Ekoran itu, ramai rakyat Hong Kong yang terus menempah tiket penerbangan ke Britain dengan lebih awal bagi mengelakkan berlakunya sekatan perjalanan di kemudian hari.

Pada awal tahun ini, Britain telah menawarkan skim visa baharu di mana rakyat Hong Kong boleh mendapatkan kewarganegaraan Britain. Mana-mana rakyat Hong Kong yang memiliki pasport Warganegara Britain (Luar Negara) dan tanggungan masing-masing boleh membuat permohonan visa secara dalam talian yang membenarkan mereka untuk tinggal dan bekerja di United Kingdom.

Britain telah menawarkan skim visa baharu yang membenarkan rakyat Hong Kong untuk tinggal dan bekerja di United Kingdom. Sumber: BH Online

Britain dipercayai melaksanakan keputusan itu sebagai tindak balas terhadap Parti Komunis China yang memungkiri janji semasa penyerahan Hong Kong pada tahun 1988. Justeru, London percaya pihaknya bertanggungjawab dalam melindungi bekas rakyat jajahannya daripada ditindas oleh kerajaan sendiri.

Sementara itu, He Liangmao yang merupakan rakyat Hong Kong dan kini telah berhijrah ke Kanada menyatakan bahawa faktor utama yang menyebabkan majoriti rakyat mahu melarikan diri adalah kerana ketakutan dan perasaan bimbang terhadap pemerintahan Parti Komunis China.

Pengalaman naik ambulans kerana tulang retak buat datuk 93 tahun ini sumbang 7 ambulans bernilai RM8 juta

0

Pengalaman menaiki ambulans bukan satu pengalaman yang menyeronokkan. Ada kisah duka di sebalik setiap kejadian yang menimpa seseorang. Namun, bagi datuk berusia 93 tahun ini, kemudahan ambulans yang sedia ada membuatkan dia terdetik untuk melakukan sumbangan besar kepada masyarakat sekeliling.

Sumber: Kwongwah

Menurut media Jepun, datuk yang dikenali sebagai Iwabashi Yoshimasa ini pernah terjatuh sehingga mengalami keretakan tulang dan terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans. Malah, isterinya juga pernah dibawa menaiki ambulans sebanyak tiga kali.

Sebagai tanda terima kasih, Iwabashi yang tinggal di Sapporo, Jepun mengambil keputusan untuk menyumbang sebanyak tujuh buah ambulans bernilai 214 juta yen atau RM8,000,000.

Pada Mei lalu, Iwabashi telah menyumbangkan sebanyak dua buah ambulans kepada dua balai bomba. Kedua-dua ambulans ini turut dilengkapi dengan peralatan canggih dan rawatan perubatan yang bersesuaian. Malah, terdapat juga ruang khas bagi melakukan rawatan kecemasan sekali gus membantu menyelamatkan mangsa sementara ambulans membuat perjalanan ke hospital.

Sumber: Japan Today

Menurut Iwabashi, isterinya pernah jatuh sakit dan mereka telah ke hospital dengan menaiki kereta. Namun, tindakan itu membuatkan Iwabashi dimarahi doktor. Dia berharap agar sumbangannya ini sedikit sebanyak dapat membantu orang awam tatkala pandemik yang sedang berlaku ini.

Idea untuk menggayakan rambut si kecil yang mudah dan comel, mereka pasti akan sukakannya!

0

Antara perkara yang menarik buat mereka yang memiliki anak perempuan ialah bagaimana caranya untuk menggayakan rambut anak kecil mereka. Kalau diikat dengan cara dan gaya yang sama risau akan membuatkan si kecil bosan.

Jadi, apa kata kalau belajar gaya yang baru dan kemas. Jadi, jika mereka keluar pasti mereka akan lebih bersemangat! Kepada ibu bapa yang sudah kehabisan idea bagaimana untuk menggayakan rambut anak kecil mereka, jom belajar beberapa teknik yang mudah dan kemas!

#Gaya 1

#Gaya 2

#Gaya 3

#Gaya 4

#Gaya 5

Comel bukan kesemua gaya rambut ini? Selepas ini jangan risau lagi jika anak kecil anda bosan dengan gaya rambut yang sama. Selamat mencuba!

Tonton video di sini.

Malaysia pilih Ericsson untuk bantu bangunkan teknologi 5G

0

KUALA LUMPUR – Firma telekomunikasi Sweden Ericsson telah dilantik oleh Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai rakan strategik bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian serta ekosistem perkhidmatan rangkaian teknologi generasi kelima negara (5G).

DNB melantik Ericsson sebagai rakan strategik bagi membangunkan teknologi 5G. Sumber : BH Online

Keputusan itu diambil selepas Ericsson menjadi pemenang bidaan tender yang telah bermula sejak Mac lalu dan dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Cyberjaya.

Menurut pengerusi DNB, Datuk Asri Hamidon, pelancaran rangkaian 5G ini merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan dalam memperkasa pelaksanaan rangkaian dan ekosistem perkhidmatan berkenaan di negara ini. Pelaksanaan ini disasarkan ke lima bandar dan daerah utama sekitar Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan juga Srawak menjelang 2022. Bermula tahun 2023, projek ini akan diperluaskan ke 17 bandar serta kawasan pedalaman di Malaysia.

Ericsson mampu membantu Malaysia dalam mempercepatkan pembangunan teknologi 5G. Sumber: Nikkei Asia

Ketika ditanya tentang jalinan kerjasama dengan Ericsson Malaysia Sdn Bhd, DNB memaklumkan bahawa kerjasama ini bukan sahaja dapat mempercepat pelaksanaan 5G tetapi juga membolehkan matlamat liputan penduduk sebanyak 80 peratus tercapai pada tahun 2024.

“Reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G negara itu akan dilaksanakan oleh Ericsson dengan kos bernilai RM11 bilion termasuk sewaan menara serta pajakan gentian. Lebih 60 peratus daripada jumlah itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh kontraktor Bumiputera serta warga Malaysia lain bagi tempoh 10 tahun akan datang”.

Asri menjelaskan bahawa DNB akan memfokus pada sekuriti aliran tunai masa depan daripada perniagaan borongnya menerusi program sukuk bagi pembiayaan semua perbelanjaan operasi rangkaian lain di samping melakukan pembayaran semula semua pengaturan pembiayaan vendor.

David Hagerbro, Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh. Sumber: NST

Sementara itu, Ericsson pula akan menumpukan kepada aspek reka bentuk serta pembangunan rangkaian menyeluruh 5G yang merangkumi teras, rangkaian akses radio (RAN), operasi dan sistem bantuan perniagaan (OSS/BSS) serta perkhidmatan pengurusan.

“Kami akan cuba melaksanakan tugas ini sebaik-baiknya dengan kepercayaan yang diberikan dan teruja untuk terus memainkan peranan penting dalam perjalanan telekomunikasi di Malaysia,” kata Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro.

Jurugambar Malaysia berjaya rakam gambar tompok matahari hingga dapat perhatian NASA

0

Berapa ramai antara anda yang tahu apa itu tompok matahari (sunspot)? Tompok matahari sebenarnya merupakan kawasan yang kelihatan gelap di permukaan matahari. Hal ini kerana bahagian tersebut dikatakan lebih sejuk berbanding kawasan sekitarnya.

Agak-agaknya, bagaimana rupa tompok matahari secara dekat?

Seorang jurugambar dari Pulau Pinang, Michael Teoh, dikatakan telah berjaya merakam foto tompok matahari yang sangat jelas.

Apa yang lebih membanggakan, gambar luar biasa tersebut telah menerima pengiktirafan dan dimasukkan ke dalam laman sesawang Astronomy Picture of the Day (APOD). Laman tersebut merupakan laman sesawang yang dikelola oleh NASA dan Michigan Technological University (MTU) bagi memaparkan gambar-gambar menarik yang dirakam di ruang angkasa.

Menurut Space Place, permukaan tompok matahari menjadi lebih sejuk kerana ia terbentuk di kawasan yang mempunyai medan magnet yang sangat kuat yang membuatkan ia mampu untuk menahan sebahagian bahang panas di dalam matahari.

Jumlah tompok matahari juga berbeza-beza mengikut kitaran solar iaitu sekitar 11 tahun. Ia dikatakan boleh bertahan selama beberapa hari atau bulan tetapi akhirnya akan mengalami pereputan.

Sementara itu, tompok matahari yang dirakam oleh Michael terletak di kawasan AR2835 iaitu kawasan aktif terbesar yang kini melintasi matahari.

Gambar tersebut dilaporkan telah dirakam pada 1 Julai lalu dalam jarak dekat dengan pandangan yang merangkumi sekitar 150,000 kilometer atau lebih dari sepuluh diameter bumi.

Cara anak kecil tunjukkan kasih sayang kepada ibu tanpa mengatakannya

0

Tiada seorang ibu pun di dunia ini yang tidak sayang dengan anak mereka. Walau susah bagaimanapun mereka tetap akan melakukan yang terbaik untuk anak-anak mereka. Tiada yang boleh mempertikaikan betapa kasih dan sayangnya mereka kepada anak-anak.

Namun begitu, anak-anak juga mempunyai perasaan kasih sayang yang sama buat ibu bapa mereka. Mereka juga mahu memberikan yang terbaik kerana apa yang paling penting ialah apabila dapat melihat senyuman bangga dan bahagia ibu bapa mereka.

Sebenarnya terdapat beberapa cara yang biasanya dilakukan oleh si anak untuk menunjukkan kasih sayang mereka terhadap ibu mereka. Cuba perhatikan bahasa tubuh ini dan anda pasti boleh melihatnya di sekeliling anda.

  1. Memanggil ibu dengan penuh kasih sayang

Antara perkara yang boleh dilihat ialah bagaimana anak-anak kecil memanggil ibu mereka. Biasanya mereka akan memanggil ibu mereka dengan kasih sayang. Dengan mendengar suara itulah yang akan membuatkan segala penat dan lelah si ibu akan hilang serta merta.

  1. Membelai wajah ibu

Hubungan rapat dan sentuhan merupakan keperluan fizikal dan psikologi untuk setiap anak. Jadi, antara cara mereka menunjukkan kasih sayang kepada ibu ialah dengan melakukan sentuhan seperti menarik rambut si ibu, menampar lembut wajah ibu atau mungkin kadangkala bersikap sedikit nakal. Kesemua itu merupakan bahasa tubuh yang menunjukkan anak-anak sayang kepada ibu mereka.

  1. Menyentuh ibu

Ramai ibu suka memeluk anak kecil mereka ketika tidur, dan anak-anak juga suka membalas pelukan ibu mereka. Keadaan ini selalunya akan memberikan keselesaan psikologi kepada anak kecil.

  1. Memeluk lengan atau kaki ibu

Anak kecil sangat suka dengan pelukan ibu ketika tidur. Mereka akan berasa lebih selamat dengan pelukan ibu mereka. Selain itu, mereka juga anak kecil yang sering tidur dalam pelukan ibu akan membuatkan mereka menjadi orang yang lebih berkeyakinan dan bijak apabila menginjak dewasa.

  1. Selalu bercakap atau mengadu dengan ibu

Sebagai orang yang paling dipercayai, anak biasanya akan mencari ibu mereka jika menghadapi masalah. Si ibu pula perlu mendengar dengan teliti akan setiap masalah yang diajukan oleh anak mereka. Setiap respons daripada ibu akan membuatkan anak lebih lega.

6. Mendengar kata-kata ibu dengan teliti

Biasanya anak-anak akan menunjukkan emosi mereka dengan menangis dan merajuk. Jadi, orang dewasa di sekitar mereka akan cuba untuk memujuk mereka tetapi biasanya mereka tidak akan mendengar pujukan tersebut. Namun, apabila mereka mendengar pujukan ibu mereka, segala tangisan atau rajuk mereka akan berhenti. Mereka malah akan mendegar setiap kata-kata pujukan dan nasihat ibu mereka.

Menteri Wilayah Persekutuan arahkan kawat duri di tangga PPR Kampung Baru Air panas dibuka serta-merta

0

KUALA LUMPUR- Awal pagi Sabtu, 3 Julai lalu pihak berkuasa telah memasang kawat duri di tangga pangsapuri Projek Perumahan Rakyat (PPR) di Kuala Lumpur.

Kawat duri dipasang oleh pihak berkuasa di Blok C PPR Kampung Baru Air Panas di pusat bandar Kuala Lumpur setelah 14 lokaliti di bandar itu dikenakan Perintah Kawalan Pergerakan yang Diperketatkan (PKPD) mulai 3 Julai lalu.

Namun, tindakan tersebut telah menimbulkan kritikan orang ramai kerana dianggap sebagai bahaya jika berlakunya hal-hal kecemasan seperti kebakaran.

Ekoran tindakan itu, Menteri Wilayah Persekutuan, Tan Sri Annuar Musa, mengarahkan kawat duri yang dipasang di laluan tangga itu dibuka serta-merta.

Dalam laman Twitternya, beliau berkata pemasangan kawat duri sedemikian adalah tidak dibenarkan di pangsapuri walaupun kawasan itu dikenakan PKPD dan arahan untuk membuka kawat tersebut telah dikeluarkan serta-merta.

Bercakap mengenai perkara itu, Ketua Pengarah Balai Bomba dan Penyelamat, Datuk Seri Mohammad Hamdan Wahid berkata bahawa langkah berjaga-jaga telah diambil untuk memastikan keselamatan orang ramai terjamin sekiranya berlaku kecemasan.

“Kawat berduri kini hanya dipasang di tingkat bawah, dan di pintu keluar terakhir,” katanya. Menurutnya lagi, tiada halangan yang terdapat pada laluan kecemasan jika berlakunya kebakaran.

Selain iru, dalam mengulas perkara itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju Superintendan Ashari Abu Samah, hari ini, berkata pemasangannya dipersetujui dalam mesyuarat penyelarasan PKPD yang turut dihadiri Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia.

Menurutnya lagi, terdapat laluan lain yang boleh digunakan oleh penduduk bagi tujuan keluar masuk dari bangunan itu sekiranya berlaku sebarang kecemasan.

Selain itu, pihak polis dan anggota Angkatan Tentera Malaysia (ATM) juga sentiasa mengambil langkah berjaga-jaga dan bersiap sedia dalam menghadapi sebarang kemungkinan.

Tidak cukup katil untuk menampung pesakit, keadaan di hospital semakin serius

0

“Ini bukan India, atau Indonesia. Ini sebenarnya berlaku di Malaysia, negara saya!” Dr. Arisman, seorang doktor memuat naik sebuah video yang menunjukkan realiti yang terjadi di wad kecemasan (ICU) di sebuah hospital kerajaan di Klang.

Ribuan kes COVID-19 dilaporkan setiap hari di Malaysia sehingga membuatkan banyak hospital terpaksa menerima kemasukan pesakit yang ramai. Kaki tangan hospital juga bertungkus lumus, berusaha sebaik mungkin untuk menyelamatkan nyawa pesakit dan pastinya ianya bukan sesuatu yang mudah.

Melihat pada video ini jelas menunjukkan betapa kritikalnya keadaan di hospital sekarang. Bilangan pesakit semakin ramai, jumlah mereka yang meninggal dunia juga semakin meningkat dan apa yang lebih menyedihkan mereka yang berada di barisan hadapan juga semakin letih dan tertekan.

Dr Arisman kemudian menasihati orang ramai untuk terus mengikuti prosedur operasi standard yang telah ditetapkan. Duduk di rumah jika tiada keperluan bagi mengelakkan dikangkiti wabak berbahaya ini.

Bayangkan ini baru sebuah hospital… bagaimana pula dengan keadaan di hospital-hospital lain? Jadi, jaga diri, jaga keluarga dan kita perlu bekerjasama dalam memutuskan rangkaian wabak ini.

Sumber: Facebook