Seekor anak anjing bernama Anandavelli menjadi wira apabila berjaya menyelamatkan lima sekeluarga dalam satu kebakaran sebuah rumah di Perak, apabila dengan segera bertindak membangkitkan mereka pada awal pagi ketika kejadian yang berlaku 23 Jun lalu.
Bernama melaporkan anak anjing berusia lapan bulan itu menarik rambut pemiliknya yang bernama Vimala dalam usaha membangunkannya pada kira-kira jam 5 pagi ketika api mula marak di rumah teres dua tingkat keluarga itu di Taman Timur, Teluk Intan.
Ketika merasakan cubaannya terus gagal, anak anjing ini terus menggigit wajah dan telinga pemiliknya itu sebelum menarik baju tidurnya.
“Saya memberitahunya untuk mendapatkan sendiri air di dapur tetapi ketika dia terus menarik pakaian saya, jadi saya bangun untuk melihat bahagian tengah rumah, yang menempatkan altar sembahyang yang sudah terbakar,” kata ibu kepada tiga anak itu kepada Malay Mail.
“Saya segera menjerit kepada anak-anak saya, Raaghi, Prakash dan Vimalan untuk menyelamatkan diri dengan berlari keluar dari rumah,” kata Vimala kepada Bernama.
Setelah keluar dari rumah, Vimala menyedari yang suaminya, Marimuthu Naidu, 58 tahun yang lumpuh sebahagian masih berada di dalam sebuah bilik yang berada di belakang rumah.
“Saya segera berteriak kepada anak bongsu saya, Vimalan untuk menyelamatkan ayahnya. Dia mempertaruhkan nyawanya dengan meredah api yang marak dan berjaya membawa ayahnya keluar dari rumah tepat pada masa,” tambah Vimala.
Keluarga itu kini tinggal sementara di rumah ibu Vimala di Jalan Laksamana.
Vimala berkata dia terhutang budi dan berterima kasih kepada haiwan kesayangannya itu kerana telah menyelamatkan seluruh ahli keluarganya.
Sambil menambah Anandavelli hampir maut ketika dilahirkan dan berkata, “Saya merawatnya sehingga dia sihat. Saya turut menyusukannya dengan susu botol ketika itu.”
Anggota Dewan Undangan Negeri Pasir Bedamar Terence Naidu berkata sepasukan bomba dengan 12 anggota bersama dua jentera bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat Teluk Intan berjaya memadamkan kebakaran pada kira-kira jam 6.30 pagi, 23 Jun.
Menurutnya, kerugian dianggarkan berjumlah kira-kira RM50,000.
Adun itu memaklumkan akan membantu Vimala dan keluarganya dengan menyediakan bantuan makanan dan wang melalui peruntukan dana bencana dari pejabat daerah.
“Kami juga akan berusaha mendapatkan satu unit rumah dari Projek Perumahan Rakyat untuk keluarga ini,” katanya.
Terence memuji tindakan pantas anak anjing ini kerana haiwan peliharaan itu telah berusaha sedaya upaya menyelamatkan keluarga yang disayanginya ketika Adun ini melakukan lawatan ke rumah Vimala dan keluarganya.
Terence menyeru orang ramai supaya bersikap baik kepada haiwan sambil berkata anjing itu memang sahabat baik manusia setelah menyaksikan sendiri tindakan murni dan berani Anandavelli yang wajar dijadikan contoh.
“Siapa tahu, seekor anjing boleh menyelamatkan nyawa anda suatu hari nanti selepas anda berbudi kepadanya,” tambahnya.