KUALA LUMPUR – Firma telekomunikasi Sweden Ericsson telah dilantik oleh Digital Nasional Bhd (DNB) sebagai rakan strategik bertujuan untuk mempercepatkan pembangunan rangkaian serta ekosistem perkhidmatan rangkaian teknologi generasi kelima negara (5G).

Keputusan itu diambil selepas Ericsson menjadi pemenang bidaan tender yang telah bermula sejak Mac lalu dan dijangka akan dilancarkan pada akhir tahun ini di Kuala Lumpur, Putrajaya dan juga Cyberjaya.
Menurut pengerusi DNB, Datuk Asri Hamidon, pelancaran rangkaian 5G ini merupakan sebahagian daripada usaha kumpulan dalam memperkasa pelaksanaan rangkaian dan ekosistem perkhidmatan berkenaan di negara ini. Pelaksanaan ini disasarkan ke lima bandar dan daerah utama sekitar Selangor, Pulau Pinang, Johor, Sabah dan juga Srawak menjelang 2022. Bermula tahun 2023, projek ini akan diperluaskan ke 17 bandar serta kawasan pedalaman di Malaysia.

Ketika ditanya tentang jalinan kerjasama dengan Ericsson Malaysia Sdn Bhd, DNB memaklumkan bahawa kerjasama ini bukan sahaja dapat mempercepat pelaksanaan 5G tetapi juga membolehkan matlamat liputan penduduk sebanyak 80 peratus tercapai pada tahun 2024.
“Reka bentuk dan pembangunan rangkaian 5G negara itu akan dilaksanakan oleh Ericsson dengan kos bernilai RM11 bilion termasuk sewaan menara serta pajakan gentian. Lebih 60 peratus daripada jumlah itu dijangka dapat dimanfaatkan oleh kontraktor Bumiputera serta warga Malaysia lain bagi tempoh 10 tahun akan datang”.
Asri menjelaskan bahawa DNB akan memfokus pada sekuriti aliran tunai masa depan daripada perniagaan borongnya menerusi program sukuk bagi pembiayaan semua perbelanjaan operasi rangkaian lain di samping melakukan pembayaran semula semua pengaturan pembiayaan vendor.

Sementara itu, Ericsson pula akan menumpukan kepada aspek reka bentuk serta pembangunan rangkaian menyeluruh 5G yang merangkumi teras, rangkaian akses radio (RAN), operasi dan sistem bantuan perniagaan (OSS/BSS) serta perkhidmatan pengurusan.
“Kami akan cuba melaksanakan tugas ini sebaik-baiknya dengan kepercayaan yang diberikan dan teruja untuk terus memainkan peranan penting dalam perjalanan telekomunikasi di Malaysia,” kata Presiden Ericsson Malaysia, Sri Lanka dan Bangladesh, David Hagerbro.