Berapa ramai antara anda yang tahu apa itu tompok matahari (sunspot)? Tompok matahari sebenarnya merupakan kawasan yang kelihatan gelap di permukaan matahari. Hal ini kerana bahagian tersebut dikatakan lebih sejuk berbanding kawasan sekitarnya.
Agak-agaknya, bagaimana rupa tompok matahari secara dekat?
Seorang jurugambar dari Pulau Pinang, Michael Teoh, dikatakan telah berjaya merakam foto tompok matahari yang sangat jelas.
Apa yang lebih membanggakan, gambar luar biasa tersebut telah menerima pengiktirafan dan dimasukkan ke dalam laman sesawang Astronomy Picture of the Day (APOD). Laman tersebut merupakan laman sesawang yang dikelola oleh NASA dan Michigan Technological University (MTU) bagi memaparkan gambar-gambar menarik yang dirakam di ruang angkasa.
Menurut Space Place, permukaan tompok matahari menjadi lebih sejuk kerana ia terbentuk di kawasan yang mempunyai medan magnet yang sangat kuat yang membuatkan ia mampu untuk menahan sebahagian bahang panas di dalam matahari.
Jumlah tompok matahari juga berbeza-beza mengikut kitaran solar iaitu sekitar 11 tahun. Ia dikatakan boleh bertahan selama beberapa hari atau bulan tetapi akhirnya akan mengalami pereputan.
Sementara itu, tompok matahari yang dirakam oleh Michael terletak di kawasan AR2835 iaitu kawasan aktif terbesar yang kini melintasi matahari.
Gambar tersebut dilaporkan telah dirakam pada 1 Julai lalu dalam jarak dekat dengan pandangan yang merangkumi sekitar 150,000 kilometer atau lebih dari sepuluh diameter bumi.