Pengalaman menaiki ambulans bukan satu pengalaman yang menyeronokkan. Ada kisah duka di sebalik setiap kejadian yang menimpa seseorang. Namun, bagi datuk berusia 93 tahun ini, kemudahan ambulans yang sedia ada membuatkan dia terdetik untuk melakukan sumbangan besar kepada masyarakat sekeliling.
Menurut media Jepun, datuk yang dikenali sebagai Iwabashi Yoshimasa ini pernah terjatuh sehingga mengalami keretakan tulang dan terpaksa dikejarkan ke hospital menggunakan ambulans. Malah, isterinya juga pernah dibawa menaiki ambulans sebanyak tiga kali.
Sebagai tanda terima kasih, Iwabashi yang tinggal di Sapporo, Jepun mengambil keputusan untuk menyumbang sebanyak tujuh buah ambulans bernilai 214 juta yen atau RM8,000,000.
Pada Mei lalu, Iwabashi telah menyumbangkan sebanyak dua buah ambulans kepada dua balai bomba. Kedua-dua ambulans ini turut dilengkapi dengan peralatan canggih dan rawatan perubatan yang bersesuaian. Malah, terdapat juga ruang khas bagi melakukan rawatan kecemasan sekali gus membantu menyelamatkan mangsa sementara ambulans membuat perjalanan ke hospital.
Menurut Iwabashi, isterinya pernah jatuh sakit dan mereka telah ke hospital dengan menaiki kereta. Namun, tindakan itu membuatkan Iwabashi dimarahi doktor. Dia berharap agar sumbangannya ini sedikit sebanyak dapat membantu orang awam tatkala pandemik yang sedang berlaku ini.