Media sosial digemparkan oleh rakaman video tular memaparkan fenomena letusan api dengan apa digelar beberapa warganet sebagai ‘mata api’ atau ‘cincin api’ yang berlaku di tengah perairan Teluk Mexico.
Pemandangan yang diperkatakan mereka sebagai gabungan sesuatu yang menakutkan tetapi ajaib.

Yang pada mulanya, mereka berpendapat dan membuat spekulasi mungkin pintu neraka akhirnya terbuka atau di sinilah kaijus akan menyeberang ke alam semesta seperti dalam filem Pacific Rim.
Spekulasi ‘mata api’ itu akhirnya terlerai selepas syarikat minyak milik kerajaan Mexico, Pemex dengan pantas menjelaskan semua khabar angin dalam satu kenyataan rasmi bahawa insiden satu kebakaran besar telah berlaku di perairan Teluk Mexico berdekatan Semenanjung Yucata yang disebabkan oleh kebocoran paip gas bawah laut.

Kebakaran bawah laut akibat saluran paip gas yang pecah itu telah menyebabkan api merebak ke permukaan laut.
NY Post melaporkan masa selama lebih lima jam telah diambil bagi memadamkan kebakaran dengan sepenuhnya yang bermula kira-kira jam 5.15 pagi waktu tempatan, yang mencetuskan api pada jarak 150 meter dari pelantar minyak.

Sumber memaklumkan api bermula dari saluran paip bawah laut yang menghubungkan kepada pelantar minyak luar pesisir utama Pemex, Ku Maloob Zaap yang terletak di selatan Teluk Mexico.
Para pekerja terpaksa menggunakan nitrogen yang dibawa oleh beberapa bot pemadam api untuk memadamkan kebakaran itu yang kelihatan seperti lava gunung berapi bawah laut yang menggelegak ke permukaaan lautan seperti dalam rakaman video yang tular.

Saluran paip gas yang bocor ini dihubungkan dengan sistem pembangunan minyak terpenting untuk Mexico yang menghasilkan 726,000 tong minyak sehari.
Ketua pengatur keselamatan minyak Mexico, Angel Carrizales dalam kenyataan di Twitter berkata insiden itu tidak menyebabkan apa-apa tumpahan dan tiada sebarang kecederaan dilaporkan. Ia juga tidak memberi kesan kepada kerja-kerja di lapangan, dan siasatan dalaman sedang dijalankan.