26.7 C
Kuala Lumpur
Friday, July 18, 2025
Utama Blog Laman 28

191 kes jangkitan Gastroenteritis Akut di Tenom, air tercemar disyaki punca

0

KOTA KINABALU- Jabatan Kesihatan Negeri Sabah (JKNS) mengesahkan seramai 191 penduduk di daerah Tenom dijangkiti Gastroenteritis Akut (AGE) dan 37 daripadanya dimasukkan ke hospital untuk rawatan lanjut.

Pengarah JKNS Datuk Asits Sanna berkata sebanyak 33 kes telah discaj dan empat kes lagi masih berada di dalam wad dan dalam keadaan stabil, manakala 154 kes menerima rawatan pesakit luar.

Beliau berkata JKNS melalui Pejabat Kesihatan Daerah (PKD) Tenom mula mengesan peningkatan kes AGE di daerah itu pada 4 Jun lepas menerusi survelan AGE yang dijalankan secara berterusan.

Gambar BH

“Siasatan lanjut berdasarkan tarikh mula gejala yang dilaporkan antara 2 hingga 13 Jun mendapati jumlah notifikasi kes AGE adalah sebanyak 191.

“Aktiviti kawalan yang telah dijalankan termasuk siasatan epidemiologi, siasatan makmal serta pendidikan kesihatan kepada kes dan orang awam.

“Setakat ini sebanyak 19 sampel klinikal diambil daripada kes yang dimasukkan ke hospital Tenom dan didapati 16 kes menunjukkan kehadiran Rotavirus,” katanya dalam kenyataan di Kota Kinabalu pada 17 Jun.

Menurut Dr Asits, punca jangkitan yang disyaki berkemungkinan daripada pengambilan air tercemar serta sampel persekitaran sudah diambil bagi tujuan mengesan punca kejadian dan masih dalam siasatan.

Beliau berkata pihak Jabatan Bekalan Air Sabah juga telah dimaklumkan untuk mengambil tindakan bagi pemantauan pengklorinan air terawat di daerah berkenaan.

Gambar Bernama

Jangkitan Rotavirus adalah jangkitan usus yang lazim berlaku pada kanak-kanak dengan gejala cirit-birit, muntah dan demam yang boleh menyebabkan kekurangan air dalam badan.

“Sekiranya rawatan lanjut tidak diberikan dengan segera ia boleh membawa maut,” kata Dr Asits.

Langkah-langkah pencegahan termasuk mengamalkan kebersihan diri dan kerap mencuci tangan, masak makanan dengan cara yang betul dan sempurna serta simpan makanan di tempat yang bersih.

“Menggunakan air yang selamat dan bersih serta minum air yang telah dimasak dan segera mendapatkan rawatan sekiranya mengalami gejala cirit-birit,” katanya.

Jabatan Air Sabah potong 24 paip sambungan haram yang menjejaskan bekalan air di UMS

0

KOTA KINABALU: Jabatan Air Sabah (JANS) telah memotong 24 sambungan paip air haram oleh penghuni setinggan secara terus dari paip utamanya berhampiran Kampung Suang Parai, Sepanggar, kata Timbalan Ketua Menteri III, Datuk Shahelmey Yahya.

Shahelmey yang juga Menteri Kerja Raya negeri Sabah berkata sambungan paip haram itu juga merupakan antara punca bekalan air ke takungan utama di Universiti Malaysia Sabah (UMS) terjejas.

Facebook

JANS telah menghantar penguat kuasanya untuk membanteras kegiatan itu dan akan sentiasa memantau keadaan sehingga skim vendor (pembekalan air kepada penghuni setinggan) dilaksanakan sepenuhnya di beberapa kawasan yang dikenal pasti,” katanya dalam satu kenyataan.

Facebook

Shahelmey berkata Kementerian Kerja Raya Sabah sedang dalam proses menstabilkan tekanan air bagi memastikan bekalan air stabil di semua kawasan di negeri ini.

Ugut bunuh pelanggan yang mahu batalkan polisi, ejen insurans ditahan

0

Polis telah menahan seorang ejen insurans selepas melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pelanggannya pada Ahad lalu, 9 Jun.

Kejadian dilaporkan berlaku di Balik Pulau, Pulau Pinang apabila seorang lelaki berusia 30 tahun telah ditahan selepas dia menyerah diri di balai polis.

Ejen insurans itu menyerah diri pada hari yang sama mangsa, seorang penghantar makanan, membuat laporan polis.

Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal. (Gambar NST)

Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal kepada NST, kira-kira jam 8.13 pagi 9 Jun, mangsa berusia 28 tahun telah menghubungi ejen insuransnya untuk membatalkan polisi insurans.

Mangsa memberitahu dia tidak lagi mampu membayar insurans dan tidak lagi berminat untuk meneruskan polisi itu.

“Ejen insurans itu kemudian mengugut untuk membunuh pelanggannya jika dia membatalkan polisi insurans berkenaan.

“Dia juga berkata akan membayarkan polisi pelanggannya selama tiga bulan untuk melengkapkan tempoh setahun langganan polisi itu.

Sekadar Gambar Hiasan (Gambar CFI)

“Dia juga memberitahu jika pelanggan (mangsa) pergi ke syarikat insurans untuk membatalkan polisi, dia akan ‘memotongnya’,” kata Kamarul.

Mangsa telah membuat laporan polis pada jam 3.47 petang Rabu, 12 Jun.

Kamarul berkata, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.

Pusat beli-belah di Genting Highlands terbakar, pengunjung panik

0

KUALA LUMPUR: Sebuah pusat beli-belah di Genting Highlands terbakar dengan asap tebal dan api marak mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.

BH ONLINE

Genting Malaysia Berhad mengesahkan kebakaran yang berlaku tersebut hanya melibatkan pusat beli-belah SkyAvenue, Resorts World Genting.

Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka menerima laporan mengenai kebakaran berkenaan pada pukul 4.30 petang.

Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dibantu anggota dari BBP Bentong digerakkan ke lokasi bagi kerja memadam kebakaran sebaik sahaja menerima laporan sekitar pukul 4.55 petang.

Kebakaran tersebut akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.15 malam dan semua pengunjung yang berada di pusat beli-belah itu berjaya dipindahkan dengan selamat.

“Kebakaran di SkyAvenue, Resorts World Genting telah dipadamkan kira-kira jam 7.15 malam tadi dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sudah memberi kebenaran untuk SkyAvenue dibuka semula kepada umum.”

“Sebilangan besar kedai di SkyAvenue akan kekal dibuka, kecuali beberapa unit kedai yang berada berhampiran kawasan yang terjejas, akan ditutup buat sementara,” Katanya.

BH ONLINE

Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.

Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan 1 Ismail Abdul VGhani yang dihubungi memaklumkan kebakaran tidak membabitkan mangsa.

Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan juga memaklumkan bahawa konsert ‘Best of Chen Lei Hits 2024’ di Arena of Stars akan diteruskan seperti yang dijadualkan.

Syarikat juga menyatakan bahawa kebakaran tersebut tidak menjejaskan operasi taman tema di pusat peranginan itu seperti Genting SkyWorlds dan Skytropolis, serta beberapa lokasi tarikan lain dengan kesemuanya akan beroperasi seperti biasa.

“Awana SkyWay juga akan beroperasi seperti yang dijadualkan,” Katanya.

Seekor kucing terselamat dalam kebakaran tragis Chatuchak korbankan lebih seribu haiwan

0

Seekor kucing secara ajaib terselamat dalam kebakaran tragis baru-baru ini di Chatuchak, Bangkok, Thailand yang mengorbankan lebih 1,000 haiwan untuk peliharaan.

Kucing itu mengalami dehidrasi teruk, mengalami sesak nafas akibat asap, dengan lepuh dan melecur pada kakinya.

Facebook

Selepas diselamatkan, kucing itu segera dibawa ke hospital veterinar di mana pemeriksaan X-ray mendapati dia sedang hamil sebulan, membawa tiga ekor janin kucing dalam kandungannya.

Pengguna Facebook Clouseau Puttiporn berkongsi klip video berdurasi seminit memaparkan seorang lelaki menyelamatkan kucing itu, yang ditemui di atas bumbung salah sebuah kedai yang terjejas di pasar Chatuchak.

Facebook

Menggunakan kayu dengan tali, Suchat Petchthai selamat membawa kucing itu turun dalam beberapa saat dan meletakkannya di dalam sangkar.

Kucing itu kemudian dibawa ke Hospital Haiwan TH, Bangkok di mana dia sedang menerima rawatan.

Facebook

Selain melecur, kucing itu disahkan menghidap radang paru-paru akibat terhidu asap.

Lukanya telah dibersihkan dan dia kini semakin pulih.

Tonton video di sini.

Dua maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Johor

0

JOHOR BAHRU: Dua lelaki disyaki penjenayah maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis di Johor kira-kira pukul 5 petang, Jumaat.

BH ONLINE

Menurut Ketua Polis Johor Komisioner M Kumar, seorang suspek berusia 42 tahun manakala seorang lagi belum dikenal pasti identitinya kerana tiada sebarang dokumen pengenalan diri ditemukan.

Kata M Kumar lagi, hasil siasatan awal mendapati individu berusia 42 tahun itu mempunyai 38 rekod jenayah lampau membabitkan dadah.

“Kejadian ini berlaku ketika sepasukan polis dari Bahagian D14, Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman bersama Bahagian D9, JSJ Kontinjen Johor mengekori sebuah Toyota Estima berwarna putih yang berada dalam keadaan mencurigakan.”

“Apabila menyedari diekori, suspek bertindak melarikan diri sambil melepaskan beberapa das tembakan ke arah kenderaan polis yang sedang mengekori rapat,” Katanya dalam satu kenyataan.

M Kumar berkata tindakan suspek itu menyebabkan pihak polis turut melepaskan tembakan ke arah kenderaan yang dinaiki suspek dan insiden berbalas tembakan berlarutan sehingga keadaan selamat.

“Hasil pemeriksaan mendapati kedua-dua suspek dalam Toyota Estima tersebut terkena tembakan dan meninggal dunia.”

Hasil pemeriksaan turut menemukan dua pucuk pistol di dalam kenderaan itu serta sepucuk pistol pada badan seorang suspek.

“Selain itu, polis turut menjumpai pelbagai jenis bahan dipercayai dadah berbahaya di dalam kenderaan berkenaan dan kes disiasat mengikut Seksyen 307 Kanun Keseksaan,” katanya.

Terdahulu, tular beberapa video memaparkan kejadian berbalas tembakan itu mengejutkan penduduk setempat dan video anggota polis menutup beberapa jalan selain melencongkan aliran trafik di kawasan Kebun Teh selepas Jalan Abad buat sementara waktu.

Palsi Serebral, memahami punca dan kaedah rawatan

0

Palsi Serebral (CP) ialah gangguan kebolehan mengawal kedudukan dan pengaktifan badan disebabkan kerosakan pada otak yang sedang berkembang.

MYHEALTH

Dalam kalangan bayi, 1-2 daripada 1000 bayi menghidap CP malah lebih 10 kali membabitkan bayi pramatang atau tidak cukup berat badan semasa lahir.

Berikut adalah keadaan biasa terjadinya CP yang disebabkan oleh kecederaan otak:

  1. Bayi yang masih berada dalam kandungan.
  2. Semasa ibu sedang melahirkan.
  3. Ketika bayi baru dilahirkan.
  4. Anak berumur kurang daripada 5 tahun.

Walau bagaimanapun, kebanyakan penyebabnya adalah tidak diketahui.

Untuk makluman, sekitar 10 hingga 15 peratus CP terjadi akibat kecederaan semasa lahir dan kekurangan aliran darah ke otak pada sebelum, semasa dan setelah bayi lahir.

Bagi kumpulan bayi, bayi pramatang yang paling berisiko tinggi mendapat CP. Hal ini kerana berkemungkinan saluran darah ke otak belum berkembang secara sempurna.

Selain itu, disebabkan bayi pramatang mudah mengalami pendarahan atau oksigen tidak dapat mengalir ke otak dalam jumlah yang memadai juga merisikokan mereka mendapat CP.

Ibu bapa harus lebih cakna akan gejala Palsi Serebral yang muncul sebelum anak berusia 2 tahun dan bagi kes yang serius, penyakit ini boleh dikesan seawal anak berusia 3 bulan.

Palsi Serebral terbahagi kepada 4 jenis:

  1. Jenis Spastik.
    Otot-otot menjadi tegang dan lemah. Ia menyerang kedua tangan dan kedua kaki (Quadriplegia), kedua kaki (Diplegia), tangan dan kaki pada sebelah badan (Hemiplegia).
  2. Jenis Diskinetik.
    Otot tangan, kaki dan badan secara spontan bergerak perlahan, menggeliat dan tidak terkendali, namun biasanya timbul gerakan yang kasar dan mengejang. Emosi yang tidak terkawal juga menyebabkan keadaan semakin teruk tetapi akan hilang ketika anak tidur.
  3. Jenis Ataksik.
    Keadaan dimana berlaku getar, langkah yang goyah dengan kedua kaki terpisah jauh, gangguan perseimbangan yang menyebabkan pergerakan kaki dan tangan tidak licin.
  4. Jenis Campuran.
    Gabungan daripada 2 jenis penyakit sama ada Spastik, Diskinetik atau Ataksik.
GAPS

Selain itu gangguan lain yang biasa ditemui dalam kalangan pesakit CP ialah:

  • Sawan / epilepsi (terutama mereka yang menghidap Spastik).
  • Gangguan menghisap atau makan.
  • Pernafasan yang tidak teratur.
  • Gangguan berbicara.
  • Gangguan penglihatan.
  • Gangguan pendengaran.
  • Kecerdasan di bawah normal.

Terdapat pelbagai kajian makmal biasa dilakukan untuk mengenal pasti punca CP, antaranya adalah:

  • MRI atau CT scan kepala untuk mengesan kelainan bentuk atau kejadian otak.
  • Pemeriksaan pendengaran (untuk mengesan masalah pendengaran).
  • Pemeriksaan penglihatan (untuk mengesan masalah penglihatan).
  • EEG jika pesakit mengalami sawan.
  • Biopsi otot.

Harus diingatkan bahawa CP tidak dapat disembuhkan dan merupakan kelainan yang berlaku seumur hidup. Namun, pemulihan dapat dilakukan agar anak boleh berdikari sejauh mungkin.

Kelegaan buat ibu bapa di luar sana sekiranya anak yang menghidap CP ini tidak terdapat gangguan fizikal dan kecerdasan yang serius.

Hal ini kerana anak-anak boleh membesar secara normal dan belajar di sekolah biasa seperti kanak-kanak normal yang lain.

Sekiranya terdapat kontraktur sendi yang semakin buruk akibat kekakuan otot, pesakit mungkin memerlukan pembedahan.

Rawatan yang dilakukan pula bergantung kepada gejala CP yang terdapat pada seseorang pesakit dan ini akan melibatkan:

  1. Jurupulih anggota braces (penyangga).
  2. Kaca mata.
  3. Alat bantu dengar.
  4. Pendidikan dan sekolah khusus.
  5. Ubat anti-kejang (untuk mengurangi tremor dan kekakuan).
  6. Jurupilih cara kerja pembedahan ortopedik.
  7. Jurupilih bahasa untuk masalah pertuturan serta pemakanan.

Fisioterapi memainkan peranan penting dalam pengendalian kes-kes serebral palsi. Setelah masalah dikenal pasti, ahli fisioterapi akan menilai kanak-kanak itu dan merekodkan perkembangan mereka.

Antara contoh rawatan Fisioterapi adalah:

  1. Senaman regangan pasif.
    Dilakukan untuk mengelakkan otot menjadi pendek dan kehilangan julat pergerakan.
  2. Latihan keseimbangan di dalam posisi duduk dan berdiri.
  3. Aktiviti anggota atas.
MYHEALTH

Ibu bapa yang mempunyai anak yang menghidap CP boleh melakukan beberapa langkah sokongan di rumah seperti:

  1. Senaman atau latihan dengan anak secara tetap dan teratur.
  2. Ibu bapa perlu melakukan penyesuaian rumah bagi memudahkan pergerakan anak.
  3. Libatkan anak yang menghidap CP dengan kanak-kanak yang menghidap penyakit yang sama dan orang dewasa.
  4. Menggalakkan anak-anak untuk berkongsi cerita masing-masing dengan ibu bapa.

Majoriti kanak-kanak palsi serebral dapat hidup hingga dewasa, dengan kadar purata hidup 30 tahun adalah 87 peratus.

Menurut Gabungan Anak-Anak Palsi Serebrum (GAPS), terdapat sekitar 17 juta orang hidup dengan CP di seluruh dunia. Setiap 1 daripada 300 kanak-kanak menghidap CP, menjadikannya kecacatan fizikal paling biasa dalam kalangan kanak-kanak.

The Star melaporkan statistik daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat mendapati 5,840 kanak-kanak di Malaysia menghidap Palsi Serebral antara 2011 hingga 2017.

Kementerian Malaysia pula mencatatkan seramai 2,766 kanak-kanak berkeperluan khas pada 2012 dengan 215 daripada mereka menghidap CP.

PLUS sedia jadual perjalanan digital MyPLUS-TTA, 18 lokasi Smart Lane diaktifkan sempena Aidiladha

0

Demi perjalanan yang lancar dan selesa sempena perayaan Hari Raya Aidiladha, PLUS Malaysia Berhad (PLUS) telah menyediakan jadual perjalanan digital melalui aplikasi MyPLUS-TTA untuk mengagihkan trafik.

Pengguna lebuh raya boleh memuat turun aplikasi PLUS dan merancang perjalanan pulang ke kampung halaman dengan memilih waktu perjalanan yang optimum bermula 13 Jun hingga 18 Jun.

@plus2u / X

PLUS juga mengumumkan langkah dan jaminan pengaliran trafik yang lancar dengan memastikan tiada penutupan lorong untuk kerja-kerja penyelenggaraan di Lebuhraya PLUS bermula 12 Jun hingga 19 Jun.

Namun, pengecualian diberikan untuk kerja-kerja kecemasan, pengalihan kemalangan serta pembaikan kritikal.

PLUS akan menempatkan trak tunda dan kren di 15 lokasi terpilih di sepanjang Lebuhraya Utara Selatan bagi mempercepatkan proses pengalihan dan penundaan kenderaan.

@plus2u / X

Terdahulu, PLUS mengumumkan pengaktifan 18 laluan Smart Lane di beberapa lokasi tumpuan bagi membantu melancarkan pergerakan trafik di lebuh raya sempena Aidiladha.

PLUS memaklumkan, lorong kecemasan sedia ada akan dibuka sebagai laluan tambahan bagi mengoptimumkan penggunaan semua lorong dan meningkatkan kapasiti di laluan kritikal lebuh raya.

@plus2u / X

Pengguna lebuh raya boleh mengenal pasti laluan Smart Lane melalui pemasangan lampu hijau berkelip untuk menunjukkan laluan berkenaan diaktifkan dan boleh digunakan.

Selain itu, PLUS turut meletakkan papan tanda pemberitahuan dan peringatan di lokasi-lokasi Smart Lane terlibat.

@plus2u / X

PLUS menjelaskan, Smart Lane boleh digunakan oleh kenderaan ringan, persendirian atau penumpang dengan memasuki lorong kecemasan untuk sementara waktu sebelum diarah masuk semula ke laluan utama lebuh raya bagi meneruskan perjalanan.

Walau bagaimanapun, pengguna dilarang memandu di lorong kecemasan lain yang tiada laluan Smart Lane diaktifkan.

Selain itu, sebanyak 32 lokasi tandas awam telah ditambah baik di kawasan rehat dan rawat (R&R) termasuk hentian sebelah serta plaza tol antaranya Restoran Jejantas Sungai Buloh, R&R Machap (arah Utara), Hentian Sebelah Pedas Linggi serta beberapa lokasi lain.

Orang ramai boleh mendapatkan maklumat trafik dengan mengikuti aplikasi X @PLUSTrafik, aplikasi PLUS, Chatbot PUTRI, papan tanda elektronik di lebuh raya dan saluran stesen radio utama negara.

Tonton video di bawah:

Proton mohon maaf salah label kedudukan Sabah dan Sarawak

0

Proton Holding Berhad (Proton) memohon maaf kepada rakyat Malaysia atas kesilapan melabel Sabah dan Sarawak pada kedudukan yang salah di dalam peta.

Proton dalam satu kenyataan berkata, pihaknya amat menyesali kesilapan itu yang mungkin menimbulkan perasaan sensitif dalam kalangan masyarakat.

@paultantk / X

Pada 12 Jun, nama Proton menjadi tular di media sosial semasa pembentangan perancangan Proton dalam segmen kenderaan elektrik (EV) pertamanya, e.MAS yang bakal dilancarkan pada akhir Disember 2024. 

Skrin memaparkan peta Sabah dan Sarawak bertukar tempat.

@NewsBFM / X

“Proton menjunjung tinggi perpaduan dan kepelbagaian dalam kalangan rakyat Malaysia. Oleh itu kami komited untuk menghormati dan meraikan semua negeri secara sama rata,” kata Proton.

“Kami memohon maaf atas sebarang salah faham yang berlaku dan menghargai sebarang maklum balas daripada orang ramai,” pohon mereka dalam kenyataan itu.

Proton berkata, pihaknya akan lebih berhati-hati pada masa depan, selain menjunjung tinggi perpaduan dan kepelbagaian negara ini.

JKNS sahkan 82 orang alami gejala utama termasuk dua maut akibat insiden keracunan makanan di Gombak

0

Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) mengesahkan seramai 82 daripada 247 orang mengalami gejala teruk akibat keracunan makanan selepas bersarapan di Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) di seluruh daerah Gombak, Selangor pada Sabtu, 8 Jun.

Dua orang daripada mereka, seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan seorang kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 7 bulan telah meninggal dunia dalam kejadian keracunan makanan tersebut.

Sekadar Gambar Hiasan

Menurut kenyataan Pengarah Kesihatan Negeri JKNS, Dr Ummi Kalthom Shamsudin, keracunan makanan disyaki berpunca daripada memakan bihun goreng dan telur mata yang telah berubah rupa dan rasa.

Difahamkan, 30 sekolah rendah di daerah Gombak menyertai program berkenaan, di mana sarapan pagi disediakan oleh pengendali makanan dari luar.

Jelas Dr Ummi lagi, mereka yang mengalami gejala terdiri daripada setiausaha, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga.

“Gejala utama yang dilaporkan adalah cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya. Seramai 28 kes telah menerima rawatan sebagai pesakit luar dan tiada kes dimasukkan ke mana-mana wad.

“Sebanyak 2 kes dilaporkan meninggal dunia tanpa mendapat rawatan daripada mana-mana fasiliti kesihatan membabitkan seorang remaja lelaki berusia 17 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 1 tahun 7 bulan. Kedua-dua mangsa memakan makanan dipercayai dibawa pulang oleh ahli keluarga,” katanya.

JKNS masih menjalankan siasatan untuk mengesan sebarang kes baharu dan langkah kawalan serta pencegahan bagi mengawal wabak keracunan makanan sedang dijalankan.

Sampel makanan sejak hari kejadian telah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK) di Sungai Buloh, bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan itu.

“JKNS juga meminta individu terbabit yang mengalami gejala segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelak komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini. 

Penganjur program dan orang awam perlu berhati-hati dalam memilih premis dan pembekal makanan yang bersih,” sarannya.

JKNS juga mengucapkan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa.