31.3 C
Kuala Lumpur
Friday, July 18, 2025
Utama Blog Laman 29

Siasatan kes bunuh Zayn Rayyan masih diteruskan

0

PETALING JAYA: Siasatan kes bunuh Zayn Rayyan, kanak-kanak autisme masih diteruskan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan sehingga pelaku sebenar ditemui.

BERNAMA

Menurut Peguam Fahmi Abd Moin yang mewakili bapa kanak-kanak itu, Zaim Ikhwan Zahari pada awalnya anak guamnya itu disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan, namun pertuduhan dibuat atas kesalahan pengabaian.

“Siasatan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan masih berjalan sehingga dapat siapa pelakunya dan ia tidak akan berhenti.”

“Pihak Polis Diraja Malaysia (PDRM) akan teruskan siasatan untuk mencari siapa pelaku sebenar. Ini harapan daripada keluarga dan masyarakat,” Katanya kepada pemberita di perkarangan Kompleks Mahkamah Petaling Jaya.

Sementara itu, peguam Mahmud Jumaat yang mewakili ibu mangsa, Ismanira Abdul Manaf, berkata pertuduhan bunuh tidak dibuat ke atas pasangan terbabit kemungkinan disebabkan bukti serta keterangan saksi.

“Pihak pendakwaan membuat keputuasn untuk hanya tuduh mengikut Akta Kanak-Kanak.”

“Adakah kemungkinan dituduh bunuh selepas ini, ia kuasa pihak pendakwaan tapi buat masa ini, itulah pertuduhan dihadapi kedua-dua tertuduh,” Katanya.

Mengenai masalah kemurungan yang dihadapi pasangan tersebut, Mahmud berkata mereka sedang menjalani rawatan psikologi selepas kejadian yang menimpa anak sulung mereka itu.

“Saya percaya depresi ini sudah berlaku sebelum (ditahan reman) ini. Mana-mana keluarga apabila kehilangan orang tersayang sudah tentu akan mengalami depresi.”

“Saya juga percaya ibu bapa kepada Zayn Rayyan sudah dapatkan rawatan dari awal kes, lebih lagi mereka mempunyai seorang lagi anak yang juga autisme,” Kata peguam itu.

Dalam pada itu, Mahmud berkata pasangan suami isteri itu berpuas hati dengan siasatan dijalankan oleh PDRM sepanjang tempoh reman selama 13 hari sejak 1 Jun lalu.

“Alhamdulillah, mereka gembira dan berpuas hati dengan siasatan PDRM. Mereka seperti orang ramai yang mahukan keadilan buat Zayn Rayyan,” Katanya.

Terdahulu, pasangan yang kedua-duanya berumur 29 tahun /itu mengaku tidak bersalah atas pertuduhan bersama-sama sebagai orang yang mempunyai pemeliharaan terhadap Zaynn Rayyan,6, telah mengabaikan kanak-kanak itu dengan cara yang mungkin menyebabkan kecederaan fizikal.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di sekitar Jalan PJU 10/1 Damansara Damai, Petaling Jaya pada 12 tengah hari, 5 Disember hingga 9.55 malam, 6 Disember 2023.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 dan boleh dihukum dibawah Seksyen 31(1) akta sama, dibaca bersama Seksyen 34 kanun sama, yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM50,000 atau penjara tidak lebih 20 tahun atau kedua-duanya, jika sabit kesalahan.

Ibu bapa kanak-kanak autisme yang ditahan pada 31 Mei lepas di sekitar Puncak Alam, Selangor itu direman selama 13 hari bermula 1 Jun lepas bagi membantu siasatan.

BERNAMA

Polis turut menahan datuk dan nenek kepada Zayn Rayyan pada 12 Jun di Subang Bestari pada 2.30 petang. Walau bagaimanapun mereka berdua dibebaskan dengan jaminan polis pada 13 Jun.

Ketua Polis Daerah Petaling Jaya ACP Shahrulnizam Jaafar mengesahkan perkara itu ketika dihubungi Bernama.

“Mereka hanya ditahan 24 jam untuk diambil keterangan dan akan dibebaskan hari ini. Pembebasan akan dibuat di Ibu Pejabat Polis Daerah Petaling Jaya, mereka tidak akan dibawa ke mahkamah,” Katanya.

APK modus operandi penjenayah, waspada sebelum muat turun

0

KUALA LUMPUR: Orang ramai diminta agar sentiasa berwaspada dan tidak memuat turun sebarang fail aplikasi (APK) ke telefon pintar sewenang-wenangnya.

Imej janaan Dall-E

Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf berkata hal ini disebabkan penggodaman telefon pintar merupakan salah satu modus operandi yang sering digunakan penjenayah untuk tujuan mencuri data dan mengakses maklumat kewangan.

Menurut Ramli, antara taktik yang dikesan masih digunakan sejak pertengahan 2023 ialah penyebaran mesej jemputan perkahwinan menerusi APK yang ditanam “perisian hasad” atau malware bagi mencuri data dan mendapatkan butiran kewangan mangsa.

“Hasil siasatan Polis Diraja Malaysia (PDRM), mesej jemputan perkahwinan terbabit biasanya akan dihantar oleh penjenayah yang menyamar sebagai kenalan mangsa, sekiranya mangsa memuat turun dan memasang aplikasi itu, penjenayah akan memperoleh akses penuh terhadap telefon mangsa tanpa disedari,” Katanya.

Ujar Ramli lagi, akses tersebut bukan sahaja akan membolehkan penjenayah mencuri data milik mangsa malah boleh mengakibatkan mangsa mengalami kerugian wang ringgit.

BH Online. Gambar: Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) Bukit Aman, Datuk Seri Ramli Mohamed Yoosuf

“PDRM percaya taktik itu menyasarkan mangsa dalam kalangan individu yang kurang pengetahuan berkaitan teknologi,” Katanya kepada Bernama.

Berikut adalah modus operandi jenayah komersil terkini yang melibatkan fail aplikasi (APK):

  1. Mangsa melihat iklan penjualan barang melalui media sosial.
  2. Mangsa berhubung dengan penjual (suspek) melalui whatsapp (‘PM’ tepi).
  3. Suspek memberikan APK kepada mangsa untuk dimuat turun dan dipasang pada telefon bimbit mangsa untuk membuat pembelian.
  4. Mangsa akan membuat pendaftaran akaun dengan memasukkan maklumat seperti nama penuh, nombor telefon dan alamat e-mel.
  5. Mangsa seterusnya membuat bayaran dengan menekan butang checkout.
  6. Mangsa memasukkan butiran perbankan tanpa menyedari bahawa laman web perbankan tersebut adalah palsu.
  7. Paparan ‘page error’ akan terpapar.
  8. Mangsa tidak menyedari bahawa suspek sebenarnya telah memindahkan wang dari akaun bank mangsa ke akaun lain dengan menggunakan maklumat yang diperoleh melalui aplikasi tidak sah tersebut.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil

Akhirnya, suspek berjaya mengakses SMS yang diterima oleh mangsa dan membolehkan suspek memperoleh maklumat OTP / TAC perbankan internet mangsa.

Sehubungan itu, orang ramai perlu berwaspada lebih-lebih lagi apabila menerima fail aplikasi menerusi e-mel atau mesej. Lakukan muat turun fail hanya melalui platform yang selamat seperti Google Play atau App Store.

Bagi mengelak daripada menjadi mangsa penggodam kecurian identiti, orang ramai dinasihatkan untuk mengikuti tip seperti berikut:

  1. Jangan klik pautan e-mel daripada individu yang tidak dikenali.
  2. Semak URL, pastikan bukan laman web palsu.
  3. Mengemaskini anitvirus dan ‘firewall’ web.
  4. Gunakan kata laluan yang lebih rumit.
  5. Tukar kata laluan untuk semua perkhidmatan atas talian.
Jabatan Siasatan Jenayah Komersil

Untuk mendapatkan maklumat dan nasihat lanjut, orang ramai boleh menghubungi “CCID Scam Response Center” di talian 03-26101559 atau 03-26101599.

Langkah penyasaran subsidi diesel perlu demi selamatkan negara – PM

0

PUTRAJAYA: Walaupun tidak popular, langkah penyasaran subsidi diesel diperlukan untuk menyelamatkan negara, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Malah, katanya pentadbiran sebelum ini telah bersetuju dasar seperti itu perlu, tetapi mereka tidak melaksanakannya kerana risiko politik.

“Siapa mahu penyasaran subsidi ini? Kita kena juga tahu apa sahaja yang kita lakukan, kita akan dihentam habis-habisan dengan segala fitnah dan pembohongan,” kata Anwar kepada penjawat awam semasa ucapan bulanan Jabatan Perdana Menteri.

anwaribrahimofficial / Facebook

“Padahal kita beritahu penyasaran subsidi ini, semua perdana menteri sebelum ini telah bersetuju cuma tiada tekad politik untuk melaksanakannya kerana risikonya ada. 

Tetapi, untuk menyelamatkan negara, kita tiada pilihan,” kata Perdana Menteri yang juga Menteri Kewangan.

Mulai Isnin 10 Jun, harga diesel di semua stesen runcit Semenanjung Malaysia telah diapungkan dan ditetapkan berdasarkan harga pasaran global selepas kerajaan menghapuskan subsidi menyeluruh.

Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup Datuk Armizan Ali sebelum ini berkata subsidi menyeluruh untuk diesel menyebabkan Malaysia kerugian sebanyak RM4.5 juta sehari kerana bahan api bersubsidi itu diseleweng dan diseludup ke luar negara.

Dengan beralih kepada sistem subsidi bersasar, kerajaan bakal mendapat penjimatan sehingga RM8 bilion, sekali gus membolehkan kos itu dipulangkan semula untuk manfaat rakyat khususnya dalam bentuk bantuan tunai, kata ahli ekonomi dari Universiti Tun Abdul Razak (UNIRAZAK) Prof Emeritus Dr Barjoyai Bardai kepada Berita Harian.

Tambahnya, hasil penjimatan subsidi diesel itu akan boleh dirasai rakyat dalam tempoh sekurang-kurangnya setahun lagi.

@BernamaTV / X

Harga diesel minggu ini ditetapkan pada RM3.35 seliter berdasarkan formula Automatic Pricing Mechanism, kata Menteri Kewangan II Datuk Seri Amir Hamzah Azizan.

Amir Hamzah berkata dengan penetapan harga dan pelaksanaan penyasaran subsidi diesel, ia dapat memberikan penjimatan RM4 bilion setahun, di samping dapat mengukuhkan kedudukan kewangan negara untuk tempoh jangka masa panjang.

Bagaimanapun, penyasaran subsidi itu tidak melibatkan pengguna di Sabah, Sarawak dan Labuan di mana harga subsidi kekal RM2.15 seliter.

Pembantu rumah dikurung oleh majikan berjaya diselamatkan polis

0

PETALING JAYA: Pembantu rumah yang dikurung oleh majikan sejak seminggu lalu akhirnya berjaya diselamatkan polis dengan bantuan orang awam.

BULETINTV3

Menurut laporan daripada BuletinTV3, mangsa yang merupakan warga Indonesia itu diselamatkan selepas polis menyerbu kediaman terbabit pada pukul 5 petang kelmarin.

Orang awam membuat laporan polis sebaik sahaja menemui nota yang dicampakkan oleh mangsa yang dikurung di balkoni sebuah kondominium di Petaling Jaya.

Menurut Ketua Penolong Pengarah D3 Bukit Aman, SAC Soffian Santong, serbuan diakukan oleh bahagian D3 Anti Pemerdagangan Orang dan Penyeludupan Migran, Jabatan Siasatan Jenayah Bukit Aman.

“Mangsa 21 tahun dipercayai baru bekerja dengan majikannya yang juga warga tempatan di sebuah unit kondominium dekat Mutiara Damansara.”

“Mangsa yang diberi tugas mengemas hanya dibenarkan masuk ke rumah pada jam 5 pagi hingga 11 pagi sebelum dikurung semula di balkoni,” Kata Soffian.

Selain itu, Soffian berkata mangsa diberi makan dan minum tiga kali sehari, selain belum menerima gaji kerana baru sahaja bekerja kira-kira seminggu.

“Mangsa diberikan makan dan minum sebanyak tiga kali sehari oleh majikan berkenaan. Setiap hari mangsa akan dimarahi oleh majikannya dan akan dikurung.”

Jelas beliau lagi, mangsa menulis nota meminta bantuan dan mencampakkannya keluar dari balkoni.

Susulan itu, seorang wanita berusia 69 tahun dipercayai majikan mangsa ditahan.

Sementara itu, kedutaan Indonesia mengecam sekeras-kerasanya perbuatan menganiaya pembantu rumah warga negara itu dan menyerahkan kepada polis untuk menjalankan siasatan terperinci.

Duta Besar Indonesia ke Malaysia Datuk Hermono memberitahu Buletin Utama pihaknya sudah menghubungi polis dan mendapat kebenaran melawat mangsa yang kini ditempatkan di rumah pelindungan.

Menurut Datuk Hermono, pihaknya juga memerlukan maklumat mengenai ejen yang menghantar mangsa yang bekerja sebagai pembantu rumah tersebut.

Tambah Datuk Hermono lagi, kerjasama antara polis Indonesia dan polis Malaysia amat diperlukan supaya mereka dapat mengambil tindakan yang sewajarnya terhadap ejen berkenaan.

BULETINTV3

Datuk Hermono juga memberitahu kes eksploitasi pekerja terutama melibatkan pembantu rumah turut dibincangkan ketika beliau mengadakan pertemuan dengan peguam negara Datuk Ahmad Terrirudin Mohd Salleh di pejabatnya minggu lalu.

Lee Chong Wei beri amaran video “deepfake” dirinya mempromosi skim pelaburan palsu

0

Bekas pemain kebangsaan Datuk Lee Chong Wei memberi amaran keras kepada rakyat Malaysia bahawa kini terdapat video palsu janaan AI menggunakan diri dan namanya yang sedang tersebar di media sosial.

Chong Wei memberitahu New Straits Times, video itu memaparkan beliau mempromosikan skim pelaburan dalam talian yang merupakan satu penipuan, dan berharap orang ramai tidak terpengaruh dengan penipuan itu.

Gambar NST

“Nasihat saya ialah apabila anda melihat wajah saya pada poster produk atau skim pelaburan, semak pada akaun media sosial rasmi saya. Jika saya tidak memuat naiknya, jadi ia adalah palsu,” kata Chong Wei.

Chong Wei menasihatkan rakyat Malaysia untuk terus berwaspada pada setiap masa, sambil menambah jika pelaburan atau produk itu kelihatan terlalu bagus untuk menjadi kenyataan, kemungkinan besar ia adalah satu penipuan.

Legenda badminton Malaysia itu berkata sudah terlalu ramai saudara dan rakannya yang menjadi mangsa sindiket penipuan di seluruh dunia.

Amaran Chong Wei dibuat selepas rakan sepasukan Malaysia Lai Pei Jing kehilangan sebahagian besar wang simpanannya kepada skim pelaburan palsu.

Facebook

Chong Wei juga berkata beliau telah bekerjasama dengan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) dalam memerangi sindiket penipuan.

“Scammer ini semakin melampau dan hilang kawalan. Pei Jing adalah sahabat saya, dan dia menelefon saya memberitahu apa yang berlaku. Saya hanya boleh menawarkan kata-kata semangat untuk menenangkannya.

“Saya berharap pihak berkuasa akan mempertingkatkan prosedur operasi standard (SOP) dan risikan mereka untuk cuba memberkas dalang di sebalik sindiket ini,” katanya.

Chong Wei menambah isterinya, Datin Wong Mew Choo, baru-baru ini hampir menjadi mangsa penipuan melalui telefon betul-betul di hadapannya ketika mereka berada di rumah.

“Seseorang, yang mendakwa sebagai pegawai polis penyiasat, bertanya kepada Mew Choo untuk butiran peribadinya,” katanya.

“Saya cepat-cepat ambil telefon daripadanya dan bertanya siapakah yang berada di talian itu.

“Saya memberitahu individu itu tiada pegawai polis akan membincangkan butiran peribadi dalam telefon, dan dia mula meninggikan suaranya. Saya juga meninggikan suara, dan mencabar individu itu untuk membuat dakwaan terhadap saya, selepas itu dia meletak telefon,” katanya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Awal tahun ini, Dewan Negara memaklumkan sejumlah 34,497 kes penipuan dalam talian mengakibatkan kerugian RM1.218 bilion, dilaporkan di seluruh negara pada 2023, dengan jenayah telekomunikasi menjadi yang paling berleluasa.

Tonton video di sini.

Dua maut selepas makan bihun goreng dan telur mata disediakan program sekolah

0

Dua disahkan meninggal dunia akibat keracunan makanan dipercayai selepas memakan bihun dan telur goreng yang disediakan untuk program di sebuah sekolah kelolaan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) di Gombak, Selangor pada Isnin, 10 Jun.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Noor Ariffin Mohamad Nasir berkata, kes pertama melibatkan remaja lelaki berusia 17 tahun yang telah memakan makanan yang dibawa pulang oleh ibunya selepas menghadiri program di sekolah berkenaan pada Sabtu, 8 Jun.

Menurutnya, mangsa kemudian dilapor mengalami cirit-birit dan tidak sedarkan diri kira-kira jam 1.30 petang, pada Isnin.

Gambar Hiasan / Pixabay

“Bapa mangsa telah menghubungi pihak MERS 999 untuk bantuan sebelum anaknya disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan Hospital Kuala Lumpur,” katanya dalam kenyataan pada 11 Jun.

Noor Ariffin berkata, mangsa kedua melibatkan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun.

“Bapa mangsa yang bekerja sebagai pengawal keselamatan di sekolah berkenaan telah membawa balik makanan selepas selesai program sekolah pada Sabtu.

“Bapa mangsa ada memberi anaknya makan makanan itu,” katanya.

Gambar Hiasan / Pixabay

Menurutnya, kanak-kanak itu kemudian demam, muntah dan cirit birit pada Isnin sebelum dibawa ibunya ke Hospital Selayang dan disahkan meninggal dunia semasa mendapatkan rawatan.

Noor Ariffin berkata, kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).

Sementara itu, Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS) dalam kenyataan media melaporkan seramai 82 orang daripada 247 orang mengalami gejala keracunan makanan selepas memakan sarapan pagi pada Program Kemahiran Amal Islami (Kamil) Peringkat Daerah Gombak, Sabtu lalu.

Pengarah Kesihatan Negeri, Dr Ummi Kalthom Shamsudin berkata keracunan makanan itu disyaki berpunca daripada bihun goreng dan telur mata yang didakwa sudah berubah rupa dan rasa.

Katanya, individu yang mengalami gejala cirit-birit, sakit perut, demam, muntah dan loya terdiri daripada urus setia, guru, pekerja sekolah dan ahli keluarga yang berusia antara 18 bulan hingga 58 tahun.

Menurutnya, makanan berkenaan dibekalkan oleh pengendali makanan dari luar.

Katanya, sampel makanan yang diambil pada hari kejadian sudah dihantar ke Makmal Kesihatan Awam Kebangsaan (MKAK), Sungai Buloh bagi mengenal pasti punca sebenar kejadian keracunan makanan.

“JKNS juga meminta agar individu terbabit yang mengalami gejala agar segera mendapatkan rawatan di mana-mana fasiliti kesihatan bagi mengelakkan komplikasi keracunan makanan yang tidak diingini.

“Program penganjur dan orang awam perlu berhati-hati memilih premis dan pembekal makanan yang bersih.

“JKNS juga merakamkan ucapan takziah kepada kedua-dua keluarga mangsa,” katanya.

Lelaki pinjam ‘Ah Long’ RM50,000 namun hutang menjadi RM4 juta

0

Gara-gara tidak mampu membayar hutang sedia ada, seorang lelaki yang pada awalnya meminjam ‘Ah Long’ RM50,000 terpaksa membayar RM4 juta.

CHINA PRESS

Berdasarkan laporan daripada Chinese Press, peminjam yang berbangsa Cina itu meminjam wang daripada Ah Long sebanyak RM50,000 tersebut untuk menjalankan perniagaan.

Perkara itu didedahkan oleh Setiausaha Agung Dewan Perhimpunan Cina Kuala Lumpur, See Foo Hoong.

Menurut See, pemberi pinjam wang tidak berlesen itu mengumpan orang ramai dengan menggunakan logo bank tempatan. Mereka menyamar sebagai institusi kredit dan menunjukkan sistem pembayaran semula yang kelihatan meyakinkan.

Mangsa kemudiannya tertarik untuk membuat pinjaman dengan Ah Long tersebut memandangkan dia memerlukan wang untuk menyelesaikan masalah kewangan dalam perniagaannya.

Pada mulanya, mangsa meminjam RM50,000 sahaja. Namun faedah pinjaman meningkat sehingga mencecah RM4 juta. Keluarga mangsa berjaya membayar penuh jumlah tersebut.

CHINA PRESS

Sangkaan mereka semuanya sudah selesai sehinggalah pihak Ah Long mengatakan mangsa masih mempunyai hutang sebanyak RM4 juta.

Perkara itu disedari mangsa di mana cara pengiraan pembayaran semula hutang berlainan daripada apa yang dipaparkan dalam iklan.

Difahamkan, pemberi pinjam wang tidak berlesen itu juga meminta mangsa untuk memberikan salinan kad pengenalan, bil air, bil elektrik dan gambar bahagian depan rumah sebelum mereka meluluskan permohonan pinjaman wang.

Walaupun pada dasarnya mangsa meminjam RM50,000 namun dia hanya mendapat RM27,000 selepas dikatakan baki wang pinjaman dipotong untuk “yuran pemprosesan”.

“Dia hanya menerima 40 hingga 60 peratus daripada jumlah yang dipinjam. Apabila dia tidak dapat membayar jumlah tersebut kerana kadar faedah yang tinggi, dia terus meminjam daripada Ah Long lain untuk menutup hutang sebelumnya,” Kata See.

Disebabkan tidak mampu untuk membayar RM4 juta yang seterusnya, mangsa telah menemui See untuk mendapatkan khidmat nasihat.

See menasihati mangsa supaya membuat laporan polis dengan mengemukakan semua bukti termasuk akaun bank yang digunakan untuk membuat pembayaran semula hutang, mesej ugutan dan lain-lain.

CHINA PRESS

Pihak polis melakukan siasatan terhadap kes itu.

Ikan Paus Pilot muncul di Pulau Tioman, pelancong teruja

0

Sekumpulan pelancong begitu teruja sekali apabila melihat ikan Paus Pilot semasa mereka sedang menikmati keindahan Pulau Tioman.

SAYS

Kumpulan pelancong itu sedang mengembara bersama-sama dengan pengendali pelayaran pengembaraan Sea Rascals.

Menurut SAYS, ketua anak kapal, Zai sempat merakam detik indah yang menyaksikan sekumpulan ikan paus pilot yang muncul di perairan air.

SAYS

Terdahulu sekumpulan paus pilot sirip pendek pernah ditemui berenang berhampiran Pulau Perhatian dekat Jertih, Terengganu.

Dikatakan mamalia marin bersaiz besar dan banyak itu menjadikan Laut China Selatan sebagai laluan migrasi mereka.

Ketua Cawangan Mamalia Marin, Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) Rantau Abang Jabatan Perikanan Malaysia Mohd Tamimi Ali Ahmad dalam satu kenyataan berkata, mamalia itu sering bergerak dalam bilangan antara 10 hingga 50 ekor.

Menurut Tamimi lagi, seekor mamalia marin dewasa dianggarkan seberat 1,000 hingga 3,000 kilogram manakala seekor anak pula dianggarkan seberat 60 hingga 500 kilogram.

Sementara itu, jangka hayat ikan paus pilot ini dianggarkan boleh mencapai antara 40 hingga 45 tahun serta usia kematangannya pula adalah antara 10 hingga 20 tahun.

Kali terakhir mamalia marin ini dilaporkan terdampar mati di Sarawak ialah pada tahun 2013 dan di Labuan, Sabah pada tahun 2015.

Ikan paus pilot sirip pendek tersenarai dalam kumpulan mamalia marin dan merupakan satu spesies marin terancam di Malaysia.

Mamalia ini ialah pemangsa dalam rantaian pemakanan di ekosistem lautan dan juga haiwan karnivor yang kebiasaannya memburu dan memakan ikan, sotong, penyu dan burung laut.

Malangnya, mamalia marin ini juga gemar memakan sampah sarap dan plastik yang bertebaran di lautan dan disebabkan itu terdapat beberapa kes haiwan ini terlantar sakit dan akhirnya mati di luar negara.

Tonton video ikan Paus Pilot yang ditemui di Pulau Tioman tersebut di bawah.

Pendaki bongkar air terjun terkenal di China rupanya palsu yang keluar dari paip

0

Satu video yang memaparkan pemandangan air terjun popular di China menjadi tular baru-baru ini selepas ia mendedahkan bahawa airnya keluar dari paip.

Air terjun Yuntai Tian, ​​yang terletak di Taman Geo Gunung Yuntai, melata dari ketinggian 314 meter dan menyandang gelaran “air terjun tertinggi di Asia”.

Gambar Trip.com

Berjuta-juta pengunjung melawat Taman Geo Global UNESCO itu pada setiap tahun untuk menyaksikan dengan kekaguman formasi geologi yang wujud sejak lebih daripada satu bilion tahun.

Walau bagaimanapun, baru-baru ini ia mencetuskan kontroversi dan perdebatan tentang keaslian air terjun berkenaan kerana penggunaan paip air untuk menambah aliran semasanya terutama ketika musim kemarau.

Seorang pendaki lelaki baru-baru ini merakam rakaman air terjun berkenaan, mendedahkan paip air terbina dari celah batu yang membekalkan sumber air di bahagian atas air terjun.

Gambar Douyin

Video itu, yang memperoleh berjuta tontonan di Weibo dan Douyin telah mencetuskan kekecohan yang mendorong pegawai kerajaan tempatan untuk menyiasat.

Mengulas kepada CCTV, pihak pengurusan taman menjelaskan tanpa menafikannya bahawa air yang digunakan untuk mengepam air adalah air mata air, dan memberi jaminan bahawa ia tidak akan merosakkan landskap semula jadi.

Pegawai taman juga mendakwa mereka membuat “penambahbaikan kecil” ini supaya pelancong tidak berasa kecewa semasa berkunjung di musim kemarau.

“Kami membuat sedikit penambahbaikan semasa musim kemarau untuk memberikan anda pengalaman lebih baik,” kata mereka dalam kenyataan itu pada Selasa, 4 Jun.

Gambar Douyin

Setelah disiasat, pegawai kerajaan tempatan telah menasihatkan pengurusan taman itu untuk mengambil iktibar daripada insiden berkenaan dan memaklumkan kepada para pelancong tentang “penambahbaikan” ini lebih awal.

Walaupun beberapa orang mengkritik penambahbaikan itu, tetapi yang lain merasakan sebaliknya dengan menyatakan bahawa ia adalah tarikan terindah tidak kira bagaimana caranya:

“Saya fikir ia adalah perkara yang baik untuk dilakukan. Jika tidak, ramai akan kecewa jika mereka akhirnya tidak dapat melihat apa-apa di sana,” kata pengguna Weibo.

“Mengapa perlu peduli ia keluar dari paip? Ia masih nampak indah pada pandangan saya.”

“Jadi apa masalahnya? Ia masih nampak cantik tidak kira macam mana pun.”

“Palsu atau tidak, ia masih air terjun. Peduli apa! Ia masih air, bukan? Dan ia masih terjun.. Itu yang penting!”

Gambar BBC

Manakala yang lain merasakan bahawa ia merosakkan pengalaman menyaksikan keindahan alam semula jadi.

“Ia tidak menghormati aturan alam semula jadi, dan tidak menghormati pelancong,” tulis seorang pengguna Weibo.

“Bagaimana ia boleh dipanggil air terjun No. 1 lagi?” pengguna lain bertanya pada Douyin.

Harga diesel tanpa subsidi RM3.35 seliter bermula 10 Jun

0

PUTRAJAYA: Kerajaan menetapkan harga diesel di Semenanjung pada kadar RM3.35 seliter bermula jam 12 tengah malam Isnin, 10 Jun selaras dengan pelaksanaan penyelarasan semula subsidi bahan api tersebut.

Menteri Kewangan Il, Datuk Seri Amir Hamzah Azizan berkata, penetapan dibuat mengikut harga pasaran tanpa subsidi berdasarkan purata bulan Mei 2024 mengikut formula ‘Automatic Pricing Mechanism’.

Berita Harian Online / Facebook

Menurutnya, untuk tempoh seterusnya, harga diesel semasa akan diumumkan pada setiap minggu (Rabu), mengikut amalan semasa Kementerian Kewangan.

“Namun, kerajaan akan terus memantau keadaan semasa bagi mengelakkan ketidakstabilan harga.

“Kerajaan sudah bertahun-tahun mengawal harga di stesen-stesen minyak. Ada kaedah yang kita boleh stabilkan harga. Jadi, kalau ada lonjakan harga kita akan cuba stabilkan harga.

“Bagaimanapun jika kenaikan harga drastik dijangka dalam tempoh lama, kita akan lihat bagaimana kaedah terbaik yang kita boleh buat,” katanya pada Sidang Media Penyasaran Subsidi Diesel di Putrajaya pada Ahad, 9 Jun.

Beliau menegaskan, penyasaran semula subsidi yang dilakukan kerajaan adalah memastikan ia memanfaatkan golongan yang benar-benar layak sahaja dan mahu ketirisan yang amat merugikan rakyat dan negara dihentikan.

Berita Harian Online / Facebook

Katanya, dengan langkah itu juga, kerajaan menjangkakan pengurangan serta-merta kerugian daripada aktiviti ketirisan yang boleh membawa kepada penjimatan sebanyak RM4 billion setahun.

“Penjimatan yang diperoleh kerajaan daripada langkah penting ini akan memastikan terdapat lebih banyak sumber untuk disalurkan ke dalam sektor kritikal lain yang secara langsung akan meningkatkan kualiti hidup rakyat termasuk infrastruktur awam, penjagaan kesihatan dan pendidikan untuk anak-anak kita,” katanya.

Pada masa sama, beliau berkata, tiada tarikh tutup ditetapkan bagi permohonan bantuan subsidi tunai di bawah inisiatif Budi Madani.

Katanya, seramai 30,000 pemilik kenderaan diesel akan menerima RM200 bantuan tunai bulanan pertama bawah inisiatif tersebut pada Isnin.

@bharianmy / X

“Sekali lagi, saya ingin mengingatkan rakyat Malaysia yang layak untuk memohon bantuan tunai ini. Mereka yang memohon pada bulan Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan Jun dan seterusnya.

“Mereka yang terlepas membuat permohonan pada bulan Jun akan layak menerima bantuan tunai untuk bulan permohonan dan seterusnya,” katanya.

Harga diesel di Malaysia dengan jumlah subsidi sebelum pelarasan semula, dijual pada empat harga yang berbeza mengikut subsidi iaitu RM1.65 bagi nelayan; RM1.88 bagi pengangkutan awam darat; RM2.15 bagi kenderaan komersial dan persendirian, serta pernah mencecah RM3.60 bagi sektor komersial tanpa subsidi.