KUALA LUMPUR: Kebakaran di Jalan Pudu yang dilaporkan berlaku pada malam Rabu, 19 Jun lalu telah menyebabkan enam buah rumah setinggan musnah sepenuhnya.
Disamping itu, tiga buah kereta dan tiga buah motosikal selain tingkat atas sebuah rumah kedai dua tingkat yang terletak berhampiran turut musnah dalam kebakaran berkenaan.
Terdahulu, Pusat Gerakan Operasi Bomba Kuala Lumpur menerima panggilan kecemasan berkaitan kebakaran itu pada pukul 8.04 malam.
Seterusnya, pasukan bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Pudu, BBP Jalan Tun Razak, BBP Cheras, BBP Jalan Hang Tuah dan Pasukan Bomba Sukarela Desa Petaling digerakkan ke lokasi untuk operasi memadam kebakaran.
Seramai 25 orang anggota bomba serta enam buah jentera iaitu tiga buah jentera FRT, sebuah jentera Aerial Ladder Platform (ALP) serta dua buah jentera Water Tanker terbabit dalam usaha memadam kebakaran.
Menurut Komander Operasi Kanan, Penolong Penguasa Bomba Logeswasaran A/L Lavan, kebakaran membabitkan tujuh buah rumah setinggan dengan enam daripadanya musnah seratus peratus. Manakala sebuah lagi rumah musnah 40 peratus.
“Kebakaran juga membabitkan rumah kedai dua tingkat dengan kemusnahan seratus peratus di bahagian tingkat atas.”
“Terdapat juga tiga kereta dan tiga motosikal terbabit dalam kebakaran musnah seratus peratus,” Katanya dalam satu kenyataan.
Ujar L Logeswasaran lagi, operasi pemadaman kebakaran tamat sepenuhnya pada pukul 1.43 pagi dan kejadian tidak membabitkan mangsa.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” Katanya.
Sementara itu, sebuah video singkat yang tular dikongsi oleh pengguna media sosial XioHongShu memaparkan penumpang LRT cemas ketika melepasi bangunan yang terbakar itu.
Menurut pemilik video, joyce71888 ketika itu dia dalam perjalanan pulang dari Pudu ke Chansowlin pada pukul 8.30 malam. Dia melihat api marak di seberang jalan.
Joyce71888 melihat api marak semakin mendekat dan dapat merasakan bahangnya. Bukan dia sahaja yang panik, penumpang tren yang lain juga panik dengan situasi tersebut.
Dalam pada itu, Joyce71888 sempat merakam insiden kebakaran tersebut pada saat-saat terakhir tren melepasi kawasan kebakaran terbabit.
“Api dan LRT betul-betul sangat dekat dan menakutkan.” Katanya dalam hantaran tersebut.