KUALA LUMPUR: Sebuah pusat beli-belah di Genting Highlands terbakar dengan asap tebal dan api marak mencetuskan suasana panik dalam kalangan pengunjung.
Genting Malaysia Berhad mengesahkan kebakaran yang berlaku tersebut hanya melibatkan pusat beli-belah SkyAvenue, Resorts World Genting.
Dalam satu kenyataan, syarikat itu memaklumkan bahawa mereka menerima laporan mengenai kebakaran berkenaan pada pukul 4.30 petang.
Sepasukan anggota bomba dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Genting dibantu anggota dari BBP Bentong digerakkan ke lokasi bagi kerja memadam kebakaran sebaik sahaja menerima laporan sekitar pukul 4.55 petang.
Kebakaran tersebut akhirnya berjaya dipadamkan sepenuhnya pada pukul 7.15 malam dan semua pengunjung yang berada di pusat beli-belah itu berjaya dipindahkan dengan selamat.
“Kebakaran di SkyAvenue, Resorts World Genting telah dipadamkan kira-kira jam 7.15 malam tadi dan pihak Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia sudah memberi kebenaran untuk SkyAvenue dibuka semula kepada umum.”
“Sebilangan besar kedai di SkyAvenue akan kekal dibuka, kecuali beberapa unit kedai yang berada berhampiran kawasan yang terjejas, akan ditutup buat sementara,” Katanya.
Terdahulu, Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar mengesahkan kejadian tersebut ketika dihubungi.
Sementara itu, Penolong Pengarah Operasi Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Pahang, Penguasa Bomba Kanan 1 Ismail Abdul VGhani yang dihubungi memaklumkan kebakaran tidak membabitkan mangsa.
Genting Malaysia Berhad dalam satu kenyataan juga memaklumkan bahawa konsert ‘Best of Chen Lei Hits 2024’ di Arena of Stars akan diteruskan seperti yang dijadualkan.
Syarikat juga menyatakan bahawa kebakaran tersebut tidak menjejaskan operasi taman tema di pusat peranginan itu seperti Genting SkyWorlds dan Skytropolis, serta beberapa lokasi tarikan lain dengan kesemuanya akan beroperasi seperti biasa.
“Awana SkyWay juga akan beroperasi seperti yang dijadualkan,” Katanya.