Polis telah menahan seorang ejen insurans selepas melakukan ugutan jenayah terhadap seorang pelanggannya pada Ahad lalu, 9 Jun.
Kejadian dilaporkan berlaku di Balik Pulau, Pulau Pinang apabila seorang lelaki berusia 30 tahun telah ditahan selepas dia menyerah diri di balai polis.
Ejen insurans itu menyerah diri pada hari yang sama mangsa, seorang penghantar makanan, membuat laporan polis.
Menurut Ketua Polis Daerah Barat Daya Superintendan Kamarul Rizal Jenal kepada NST, kira-kira jam 8.13 pagi 9 Jun, mangsa berusia 28 tahun telah menghubungi ejen insuransnya untuk membatalkan polisi insurans.
Mangsa memberitahu dia tidak lagi mampu membayar insurans dan tidak lagi berminat untuk meneruskan polisi itu.
“Ejen insurans itu kemudian mengugut untuk membunuh pelanggannya jika dia membatalkan polisi insurans berkenaan.
“Dia juga berkata akan membayarkan polisi pelanggannya selama tiga bulan untuk melengkapkan tempoh setahun langganan polisi itu.
“Dia juga memberitahu jika pelanggan (mangsa) pergi ke syarikat insurans untuk membatalkan polisi, dia akan ‘memotongnya’,” kata Kamarul.
Mangsa telah membuat laporan polis pada jam 3.47 petang Rabu, 12 Jun.
Kamarul berkata, kes kini sedang disiasat di bawah Seksyen 507 Kanun Keseksaan.