Sudah menjadi kebiasaan untuk kita menggunakan bahan pencuci kimia bagi tujuan pembersihan terutama pada kotoran degil seperti di bilik air. Namun begitu, bahan pencuci atau bahan peluntur biasanya mempunyai kandungan kimia yang agak berbahaya terutama kepada kulit.
Baru-baru ini seorang netizen di Twitter, @areuizany berkongsi pengalamannya dikejarkan ke hospital atas kesalahannya mencampurkan dua jenis bahan pencuci kimia. Apa yang yang berlaku ialah wanita tersebut telah mencampurkan bahan peluntur Clorox dan sejenis bahan pencuci untuk mencuci tandas rumah yang baru didudukinya.
Biasanya dia hanya akan menggunakan pencuci biasa, namun pada hari kejadian dia mencampurkan dua jenis bahan pencuci dan menghidu campuran tersebut kerana menyangka ia adalah sabun. Dia kemudian mula terbatuk-batuk kerana baunya yang sangat kuat. Sekejap sahaja bau tersebut mula merebak satu rumah tetapi mujur suaminya pantas mengambil anak kecil mereka dan membawanya masuk ke dalam bilik.
Dia menceritakan bahawa dia cuba mendapatkan udara segar dengan berjalan di luar rumah, sementara suaminya berusaha menghilangkan bau yang masih ada di rumah.
Namun, setelah beberapa minit, dia masih tidak dapat bernafas, dan dadanya mulai sakit. Mereka kemudian terus bergegas ke hospital dan mujurlah tiada sesuatu yang serius menimpanya.
Sebaik sahaja sampai di rumah, dia melihat label amaran pada semua botol produk pembersih. Rupa-rupanya bahan pencuci ‘strain remover’ yang disangka sabun itu mengandungi asid dan tidak boleh dicampurkan dengan bahan peluntur atau bahan kimia yang lain.
Semoga apa yang berlaku kepada wanita ini akan menjadi pengajaran buat semua. Pastikan anda baca dahulu label amaran pada botol bahan pencuci kerana biasanya bahan pencuci mengandungi bahan kimia yang kuat.
Setelah Malaysia memasuki fasa endemik, lebih banyak aktiviti sosial dan sektor ekonomi akan dibuka semula serta digerakkan. Maka, pihak berkuasa tidak akan dapat mengawal pergerakan semua orang.
Dengan itu, adalah sangat disarankan kepada setiap individu untuk melakukan ujian pengesanan kendiri COVID-19 secara berkala demi melindungi mereka yang berada di persekitaran anda.
Oleh kerana kerajaan tidak dapat mengesan siapa yang telah diuji positif mahupun negatif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa setiap individu yang berkenaan untuk melaporkan hasil ujian pengesanan COVID-19 mereka melalui aplikasi MySejahtera.
KKM dalam hantaran di Facebook, menasihati individu yang positif COVID-19 untuk mengasingkan diri di rumah dan menjalani kuarantin. Sekiranya rumah anda tidak sesuai untuk pengasingan, hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terdekat untuk penilaian lebih lanjut.
Seterusnya, laporkan hasil ujian positif anda melalui aplikasi MySejahtera dengan memilih ikon ‘COVID-19 Self Test’ di sudut kanan atas dalam laman utama, dan memilih ‘Update Self Test Result’.
MySejahtera
Anda kemudian akan dibawa ke halaman lain di mana anda boleh mengisi maklumat peribadi dan menjawab soalan lebih lanjut mengenai ujian tersebut.
MySejahtera
Setelah selesai, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) akan dikeluarkan secara digital di MySejahtera atau secara manual oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Selama 14 hari berikutnya, laporkan keadaan kesihatan anda menggunakan ‘Home Assessment Tool’ (HAT), dan sekiranya gejala bertambah buruk, hubungi CAC atau 999 (untuk keadaan kecemasan), atau segera ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri.
Kristal Amethyst merupakan permata berwarna ungu yang biasa dilombong secara besar-besaran di Brazil, Uruguay, Rusia, dan Zambia. Juga dikenali batu kelahiran bulan Februari dan permata ketenangan, kepentingan memiliki Amethyst dikatakan termasuk menghilangkan tekanan serta meningkatkan kesabaran dan ketenangan dalaman.
Sekumpulan pelombong dan pemburu batu kristal dari The Crystal Collector bersama rakan mereka Jake Tubbs telah menemui batu kristal Amethyst antara yang terbesar dalam koleksi mereka di satu lokasi berdekatan anak sungai di Carolina Selatan, Amerika Syarikat.
Perasaan yang mengujakan apabila mereka menemuinya, “Oh Tuhan, ini antara rekod yang terbesar!!!”
Dalam gumpalan lumpur, tanah dan batu yang digali di tepi sungai itu terdapat kristal berharga berwarna ungu Amethyst, dengan kilauan ungu cerah sehingga ke warna ungu lebih gelap.
Ketika kotoran lumpur dan tanah dibersihkan, kelihatan permukaan kristal Amethyst memantulkan cahayanya dengan kilauan warna ungu yang cantik dan mempesonakan.
Amethyst adalah yang paling berharga dalam kalangan kuarza dari segi kecantikannya. Pada asalnya, kecantikan ini dianggap unik dibandingkan dengan batu permata Sapphire, Berlian, Rubi, dan Zamrud yang belum digilap.
Nilai Amethyst masih tinggi pada titik harga yang lebih berpatutan, walaupun tidak semahal batu permata lain.
Berbanding beberapa batu permata lain, Amethyst merupakan batu perhiasan diri dan kediaman yang sangat popular. Walaupun kluster geode dan kristal kini lebih umum, penemuan Amethyst masih merupakan pemandangan indah yang menakjubkan.
Cara pengendalian kluster geode atau kristal ini dapat meningkatkan nilainya sekiranya kristal yang ditemui itu lebih besar. Sekiranya terdapat kristal yang terkelupas atau rosak di dalam kluster, ini akan menurunkan nilai Amethyst.
Menurut Moon Magic, harga standard sama ada dengan ukuran borong atau menurut gred A hingga D untuk kristal Amethyst ketika pembelian borong adalah dalam anggaran US$10 (RM41.56) sehingga US$100 (RM415.60) per kilogram.
Warna Amethyst memainkan peranan yang besar dalam penentuan harga. Daripada pelbagai warna ungu Amethyst, batu permata yang berwarna lebih gelap itu adalah lebih berharga. Bermakna semakin gelap warna ungu itu, semakin bernilai tinggi permata Amethyst.
Namun tidak semestinya hanya kerana warna ungu itu gelap, ia akan berharga. Pengecualian sekiranya warna ungu kelihatan gelap dalam cahaya yang rendah. Seseorang perlu bersedia membayar antara tiga hingga lima kali ganda untuk kristal Amethyst yang lebih gelap berbanding yang berwarna ungu cerah dan lebih ringan.
Di sini, Jake Tubbs@beawildthing bersama gandingan pasukan The Crystal Collector menemui kristal Amethyst berwarna gelap dan cerah dalam satu kluster geode yang terbesar untuk koleksi mereka, dan sudah pasti ia ada yang bernilai tinggi.
Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata bahawa ekonomi Malaysia akan dibuka sepenuhnya menjelang akhir tahun ini, sebelum kembali kepada kadar pertumbuhan pra-wabak pada tahun hadapan.
Kadar pertumbuhan Malaysia dijangkakan pada 5.8% dan 6.0% persen pada tahun 2022 oleh Bank Dunia dan Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF), tambah Tengku Zafrul.
“Prestasi ini akan disokong oleh normalisasi aktiviti ekonomi domestik secara beransur-ansur dan juga kesan positif daripada impak peningkatan permintaan luaran yang berterusan”.
Pemacu pertumbuhan tambahan akan merangkumi peningkatan kapasiti pengeluaran berkaitan komoditi, kitaran peningkatan teknologi global dan kemajuan projek infrastruktur besar yang lebih cepat dengan kesan pengganda yang tinggi.
“Sebagai ekonomi yang berorientasikan perdagangan, nasib kita terikat dengan prospek rakan dagang terpenting kita. Prestasi pertumbuhan baru-baru ini di Singapura, Amerika dan China pada separuh pertama tahun 2021 memberi pertanda baik untuk pemulihan ekonomi kita sendiri pada bulan-bulan mendatang”.
Namun menurutnya, tinjauan prospek pertumbuhan global IMF baru-baru ini untuk tahun 2021 mencerminkan cabaran ketidaksetaraan vaksin dan menormalkan kegiatan sosio-ekonomi, terutama di negara-negara yang sedang berkembang dan membangun.
“Munculnya tekanan inflasi, yang digabungkan dengan kekurangan segalanya – gas asli hingga cip mikro, menimbulkan cabaran untuk pemulihan global yang lancar. Walaupun menghadapi cabaran ini, saya yakin bahawa kita berada di puncak pemulihan, didorong oleh Pelan Pemulihan Negara (PPN), Belanjawan 2022 yang akan datang dan Rancangan Malaysia ke-12 (RMK-12) yang baru diumumkan”.
Tambah beliau, jalan menuju pemulihan bermula dengan Pelan Pemulihan Negara (PPN), satu pendekatan komprehensif untuk memelihara nyawa dan membolehkan ekonomi dibuka dengan selamat.
Diperkenalkan pada bulan Jun, PPN mencerminkan pendekatan kerajaan dan seluruh negara dengan perkembangan terkini termasuk peruntukan perjalanan antara negeri dan luar negeri bagi mereka yang diberi vaksin sepenuhnya, selain usaha berterusan untuk mengurangkan prosedur operasi standard (SOP) kepada hanya 10.
“Perkembangan ini berdasarkan program vaksinasi yang mantap, dengan Malaysia ketika ini merupakan salah satu negara dengan kadar vaksinasi terpantas di dunia”. Sehingga 13 Oktober tahun ini, lebih daripada 21 juta orang atau lebih daripada 90% populasi dewasa di negara ini lengkap divaksinasi.
“InsyaAllah, kita berada di landasan yang betul untuk mencapai hampir 100% populasi dewasa lengkap divaksinasi pada akhir bulan ini. Kita juga telah mula memberi vaksin kepada remaja – lebih 74% mereka yang berumur 12 hingga 17 tahun menerima sekurang-kurangnya satu dos”.
Tengku Zafrul mengatakan evolusi PPN seterusnya akan mempersiapkan Malaysia untuk menjalani kehidupan normal seterusnya dengan COVID-19 sebagai endemik.
Kerajaan menurutnya juga akan memperkenalkan 8 pakej bantuan sebagai tambahan kepada Belanjawan 2021 sepanjang wabak tersebut.
“Secara keseluruhan, lebih RM340 juta telah disalurkan pada September 2021, menyelamatkan 2.7 juta pekerjaan sambil menguntungkan lebih 20 juta orang dan 2.4 juta perniagaan”.
Katanya lagi, lebih kurang RM300 bilion baki yang ada untuk tahun ini, termasuklah bantuan langsung bernilai RM10 bilion untuk golongan B40, M40, pekerja gig, golongan miskin tegar dan kepada penganggur.
Spesies kerang-kerangan di kawasan Perairan Sungai Geting, Tumpat dilaporkan telah dicemari oleh toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu ‘alexandrium minutum’.
Perkara itu dinyatakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menerusi notis yang turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti memungut, menjual dan memakan kerangan berkenaan.
Menurut pengarahnya, Nazri Ishak, larangan tersebut berkuat kuasa serta merta berikutan hasil keputusan analisis makmal Biosekuriti Perikanan menemui bahan toksin bereknaan.
“Bahan toksin itu ditemui pada spesis kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala yang dikutip sekitar kawasan Perairan Sungai Getting”.
Tambahnya lagi, akibat daripada memakan kerang-kerangan yang tercemar tersebut berupaya mengakibatkan keracunan dan memudaratkan kesihatan.
Mereka yang menunjukkan gejala seperti kebas deria rasa, sakit kepala, demam, ruam, pening, loya dan cirit birit selepas memakan kerangan berkenaan untuk segera mendapatkan rawatan.
Ujar beliau, kejadian sebegini sudah banyak kali berlaku di kawasan berkenaan dan puncanya terdiri daripada pelbagai faktor termasuklah cuaca panas.
Walau bagaimanapun, pihaknya akan melakukan ujian persampelan pada setiap minggu dan akan mengeluarkan notis pemberitahuan jika spesies tersebut sudah selamat untuk dimakan.
“Sebagai langkah kawalan, kita mengarahkan supaya pencari atau pengutip kerang-kerangan ini jangan kutip lagi sehingga dipastikan ia selamat untuk dimakan”.
“Nasihat saya kepada pembeli agar bertanya terlebih dahulu kepada penjual mengenai dari mana kerang-kerangan itu diambil bagi mengelakkan termakan spesies tercemar”, akhirinya.
Pernahkah anda sebagai pencinta alam semula jadi dan suka mendaki bertemu dengan anjing yang bagai menjadi ‘utusan’ mengiringi perjalanan di sepanjang pengembaraan di dalam hutan? Anjing ini bukan sahaja mengenali laluan dan menemani para pendaki malahan turut memastikan keselamatan mereka terjaga.
Khairul Aming, usahawan Sambal Nyet baru-baru ini berkongsi video tersangat comel di TikTok yang menjadi tular dalam masa 1 hari menyaksikan lebih 2.9 juta tontonan warganet.
Baru-baru ini, Khairul Aming bersama beberapa rakannya telah mengembara dan mendaki hutan berdekatan dan tidak pula menyangka akan bertemu dengan seekor anjing comel dengan kepintarannya memberi khidmat yang sangat mengagumkan.
Siapa pula yang menyangka anjing itu sanggup berjalan jauh mengiringi perjalanan mereka dari awal hingga ke akhir, tanpa meninggalkan kumpulan Khairul di belakang yang sejauh 12 kilometer.
Pali memimpin laluan mendaki mereka di dalam hutan dan sungai, tanpa gagal dengan selalu selangkah ke hadapan demi memastikan tiada makhluk berbahaya dalam perjalanan mereka, dan anjing ini kelihatan seperti ‘tour guide’ profesional.
Setelah memastikan tiada bahaya di hadapan, Pali akan berpaling dan berlari kembali ke arah kumpulan itu. Walaupun ketika itu mereka sedang berehat, Pali tidak pergi dan masih berada berdekatan menunggu serta memerhatikan mereka.
Sebagai membalas jasa khidmat ‘tip top’ dan percuma Pali, mereka menyediakan makanan untuk anjing ini di sepanjang perjalanan, termasuk sandwic, nasi lemak dan lain-lain demi memastikan yang dia tidak kelaparan.
Selepas itu, Khairul dan rakan-rakannya memutuskan untuk beriadah sebentar di tepi anak sungai, sementara Pali memerhatikan mereka dengan serius, tetap berada di tempat persinggahan itu tanpa terfikir untuk beredar walaupun selangkah.
Pengembaraan kecil ini disertai oleh Pali. Khairul dan rakan-rakan berasa sangat gembira di sepanjang perjalanan itu, jadi dia mendedikasikan rakaman video ini untuk mengucapkan terima kasih khas yang tidak terhingga kepada Pali di atas sumbangannya.
“Beri makan anjing selama tiga hari, dia akan ingat selama tiga tahun, jika anda merawat seseorang selama tiga tahun, dia akan melupakan anda dalam masa kurang tiga hari.”
“Anjing memang macam itu, kita beri makan, dia akan baik sangat dengan kita. Saya pernah memberi makan anjing di ofis, sehingga pada hari saya berhenti kerja, anjing itu siap jagakan parkir kereta saya.”
“Sebenarnya, anjing ini menemani anda untuk memastikan keselamatan anda.”
Beberapa rakan yang mengenali Pali juga datang bercerita mengenai kebaikan hati Pali:
“Anjing ini memang suka temankan orang! Dulu dia teman dari awal sampai ke akhir, menyelamatkan nyawa kami daripada digigit ular.”
Penduduk sebuah kampung di Perak digemparkan dengan penemuan sebutir bom mortar lama yang tidak meletup berukuran 60mm berhampiran sebuah jambatan.
Pada 10 Oktober, seorang pengguna TikTok @qasehazhar_ berkongsi di laman sosial itu dengan pendedahan kejadian yang memaparkan kehadiran kenderaan polis bersama kapsyen:
“Tidur dan penduduk kampung di arah keluar rumah bersama anak-anak kerana ada orang jumpa bom. Terkejut, takut semua ada, ingat main-main sahaja, rupanya… “
Dalam video tersebut, dapat didengar kiraan masa dilakukan sebelum terdengar bunyi letupan, yang menunjukkan bahawa bom itu akhirnya berjaya dimusnahkan dengan selamat.
Menurut Qaseh yang merakam video ini, kejadian itu berlaku di Kampung Sungai Tapah, Manjoi, Perak.
Bom itu telah dijumpai oleh jirannya yang sedang membersihkan sungai berdekatan jambatan di Jalan Rebana. Salah seorang jiran terserempak objek yang disyaki adalah bom.
Jiran itu yang pada awalnya berasa tidak pasti telah segera menghubungi bapa saudaranya untuk memeriksa semula, yang mana akhirnya telah merujuk bersama anggota tentera.
Ketua Polis Daerah Ipoh Yahya Hassan telah mengesahkan menerima maklumat berhubung penemuan bom itu pada jam 11.40 pagi.
“Polis menerima panggilan seorang lelaki yang menyatakan beliau telah menemui satu objek menyerupai bom disyaki peluru mortar di kawasan itu,” menurutnya kepada Harian Metro.
Sepasukan polis, bersama Unit Pemusnah Bom (UPB) dari Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak telah dihantar ke kampung berkenaan dan bom berjaya dimusnahkan pada kira-kira jam 2 petang keesokan hari, tanpa sebarang kecederaan mahupun kerosakan harta benda awam yang dilaporkan.
Setelah bom mortar berkenaan disahkan berjaya diletupkan, perkara berkenaan telah segera dimaklumkan kepada ketua kampung. Polis berkata keselamatan penduduk kampung sentiasa menjadi keutamaan.
Menurut Qaseh, pada mulanya penemuan bom itu diingatkan hanya main-main, tetapi rupanya memang terdapat bom mortar lama telah dijumpai di kawasan itu setelah dimaklumkan pihak berkuasa.
Polis mengesahkan bahawa bom lama berkenaan yang dimusnahkan adalah bom UXO jenis Mortar 60mm yang biasa digunakan ketika zaman Perang Dunia Kedua.
Bagi sesetengah orang aktiviti memancing adalah sesuatu yang membuang masa dan membosankan. Mana tidaknya, kita perlu menunggu umpan yang dipasang mengena dan kadangkala ia memakan masa yang agak lama.
Buat mereka yang tidak sabar pasti akan mudah untuk berputus asa tetapi buat mereka yang suka memancing ia adalah aktiviti yang boleh menghilangkan tekanan. Sama lah seperti seorang lelaki ini apabila dia menjadikan memancing sebagai hobi untuk menghilangkan tekanan di tempat kerja.
Apa yang menariknya, di tempat memancing dia terjumpa dengan kucing jalanan yang sering melihatnya memancing. Pada mulanya hanya ada seekor dua kucing di situ, jadi selepas dia berjaya menangkap ikan kecil dia akan memberikan ikan tersebut kepada kucing-kucing itu dan dia berasa sangat gembira dengan apa yang dilakukannya.
Lama-kelamaan semakin banyak kucing yang datang kepadanya. Kalau sebelumnya hanya ada seekor dua tetapi tidak lama selepas itu makin banyak kucing yang datang kepadanya setiap kali dia memancing.
Orang-orang pada mulanya memintanya untuk tidak mengendahkan kucing-kucing tersebut, namun dia tidak tidak boleh melakukannya kerana dia sudah terbiasa. Kucing-kucing di situ juga biasa dengannya. Ada di antara mereka yang terpaksa mencuri ikan yang ditangkap oleh pemancing di situ dan tidak mudah untuk mengawal kucing-kucing di situ.
Hal itu menyebabkan netizen ini mula berasa tertekan semula. Dia memancing untuk menghilangkan tekanan tetapi kucing-kucing yang menunggunya membuatkan dia tertekan semula. Kasihan betul!
Kimia yang dihasilkan oleh hormon yang dimaksudkan sebenarnya memainkan peranan penting dalam meningkatkan kasih sayang serta kepercayaan antara manusia dan anjing.
Jelas sekali bahawa renungan anjing berkenaan memberi gambaran bahawa dirinya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada wanita itu untuk merawat dirinya.
Sering kali kes melibatkan kanak-kanak yang ditinggalkan di dalam kenderaan berakhir dengan kematian.
Walaupun insiden itu tidak disengajakan namun faktor kecuaian seharusnya dititikberatkan oleh semua golongan dewasa.
Baru-baru ini, seorang kanak-kanak perempuan autisme yang berusia 8 tahun ditemui meninggal dunia selepas ditinggalkan beberapa jam di dalam sebuah van sekolah.
Kejadian dilaporkan berlaku di Taman Nusari Bayu 2, Bandar Sri Sendayan pada 12 Oktober lalu. Menurut pihak polis, laporan diterima pada jam 7:46 malam.
“Hasil siasatan mendapati mangsa sepatutnya dihantar ke Pusat Jagaan Harian di Taman Nusari Aman oleh pemandu van berusia 34 tahun”, kata Ketua Polis Daerah Seremban, ACP Mohd Said.
Walau bagaimanapun, lelaki tersebut bertindak terus pulang ke rumah tanpa menyedari mangsa masih berada di dalam van berkenaan.
“Pemandu van dipercayai tidak menyedari mangsa berada di dalam van sejak jam 2:30 petang sehinggalah 5:30 petang di hadapan rumahnya sebelum mangsa ditemui tidak sedarkan diri”.
Mangsa dibawa ke Hospital Tuanku Ja’afar (HTJ) dan disahkan telah meninggal dunia. Susulan itu, polis kemudian membuat tangkapan ke atas pemandu tersebut.
Kes akan disiasat mengikut Seksyen 31 (1) (a) Akta Kanak-Kanak 2001. Perintah tahanan reman ke atas suspek juga dimohon bagi mengenal pasti kejadian yang berlaku.