30.7 C
Kuala Lumpur
Saturday, September 6, 2025
Utama Blog Laman 262

Amerika Syarikat tetapkan bayaran hampir RM3,000 untuk pil antivirus COVID-19 Merck dalam pakej rawatan setiap pesakit

0

Merck & Co. akan menerima AS$712 (RM2,959) untuk setiap pakej rawatan pesakit yang menggunakan pil antivirus COVID-19 dari kerajaan Amerika Syarikat – walaupun kos pecahan dalam jumlah pengeluarannya dan dilaporkan berada di landasan berkemampuan pada harga sekitar AS$12 (RM50) di India.

Jurang antara kos pengeluaran dan harga molnupiravir adalah begitu ketara dan melambangkan permasalahan yang dikatakan oleh beberapa pihak memerlukan Kongres atau pentadbiran Amerika Syarikat untuk campur tangan untuk penetapan harga siling, atau menguatkuasakan dengan apa yang digelar ‘march-in rights’. Yang lain, bagaimanapun, memberi amaran bahawa langkah-langkah tersebut akan mengekang inovasi sehingga membawa kepada situasi semakin kurangnya pilihan ubat-ubatan lain yang dibawa masuk ke pasaran.

Merck memfailkan permohonan kelulusan kecemasan dari Pentadbiran Makanan dan Ubat-Ubatan Amerika Syarikat (FDA) untuk ubat oral itu pada minggu lalu, setelah berkata analisis interim dalam data ujian klinikal menunjukkan ia dapat mengurangkan kemasukan pesakit COVID-19 ke hospital. Panel penasihat FDA akan mempertimbangkan penggunaan ubat tersebut pada bulan November.

Pil antivirus COVID-19 keluaran Merck & Co. (Merck & Co. / AP)

Cara rawatan dengan koleksi pil yang diberikan selama lima hari, akan menjadi yang pertama seumpamanya sejak pandemik itu bermula.

Mula dibangunkan oleh Emory University dengan dana kerajaan Amerika Syarikat, ubat itu dilesenkan oleh Ridgeback Biotherapeutics pada tahun lalu. Usaha untuk mendapatkan kelulusan semasa pentadbiran Trump terhenti, menyebabkan Ridgeback beralih ke Merck.

Para penyelidik bulan ini menaikkan kos pengeluaran untuk pakej rawatan lengkap lima hari kepada AS$17.74 (RM74) (pdf) dan menganggarkan Merck dapat mengeluarkan jumlah pil yang mencukupi walaupun harga untuk rawatan lengkap adalah serendah AS$19.99 (RM83).

Melissa Barber dari Harvard T.H. Chan School of Public Health dan Dzintars Gotham dari King’s College Hospital menggunakan kos ramuan aktif farmaseutikal dan angka lain untuk membuat kiraan anggaran.

Kerajaan Amerika Syarikat komited pada tahun lalu untuk perolehan 1.2 bilion pakej rawatan lengkap melalui kaedah ini sekiranya ubat berkenaan mendapat kelulusan penyelaras. Menurut kontrak (pdf) yang diperoleh oleh Knowledge Ecology International, kos setiap rawatan adalah AS$712 (RM2,959).

“Harga ini bersamaan kira-kira 35 kali ganda harga generik yang dianggarkan,” kata Barber dan Gotham.

Ia juga 46 kali lebih tinggi berbanding pengeluaran di India yang merancang untuk mengenakan caj untuk pengeluaran versi generik, menurut Leena Menghaney, ketua Médecins Sans Frontières Access Campaign di Asia Selatan.

“Kes molnupiravir menggambarkan mengapa ‘TRIPS Waiver’ segera diperlukan, yang mana akan mengetepikan harta intelektual yang membabitkan alat dan perubatan COVID-19 semasa pandemik, dan akan mengalihkan halangan undang-undang supaya negara-negara di seluruh dunia dapat menghasilkan versi ubat-ubatan ini dengan lebih banyak dan nyawa dapat diselamatkan,” katanya dalam satu kenyataan yang merujuk kepada cadangan untuk mengetepikan hak paten harta intelektual berkaitan vaksin dan rawatan COVID-19.

Pegawai Merck tidak memberi respons ketika diminta untuk memberi komen. Setelah umum mula mengkritik berkenaan kos antivirus syarikat ini yang terlampau tinggi, salah seorang eksekutifnya, Dr. Nicholas Kartsonis, menjelaskan harga yang dikenakan kepada kerajaan Amerika Syarikat bukanlah angka terakhir.

“Kami menetapkan harga itu sebelum terdapat data, jadi itu hanya satu kontrak. Jelas kami akan bertanggungjawab dengan perkara ini dan menjadikan ubat ini boleh diakses oleh seberapa banyak mana individu di seluruh dunia yang kami mampu,” kata Kartsonis kepada Associated Press.

Merck dalam satu kenyataan pada 11 Oktober berkata, “Kami komited untuk menyediakan akses yang tepat pada masanya ke atas molnupiravir secara global, sekiranya ia dibenarkan atau diluluskan, dan merancang untuk menerapkan pendekatan harga berperingkat berdasarkan kriteria pendapatan setiap negara menurut Bank Dunia bagi mencerminkan kemampuan relatif setiap negara ketika membiayai tindak balas kesihatan mereka menangani pandemik.”

Logo Kumpulan Merck & Co. di Darmstadt, Jerman pada 28 Januari 2016. (Gambar oleh Ralph Orlowski / REUTERS)

Lebih murah berbanding rawatan lain

Walaupun ‘hydroxychloroquine’ dan ubat-ubatan lain yang diluluskan untuk pelbagai tahap kesakitan tetapi digunakan sebagai rawatan ‘off-label’ COVID-19 dan harganya lebih murah, ia tidak disarankan oleh pihak berkuasa persekutuan sebagai cara rawatan COVID-19 yang diiktiraf. Sebahagian lagi yang diluluskan sebagai rawatan COVID-19 adalah lebih mahal berbanding ubat yang akan dikeluarkan oleh Merck.

Remdesivir, satu-satunya rawatan yang diluluskan untuk pesakit di hospital, berharga kos AS$5 (RM21) (pdf) untuk dihasilkan dan dijual kepada kerajaan Amerika Syarikat pada harga AS$2,340 (RM9,725) – harga yang kini terlalu tinggi untuk kebanyakan pesakit. Rawatan antibodi monoklonal, yang digunakan untuk kes COVID-19 gejala ringan atau tanpa gejala, berharga kira-kira AS$2,100 (RM8,727) setiap ‘course’. Kos pengeluaran untuk monoklonal tidak dinyatakan.

Ubat Merck “lebih murah berbanding pelbagai rawatan lain untuk COVID-19 ketika ini” dan “pastinya jauh lebih murah di Amerika Syarikat untuk berakhir di hospital,” kata James Love, pengarah Knowledge Ecology International, kepada The Epoch Times.

“Sebaliknya, ia seperti bukan keputusan awal yang diharapkan, keputusan menetapkan harga yang tidak bertanggungjawab untuk Merck,” katanya.

Purata kos rawatan COVID-19 di hospital adalah kira-kira AS$34,662 (RM144,000) hingga AS$45,683 (RM189,900), menurut data yang didedahkan oleh FAIR Health (pdf).

Sekiranya penyelaras mendapati ubat itu selamat – terdapat kebimbangan yang boleh menyebabkan pengembangan barah – dan kelulusannya di Amerika Syarikat, menyebabkan pengiraan itu dapat berubah.

“Andaikan berlaku varian baru yang akhirnya menjangkiti peratusan besar populasi Amerika Syarikat dan ubat itu diperlukan untuk 1 juta, 10 juta, atau 50 juta orang. Sehingga pada satu ketika, harganya pula tidak munasabah,” kata Love menerusi e-mel.

Dr. Roger Klein, seorang pakar polisi kesihatan yang kini penasihat The Heartland Institute, tidak melihat jurang itu sebagai masalah besar, memandangkan cara rawatan yang dibangunkan adalah “usaha berisiko tinggi” yang memerlukan pembiayaan banyak wang, termasuk berjuta-juta dolar hanya untuk menjalankan ujian klinikal.

“Kami tidak tahu berapa lama lagi ubat ini akan memasuki pasaran Amerika Syarikat, yang merupakan pasaran ubat terpenting di dunia dalam pelbagai cara,” katanya kepada The Epoch Times, sambil menambah beliau percaya krisis kesihatan awam akibat pandemik hampir berakhir berikutan peningkatan jumlah orang yang mencapai imuniti melalui vaksinasi atau jangkitan sebelumnya.

Setiap rawatan berharga lebih tinggi daripada vaksin. Setiap suntikan berharga kurang AS$20 (RM83) untuk satu dos, menurut kontrak antara pembuat vaksin dan kerajaan Amerika Syarikat.

Ibu Pejabat Gilead Sciences di Foster City, California pada 29 April 2020. (Gambar oleh Justin Sullivan/Getty Images)

‘March-in Rights’

Salah satu pendekatan yang mungkin boleh menurunkan harga ubat berkenaan adalah dengan menggunakan pelbagai peruntukan dalam Akta Bayh-Dole 1980, kata beberapa pakar.

Akta ini membolehkan kerajaan persekutuan mempertahankan beberapa hak berkaitan penemuan dan reka cipta yang dihasilkan dengan pembiayaan kerajaan. Ini juga membolehkan agensi persekutuan menggunakan ‘march-in rights’, di mana kerajaan dalam keadaan tertentu boleh mengarahkan syarikat memberikan lesen pembekalan ubat-ubatan kepada pemohon. Kerajaan boleh memberikan lesen itu sendiri sekiranya pemilik paten itu sendiri yang menolak.

Sebilangan pakar dan peguambela berkata ‘march-in rights’ dapat digunakan untuk menurunkan harga ubat-ubatan kepada berpatutan atau menyediakan pengaruh kerajaan dalam rundingan harga.

Peguam negara di 31 negeri menggesa kerajaan persekutuan pada tahun lalu untuk menggunakan hak ini ke atas ‘remdesivir’ bertujuan meningkatkan bekalan dan menurunkan harganya.

“Di sini, kami jelas berpendapat Gilead belum menetapkan harga yang berpatutan, dan juga tidak memenuhi keperluan kesihatan dan keselamatan masyarakat yang dicetuskan oleh pandemik COVID-19,” tulis mereka (pdf).

Namun begitu, tiada agensi persekutuan yang pernah menggunakan peruntukan itu, menurut Kongres Penyelidikan Perkhidmatan dan pihak lawan berhujah undang-undang itu hanya boleh terpakai dalam tafsiran yang sempit.

National Institutes of Health (NIH) berulang kali menyatakan tindakan untuk tidak membenarkan penetapan harga, kata Dr Mark Rohrbaugh, penasihat khas pemindahan teknologi di NIH. Dalam perbincangan panel pada tahun lalu yang diadakan oleh Bayh-Dole 40 Coalition and Information Technology and Innovation Foundation, tiada agensi persekutuan lain yang tidak setuju dengan kedudukan ini, katanya.

Kedua-dua pentadbiran Trump dan Biden menolak permintaan tersebut dan usaha lain untuk menurunkan harga semasa pandemik.

“Kami tidak dapat mengawal harga itu kerana kami memerlukan sektor swasta untuk melabur,” kata Alex Azar, setiausaha kesihatan pada masa itu, semasa sidang kongres pada Februari 2020.

Walaupun ‘march-in rights’ tidak dapat digunakan, kerajaan masih boleh merundingkan harga, kata yang lain.

Pembiayaan dan penglibatan kerajaan ketika menetapkan kontrak dengan hospital untuk remdesivir sudah semestinya membawa kepada konsesi harga, kata Dr. Peter Bach, pengarah Center for Health Policy and Outcomes di Memorial Sloan Kettering Cancer Center, semasa perbincangan panel Institute for Clinical and Economic Review (ICER) pada tahun lalu.

Public Citizen, sebuah kumpulan peguambela, telah mendesak pentadbiran Biden untuk menggunakan kuasa eksekutif bagi mengenakan “syarat harga yang berpatutan” supaya “pembayar cukai tidak membayar dua kali ganda untuk ubat yang dibangunkan menggunakan dana awam – pertama membiayai penyelidikan dan pembangunan, dan sekali lagi melalui harga yang berlebihan.”

Gilead dan Eli Lilly, syarikat pengeluar monoklonal, tidak memberi respons untuk permintaan memberi komen. Jurucakap GlaxoSmithKline menolak untuk memberikan maklumat mengenai kos pengeluaran bagi antibodi itu. Jurucakap Regeneron memberitahu The Epoch Times dalam e-mel, monoklonal adalah sesuatu yang “kompleks untuk dibangunkan dan dihasilkan, memerlukan masa, kemudahan dan kepakaran yang khusus, oleh itu kos yang lebih tinggi diperlukan berbanding penghasilan vaksin.”

“Antibodi monoklonal digunakan sebagai tujuan rawatan utama, juga dengan kos yang efektif untuk diberikan hanya kepada pesakit berisiko tinggi yang kemungkinan besar akan dirawat di hospital, berbanding vaksin yang bertujuan untuk diberikan kepada semua sebagai perlindungan,” tambahnya.

Antibodi Monoklonal Regeneron (Gambar oleh Joe Cavaretta/South Florida Sun-Sentinel / AP)

Pencarian untuk rombakan harga

Harga boleh berbeza-beza berdasarkan beberapa faktor, kata Merck, termasuk nilai untuk pesakit dan sistem rawatan kesihatan, juga pelaburan yang telah dikeluarkan ketika menjalankan penyelidikan dan pembangunan.

Faktor lain termasuk pasaran yang bersedia untuk membayar dan jumlah alternatifnya, menurut Joey Mattingly, profesor madya dan naib pengerusi pengurusan akademik di University of Maryland School of Pharmacy’s Department of Pharmaceutical Health Services Research. Jumlah jualan juga memainkan peranan, seperti mendapatkan kontrak besar dari kerajaan.

Pengeluar ubat-ubatan telah lama didakwa mengenakan harga yang terlalu tinggi untuk kebanyakan produk, terutama untuk ubat dengan penyakit yang jarang berlaku. Beberapa pakar dan penggubal undang-undang telah berusaha untuk memperbaiki sistem penetapan harga ubat-ubatan, tetapi isu ini telah membelenggu Kongres Amerika Syarikat sejak tahun 1950-an.

Perjanjian ditutup pada tahun 1960-an atas cadangan Senator Estes Kefauver (D-Tenn.) ketika itu. Untuk melaksanakan had harga siling dan idea lain yang disokong beberapa anggota di kedua-dua pihak. Tetapi Kefauver akhirnya tidak berjaya memperolehi undi majoriti, dan Pindaan Kefauver – Harris yang akhirnya diluluskan hanya tertumpu kepada keselamatan dan keberkesanan ubat-ubatan.

“Ada banyak cadangan di luar sana, baik atau buruk, dan kita akan melihat sama ada ia mempunyai undi dan perkara yang tidak mempunyai undi akan runtuh dan kita akan terus membincangkannya dan kemudian bergantung kepada bagaimana pilihan raya dalam masa 10 tahun akan datang, mungkin akan terdapat [perubahan], tetapi saya tidak boleh menahan nafas, hanya kerana saya tahu kita telah menempuh perjalanan ini selama 60 tahun,” kata Joey Mattingly.

Tersekat pada pagar kawat berduri, mujur ada yang menyelamatkan biri-biri daripada terus kesakitan

0

Pepatah Melayu ada menyebut yang malang tidak berbau. Di mana-mana atau sesiapa sahaja boleh ditimpa kemalangan atau sesuatu yang tidak baik. Kadangkala tiada yang boleh menyangka bahawa akan ada bahaya yang datang menimpa.

Misalnya seperti yang terjadi kepada seekor biri-biri di dalam video ini. Tidak tahu bagaimana dia boleh tersekat di antara pagar kawat berduri. Melihat keadaannya seperti itu pasti ada yang dapat merasakan kesakitan yang dialami oleh kambing ini.

Namun, mujurlah ada seorang lelaki yang melihat kejadian tersebut. Dia segera memberhentikan keretanya dan bergegas menyelamatkan biri-biri tersebut. Dengan penuh hati-hati lelaki tersebut cuba melepaskan biri-biri yang sedang meronta-ronta itu daripada kawat berduri yang menyakitinya.

Selepas berjaya lepas daripada kawat berduri kambing tersebut seolah-olah kaku seketika. Bagi yang tidak tahu, keadaan seperti itu adalah normal terjadi kepada sesetengah spesies kambing. Biasanya mereka terkejut atau panik akan sesuatu tubuh mereka akan kaku seketika.

Selepas memastikan tiada kecederaan menimpa kambing tersebut lelaki itu terus mengangkat biri-biri berkenaan dan meletakkannya semula ke dalam kawasan padang rumput. Biri-biri tersebut terus berlari selepas dilepaskan.

Tonton video di sini.

Budak ini ‘minta izin’ staf lapangan terbang untuk peluk ibu saudaranya sebelum berpisah

0

Ibu saudara adalah insan terawal yang menjadi rakan baik seseorang khususnya sewaktu kecil, selain sepupu.

Kasih sayang yang tidak berbelah bahagi antara keduanya adalah satu perasaan yang akan kekal sampai bila-bila, meskipun terpaksa berjauhan.

Itulah yang berlaku pada seorang kanak-kanak ini, di mana videonya bersama ibu saudara yang berada di Lapangan Terbang Antarabangsa Hamad, Qatar tular di media sosial.

Menerusi video tersebut, kanak-kanak comel tersebut dilihat seperti ‘meminta izin’ kakitangan keselamatan untuk membenarkannya mengucapkan selamat tinggal pada ibu saudaranya.

Ibu saudaranya pada ketika itu sudah melintasi ruang yang hanya dikhaskan oleh pengguna yang ingin membuat perjalanan.

Setelah dibenarkan, budak terbabit segera ‘memanggil’ ibu saudaranya dan mereka berdua kemudiannya berpelukan.

Setakat ini, video terbabit sudah ditonton hampir 800,000 kali di laman Twitter dan semestinya mengukir senyuman di wajah kita semua.

Malahan akaun yang memuat naik video itu turut memberi penghargaan buat kakitangan keselamatan itu kerana memberi peluang bermakna bagi kedua-duanya.

Berikut adalah video penuhnya :

Girang melangkah bersama ‘askarnya’, aksi budak 2 tahun ini buat netizen tersenyum

0

Ayam adalah haiwan ternakan yang popular di kawasan luar bandar khususnya, memandangkan ia menjadi bekalan sumber protein segar buat seisi keluarga.

Sungguhpun begitu, ayam juga agak sesuai untuk dijadikan ‘teman’ buat kanak-kanak dek kerana sifat mereka yang ramah dan mesra terhadap manusia.

Anda lihat sahaja buktinya menerusi video di bawah ini :

Berdasarkan video terbabit, kelihatan seorang budak perempuan comel sedang berjalan bersama segerombolan besar ayam.

Sekali pandang, kanak-kanak berusia 2 tahun itu seperti pahlawan yang diiringi dengan askar-askarnya..

Sempat juga budak terbabit menyanyi girang dan bergelak ketawa apabila dirinya diikuti rapat oleh ayam-ayam kesayangannya itu.

Ternyata manja juga ayam sebenarnya bukan? Mereka juga amat sesuai untuk mendidik anak kecil mengenai tanggungjawab. Lihat sahajalah bagaimana si ibu ayam membesarkan anaknya.

Malah haiwan ini juga mengajar manusia mengenai alam – mengurangkan sisa makanan selain menyuburkan kebun tanaman.

Lihat lelaki OKU mahu melintas jalan yang sibuk, penghantar makanan ini terus hentikan motosikal untuk hulurkan bantuan

0

Ramai antara kita yang percaya bahawa masih ramai orang yang baik di luar sana. Walaupun saban hari kita mendengar banyak cerita yang kurang enak tetapi percayalah bahawa di sekeliling kita sebenarnya masih ramai yang memiliki hati yang baik dan mulia.

Contohnya seperti yang ditunjukkan oleh seorang penghantar makanan GrabFood ini. Dia dilihat memberhentikan motosikalnya berhampiran dengan lampu isyarat semata-mata untuk membantu seorang lelaki kehilangan penglihatan melintas jalan.

Tanpa menunggu lama pemuda tersebut memberhentikan motosikalnya dan terus membantu lelaki OKU berkenaan sehingga tiba di seberang jalan. Keadaan jalan raya ketika itu yang agak sibuk mungkin telah menyukarkan lelaki OKU tersebut melintas jalan tetapi mujur ada yang membantunya.

Apa yang dilakukan oleh pemuda GrabFood itu adalah sesuatu yang mulia dan perlu dijadikan contoh oleh semua orang. Hulurkan bantuan kepada sesiapa sahaja yang memerlukannya tanpa mengira latar belakang individu tersebut. Ayuh, sebarkan kebaikan!

Tonton video di sini.

Mengacah mahu mencederakan orang awam, polis sedang kenal pasti individu lakukan ‘prank’ di pusat beli-belah

0

KUALA LUMPUR: Pihak polis mengesahkan bahawa mereka sedang mengesan individu di dalam sebuah video tular berdurasi 29 saat yang memaparkan seorang lelaki mahu mencederakan orang awam di sebuah pusat beli-belah.

Klip video berkenaan menunjukkan seorang lelaki sedang mengacah untuk memukul beberapa orang awam yang sedang menaiki eskalator.

Ketua Polis Daerah Brickfield, Asisten Komisioner Anuar Omar berkata, pihaknya mengesan video berkenaan menerusi sebuah akaun halaman di Facebook sekitar jam 6.30 petang pada Jumaat lalu.

“Tarikh dan masa kejadian sebenar video ini dirakamkan tidak dapat dipastikan buat masa ini,” katanya dalam kenyataan pada Sabtu.

Sehubungan itu, beliau memohon saksi atau individu terlibat untuk tampil membantu siasatan dan orang ramai dinasihatkan supaya tidak membuat sebarang spekulasi mengenai kejadian tersebut.

“Sebarang pelanggaran yang menyalahi peruntukan undang-undang boleh dikenakan tindakan. Sebarang maklumat boleh disalurkan menerus hotline Polis Brickfields di talian 03-2297 9222,” tambahnya lagi.

Bersalah miliki dan edar dadah jenis syabu, ibu tunggal 9 anak dihukum gantung

0

TAWAU: Seorang ibu tunggal kepada sembilan orang anak dijatuhi hukuman mati mandatori di Mahkamah Tinggi Tawau pada Jumaat lalu selepas didapati bersalah memiliki dan mengedar dadah jenis syabu tiga tahun lalu.

Hakim Mahkamah Tinggi, Alwi Abdul Wahab, menjatuhkan hukuman itu terhadap Hairun Jalmani, 55, selepas mendapati pendakwaan berjaya mewujudkan kes prima facie manakala pembelaan gagal menimbulkan keraguan munasabah.

Tertuduh yang juga penjual ikan didakwa memiliki syabu seberat 113.9 gram di sebuah rumah tidak bernombor di Kampung Pangkalan Wakuba, Batu 15, Jalan Apas, Tawau pada jam 5.30 petang, 10 Januari 2018.

Sehubungan itu dia didakwa mengikut Seksyen 39B(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang memperuntukkan hukuman mati mandatori jika disabitkan kesalahan.

Dia yang dijatuhi hukuman mati mandatori itu dilihat berada dalam keadaan longlai serta sebak dan meraung selepas keputusan tersebut diumumkan oleh Hakim Mahkamah Tinggi.

Jutawan Amerika Syarikat dijatuhi hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh kawan baik sendiri

0

LOS ANGELES- Pewaris harta tanah Amerika Syarikat, Robert Durst, telah dijatuhkan hukuman penjara seumur hidup kerana membunuh sahabat baiknya.

Durst didapati bersalah membunuh Susan Berman pada tahun 2000 untuk menghentikannya daripada terus bercakap dengan polis mengenai kehilangan isterinya.

Berman yang ketika itu berusia 55 tahun, ditemui ditembak di kepala di rumahnya di Beverly Hills. Selain itu, polis juga percaya bahawa Durst turut membunuh dua yang lain.

Pendakwa memanggil Durst, 78 – yang muncul di mahkamah Los Angeles sebagai “psikopat narsis”. Durst walau bagaimanapun menafikan yang dia telah membunuh rakannya.

Hukumannya untuk pembunuhan peringkat pertama (first-degree murder) tidak membolehkan dia mendapat pembebasan bersyarat. Hal ini bermaksud dia berkemungkinan besar akan meninggal dunia di penjara.

Peguam Durst memberitahu hakim pada hari Khamis lalu bahawa dia berhasrat untuk mengemukakan rayuan atas sabitannya. Durst sendiri bercakap dengan hakim hanya sekali untuk mengatakan “ya” ketika ditanya apakah dia mengetepikan haknya untuk hadir pada perbicaraan yang akan datang.

Susan Berman adalah seorang penulis jenayah dan merupakan anak kepada seorang gengster di Las Vegas, dan telah berperanan sebagai jurucakap Durst ketika dia menjadi suspek atas kehilangan isterinya.

Sareb Kaufman, yang menganggap Berman sebagai ibunya ketika dia bercinta dengan ayahnya, berkata selama 21 tahun dia tidak pernah berasa sedih, hancur atau keperitan seperti yang berlaku sekarang.

Isteri Durst, Kathleen McCormack, seorang pelajar perubatan telah dilaporkan hilang pada tahun 1982 dan dianggap telah meninggal dunia.

“Satu-satunya cara untuk bertaubat yang anda miliki adalah dengan membantu mencari Kathy,” tambah Kaufman yang meminta Durst untuk mendedahkan lokasi di mana letaknya mayat McCormack.

Menurut media AS, pendakwa raya New York kini sedang mempertimbangkan untuk menambah tuduhan baru ke atas Durst atas kes isterinya.

Pendakwa telah berpendapat bahawa Durst sebenarnya membunuh tiga orang – yang ketiga adalah jirannya, Morris Black, yang menemui identiti Durst pada tahun 2001 ketika dia bersembunyi di Texas dengan berpura-pura menjadi wanita bisu.

Durst dibebaskan dari pembunuhan Black selepas berjaya meyakinkan mahkamah bahawa dia membunuh jirannya itu dengan alasan membela diri sebelum memotong mayat mangsa.

Durst adalah anggota terasing dari salah satu dinasti harta tanah terkaya dan paling berkuasa di New York. Saudaranya Douglas Durst, yang memberi keterangan pada perbicaraan itu, memberitahu mahkamah: “Dia ingin membunuh saya.”

Kisah Durst telah didokumentarikan dalam siri ‘The Jinx: The Life and Deaths of Robert Durst’ dan pada akhir siri itu Durst terdengar bergumam pada dirinya sendiri dengan mengatakan, “apa yang saya lakukan? Sudah tentu saya telah membunuh mereka semua.”

Beberapa jam sebelum episod terakhir disiarkan pada Mac 2015, pihak berkuasa menahan Durst di New Orleans atas pembunuhan Berman.

Selamba menari di tengah-tengah orang ramai ketika festival, gelagat comel kanak-kanak ini buat penonton terhibur

0

Mungkin ramai yang pernah mendengar tentang tarian Awa Odori yang merupakan tarian tradisional Jepun. Tarian ini biasanya dipersembahkan sebagai sebahagian daripada perarakan dalam Festival Tarian Awa (Awa Dance Festival) yang merupakan festival tarian terbesar di negara itu.

Salam persembahan ini semua penari akan memakai pakaian khas dan menari di jalanan dengan disertai oleh sekumpulan pemuzik yang memainkan alat muzik tradisional.

Apa yang menariknya kali ini, tarian tersebut diceriakan dengan kehadiran seorang ‘penari’ cilik. Gelagat comel si kecil berbaju hijau itu telah menarik perhatian orang ramai di situ dengan tariannya. Dia dengan selamba telah menari di tengah-tengah orang ramai dengan gayanya tersendiri sambil diiring dengan muzik.

Kalau kanak-kanak lain mungkin malu atau takut berada di dalam kelompok yang ramai tetapi si kecil ini nampaknya tidak peduli dengan orang ramai di situ. Apa yang dia mahukan ialah menari dan terus menari. Dengan muzik rancak yang dimainkan membuatkan dia semakin bersemangat untuk menunjukkan bakatnya!

Pada akhir persembahannya dia menerima tepukan gemuruh daripada penonton di situ. Jelas sekali semua yang ada di situ terhibur dengan gaya selamba dan comel yang ditunjukkannya!

Tonton video di sini.

Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 hingga 10,000 tahun ditemui di Perlis

0

PADANG BESAR: Fosil tulang dan tengkorak manusia berusia sekitar 5,000 tahun hingga 10,000 tahun ditemui di Bukit Keteri, di Perlis.

Selain tengkorak manusia, hasil eksplorasi Jabatan Warisan, Kerajaan Negeri Perlis dan Persatuan Pendaki Negeri Perlis turut menemui lukisan dinding gua zaman proto sejarah di Gua Semadong.

Penemuan itu membuktikan Perlis pernah menjadi kawasan penempatan masyarakat prasejarah dan proto sejarah yang berusia ribuan tahun dahulu.

Pesuruhjaya Jabatan Warisan Negara (JWN), Mohd Azmi Mohd Yusof, berkata penemuan itu adalah penemuan sejarah yang terbaharu, selain penemuan bahan sejarah lain seperti candi Lembah Bujang di Kedah serta di Kelantan.

“Ini adalah penemuan terbaharu dari negeri Perlis dan satu penemuan yang amat baik bagi kita untuk merangka kronologi sejarah.

“Daripada lukisan ini, kita dapat lihat lukisan berbentuk binatang seperti lembu, gajah, ular, mawas serta manusia. Kita percaya ia mempunyai pengaruh Hindu-Buddha yang dianggarkan sekitar abad kelima hingga ke-10 Masihi.”

Katanya kagi, berdasarkan kajian lalu yang dibuat di sekitar gua di Perlis, kawasan gua di Bukit Chuping, Bukit Tunku Lembu. Bukit Ngulang, Bukit Kerengga dan Bukit Changkul pernah digunakan sebagai tapak penempatan dan pengkebumian masyarakat paleolitik dan neolitik. Semua itu dibuktikan dengan penemuan artifak pelbagai jenis alat batu dan tembikar tanah.

“Kita percaya kawasan ini bukan sahaja didiami oleh masyarakat prasejarah, malah pernah dihuni oleh masyarakat zaman proto sejarah berdasarkan artifak seperti kalam semah (votive tablet) yang turut ditemui di kawasan itu,” katanya kepada pemberita selepas melakukan eksplorasi arkeologi di Bukit Keteri dan Gua Semadong.

Mohd Azmi berkata, penemuan itu amat penting dalam merangka kronologi sejarah.

“Kita berharap semua masyarakat, sama-sama menjaga warisan ini supaya kita dapat membuat kajian lanjut.

“Apa yang penting sekarang, adalah untuk mewartakan tapak penemuan ini sebagai lokasi sejarah supaya ia tidak diceroboh atau dimusnahkan oleh orang tidak bertanggungjawab,” tambahnya lagi.