Spesies kerang-kerangan di kawasan Perairan Sungai Geting, Tumpat dilaporkan telah dicemari oleh toksin saraf (saxitoxin) daripada alga berbahaya iaitu ‘alexandrium minutum’.
Perkara itu dinyatakan oleh Jabatan Perikanan Negeri Kelantan menerusi notis yang turut menasihati orang ramai agar tidak melakukan aktiviti memungut, menjual dan memakan kerangan berkenaan.
Pejabat Perikanan Negeri Kelantan/Facebook
Menurut pengarahnya, Nazri Ishak, larangan tersebut berkuat kuasa serta merta berikutan hasil keputusan analisis makmal Biosekuriti Perikanan menemui bahan toksin bereknaan.
“Bahan toksin itu ditemui pada spesis kerang-kerangan seperti tiram, lokan, kepah dan lala yang dikutip sekitar kawasan Perairan Sungai Getting”.
Tambahnya lagi, akibat daripada memakan kerang-kerangan yang tercemar tersebut berupaya mengakibatkan keracunan dan memudaratkan kesihatan.
Mereka yang menunjukkan gejala seperti kebas deria rasa, sakit kepala, demam, ruam, pening, loya dan cirit birit selepas memakan kerangan berkenaan untuk segera mendapatkan rawatan.
Ujar beliau, kejadian sebegini sudah banyak kali berlaku di kawasan berkenaan dan puncanya terdiri daripada pelbagai faktor termasuklah cuaca panas.
Walau bagaimanapun, pihaknya akan melakukan ujian persampelan pada setiap minggu dan akan mengeluarkan notis pemberitahuan jika spesies tersebut sudah selamat untuk dimakan.
“Sebagai langkah kawalan, kita mengarahkan supaya pencari atau pengutip kerang-kerangan ini jangan kutip lagi sehingga dipastikan ia selamat untuk dimakan”.
“Nasihat saya kepada pembeli agar bertanya terlebih dahulu kepada penjual mengenai dari mana kerang-kerangan itu diambil bagi mengelakkan termakan spesies tercemar”, akhirinya.