Setelah Malaysia memasuki fasa endemik, lebih banyak aktiviti sosial dan sektor ekonomi akan dibuka semula serta digerakkan. Maka, pihak berkuasa tidak akan dapat mengawal pergerakan semua orang.
Dengan itu, adalah sangat disarankan kepada setiap individu untuk melakukan ujian pengesanan kendiri COVID-19 secara berkala demi melindungi mereka yang berada di persekitaran anda.
Oleh kerana kerajaan tidak dapat mengesan siapa yang telah diuji positif mahupun negatif, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) menggesa setiap individu yang berkenaan untuk melaporkan hasil ujian pengesanan COVID-19 mereka melalui aplikasi MySejahtera.
KKM dalam hantaran di Facebook, menasihati individu yang positif COVID-19 untuk mengasingkan diri di rumah dan menjalani kuarantin. Sekiranya rumah anda tidak sesuai untuk pengasingan, hubungi Pusat Penilaian COVID-19 (CAC) terdekat untuk penilaian lebih lanjut.
Seterusnya, laporkan hasil ujian positif anda melalui aplikasi MySejahtera dengan memilih ikon ‘COVID-19 Self Test’ di sudut kanan atas dalam laman utama, dan memilih ‘Update Self Test Result’.
Anda kemudian akan dibawa ke halaman lain di mana anda boleh mengisi maklumat peribadi dan menjawab soalan lebih lanjut mengenai ujian tersebut.
Setelah selesai, Perintah Pengawasan dan Pemerhatian di Rumah (HSO) akan dikeluarkan secara digital di MySejahtera atau secara manual oleh Pejabat Kesihatan Daerah (PKD).
Selama 14 hari berikutnya, laporkan keadaan kesihatan anda menggunakan ‘Home Assessment Tool’ (HAT), dan sekiranya gejala bertambah buruk, hubungi CAC atau 999 (untuk keadaan kecemasan), atau segera ke hospital terdekat dengan kenderaan sendiri.