Sudah menjadi kebiasaan untuk kita menggunakan bahan pencuci kimia bagi tujuan pembersihan terutama pada kotoran degil seperti di bilik air. Namun begitu, bahan pencuci atau bahan peluntur biasanya mempunyai kandungan kimia yang agak berbahaya terutama kepada kulit.
Baru-baru ini seorang netizen di Twitter, @areuizany berkongsi pengalamannya dikejarkan ke hospital atas kesalahannya mencampurkan dua jenis bahan pencuci kimia. Apa yang yang berlaku ialah wanita tersebut telah mencampurkan bahan peluntur Clorox dan sejenis bahan pencuci untuk mencuci tandas rumah yang baru didudukinya.
Biasanya dia hanya akan menggunakan pencuci biasa, namun pada hari kejadian dia mencampurkan dua jenis bahan pencuci dan menghidu campuran tersebut kerana menyangka ia adalah sabun. Dia kemudian mula terbatuk-batuk kerana baunya yang sangat kuat. Sekejap sahaja bau tersebut mula merebak satu rumah tetapi mujur suaminya pantas mengambil anak kecil mereka dan membawanya masuk ke dalam bilik.
Dia menceritakan bahawa dia cuba mendapatkan udara segar dengan berjalan di luar rumah, sementara suaminya berusaha menghilangkan bau yang masih ada di rumah.
Namun, setelah beberapa minit, dia masih tidak dapat bernafas, dan dadanya mulai sakit. Mereka kemudian terus bergegas ke hospital dan mujurlah tiada sesuatu yang serius menimpanya.
Sebaik sahaja sampai di rumah, dia melihat label amaran pada semua botol produk pembersih. Rupa-rupanya bahan pencuci ‘strain remover’ yang disangka sabun itu mengandungi asid dan tidak boleh dicampurkan dengan bahan peluntur atau bahan kimia yang lain.
Semoga apa yang berlaku kepada wanita ini akan menjadi pengajaran buat semua. Pastikan anda baca dahulu label amaran pada botol bahan pencuci kerana biasanya bahan pencuci mengandungi bahan kimia yang kuat.