KUALA LUMPUR: Polis mendapati pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan dua pelancong warga China di Kilometer (Km) 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, pada pagi 29 Jun didapati tidak memiliki lesen memandu.
Malah pemandu bas berusia 32 tahun terbabit juga mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.
“Pada masa ini, pemandu terbabit mengalami kecederaan akibat kemalangan,” katanya kepada media.
Zaiham berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.35 pagi itu bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Km 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ke Kuala Lumpur.
“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China yang dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“13 mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.
Sehubungan kejadian ini polis meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
Dua warga China maut, 19 selamat bas persiaran terbalik di Genting Highlands
KUALA LUMPUR: Dua lelaki warga China maut manakala 19 penumpang lagi terselamat selepas bas persiaran dinaiki mereka terbalik ketika dalam perjalanan turun dari Genting Highlands kira-kira 11 pagi tadi.… pic.twitter.com/sSCsSlacRT
Dalam perkembangan terbaru, pemandu bas persiaran membabitkan kemalangan maut berkenaan telah direman selama 4 hari bermula 30 Jun.
Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 10.30 malam.
Suspek akan direman hingga Rabu, maklumnya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.
Sebuah bas persiaran dilaporkan terbalik di Jalan Genting Sempah-Genting Highland kira-kira pukul 11 pagi ini.
Pemain badminton muda China itu dilihat tiba-tiba rebah di tengah gelanggang ketika berdepan Kazuma Kawano yang terikat mata 11-11.
Pasukan perubatan bergegas memberikan bantuan kecemasan sebelum Zhi Jie dikejarkan ke hospital berdekatan dengan ambulans.
Walau bagaimanapun, Zhang Zhi Jie tidak dapat diselamatkan dan meninggal dunia pada pukul 11.20 malam (waktu tempatan).
Badminton Asia dalam satu kenyataan di X menyatakan rasa duka cita serta ucapan takziah kepada keluarga dan rakan-rakan pemain berusia 17 tahun tersebut.
Operasi itu dijalankan oleh Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (PERHILITAN), Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA) Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Menerusi operasi itu juga, enam orang suspek warga tempatan yang dipercayai terlibat dalam aktiviti penjualan hidupan liar berjaya ditahan.
Dikatakan jualan Harimau Malaya atau Harimau Belang (panthera tigris jacksonii) di pasaran gelap boleh mencecah sehingga RM300,000.
Selain daging, anggota badan termasuk kulit, tulang, kuku, misai dikhabarkan kononnya boleh dijadikan ubat.
Menurut Ketua Pengarah PERHILITAN, Datuk Abdul Kadir Abu Hashim, dua serbuan dijalankan antara pukul 6 petang hingga 8 malam di kawasan tempat letak kenderaan sebuah premis dan sebuah rumah.
“Antara individu ditahan melibatkan dua lelaki tempatan dipercayai bertanggungjawab mencari pembeli bagi urusan penjualan hidupan liar berkenaan.”
“Selain itu, turut ditahan tiga lelaki Orang Asli dipercayai terbabit dalam membantu aktiviti penjualan hidupan liar serta seorang lelaki tempatan dipercayai menyembunyikan rangka tulang harimau terbabit,” Katanya dalam satu kenyataan pada Sabtu.
Keseluruhan rampasan hasil daripada Operasi Bersepadu Khazanah (OBK) itu dianggarkan berjumlah lebih RM228,000.
“Antara yang dirampas adalah beg berisi rangka kepala harimau belang selain sebuah lagi beg mengandungi tulang-tulang.”
“Selain itu, turut dirampas sebuah kereta jenis Proton Saga dipercayai digunakan membawa bahagian hidupan liar dilindungi yang mahu dijual kepada sindiket serta beberapa telefon pintar,” Katanya.
Sindiket jual daging, tulang harimau ini ditahan di bawah Seksyen 68(2)(c) Akta Pemuliharaan Hidupan Liar 2010/ Akta Pemuliharaan Hidupan Liar (Pindaan) 2022.
“Kita akan meneruskan penguatkuasaan membanteras sebarang bentuk jenayah hidupan liar dan mempertahankan spesies hidupan liar di Malaysia.”
“Mana-mana individu atau pihak yang menjalankan aktiviti pemburuan haram spesies ini atau jenayah hidupan liar lain agar menghentikan serta-merta aktiviti terbabit,” Katanya.
Orang ramai boleh melaporkan sebarang jenayah berkaitan hidupan liar ke talian Hotline Jabatan Perhilitan di 1800-88-5151 atau e-aduan melalui laman web www.wildlife.gov.my.
Terdahulu, PERHILITAN pernah merekodkan kes penjualan anak harimau hidup dengan harga sekita RM3,000 hingga RM5,000.
KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam sejak awal petang mencetuskan banjir besar di daerah Penampang dan beberapa kawasan rendah di Kota Kinabalu pada Ahad, 30 Jun.
Terdapat beberapa laporan mengenai kenderaan tidak dapat melalui beberapa jalan kerana paras air banjir terus meningkat berikutan hujan lebat dan air mula naik bermula kira-kira jam 1.30 petang.
Bekalan elektrik terputus di kawasan yang terjejas ekoran paras air banjir yang mula naik dengan mendadak.
Keadaan banjir bertambah buruk berikutan air pasang pada kira-kira jam 4 petang.
Media sosial dibanjiri dengan paparan video rumah dinaiki air, penduduk terjejas berjalan menyusuri air banjir separas pinggang dan leher juga banyak kenderaan hampir ditenggelami air sepenuhnya.
Banjir paling dasyat 30/06/2024 , Ini lah keadaan banjir di Vista Kiranau Penampang. Semoga di permudahkan urusan pic.twitter.com/ttHDZFXrzp
Dalam salah satu video, sebuah kereta dilihat diheret air banjir, dipercayai berada di sebuah kompleks pangsapuri di Penampang.
Penduduk Penampang Lester Dominic Mojiliu berkata dia tidak dapat pulang ke rumahnya di Kampung Tanaki kerana laluan itu tidak dapat dilalui walaupun untuk kenderaan pacuan empat roda.
“Saya diberitahu oleh ahli keluarga dan rakan-rakan banyak kawasan di Penampang dinaiki air,” katanya kepada The Star.
“Saya juga mendengar daripada seorang rakan bahawa isterinya menghubungi cemas apabila kereta yang dinaikinya tiba-tiba terhenti ketika dia memutuskan untuk terus memandu merentas air banjir.
“Isterinya bersama anak-anak mereka tetapi mujurlah suami berjaya ke lokasi dengan segera dan mengeluarkan mereka daripada keadaan itu…arusnya agak deras ketika itu,” tambahnya.
‘THE UNSUNG HERO’ – KETUA POLIS DAERAH PENAMPANG SELAMATKAN WARGA EMAS TERPERANGKAP BANJIR Penampang, 01 Julai 2024 : Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Bin Newton menyelamatkan warga emas yang terperangkap dalam kenderaan di kawasan banjir berhampiran Jalan Kasigui, pic.twitter.com/dl2EtaH79o
Doktor haiwan Dr Randolf Paza berkata kawasannya di Limbanak, Penampang turut dinaiki air sepenuhnya, manakala bekalan elektrik turut terputus.
Beliau menambah mereka telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang bersama keluarganya, menyelamatkan semua yang termampu.
“Saya berharap keadaan menjadi lebih baik dan tidak bertambah buruk tidak lama lagi,” katanya, sambil menambah ini adalah salah satu insiden banjir terburuk yang pernah dialaminya.
Pengendali Shelter of Hope, Adrienne Godfrey Johniu, yang telah mula membawa kucing dan anjing perlindungannya ke bahagian lebih tinggi di rumah perlindungan haiwan itu apabila banjir mula melanda, dan mendoakan agar cuaca lebih tenang.
Willie Jude yang tinggal di Inanam berkata, kawasannya turut mengalami gangguan bekalan air bermula jam 4 petang.
“Jalan utama kami Jalan Kionsom tidak boleh dilalui semua kenderaan pada pukul 5 petang,” katanya.
Pusat pemindahan sementara (PPS) Penampang dibuka pada jam 5.25 petang.
Ibu pejabat polis IPD Penampang, Sabah antara yang terjejas akibat banjir semalam. pic.twitter.com/uliklKI2xf
— GengKeselamatanNegara (@GengKNegara) July 1, 2024
Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga mangsa banjir daripada sebuah keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kebudayaan Penampang pada jam 8 malam.
“Hujan lebat di beberapa daerah menyebabkan kenaikan paras air. Susulan itu, kediaman di beberapa kawasan yang kerap berlaku banjir, telah dinaiki air.
“Agensi penyelamat membuat pemantauan di beberapa kawasan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memaklumkan, beberapa kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu mengalami gangguan bekalan elektrik akibat bencana berkenaan.
“Kejadian banjir menyebabkan beberapa ‘feeder’ terpaksa ditutup dan SESB dalam tindakan pembaikan dan seterusnya pemulihan bekalan secara berperingkat. Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati kawasan pepasangan SESB,” kata kenyataan itu.
Menurut SESB lagi, antara kawasan yang terjejas ialah Moyog Water Treatment Plant, Lok Kawi Wildlife Park, Pangkalan Tentera Darat Kem Lok Kawi, dan Pejabat Perhutanan Daerah Kota Kinabalu.
“Dua tiang talian voltan tinggi di Jalan Bingaliu Lokub, Kiulu, turut terjejas akibat tanah runtuh.
“SESB memohon maaf atas segala kesulitan dan menjangkakan ada sedikit kelewatan pembaikan bekalan kerana terlalu banyak laluan ditenggelami air,” menurut kenyataan itu.
Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, dalam satu kenyataan berasingan pula berkata orang ramai yang terjejas akibat banjir yang diisytihar bencana pada jam 7.25 malam 30 Jun, dinasihatkan untuk berpindah ke PPS atau mana-mana tempat yang lebih selamat.
Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang itu berkata, penduduk yang memerlukan pertolongan boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Bencana Daerah Penampang melalui talian 088-715446, Bilik Gerakan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Penampang (088-701120) atau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang (088-724569).
Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan pula memaklumkan, pihaknya menerima 86 panggilan berkait banjir di Penampang, Tuaran, Inanam dan Menggatal.
Semua mangsa banjir itu ditempatkan di pusat pemindahan sementara (PPS) Dewan Kebudayaan Penampang yang dibuka sejak semalam – Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sabah pic.twitter.com/bHz6nZjdS5
— GengKeselamatanNegara (@GengKNegara) July 1, 2024
“Seramai 55 anggota daripada BBP Kota Kinabalu, Penampang, Lintas dan Tuaran telah bergegas membantu mereka yang terjejas,” menurut kenyataan itu.
Menurut JBPM Sabah, operasi menyelamat giat dijalankan, terutama di kawasan Penampang dan Tuaran, manakala berdasarkan maklumat banyak kawasan terputus jaringan jalan raya tetapi banjir kemudian mulai surut di beberapa kawasan.
Dalam perkembangan terkini, seorang wanita berusia 37 tahun menjadi korban pertama bencana banjir yang melanda Penampang.
Wanita dikhuatiri lemas akibat dihanyutkan arus deras ketika mengharungi air selepas menghantar makanan kepada mangsa terperangkap banjir, dekat pekan Donggongon, di Penampang, awal pagi tadi.
Difahamkan, mangsa ditemui akibat lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika sedang melintas bersama suaminya di kawasan banjir persimpangan Jalan Penampang Bypass di Penampang.
Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 10 malam Ahad.
Pengarah urusan MY Creative Moments, Wong Kang Woon dalam satu kenyataan berkata majlis pelancaran itu adalah sebahagian daripada atur cara kemuncak sempena Sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.
“Kami menganjurkan Sambutan Hari Olimpik Sedunia selama tiga hari bermula Jumaat, Sabtu dan seterusnya kemuncaknya pada hari Ahad dan diwarnai dengan majlis pelancaran pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.”
“Objektif kami ialah mengkomersialkan Hari Olimpik Sedunia sebagai satu platform mempromosi fungsi dan tanggungjawab MOM sebagai badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan yang mendaftar dan mengurus Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa.”
“Kami juga mencetuskan kempen Sokong Kontinjen Malaysia dengan menawarkan tiket ke Paris bagi mana-mana individu terpilih yang membeli baju khas Sokong Kontinjen Malaysia di ‘OlympicMas’ TikTok Shop.”
“Secara keseluruhan sambutan Hari Olimpik Sedunia yang menawarkan beberapa mini permainan seperti ping-pong, hanging man, bola baling dan Giant Jingga berserta reruai makanan menerima kunjungan lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari.”
“Kami juga berkerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk menganjurkan pertandingan bola keranjang 3 v 3, selain MORSA untuk Obstacle Tryout.”
“Kempen Sokong Kontinjen Malaysia juga berjaya kerana kami menjual lebih 4,000 helai baju Sokong Kontinjen Malaysia dan pemenangnya sudah diumumkan,” Kata Wong.
Menurut Wong lagi, sambutan Hari Olimpik Sedunia itu kali pertama diadakan di depan khalayak ramai di pusat membeli-belah sebagai antara usaha membantu MOM mempromosi penyertaan Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.
“Kami mencetuskan idea ini dan mendapat mandat MOM tanpa menggunakan dana badan itu sebaliknya kami sebagai pihak ketiga dibenarkan mencari penaja sendiri.”
“Spekulasi bahawa kami dibayar untuk menganjurkan sambutan itu tidak benar kerana kami yang mengeluarkan pelaburan dengan jumlah yang agak besar,” Kata Wong.
Terdahulu, dalam satu kenyataan di media sosial penganjur mohon maaf kepada MOM, Kementerian Belia dan Sukan serta peminat sukan negara atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran itu.
Sementara itu, presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan peminat sukan negara.
“Selepas mengambil kira daripada setiap segi, MOM akur reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.”
“Oleh yang demikian, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang,” Katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Norza, MOM akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat.
Katanya lagi, niat asal pasukan reka bentuk memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama buat Malaysia.
Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpuk tersebut menepati garis panduan IOC.
“MOM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan membina.” Katanya.
Rumah Biru yang popular dan sentiasa mendapat perhatian ramai kerana seni bina tradisional Melayu di Kampung Baru selain menjadi lokasi penggambaran beberapa buah filem, drama dan rancangan televisyen dilaporkan bakal berpindah dan dikosongkan untuk tempoh tiga hingga empat tahun.
Rumah kampung tradisional itu menjadi tarikan menarik pelancong dalam dan luar negara ekoran lokasinya yang cantik berlatarbelakangkan Menara Berkembar Petronas (KLCC) dan bangunan pencakar langit lain di Kuala Lumpur.
Rumah Biru pernah menjadi lokasi penggambaran filem popular, antaranya Remp-It, Adnan Sempit, Impak Maksima dan lain-lain.
Salah seorang pemilik dan waris, Shafiq Abdullah memaklumkan, pemindahan itu bagi memberi laluan untuk pelaksanaan projek pembongkaran semula palong yang ditanam di bawah tanah rumah tradisional berkenaan.
Menerusi perkongsian di laman Facebooknya itu, Shafiq berkata, Jabatan Pengairan dan Saliran Kuala Lumpur akan mengambil masa kira-kira empat tahun bagi menyiapkan projek tersebut.
“Kampungku Kampung Baru, Kuala Lumpur di Jalan Salleh. Kini telah berakhir menetap di sini dari tahun 1984 hingga 31 Mei 2024.
“Maka dengan ini, secara rasmi kami semua telah keluar dari Rumah Biru untuk tempoh tiga atau empat tahun, dengan harapan selepas ini, kami pulang semula ke tanah kami ini,” katanya dalam hantaran di laman sosial itu.
Dalam masa sama, Shafiq turut mengucapkan terima kasih kepada semua peminat Rumah Biru yang sering menjadi perhatian sebagai lokasi untuk bergambar kenangan.
Jutaan terima kasih kepada semua pengunjung yang hadir secara rasmi mahu pun tidak rasmi ke rumah kami untuk bergambar.
“Mohon maaf salah silap kami sepanjang tempoh tersebut. Rumah Biru ‘Sign OFF’,” tulisnya.
“Hai korang, projek belum bermula lagi ya dan untuk makluman semua, rumah kami ini InsyaAllah tidak dirobohkan. Kami diminta keluar bagi memudahkan projek yang akan berlangsung.
“Sekiranya apa-apa berlaku pada masa hadapan, InsyaAllah pemaju akan baik pulih seperti sedia kala. Sama-sama kita berdoa selepas tamat projek ini, kami boleh pulang ke kampung halaman kami ini,” jelasnya dalam hantaran Facebook pada Khamis, 27 Jun.
Selain CEO bergelar Datuk, dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya direman selepas disyaki meminta serta menerima rasuah membabitkan pembinaan dua projek lebuh raya di Lembah Klang.
CEO bersama dua pengurusan tertinggi syarikat konsesi lebuh raya tersebut yang terdiri daripada seorang wanita dan dua orang lelaki direman selama empat hari sehingga Jumaat ini.
Manakala lima individu lain berusia antara 40 hingga 50-an yang merupakan pemilik sebuah syarikat pula direman selama tiga hari sehingga Khamis.
Majistret Irza Zulaikha Rohanuddin mengeluarkan perintah reman itu selepas permohonan dibuat oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) pada Selasa.
Semua suspek ditahan menerusi Ops Lintas antara pukul 8 hingga 11 malam Selasa ketika hadir memberi keterangan di Ibu Pejabat SPRM.
“Tiga suspek yang berkhidmat di syarikat konsesi lebuh raya ini disyaki meminta dan menerima rasuah daripada pemilik syarikat berkenaan sebagai balasan bagi mendapat kontrak mengambil alih kerja pembinaan yang sebelum ini dijalankan satu syarikat lain bernilai lebih RM1 bilion.”
“Selain itu, mereka juga dipercayai meminta dan menerima rasuah membabitkan pembinaan satu seksyen projek lebuh raya di Lembah Klang bernilai lebih kurang RM670 juta.”
“Keseluruhan nilai kedua-dua projek itu adalah berjumlah RM11 bilion,” Katanya.
Sementara itu, Timbalan Ketua Persuruhjaya (Operasi) SPRM, Datuk Seri Ahmad Khusairi Yahaha mengesahkan penahanan semua suspek.
Kes disiasat mengikut Seksyen 16(a)(A) Akta SPRM 2009.
Dalam pada itu, Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) memaklumkan bahawa mereka akan berkerjasama dengan pihak berkuasa berkaitan dalam siasatan SPRM.
“Projek Lintasan Kota Holdings Sdn Bhd (PROLINTAS) menerima maklum bahawa beberapa warga kerja kami telah ditahan reman oleh Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) bagi membantu siasatan yang sedang dijalankan membabitkan kes pembinaan.”
“Kami komited dan bersedia untuk berkerja rapat dengan semua pihak berkuasa berkaitan bagi memastikan kerjasama penuh dalam membantu siasatan.”
“PROLINTAS terus komited dalam mengekalkan integriti dan tadbir urus korporat pada tahap tertinggi,” Kata jurucakap PROLINTAS dalam satu kenyataan.
Menurut Shamsuri,39, seorang pengamal perubatan Islam, dia dan isteri dikurniakan cahaya mata lelaki namun belum memberi nama kepada bayi mereka yang dilahirkan di sebuah pusat perubatan di sini.
Shamsuri meluahkan rasa syukurnya kerana dikurniakan lagi cahaya mata serta proses kelahiran oleh isterinya, Rosnaida,38 berjalan lancar.
“Alhamdulillah, perasaan sangat teruja dan bersyukur kerana Allah SWT permudahkan urusan kehamilan isteri yang tidak alami alahan sehingga dia selamat bersalin.”
“Sebenarnya, bukan hanya saya dan isteri malah anak lain pun teruja dapat adik baru.”
“Sebagai suami, saya ucapkan terima kasih kepada isteri atas pengorbananya melahirkan cahaya mata kami.”
“Sukar nak mencari seorang isteri yang tabah, penyayang, tenang serta bertanggungjawab sepertinya malah dia adalah tulang belakang serta penguat semangat saya,” Katanya kepada Harian Metro.
Walaupun sudah memiliki 12 cahaya mata, Shamsuri tidak menolak sekiranya dikurniakan rezeki untuk menimang cahaya mata pada masa akan datang.
“Jika ada rezeki, saya nak lagi kerana anak pun anugerah Allah SWT.”
“Anak pun pembawa rezeki dan menjadi penguat hubungan serta pengikat kasih sayang dengan isteri sepanjang 19 tahun kami berumah tangga,” Katanya.
Terdahulu Harian Metro pernah menyiarkan kisah kehidupan Shamsuri dan iterinya yang bahagia kerana dikurniakan 11 orang cahaya mata yang terdiri daripada enam lelaki serta lima perempuan.
Kisah Shamsuri sekeluarga mendapat perhatian selepas dia berkongsi video dan gambar dengan keluarganya itu di TikTok.
Dewan Perwakilan Amerika Syarikat meluluskan rang undang-undang dengan matlamat untuk memaksa penamatan penganiayaan yang telah lama dilaksanakan oleh rejim komunis China terhadap kumpulan kerohanian Falun Gong.
Akta Perlindungan Falun Gong (H.R. 4132) secara bipartisan, telah diperkenalkan oleh Ahli Perwakilan Scott Perry (R-Pa.) dengan 18 penaja bersama, diluluskan melalui undian suara pada 25 Jun. Ia merupakan rang undang-undang dalam perundangan Amerika Syarikat yang pertama bagi menangani penindasan kejam kerajaan China terhadap kumpulan kepercayaan yang dimajukan melalui dewan.
Falun Gong, disiplin meditasi berdasarkan prinsip Sejati, Baik, Sabar telah menjadi subjek kempen penganiayaan tanpa henti rejim komunis China yang direka cipta untuk menghapuskan kepercayaan berkenaan.
Pengamal Falun Gong berhimpun menyeru menghentikan penganiayaan terhadap kumpulan kerohanian itu di China, semasa ulang tahun ke-24 memperingati penganiayaan Falun Gong di Capitol Hill pada 20 Julai 2023. (Gambar oleh Samira Bouaou/ The Epoch Times)
Selama 25 tahun, pengamal amalan itu yang berjumlah sehingga 100 juta orang pada tahun 1999 mengikut anggaran pada masa itu, telah berhadapan pemenjaraan yang panjang, penyeksaan, menjadi buruh paksa, dan pengambilan organ secara paksa.
Akta Perlindungan Falun Gong, yang masih memerlukan kelulusan Dewan Senat, menyeru “pemberhentian segera” penganiayaan berkenaan. Jika ditandatangani melalui pelaksanaan undang-undang, ia akan memerlukan Amerika Syarikat untuk mengelak sebarang kerjasama dengan China dalam bidang pemindahan organ dan menggunakan sekatan yang disasarkan melalui sekatan visa demi menangani penganiayaan Falun Gong di pentas antarabangsa.
Rep. Scott Perry berkata ketika membincangkan isu pengambilan organ paksa secara sistematik di peringkat Dewan pada 25 Jun 2024 adalah “sangat menakutkan.”
“Pengambilan organ secara paksa – satu bentuk pembunuhan besar-besaran – ini adalah sesuatu [seperti yang kita lihat bersama] Josef Mengele, tetapi ia berlaku hari ini,” katanya.
“Di China, jika anda mempunyai wang, tiada senarai menunggu untuk mendapatkan organ. … Terdapat bekalan sedia ada untuk organ-organ ini.”
Rep. Scott Perry (R-Pa) di Rotunda Capitol Amerika Syarikat di Washington pada 25 Jun 2024. (Gambar oleh Madalina Vasiliu / The Epoch Times)
Rep. Perry menyifatkan rang undang-undang itu sebagai “komitmen pertama yang mengikat oleh Kongres untuk mengambil tindakan undang-undang yang tegas terhadap penganiayaan dan pengambilan organ Falun Gong secara paksa, menjadikan Falun Gong sebagai pusat duluan perundangan—suatu tindakan yang telah lama tertunggak selepas 25 tahun.”
Akta Perlindungan Falun Gong juga akan mewajibkan sekatan ke atas pegawai China, pemimpin tentera, atau mana-mana individu yang “secara sedar bertanggungjawab atau terlibat dalam, atau secara langsung atau tidak langsung terlibat dalam, pengambilan organ secara tanpa sukarela” di China.
Sesiapa sahaja dalam senarai sekatan tidak akan dapat memasuki Amerika Syarikat atau terlibat dalam transaksi yang berpangkalan di A.S. dan visa semasa mereka akan dibatalkan. Rang undang-undang itu juga membawa hukuman sivil sehingga AS$250,000 dan penalti jenayah AS$1 juta dan penjara 20 tahun bagi tertuduh yang didapati bersalah.
Di bawah rang undang-undang itu, setiausaha negara, setiausaha kesihatan dan perkhidmatan sumber manusia, serta pengarah Institut Kesihatan Nasional perlu menentukan sama ada penganiayaan terhadap Falun Gong merupakan “kekejaman” di bawah Akta Pencegahan Genosid dan Kekejaman Elie Wiesel 2018 dan menentukan berapa banyak wang geran Amerika Syarikat telah menyokong pemindahan organ di China.
“Penganiayaan yang meluas, sistematik, dan tajaan kerajaan terhadap Falun Gong oleh pimpinan Parti Komunis China di Republik Rakyat China merupakan pencabulan yang jelas terhadap hak asasi pengamal Falun Gong dan mungkin merupakan pembunuhan beramai-ramai,” nyata teks perundangan itu.
Berhujah bagi menyokong rang undang-undang berkenaan, Ahli Perwakilan Greg Stanton (D-Ariz.) memfokus kepada “penderitaan yang tidak dapat dibayangkan” yang dilalui mangsa, dengan “hak paling asas mereka dilucutkan, tubuh badan mereka dicabuli dengan cara yang paling mengerikan.”
“Bayangkan ketakutan, dan rasa berputus asa, mereka yang dipenjarakan hanya kerana kepercayaan, hanya untuk organ diambil secara paksa daripada mereka,” katanya. “Ini bukan sekadar statistik, atau isu yang jauh. Ini adalah isu manusia yang sebenar—individu yang mempunyai keluarga, miliki impian, yang terpaksa menanggung kesakitan dan ketakutan luar biasa.”
Ahli Perwakilan Rich McCormick (R-Ga.) mengucapkan terima kasih kepada Rep. Perry kerana memperkenalkan rang undang-undang berkenaan.
“Idea bahawa seorang ahli minoriti agama boleh menjadi sasaran dan dibunuh supaya organ mereka dapat dituai adalah layak untuk dijadikan filem seram,” katanya.
Pada tahun 2006, The Epoch Times buat pertama kali melaporkan isu penuaian organ selepas saksi tampil di khalayak umum dengan mendakwa pembunuhan untuk mendapatkan organ sedang berlaku di hospital China dan fasiliti pasaran gelap. Seorang saksi, menggunakan alias Annie, berkata suaminya mengeluarkan kornea daripada pengamal Falun Gong yang masih hidup semasa bekerja sebagai pakar bedah saraf di sebuah hospital di timur laut China.
“Kehidupan pengamal Falun Gong tidak dilindungi oleh kerajaan. Nyawa mereka dianggap murah oleh pihak berkuasa. Ini adalah jenayah negara,” katanya ketika itu.
Isu penuaian organ sejak itu mendapat lebih perhatian, terutamanya selepas Tribunal China yang berpangkalan di London membuat kesimpulan pada 2019 bahawa penganiayaan telah berlaku di China pada skala yang signifikan, dengan pengamal Falun Gong sebagai sumber utama organ.
Sepanjang dua tahun lalu, tiga negeri di Amerika Syarikat telah menggubal undang-undang yang melarang penanggung insurans kesihatan daripada membiayai pembedahan pemindahan organ di China, manakala Kongres Amerika Syarikat, pakar yang bersekutu dengan PBB, dan Parlimen Eropah telah mengecam secara terbuka amalan yang mengerikan itu.
Pada tahun 2023, Dewan Amerika Syarikat telah meluluskan rang undang-undang pertamanya bagi menangani pengambilan organ paksa secara umum.
Atlet bina badan berusia 28 tahun dari Miri, Suharwardi Dahlan, meninggal dunia akibat komplikasi jantung sehari selepas bertanding dalam sebuah acara.
Menurut Sin Chew Daily, Suharwardi dikejarkan ke Hospital Miri untuk rawatan kecemasan tetapi disahkan meninggal dunia pada jam 3 pagi Isnin, 24 Jun.
Atlet bina badan muda itu difahamkan baru pulang ke rumahnya di Kampung Pujut Tanjung Batu, Miri, selepas bertanding dalam Kejohanan Bina Badan Mr Sarawak ke-58 di Sibu, yang berakhir pada hujung minggu lalu.
Suharwardi memenangi tempat keempat dalam kategorinya dan menyumbang kepada catatan mata penamat terbaik pasukan Miri dalam acara itu.
Bulan lalu, pegawai polis bantuan itu memenangi kejohanan bina badan di Miri, yang melayakkannya mewakili Miri pada Kejohanan Bina Badan Mr Sarawak ke-58.
Suharwardi dilaporkan mula mengalami ketidakselesaan ketika tidur pada malam Isnin.
Ahli keluarga bergegas membawanya ke hospital tetapi Allahyarham disahkan meninggal dunia ketika berada di jabatan kecemasan, lapor China Press.
Persatuan Bina Badan Bahagian Miri mengesahkan pemergian Suharwardi dalam satu hantaran di Facebook pada 24 Jun.
Menurut persatuan berkenaan, Miri kehilangan seorang atlet yang mempunyai masa depan cerah dalam sukan bina badan.
Kematian mengejut Allahyarham Suharwardi amat mendukacitakan terutama buat warga bina badan di Sarawak, dengan ramai mengucapkan takziah kepada ahli keluarganya.
Al-Fatihah dan salam takziah buat keluarga Allahyarham.