26.8 C
Kuala Lumpur
Wednesday, October 23, 2024
UtamaBerita UtamaPenampang dilanda banjir besar, bekalan elektrik terputus di Kota Kinabalu selepas hujan...

Penampang dilanda banjir besar, bekalan elektrik terputus di Kota Kinabalu selepas hujan lebat berterusan

KOTA KINABALU: Hujan lebat yang berterusan selama beberapa jam sejak awal petang mencetuskan banjir besar di daerah Penampang dan beberapa kawasan rendah di Kota Kinabalu pada Ahad, 30 Jun.

Terdapat beberapa laporan mengenai kenderaan tidak dapat melalui beberapa jalan kerana paras air banjir terus meningkat berikutan hujan lebat dan air mula naik bermula kira-kira jam 1.30 petang.

Bekalan elektrik terputus di kawasan yang terjejas ekoran paras air banjir yang mula naik dengan mendadak.

Keadaan banjir bertambah buruk berikutan air pasang pada kira-kira jam 4 petang.

Media sosial dibanjiri dengan paparan video rumah dinaiki air, penduduk terjejas berjalan menyusuri air banjir separas pinggang dan leher juga banyak kenderaan hampir ditenggelami air sepenuhnya.

Dalam salah satu video, sebuah kereta dilihat diheret air banjir, dipercayai berada di sebuah kompleks pangsapuri di Penampang.

Penduduk Penampang Lester Dominic Mojiliu berkata dia tidak dapat pulang ke rumahnya di Kampung Tanaki kerana laluan itu tidak dapat dilalui walaupun untuk kenderaan pacuan empat roda.

“Saya diberitahu oleh ahli keluarga dan rakan-rakan banyak kawasan di Penampang dinaiki air,” katanya kepada The Star.

“Saya juga mendengar daripada seorang rakan bahawa isterinya menghubungi cemas apabila kereta yang dinaikinya tiba-tiba terhenti ketika dia memutuskan untuk terus memandu merentas air banjir.

“Isterinya bersama anak-anak mereka tetapi mujurlah suami berjaya ke lokasi dengan segera dan mengeluarkan mereka daripada keadaan itu…arusnya agak deras ketika itu,” tambahnya.

Doktor haiwan Dr Randolf Paza berkata kawasannya di Limbanak, Penampang turut dinaiki air sepenuhnya, manakala bekalan elektrik turut terputus.

Beliau menambah mereka telah berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Dewan Kebudayaan Penampang bersama keluarganya, menyelamatkan semua yang termampu.

“Saya berharap keadaan menjadi lebih baik dan tidak bertambah buruk tidak lama lagi,” katanya, sambil menambah ini adalah salah satu insiden banjir terburuk yang pernah dialaminya.

Pengendali Shelter of Hope, Adrienne Godfrey Johniu, yang telah mula membawa kucing dan anjing perlindungannya ke bahagian lebih tinggi di rumah perlindungan haiwan itu apabila banjir mula melanda, dan mendoakan agar cuaca lebih tenang.

Willie Jude yang tinggal di Inanam berkata, kawasannya turut mengalami gangguan bekalan air bermula jam 4 petang.

“Jalan utama kami Jalan Kionsom tidak boleh dilalui semua kenderaan pada pukul 5 petang,” katanya.

Pusat pemindahan sementara (PPS) Penampang dibuka pada jam 5.25 petang.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sabah dalam satu kenyataan memaklumkan, tiga mangsa banjir daripada sebuah keluarga dipindahkan ke PPS Dewan Kebudayaan Penampang pada jam 8 malam.

“Hujan lebat di beberapa daerah menyebabkan kenaikan paras air. Susulan itu, kediaman di beberapa kawasan yang kerap berlaku banjir, telah dinaiki air.

“Agensi penyelamat membuat pemantauan di beberapa kawasan sekitar Penampang dan Kota Kinabalu,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu dalam kenyataan berasingan, Sabah Electricity Sdn Bhd (SESB) memaklumkan, beberapa kawasan di Penampang dan Kota Kinabalu mengalami gangguan bekalan elektrik akibat bencana berkenaan.

SESB Careline / Facebook

“Kejadian banjir menyebabkan beberapa ‘feeder’ terpaksa ditutup dan SESB dalam tindakan pembaikan dan seterusnya pemulihan bekalan secara berperingkat. Orang ramai dinasihatkan tidak mendekati kawasan pepasangan SESB,” kata kenyataan itu.

Menurut SESB lagi, antara kawasan yang terjejas ialah Moyog Water Treatment Plant, Lok Kawi Wildlife Park, Pangkalan Tentera Darat Kem Lok Kawi, dan Pejabat Perhutanan Daerah Kota Kinabalu.

“Dua tiang talian voltan tinggi di Jalan Bingaliu Lokub, Kiulu, turut terjejas akibat tanah runtuh.

“SESB memohon maaf atas segala kesulitan dan menjangkakan ada sedikit kelewatan pembaikan bekalan kerana terlalu banyak laluan ditenggelami air,” menurut kenyataan itu.

Jabatan Penerangan Sabah / Facebook

Pegawai Daerah Penampang, Francis Chong, dalam satu kenyataan berasingan pula berkata orang ramai yang terjejas akibat banjir yang diisytihar bencana pada jam 7.25 malam 30 Jun, dinasihatkan untuk berpindah ke PPS atau mana-mana tempat yang lebih selamat.

Pengerusi Jawatankuasa Pengurusan Bencana Daerah Penampang itu berkata, penduduk yang memerlukan pertolongan boleh terus menghubungi Pusat Kawalan Bencana Daerah Penampang melalui talian 088-715446, Bilik Gerakan Angkatan Pertahanan Awam (APM) Penampang (088-701120) atau Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Penampang (088-724569).

Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah dalam satu kenyataan pula memaklumkan, pihaknya menerima 86 panggilan berkait banjir di Penampang, Tuaran, Inanam dan Menggatal.

“Seramai 55 anggota daripada BBP Kota Kinabalu, Penampang, Lintas dan Tuaran telah bergegas membantu mereka yang terjejas,” menurut kenyataan itu.

Menurut JBPM Sabah, operasi menyelamat giat dijalankan, terutama di kawasan Penampang dan Tuaran, manakala berdasarkan maklumat banyak kawasan terputus jaringan jalan raya tetapi banjir kemudian mulai surut di beberapa kawasan.

Dalam perkembangan terkini, seorang wanita berusia 37 tahun menjadi korban pertama bencana banjir yang melanda Penampang.

Difahamkan, mangsa ditemui akibat lemas selepas dihanyutkan arus deras ketika sedang melintas bersama suaminya di kawasan banjir persimpangan Jalan Penampang Bypass di Penampang.

Ketua Polis Daerah Penampang, Superintenden Sammy Newton berkata, mangsa dilaporkan hilang kira-kira jam 10 malam Ahad.

MENINGGALKAN BALAS

Sila masukkan komen anda!
Sila masukkan nama anda di sini

- Advertisment -

Pengasas Falun Gong: Mengapa Wujudnya Manusia

Falun Gong Founder Mr. Li Hongzhi Publishes ‘How Humankind Came To Be’ 法輪功創始人發表《為甚麼會有人類》 Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi...

Pengasas Falun Gong: Mengapa Pencipta Berusaha Menyelamatkan Segala Makhluk

Encik Li Hongzhi ialah pengasas latihan kerohanian Falun Gong. Amalan ini menggabungkan meditasi dan latihan lembut dengan falsafah moral yang berdasarkan prinsip Sejati, Baik,...
spot_img

TREN TERKINI