KUALA LUMPUR: Penganjur mohon maaf, MOM putuskan tambah baik pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Pengarah urusan MY Creative Moments, Wong Kang Woon dalam satu kenyataan berkata majlis pelancaran itu adalah sebahagian daripada atur cara kemuncak sempena Sambutan Hari Olimpik Sedunia 2024.
“Kami menganjurkan Sambutan Hari Olimpik Sedunia selama tiga hari bermula Jumaat, Sabtu dan seterusnya kemuncaknya pada hari Ahad dan diwarnai dengan majlis pelancaran pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024.”
“Objektif kami ialah mengkomersialkan Hari Olimpik Sedunia sebagai satu platform mempromosi fungsi dan tanggungjawab MOM sebagai badan yang memayungi persatuan sukan kebangsaan yang mendaftar dan mengurus Kontinjen Malaysia di semua temasya pelbagai sukan antarabangsa.”
“Kami juga mencetuskan kempen Sokong Kontinjen Malaysia dengan menawarkan tiket ke Paris bagi mana-mana individu terpilih yang membeli baju khas Sokong Kontinjen Malaysia di ‘OlympicMas’ TikTok Shop.”
“Secara keseluruhan sambutan Hari Olimpik Sedunia yang menawarkan beberapa mini permainan seperti ping-pong, hanging man, bola baling dan Giant Jingga berserta reruai makanan menerima kunjungan lebih 20,000 pengunjung sepanjang tiga hari.”
“Kami juga berkerjasama dengan Persatuan Bola Keranjang Malaysia (MABA) untuk menganjurkan pertandingan bola keranjang 3 v 3, selain MORSA untuk Obstacle Tryout.”
“Kempen Sokong Kontinjen Malaysia juga berjaya kerana kami menjual lebih 4,000 helai baju Sokong Kontinjen Malaysia dan pemenangnya sudah diumumkan,” Kata Wong.
Menurut Wong lagi, sambutan Hari Olimpik Sedunia itu kali pertama diadakan di depan khalayak ramai di pusat membeli-belah sebagai antara usaha membantu MOM mempromosi penyertaan Kontinjen Malaysia ke Paris 2024.
“Kami mencetuskan idea ini dan mendapat mandat MOM tanpa menggunakan dana badan itu sebaliknya kami sebagai pihak ketiga dibenarkan mencari penaja sendiri.”
“Spekulasi bahawa kami dibayar untuk menganjurkan sambutan itu tidak benar kerana kami yang mengeluarkan pelaburan dengan jumlah yang agak besar,” Kata Wong.
Terdahulu, dalam satu kenyataan di media sosial penganjur mohon maaf kepada MOM, Kementerian Belia dan Sukan serta peminat sukan negara atas sebarang kekeliruan yang timbul pada majlis pelancaran itu.
Sementara itu, presiden Majlis Olimpik Malaysia (MOM) Tan Sri Norza Zakaria memaklumkan bahawa pihaknya akan mengambil kira maklum balas daripada semua pihak termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan peminat sukan negara.
“Selepas mengambil kira daripada setiap segi, MOM akur reka bentuk jaket rasmi tidak diterima dengan baik.”
“Oleh yang demikian, MOM memutuskan untuk menambah baik reka bentuk sedia ada bagi melambangkan motif Harimau yang lebih jelas di jaket serta logo MOM yang berwarna bagi menghormati status Jalur Gemilang,” Katanya dalam satu kenyataan.
Menurut Norza, MOM akan berbincang dengan Yonex untuk menambah baik reka bentuk jaket yang melambangkan status negara dan memenuhi harapan rakyat.
Katanya lagi, niat asal pasukan reka bentuk memaparkan corak dan reka bentuk untuk jaket yang dilancarkan bertemakan warna emas dianggap menjadi simbol paling tepat mencerminkan aspirasi kontinjen Malaysia membawa pulang emas pertama buat Malaysia.
Versi emas logo MOM yang menggabungkan kibaran bendera dan lima gegelung Olimpuk tersebut menepati garis panduan IOC.
“MOM mengucapkan ribuan terima kasih kepada semua pemegang taruh dan peminat sukan secara umumnya yang mengambil berat terhadap majlis pelancaran dan reka bentuuk pakaian rasmi Kontinjen Malaysia ke Paris 2024 dengan memberi teguran dan pandangan membina.” Katanya.