BATU PAHAT: Hampir 100 individu mengalami keracunan makanan selepas memakan ayam goreng yang disyaki sudah tercemar di sebuah kantin sekolah di Batu Pahat, Johor.
Menurut The Star, kantin itu diarah tutup selama 14 hari berikutan 90 pelajar dan sembilan warga pendidik mengalami gejala seperti cirit-birit dan muntah pada Khamis, 27 Jun lalu.

“Daripada 99 orang yang terkesan, 11 daripadanya yang merupakan pelajar telah menerima rawatan perubatan sebagai pesakit luar di klinik kesihatan kerajaan dan swasta,” kata Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan dan Alam Sekitar Johor Ling Tian Soon pada 30 Jun.
Tambahnya, tiada mangsa dimasukkan ke hospital kerana kesemua mereka hanya mengalami simptom ringan.
Pejabat Kesihatan Daerah Batu Pahat telah mengambill sampel makanan dan memeriksa kantin susulan kejadian itu.

Ling berkata keputusan makmal untuk menentukan punca keracunan makanan akan diperolehi dalam masa dua atau tiga hari lagi.
“Siasatan masih berjalan, dan sepanjang penutupan, pengusaha kantin perlu membersihkan premis tersebut,” kata Ling kepada Bernama.