KUALA LUMPUR: Polis mendapati pemandu bas persiaran yang terbabit dalam kemalangan maut mengorbankan dua pelancong warga China di Kilometer (Km) 16.5 Jalan Genting Highlands, Bentong, pada pagi 29 Jun didapati tidak memiliki lesen memandu.
Malah pemandu bas berusia 32 tahun terbabit juga mempunyai 27 rekod saman lampau atas pelbagai kesalahan.
Ketua Polis Daerah Bentong, Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata kesalahan itu dikesan selepas polis melakukan semakan terhadapnya.
“Kita sedang menjalankan siasatan serta akan mengambil tindakan susulan selepas pemandu bas selesai mendapatkan rawatan.
“Pada masa ini, pemandu terbabit mengalami kecederaan akibat kemalangan,” katanya kepada media.
Zaiham berkata, dalam kejadian sekitar jam 10.35 pagi itu bas persiaran yang membawa 18 penumpang warga asing dan tiga warga tempatan terdiri daripada pemandu bas, pembantunya dan pemandu pelancong, terbabas sebelum melanggar tembok tengah pembahagi jalan di Km 16.5, jalan turun Genting Highlands, Bentong menuju ke Kuala Lumpur.
“Kesemua mangsa berjaya dibawa keluar dari bas manakala dua lagi penumpang lelaki yang juga pelancong warga China yang dikenali sebagai Zhang Ping, 58, dan Wang Shuhong, 49, disahkan meninggal dunia di tempat kejadian.
“13 mangsa yang cedera dikejarkan ke Hospital Kuala Lumpur (HKL) manakala enam lagi menerima rawatan di Hospital Bentong,” katanya.
Sehubungan kejadian ini polis meminta saksi kejadian untuk tampil bagi membantu siasatan.
Dalam perkembangan terbaru, pemandu bas persiaran membabitkan kemalangan maut berkenaan telah direman selama 4 hari bermula 30 Jun.
Superintendan Zaiham Mohd Kahar, berkata lelaki berusia 32 tahun itu ditahan ketika hadir di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong pada jam 10.30 malam.
Suspek akan direman hingga Rabu, maklumnya.
“Siasatan lanjut sedang dijalankan mengikut Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya.