PENAMPANG: Seorang wanita menjadi korban pertama banjir yang melanda Sabah sejak petang 30 Jun, apabila mangsa dihanyutkan arus deras dan ditemui meninggal dunia selepas menghantar makanan kepada penduduk terperangkap bencana itu pada awal pagi 1 Julai.
Nasib malang menimpa Monica Ting Siew Kwong, 37, ketika mangsa dalam perjalanan pulang selepas keluar bersama suaminya, Hii Ding Wei, 39, yang menghantar makanan kepada penduduk terperangkap banjir di Pekan Donggongon dekat Penampang pada jam 1.40 pagi.
Ketika perjalanan pulang, pasangan terbabit cuba melalui kawasan ditenggelami banjir berhampiran Bulatan Sigah, Jalan Penampang Bypass, sebelum mangsa dihanyutkan arus deras.
Suaminya cuba membantu dengan menarik tangan mangsa, namun arus deras memisahkan pasangan itu apabila mangsa terlepas daripada tangan suaminya sebelum hanyut sehingga pencarian dijalankan penyelamat.
Ketua Polis Penampang, Superintendan Sammy Newton, ketika ditemui di lokasi penemuan mangsa, berkata mayat mangsa ditemui tersangkut di celah pokok berhampiran rumah penduduk pada kira-kira jam 8 pagi, 1 Julai di Kampung Hungab, kira-kira 500 meter dari lokasi mangsa dihanyutkan arus deras.
Mayatnya ditemui pasukan mencari dan menyelamat (SAR) terdiri daripada anggota Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM) dan polis yang memulakan operasi selepas menerima laporan pada jam 1.45 pagi.
Terdahulu, pasukan SAR menjumpai kasut yang dipakai mangsa tidak jauh dari lokasi penemuan mayatnya dan ia menjadi petunjuk yang membantu pencarian mangsa.
Sammy berkata, mayat mangsa dihantar ke Hospital Queen Elizabeth (QEH), Kota Kinabalu untuk bedah siasat.