KUALA LUMPUR: Corak pakaian kontinjen negara ke Sukan Olimpik kini lebih menyerlah setelah Majlis Olimpik Malaysia (MOM) tampil dengan pembaharuan.

MOM memperkenalkan logo baharu dengan memilih corak belang Harimau yang lebih garang dipaparkan pada pakaian rasmi kontinjen negara ke Sukan Olimpik Paris 2024.
Tan Sri Norza Zakaria selaku presiden MOM berkata beliau percaya bahawa corak baharu yang dipilih itu dilihat lebih segar dan boleh menaikkan semangat juang kontinjen negara.
Menurut Norza, MOM turut mengambil maklum balas orang ramai dengan melakar kembali logo kibaran Jalur Gemilang mengikut warna asal diiringi lima gegelung Olimpik.
“Reka corak baharu yang dipilih adalah berlatarbelakangkan warna hitam, dengan belang Harimau berwarna kuning yang lebih jelas dan besar di sebelah hadapan dan di belakang jaket.”
“MOM berasakan bahawa reka corak baharu ini melambangkan semangat Harimau yang sudah menjadi identiti kontinjen Malaysia sejak kali pertama ia diperkenalkan pada Temasya Sukan Asia Tenggara atau Sukan SEA di Manila pada 2005.”
“Adalah menjadi harapan MOM mewakili pemegang taruh termasuk Kementerian Belia dan Sukan (KBS), Majlis Sukan Negara (MSN) dan Institut Sukan Negara (ISN) agar semangat Harimau menjadi inspirasi untuk atlet negara mengaum di Kota Paris nanti,” Katanya menerusi kenyataan rasmi MOM.
Dalam pada itu, MOM memaklumkan bahawa kemeja T berkolar berwarna emas akan mengekalkan corak dan motif yang sama namun menggunakan logo Jalur Gemilang dengan warna asal sebagai tanda menghormati bendera negara.
Selain itu, MOM dapat mencapai kata sepakat dengan pihak penaja Yonex Sunrise Malaysia agar logo Yonex atau YY tidak dipaparkan di kedua-dua jaket dan kemeja T tersebut.
“Ini adalah kerana proses untuk Yonex Sunrise Malaysia mencetak dan menyediakan pakaian rasmi ini memerlukan proses perjanjian dengan pengilang sebagai prosedur operasi standard (SOP) jenama itu.”
“Maka itu Yonex Sunrise Malaysia memberi keizinan khas kepada MOM untuk mencetak dan mengeluarkan jaket ini dengan fabrik pengilang berbeza sebagai pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Paris 2024 disebabkan faktor masa,” Katanya.
Sebelum ini, Harian Metro melaporkan MOM memutuskan untuk menambah baik pakaian rasmi kontinjen Malaysia ke Sukan Olimpik Paris 2024 selepas mendapat maklum balas negatif atas corak pakaian terdahulu.